BAB 62

Romance Completed 157983

Alisa yang duduk bersimpuh sopan ditemani Ain dan ibunya di sisi. Tangan sahabatnya di sisi digenggam erat untuk mengurangkan rasa debar. Ketika berkumandang bacaan doa ketika majlis dimulakan tangan Alisa sudah berkeringat dingin.

Sebaik namanya dipanggil untuk memberi kesediaan bernikah dengan pengantin lelaki, Alisa memanggung perlahan wajahnya. Hari ini, buat pertama kali pandangan matanya dan Rizqi bertaut. Mana tidaknya, jika Alisa hanya menundukkan pandangan sebaik melangkah keluar dari bilik.

Rizqi kelihatan segak duduk bersila bersama Encik Razik di samping kanan. Di sebelah kirinya kelihatan kelibat Ilham dan Daniel. Wajah itu kelihatan begitu tenang. Sama ada dia sudah begitu bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami atau lelaki itu terlalu pintar menyembunyikan rasa gemuruhnya.

Melihat Alisa diam tidak menjawab, kadi kembali mengulang pertanyaannya. Habis merah wajah
yang sudah sedia merah kerana usikan. Alisa mengangguk perlahan tanda setuju.

"Berdebar pengantin lelaki, ingat tak jadi kahwin", usik kadi yang duduk berhadapan Rizqi. Gurauan itu disambut gelak tawa tetamu yang hadir, Rizqi hanya menggaris senyuman di wajah.

Sebelum acara akad nikah dimulakan banyak soalan yang ditanya. Rukun nikah, rukun Islam, rukun iman, siap diminta baca doa Qunut. Alisa menanti dalam debaran, hatinya tidak putus-putus membaca doa. Nasib baik semua berjaya dijawab dengan lancar oleh Rizqi. Kalau tak menempah malu saja.

Suasana bertukar hening ketika kadi menjabat tangan Rizqi dan melafazkan Ijab iaitu penyerahan tanggungjawab, yang sudah diwakilkan kepadanya oleh Encik Shahrul. Tersangkut pada lafaz Qabul pertama, Rizqi perlu menggulang sekali lagi.

Alhamdullilah, syukur Alisa panjatkan dalam hati mendengar suara Rizqi yang lancar dan jelas menerima lafaz Qabul yang mengikat mereka dalam ikatan perkahwinan. Setelah saksi mengangguk tanda sempurna lafaz Qabul, Nur Alisa kini sah bergelar isteri kepada Muhammad Rizqi Erfan.

Air jernih sudah bergenang di pelupuk matanya, ketika Puan Anisah menghadiahkan satu kucupan hangat di pipi Alisa tanda bersyukur semuanya berjalan lancar. Dari belakang Alisa memandang Rizqi yang sudah berdiri untuk melaksanakan solat sunat. Laju air matanya turun. Ain yang setia menemani di sisi pantas menghulurkan tisu. Risau rosak make upnya. Sudahlah belum bergambar lagi.

Saat mengesat perlahan air mata, Alisa kembali sebak mengingatkan kembali liku-liku perjalanan cintanya yang karam sebelum sempat berlabuh. Hati lelaki itu terlebih dahulu terisi dengan kehadiran wanita lain. Jauh dia membawa diri menimba ilmu di negara orang, merawat hati yang kecewa. Ketika menerima khabar lelaki itu bakal melamar kekasih hati untuk menjadi permasuri hidupnya, dia belajar mengikhlaskan. Walaupun terluka dia cuba mendoakan. Tapi lapan tahun merantau tidak memudarkan warna cintanya. Siapa tahu saat menjejak kaki kembali di tanah air, takdir tuhan menyatukan juga mereka dalam ikatan pernikahan.

Tenggelam dalam kenangan silamnya, Alisa tidak menyedari suasana di sekitar sudah berubah sunyi. Sentuhan lembut Puan Anisah di belakang tubuhnya menarik kembali Alisa ke realiti.

Sebaik mendongak kepala terpampang wajah segak Rizqi yang sudah berada di hadapannya. Alisa terpinga-pinga. Tidak menyedari keberadaan Rizqi di situ.

"Kamu kenapa Lis, dari tadi mengelamun je. Siang hari lagi ni", usik Haliza, yang mendapat sokongan dari Iman sepupunya.

Laju Mak Long Alisa mencelah melihat perangai mereka semakin menjadi-jadi. "Hulur tangan kamu tu Lis. Nak sarung cincin sekali batal air sembahyang", kalau tidak di potong sampai ke malam tidak tersarung juga cincin tu.

Acara sarung cincin dilakukan di ruang tamu. Ketika menghulur tangan kepada Rizqi jelas kelihatan gigilan tangan Alisa. Ini bukan pertama kali mereka bersentuhan tapi rasa gementar dalam dirinya sangat ketara. Bukan mahu berpura-pura, namun rasa gemuruh itu sangat nyata.

Sebentuk cincin tanda ikatan pernikahan tersarung indah di jari manisnya. Alisa menundukkan sedikit wajah mencium tangan Rizqi. Syahdu terasa hati. Ini pertama kali sepanjang perkenalan mereka Alisa menyalami Rizqi yang kini berstatus suaminya.

Giliran Alisa menyematkan cincin di jari Rizqi, sempat terlepas cincin dari pegangannya. Melihat Alisa yang begitu gementar Rizqi hanya tersenyum. Tidak ikut menyakat gadis yang sudah bergelar isterinya itu.

Sebuah kucupan Rizqi hadiahkan di dahi Alisa usai acara menyarung cincin. Lama bibirnya mendarat di situ. Dalam sela kucupannya Rizqi panjatkan doa ke langit, semoga dia dan Alisa dapat bercinta hingga ke syurga.

Jamuan kecil usai acara akad nikah diadakan untuk tetamu yang hadir meraikan majlis ini. Kebanyakkan terdiri dari saudara mara kedua belah pihak dan kenalan rapat sahaja.

Mereka berdua mengambil peluang berkenalan dan beramah mesra dengan saudara mara yang menetap jauh. Jarang berpeluang untuk berjumpa dan berkumpul bersama.

*********

Rizqi memimpin mesra tangan Alisa ke perkarangan rumah yang sudah siap terpasang sebuah khemah. Kali ini tangan Alisa, Rizqi pimpin tanpa rasa bersalah di hadapan khalayak.

"Dah siap makan?", tanya Rizqi sebaik menghampiri Daniel dan Ilham yang sedang rancak berborak bersama adik dan sepupunya.

"Dah, siap bertambah lagi. Tunggu nak tengok batang hidung kau dengan Lis je sebelum balik. Rasa tak lengkap pula, balik tak jumpa pengantin", tersenyum Daniel menjawab. Tumpang gembira melihat sahabatnya sudah bahagia.

Rizqi dan Alisa menghantar Daniel dan Ilham ke kereta. Sempat mereka berborak sambil berjalan.

"Riz, Lis taniah. Selamat pengantin baru. Aku doakan korang bahagia hingga ke syurga. Aku tak kahwin lagi, nak nasihat lebih-lebih tak sesuai", ujar Ilham ketawa kecil. Dia memeluk Rizqi sahabat yang sudah lama dikenalinya itu.

"Selamat pengantin baru. Riz aku gembira kau dah jumpa bahagia kau. Jodoh yang Allah dah tulis untuk kau. Itu yang aku dan Am selalu doakan untuk kau. Tolong jaga Alisa baik-baik. Kau suami dia sekarang. Ketua keluarga", panjang lebar ucapan Daniel ketika dia melepas pelukan dari Rizqi.

Daniel menatap wajah Alisa sambil tersenyum. Senyuman manis, bukan senyuman mengusik dan nakal yang sering dia lemparkan.

"Lis, kau happy?", tanya Daniel. Tapi lelaki itu tidak mengharapkan jawapan. "After a long way, you got your love. Takdir Allah paling indah Lis. Aku doakan kau bahagia di samping Riz dunia dan akhirat", perlahan ucapan Daniel kepada Alisa.

Perasaan Daniel kepada Alisa agak rumit. Dia melihat dari awal perjalanan cinta gadis itu. Jatuh dan bagaimana Alisa cuba bangkit dari rasa kecewa merangkak keluar dari lembah duka. Dia melihat gadis itu berendam air mata, akhirnya cuba berdamai dengan takdir bahawa cinta itu bukan miliknya. Melihat perancangan yang Allah aturkan sehingga Alisa dan Rizqi menikah, Daniel sekali lagi takjub dengan kebesaran tuhan.

Alisa menatap lama bening mata Daniel, sebelum mengangguk perlahan. "I'm Dani..., thank you for everything. Thank you, selalu ada dengan aku. Temankan aku masa masa sedih, hiburkan aku hingga ketawa. Selalu cover aku sampai semua orang salah sangka", ujar Alisa dengan air mata. Perlahan dia menyeka butir-butir jernih bersama senyuman indah di bibir.

Mata Daniel sedikit berkaca memandang wajah Alisa yang tersenyum sambil menangis.

Rizqi menarik tubuh Alisa dalam pelukannya. Di usap perlahan belakang tubuhnya gadis itu.

Ilham ketawa, seraya menumbuk perlahan bahu Daniel. "Kau Dani. Lis, baru je kahwin kau dah buat dia menangis. Baik-baik jangan sampai bertelur biji mata tu", gurau Ilham.

"Itulah, Riz ni boleh tahan juga dia punya cemburu. Jealous tak bertempat", sindir Daniel.

"Dani, I will take a really good care of her. I'll never hurt her. Don't worry", ujar Rizqi mengeratkan lagi rangkulannya pada Alisa.

"Riz, aku genggam erat kata-kata kau. Kalau kau lukakan Lis lagi aku tak kan tolong kau pujuk dia. Tapi aku akan tolong bawa Lis jauh dari kau", ugut Daniel memandang tepat wajh Rizqi.

"Aku tak akan bagi kau kesempatan tu. Jangan risau Dani", yakin dan tegas kata-kata Riz.

****************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience