BAB 52

Romance Completed 157983

Sejak pertemuan terakhir mereka, kepala Alisa ligat berfikir jawapan bagi tugasan yang diamanahkan Rizqi. 'Adoii... aku nak panggil Riz apa? lepas kahwin boleh panggil abang, sebelum kahwin aku nak panggil apa. 'Bie', aduhh!! Tak nak, malu. Soalan mengalah soalan KBAT masa SPM. Sakit kepala fikir', rungut Alisa. Itulah rutinnya semenjak pulang dari bertemu Rizqi.

'Kalau bahasakan nama pun boleh kan. Awak dan saya pun boleh juga, tapi nampak formal pula. I dan you, biasa sangat guna'. Alisa menjerit menekap wajahnya ke bantal. Letih mentalnya fikirkan jawapan.

"Kenapa aku kena fikir sorang-sorang. Biar Riz yang fikir pula", rungut Alisa, terus dia bangun dari katil.

Alisa mencapai handphone di atas meja. Masih teragak-agak mahu menghubungi Ain. Dia masih belum memaklumkan kepada Ain tentang pertunangannya bersama Rizqi. Tidak tahu mukadimah bagi memulakan perbualan. Mahu setahun kena bahan dengan Ain.

Tapi perlu dikuatkan juga hati menghubungi Ain. Pada hari itu, Alisa mahu Ain ada bersamanya seperti mana dia menemani gadis itu pada hari pertunangannya bersama Syazwan.

Saat akhir, Alisa membatalkan niat di hati untuk menghubungi Ain. Dia hanya mengkhabarkan berita itu melalui pesanan whatapps saja. Tahu, kalau call banyak soalan yang bakal diajukan. Pening mahu bersoal jawab nanti. Alamatnya tidak tidur sampai ke pagi.

***********

Sepanjang tempoh dua minggu Alisa sibuk menguruskan kerja di pejabat. Dia tidak mahu ada kerja-kerja terbengkalai yang memerlukan dia memberi komitmen pada hujung minggu ini. Memandangkan lusa akan berlangsung majlis bertunangan mereka.

Semenjak keluar membeli cincin sebelum ini, mereka langsung tidak berkesempatan bertemu. Kedua-duanya sibuk menguruskan kerja yang perlu diselesaikan.

Namun kesibukan Alisa tidak boleh dibandingkan dengan Rizqi yang kaki seakan tidak sempat menjejak tanah. Hampir seminggu Rizqi outstation di utara tanah air, menguruskan projek di sana. Alisa dan Rizqi hanya akan berjumpa pada hari pertunangan.

Bagi memastikan majlis berjalan lancar Alisa pulang ke Ipoh sehari sebelum majlis. Walaupun semua sudah siap tersedia dia masih pulang awal untuk melihat persiapan.

Di bahagian hujung ruang tamu dibuat pelamin kecil untuk acara sarung cincin. Pelamin itu didominasi dengan warna putih dan diserikan dengan sedikit warna coklat pastel. Senada dengan tema baju yang akan dipakai Alisa.

Majlis esok akan diadakan secara ringkas sahaja. Tanpa khemah kenduri dan panggilan yang ramai. Hanya dimeriahkan oleh saudara mara dan sahabat dekat Alisa dan Rizqi. Sesuai dengan permintaan Alisa.

*************

Puan Anisah sejak pagi sudah bertungkus-lumus di dapur bersama Mak Long dan Mak Ngahnya. Encik Shahrul pula sibuk mengemas di luar. Kerusi juga diatur di perkarangan rumah, untuk tetamu yang mahu duduk berbual di luar.

Alisa ada cuba membantu Puan Anisah di dapur. Tapi tidak banyak yang dapat ditolong. Memandangkan Mak Longnya tidak berhenti membebel jika melihat kelibatnya di dapur. Risau warna inai di jarinya luntur, jika terlalu banyak bermain air.

Tidak mendapat sokongan ibunya mahu tidak mahu Alisa hanya menurut saja kehendak Mak Longnya. Dia hanya membantu mengemas rumah yang sebetulnya sudah sedia rapi.

Tepat pukul dua belas, Alisa meminta diri masuk ke bilik ditemani Ain yang baru tiba. Dia mahu membersihkan diri dan solat Zohor terlebih dahulu sebelum bersiap untuk majlis yang bermula pukul tiga petang.

Sepanjang berada dalam bilik pedih telinga Alisa menadah bebelan Ain, sakit kepalanya mahu menjawab semua persoalan gadis itu. Tidak tahu keputusannya mengajak Ain menemani betul atau tidak. Malah debaran di hatinya semakin bertambah mendengar pertanyaan Ain.

"Lis, kau cuba cakap dengan aku betul-betul. Bila kau dengan Riz start bercinta. Boleh kau rahsiakan dari aku. Sampai hati kau", sedih suara Ain. Berjauh hati agaknya.

"Bukan aku tak nak bagitahu kau. Kami tak bercinta bagai nak rak pun...Aku tak tahu macam mana nak terangkan dekat kau. Semuanya jadi dengan cepat", Alisa mencapai tangan Ain dan menarik gadis itu duduk di sampingnya.

"Apa maksud kau Lis. Kau terpaksa terima Riz ke? Jangan buat keputusan yang kau akan menyesal kemudian hari", Ain menarik tubuh Alisa menghadapnya.

"Bukan macam tu. I do love him. Sejak kita sekolah lagi. Perasaan tu tak pernah berubah", perlahan suara Alisa menjawab.

Ain menatap wajah Alisa tidak percaya. Dia menekup mulut dengan kedua tangannya. "Lis..kau" Ain tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Masih lagi terkejut.

Dihela nafasnya panjang. "Sebab tu kau tak pernah buka hati dekat lelaki lain. Sebab ruang tu dah terisi sejak dulu", serius wajah Ain menatap Alisa.

"Kenapa kau tak pernah bagitahu aku dari dulu. Kenapa kau simpan semua sendiri. Aku sahabat kau, Lis", lirih Ain meluahkan perasaannya.

"Masa tu aku anggap semua dah terlambat. Riz dah declare hubungan dengan Zulaika. Aku tak nak rumitkan keadaan. Aku tak nak kau tersepit dekat tengah. Aku sahabat kau, Riz pun sahabat kau. Bukan salah sesiapa cinta aku terkandas tengah jalan", serak suara Alisa menahan sebak.

Ain terus memeluk tubuh Alisa. Dia meminta maaf membuat Alisa mengingatkan kembali luka yang lepas. Tidak seharusnya dia mengungkit isu itu pada hari penting untuk Alisa. Hati Ain dicengkam rasa bersalah melihat wajah sedih sahabatnya.

"Tak ada apalah la Ain. Aku okey. Ralit sembang dengan kau, tak siap kerja aku", Alisa tersenyum. Dis terus bangun menuju ke bilik air bersama tuala di tangan.

Ain memandang langkah kaki Alisa dengan hati yang berat. Dia masih merasa bersalah. Ain mengutuk dirinya yang cakap asal lepas saja.

***********

Rombongan dari pihak lelaki sudah tiba sejak tiga petang tadi. Rombongan itu disertai juga oleh ibu dan bapa saudara Rizqi. Sepupu dari kedua belah pihak juga datang memeriahkan suasana. Walapun majlis berlangsung secara sederhana, tetapi tetap meriah.

Majlis di tengah ruang tamu telah dimulakan dengan kata-kata aluan, dan pantun menyatakan hajat bertandang ke mari. Selepas pihak perempuan menyambut pantun dari pihak lelaki kedengaran tawa bergema di ruang bawah. Pihak lelaki menghulurkan sebentuk cincin dan sembahan sirih tanda pertunangan.

Majlis diteruskan dengan membincangkan nilai hantaran, mas kahwin, tempoh mengikat tali pertunangan, tarikh akad nikah, tarikh majlis sebelah perempuan, tarikh majlis sambut menentu sebelah lelaki.

Keadaan agak riuh-rendah apabila pihak lelaki menyatakan hasrat untuk mengikat tali pertunangan selama dua bulan sahaja. Tapi mempertimbangkan masa yang diperlukan untuk persiapan, kedua belah pihak setuju untuk mengadakan majlis akad nikah terlebih dahulu. Majlis resepsi perkahwinan akan disusuli selepas itu.

Sewaktu acara sarung cincin akan dimulakan, Ain mengiringi Alisa keluar dari bilik menuju ke pelaminan kecil yang sudah siap terpasang sejak semalam.

Berdebar-debar jantung Alisa merasa setiap langkahnya menjadi soratan dan perhatian tetamu yang hadir. Serba tidak kena aturan langkah kaki.

Tangannya juga sudah seram sejuk. Itulah, sebelum ini bukan main mengusik Ain sekarang kena batang hidung terus pucat lesi muka. Digenggam erat tangan Ain yang berada di sampingnya. 'Ishh, kalau baru bertunang dah berdebar-debar macam ni. Tak tahulah macam mana perasaan masa akad nikah nanti', omel Alisa merungut kepada diri sendiri.

Sudahlah tadi dia baru tahu hanya dua bulan tempoh pertunangannya dengan Rizqi. Mahu tercabut jantung mendengar permintaan pihak lelaki tadi. Mustahil untuk Alisa menolak di tengah-tengah majlis. Semakin berpeluh tubuhnya mendengar persetujuan dari pihak papanya.

Puan Nora, ibu Rizqi mengatur langkah ke pelaminan untuk menyempurnakan acara sarung cincin. Melihat tangan Alisa yang menggigil semasa menghulur tangan untuk disarungkan cincin, pecah gelak tawa dan usikan dari tetamu menghiasi suasana. Yang paling galak mengusik sudah semestinya sepupu Alisa dan Rizqi. Merah padam wajah Alisa, kalau ada lubung mahu saja disumbat masuk kepala ke dalam.

Melihat Alisa yang salah tingkah, Puan Nora tumpang ketawa tapi tidak ikut mengusik. Malah Puan Nora menarik tubuh gadis itu dan memeluknya sayang. Sudah tentu sangat sayang, Alisa bakal menjadi menantu sulung Puan Nora dan Encik Razik. Tambahan pula mereka tidak mempunyai anak perempuan.

Selesai acara, kedua belah pihak hanya duduk berbual santai untuk mengeratkan lagi silaturrahim. Makanan juga sudah siap terhidang.

Ain sedari tadi sibuk mengajak Alisa bergambar. Rasanya gambar Ain lebih banyak dari gambar Alisa, tidak tahu siapa yang bertunang sebenarnya.

Majlis sudah hampir di penghujung dan ramai tetamu sudah beransur pulang. Rafik, adik kepada Rizqi datang menghampiri Encik Razik yang sedang rancak berbual bersama Encik Shahrul dan tetamu yang lain. Dia menunduk sedikit membisikkan sesuatu kepada Encik Razik.

Encik Razik mengangguk mendengar kata-kata Rafik. Kedengaran salam diberi. Semua tetamu di ruang tamu menoleh melihat gerangan empunya suara. Melihat Rizqi, Encik Shahrul ketawa sambil bangun menyambut bakal menantunya.

Rizqi melangkah masuk dan menghulur tangan menyalami Encik Shahrul dan Encik Razik serta tetamu yang masih berada di situ. Sengaja dia datang agak lewat, kerana diikutkan adat calon pengantin lelaki tidak perlu hadir semasa majlis pertunangan.

Rizqi duduk berbual sebentar. Perlu juga berkenalan. Tetamu hari ini dari kalangan saudara-mara kedua belah pihak sahaja. Tiada orang luar yang diundang, melainkan sahabat terdekat mereka. Kelibat Daniel, Ilham dan Syafiq tidak kelihatan semasa majlis, kerana mereka bertiga berkumpul bersama Rizqi di luar.

Sedang ralit berbual sepupu Alisa datang menghampiri mengajak Rizqi bergambar bersama sebagai kenangan. Alang-alang sudah di sini rugi tidak bergambar. Seumur hidup, kita bertunang sekali saja.

Alisa yang masih tidak tahu menahu kedatangan Rizqi terkejut ketika dimaklumkan Ain. Dia segan sebenarnya mahu bergambar bersama Rizqi. Namun diturutkan juga kerana desakkan dari Ain.

Alisa mengatur langkah kembali ke pelaminan untuk bergambar. Sebaik mendengar derap kaki menghampiri terus Alisa memanggung kepala melihat empunya badan. Rizqi segak berbaju melayu berwarna coklat. Senada dengan baju Alisa yang berwarna coklat pastel.

Melihat tatapan mereka bertemu Alisa kembali menundukan sedikit wajah. Kalau tertangkap dengan Ain kena tadah telinga diusik. Rizqi melangkah menghampiri dan melabuhkan duduk di sebelah Alisa. Namun duduknya dijarakkan sedikit. Tak boleh nak dekat-dekat sangat, ramai orang-orang tua dekat situ.

************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience