BAB 12

Romance Completed 157983

Pandangan Ain melekat lama pada wajah sahabat-sahabatnya. Sudah dua hari suasana suram menyelubungi mereka. Tiada gelak tawa atau usikan seperti kebiasaan. Hanya wajah hambar dipamerkan. Hendak membuka mulut saja Ain sudah kecut perut. Tidak ditanya sunyi pula suasana.

"Sarah tak join sekali ke? Aku tak nampak dia pun", Ain bertanya memecah keheningan petang itu.

"Kau dah kenapa tanya pasal dia. Kalau dia nak datang, pandai-pandai la. Tak kan nak berjemput berkompang bagai", dingin riak Daniel.

Ain terkulat-kulat mendengar jawapan Daniel yang sarkastik. Tidak tahu di mana silap dia bertanya. 'Salah intro nak mulakan perbualan', getusnya dalam hati.

Ain kemudian menoleh memandang Alisa yang menunduk dari tadi, dengan buku di tangan. Rizqi pula hanya diam tidak bersuara. Ilham sekadar menjongketkan bahu. Ain kebinggungan.

"Aku ada terlepas apa-apa ke kat sini?", tanya Ain dengan wajah polos.

"Korang ada sembunyikan sesuatu daripada aku?", tidak berpuas hati, Ain menyambung pertanyaan.

"Kitaorang tak ada sembunyi apa pun. Yang kau asyik tanya pasal Sarah ni kenapa? Kitaorang bukan babysitter dia. Dah besar panjang pandai la jaga diri", balas Daniel jengkel.

"Ain nanti kau infrom dekat Sarah intipati mesyuarat harini. Penting ni, lusa kita dah nak pergi kem", celah Ilham tidak mahu membahaskan soal Sarah lagi.

"Okey. Kiranya ni dah final meeting? Dah tak ada perubahan kan?", tanya Ain meminta kepastian.

"Ya dah final. Cikgu Hayati dah bagitahu semua persiapan hampir siap", balas Ilham.

"Lis, kau kenapa? Diam je dari tadi", tanya Ain melihat Alisa hanya mendiamkan diri.

Semua pandangan terarah pada Alisa yang masih menunduk.

"Aku okay. Just penat sikit harini. Banyak kerja...", dalih Alisa, walaupun wajahnya menggambarkan sebaliknya.

Rizqi hanya memandang Alisa tanpa bersuara. Sebetulnya, Rizqi langsung tidak membuka mulut sepanjang mesyuarat. Entah apa yang difikirkan. Dia hanya mendiamkan diri.

Melihat Rizqi yang terus membisukan diri sedari tadi Ilham mengeluh. Dia cukup mengenali lelaki itu. Walau tidak diluahkan dia tahu Rizqi risau dengan keadaan Alisa. Marah Rizqi atas kelancangan mulut Sarah juga belum sepenuhnya mereda.

Daniel juga sudah sedia maklum kejadian yang berlaku dua hari lepas. Hampir hilang kendali Daniel ketika itu. Kalau bukan kerana Rizqi yang menampar keras belakang tubuh pemuda itu, rasanya dia sudah pergi bersemuka dengan Sarah.

'Gila lancang mulut perempuan tu. Tak sangka aku isu kecil macam ni boleh buat dia keluarkan kata-kata kesat dekat Lis. Dah macam bukan bersahabat tapi musuh ketat', kutuk Daniel dalam hati mengingat cerita Ilham.

Melihat mereka semua masih mendiamkan diri, Ain termangu-mangu. Pelik dia melihat tingkah mereka semua.

"Kalau dah tak ada apa aku balik dulu. Rasanya ibu aku dah sampai tu. Ujar Alisa sambil mengemas barangnya di atas meja. Dia menolak kerusi perlahan, dan terus berdiri.

"Kau nak balik dengan aku tak Ain?", tanya Alisa kepada Ain sebelum melangkah keluar.

"Nak, nakkk...jap aku kemas", balas Ain. Gadis itu, berlari anak ke arah Alisa.

"Kitaorang balik dulu, jumpa esok.
Assalamualaikum", ucap Alisa sebelum berlalu pergi.

Melihat Alisa dan Ain yang sudah melangkah jauh, Daniel terus merebahkan kepalanya atas meja. Letih, dia letih tapi yang letih bukan badan, mental yang letih.

"Aku tak faham la macam mana boleh jadi macam ni. Kenapa tiba-tiba boleh bergaduh pula", tanya Daniel dengan wajah muram.

"Lis langsung tak nak senyum. Nak buka mulut pun payah sekarang ni. kalau dulu ada orang kata Lis tu berat mulut, aku kerat jari. Tapi sekarang kalau ada orang kata macam tu, aku rasa semua jari aku dah kena kerat. Punya la payah nak dengar suara dia", luah Daniel lagi.

"Dia perlukan masa. Hati dia masih sakit dengan kata-kata Sarah? Aku pun tak sangka Sarah boleh semarah tu dengan Lis", balas Ilham bersama keluhan.

"Tapi yang aku tak faham, Sarah macam tak rasa bersalah langsung. Nak pandang muka Lis pun dia tak nak. Masa berselisih pun dia tolak je bahu Lis. Sakit kepala aku fikir perangai Sarah", sambung Ilham lagi.

"Kalau dia tolak bahu aku masa selisih, aku tolak dia sampai jatuh ke lantai", balas Daniel dengan rasa geram

"Aku lagi tak faham, kenapa dia nak marah sangat. Kalau aku couple dengan Lis pun dia tak ada hak nak marah sampai maki-maki Lis macam tu, even kita semua bersahabat", sambung Daniel.

"Yang tu aku setuju. Tapi Dani kau cuba cakap terus terang dengan aku. Kau putus dengan Jiha sebab Lis ke?", tanya Ilham dengan serius.

"Aku dah bagitahu sebelum ni. Lis dengan aku tak ada apa. Korang je yang fikir lebih-lebih...Lagipun, aku dengan Jiha memang dah lama ada problem. Cuma last week kami officially putus. Aku tak canang la satu sekolah. Tak ada kaitan dengan Lis pun", jelas Daniel panjang lebar untuk memuaskan hati Ilham.

"Tak apalah kalau kau kata korang tak ada hubungan. Tapi apa yang kau dengan Lis buat dekat bengkel tu", tanya Ilham lagi.

Mendengar soalan yang diaju Ilham, Rizqi mengangkat kepala yang sedari tadi menunduk memandang kertas di tangan. Dia mengarah pandangan ke arah Daniel.

Melihat Rizqi dan Ilham menatap serius wajahnya Daniel terus mengerutkan dahi.

"Kau cakap baik-baik Am. Buat apa. Aku dengan Lis tak ada buat apa pun. Kitaorang berborak je. Sebelum kau tanya biar aku bagitahu. Aku yang ajak Lis keluar pergi dekat bengkel tu. Sebab ada benda aku nak tanya dan aku nak kepastian. Korang jangan tanya aku borak pasal apa. Itu rahsia, aku dah janji dengan Lis. Aku tak kan bagitahu sesiapa. Tempat tu bukan tersorok pun. Semua orang boleh nampak kau kalau jalan dekat situ", panjang berjela Daniel jelaskan. Tidak mahu kedua pemuda itu salah faham lagi.

"Aku tanya je. Tak best juga bila dengar Sarah kata macam tu dekat Lis", balas Ilham melihat Daniel sudah mula marah.

"Kalau betul dia nampak aku dengan Lis. Dia tak patut cakap macam tu. Sebab kita berborak je, tak ada nak mesra-mesra. Berborak pun atas lantai", balas Daniel dengan rasa marah yang belum sepenuhnya hilang.


*************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience