BAB 61

Romance Completed 157983

Ilham menyandar tubuh di daun pintu melihat Rizqi mengemas pakaian dan barang peribadinya. Rizqi akan bertolak pulang ke Ipoh esok pagi memandangkan majlis pernikahannya bersama Alisa akan berlangsung lagi dua hari.

Alisa sudah berangkat pulang ke Ipoh bersama Ibu bapanya. Encik Shahrul dan Puan Anisah tidak mengizinkan Alisa dan Rizqi pulang bersama memandangkan majlis pernikahan mereka yang semakin dekat. Orang tua-tua kata takut hilang seri pengantin. Darah tengah manis tak elok berjumpa.

"Ada barang yang kau tertinggal tak?", tanya Ilham melihat Rizqi yang hampir selesai.

"Aku rasa tak ada. Kalau ada yang aku lupa kau tolong bawa sekali nanti", santai Rizqi membalas. "Kau bertolak balik Ipoh bila?", tanya Rizqi. Dari awal Ilham sudah mengajukan cuti pada hari pernikahannya bersama Alisa.

"Kau akad nikah Sabtu pagi. Aku bertolak balik dengan Dani Jumaat petang", terang Ilham. Sibuk macam mana pun Ilham dan Daniel pasti menyempatkan diri menghadiri hari bersejarah Rizqi dan Alisa.

"Bagitahu Dani nanti korang stay dekat rumah aku malam tu", pesan Rizqi.

Tidak mendengar persetujuan dari Ilham, Rizqi memanggung kepala memandang sahabatnya.

"Kalau ada benda nak tanya, tanya je lah. Tak payah kau pandang muka aku sampai nak tembus", sindir Rizqi apabila Ilham terus menatapnya tanpa kata. Dia kembali menyusun barang ke dalam bagasi.

Ilham menapak menghampiri katil dan melabuhkan punggung. Riak serba salah jelas terlukis di wajahnya.

"Riz, apa kes sebenarnya dengan Zulaika", Ilham membuka mulut menanya juga perkara yang membelenggu fikirannya.

Sejak kedatangan Alisa ke rumah sewa mereka empat hari lepas, isu Zulaika langsung tidak dibahas oleh Ilham atau Rizqi.

Hari itu Ilham memberi ruang sepenuhnya kepada Rizqi dan Alisa itu untuk menyelesaikan salah faham. Dia hanya merebahkan diri di katil biliknya tanpa niat untuk ikut campur. Pintu bilik dibiarkan terbuka, in case something happen. Tanpa niat dia terdengar perbualan Alisa dan Rizqi walaupun tidak sepenuhnya.

Ikutkan hati, Ilham mahu tinggalkan Rizqi dan Alisa sendirian di rumah. In worst situation, kena tangkap basah je. Alang-alang nak nikah, biar la awal seminggu fikir Ilham. Dasar kawan tak ada akhlak. Tapi fikiran sihatnya mencegah. Kalau dah terlanjur kira dia bersubahat pula.

Terhenti tangan Rizqi yang rancak memasukkan barang dalam bagasi. Dia menoleh ke arah Ilham yang masih setia memandangnya.

"Aku tak tahu. Lepas kami putus aku tak pernah contact dia lagi. Tak pernah ambil tahu apa yang jadi dalam hidup dia. Untuk apa aku ambil tahu tentang seorang perempuan yang dah bersuami", tenang tutur kata Rizqi. Seolah tidak terkesan.

"Betul..aku tahu. Tapi semudah tu kau buang perasaan kau dekat Zulaika? Kalau kau terlupa biar aku ingatkan, dua tahun Riz... dua tahun lepas kau putus dengan Zulaika kau masih tak boleh lupakan dia. Kau tak boleh buka hati kau dekat perempuan lain", tajam peringatan Ilham.

"Ya, sebelum ni aku tak boleh lupakan dia. Tak boleh buang rasa sayang aku, rasa cinta aku dekat dia. Tapi, tak pernah sekali pun aku cari dia lepas kami putus", ujar Rizqi. Dia menolak bagasinya ke tepi dinding. Hilang sudah mood untuk mengemas. "Untuk pengetahuan kau, lepas aku jumpa dengan Lis dekat PD, tak pernah sekali pun aku fikirkan Zulaika, atau terbayangkan dia. That how much I love Alisa. That how much she changed me", sambung Rizqi dengan tegas.

Itu sebab Rizqi terkilan apabila Alisa mempersoalkan cinta dan hatinya sebegitu sekali. Belum sempat Ijab dan Qabul dimenterai Alisa sudah memikirkan soal berpisah. Sakit hatinya. Dituntun rasa marah, Rizqi mengingatkan Alisa jangan dicabar egonya sejauh itu.

Ilham menepuk perlahan bahu Rizqi. Cuba meredakan rasa tegang sahabatnya. "Not even once I ever doubt your feeling. Aku cuma tertanya-tanya, betul ke apa yang jadi dengan Zulaika tu".

"Aku pun tak pasti apa yang jadi sebenarnya", ujar Rizqi mengerutkan wajahnya.

"Kau rasa ada kemungkinan, lelaki tu tipu Lis", tanya Ilham dengan rasa was-was. "Kalau difikirkan logik ayah mana yang tergamak nafikan darah daging sendiri kalau dia tak pasti. Untuk buat tuduhan seberat tu dia mesti ada bukti", perlahan suara Ilham seolah memikir.

"Kalau dia tak pernah sentuh isteri dia, memang patut pun dia yakin", tambah Rizqi.

Ilham terdiam. "Dia tak pernah sentuh Zulaika ke?", tanya lelaki itu dengan wajah tidak percaya.

"Hmmm... ikut apa yang Lis bagitahu la", malas Rizqi membalas. Penat! Kenapa perlu dia fikirkan urusan hidup orang lain.

"Patutlah dia yakin sangat tu bukan anak dia", semangat Ilham menepuk paha. Mendadak perlakuannya terhenti melihat Rizqi di sebelah. Dia masih perlu menghormati perasaan Rizqi yang merupakan bekas kekasih Zulaika.

"Kita tak akan tahu apa takdir yang tertulis di depan. Hati dan perasaan manusia ni boleh berubah. Jangan pernah anggap kita dah cukup kita kenal seseorang tu. Sebab mustahil", datar suara Rizqi.

Ilham tidak menyangkal atau mengiyakan kata-kata Rizqi. Lelaki itu lebih mengenali Zulaika. Mereka bekas pasangan kekasih. Sedangkan dia hanya mengenali Zulaika sebatas teman sekolah. Boleh dihitung dengan jari berapa kali dia pernah menyapa wanita itu.

"Aku rasa kau patut buat sujud syukur sebab Lis tak putuskan pertunangan korang sebab prasangka buruk dia. Kuat juga emosi dengan mental Lis tu", Ilham merebahkan badannya di katil Rizqi.

"Pelik aku masa tu kenapa Lis tiba-tiba jauhkan diri. Separuh gila aku fikir dekat mana silapnya. Dengan majlis kami kurang dari sebulan lagi. Serabut otak aku dekat sana, tak berjalan kerja", Rizqi mengeleng kepala mengingatkan kembali keadaannya ketika itu.

"Confirm dia terkejut bila tahu. Memang patut dia jarakkan diri nak tenangkan hati. Kalau bincang tengah marah macam-macam boleh jadi. Kau patut sedar tu", nasihat Ilham.

"Tapi aku lebih prefer dia terus-terang dengan aku kalau ada masalah atau salah faham", lemah Rizqi membalas.

"Terus-terang dengan serang tak sama Riz. Kalau bincang dalam keadaan marah, emosional, tengking-meneking tu serang. Better kau sort out kau punya emosi dulu. Lepas dah tenang sikit baru bincang", Ilham memberi pandangan.

"Hmm..", Rizqi mengiyakan kata-kata Ilham dalam hati. Hampir saja dia dan Alisa kembali berselisih gara-gara kemarahannya terpancing mendengar permintaan gadis itu.

**********

"Amboiii...cantiknya kau Lis. Berseri-seri gitu", puji Ain sambil mencubit geram pipi Alisa. Cubitan bisa, bukan cubitan manja.

"Sakitlah Ain...kasar betul tangan kau cubit", marah Alisa. Digosok-gosok wajahnya yang perih akibat cubitan berbisa Ain. Spesis ketam betul, suka cubit-cubit.

"Nak buat macam mana, aku geram. Cantik betul kau harini", Ain ketawa tanya rasa bersalah.

"Iyalah cantik. Sejak balik sini ibu aku paksa pergi spa buat rawatan muka, rawatan badan, mandi bunga, mandi aromaterapi, mengurut. Tunggu tak tertanggal kulit je. Sakit-sakit badan aku", rungut Alisa.

Ain ketawa mengekek mendengar kata-kata Alisa.
"Kau kan nak kahwin kena la wangi-wangi. Kalau busuk... lari Riz nanti. Gagal malam pertama", makin semangat ketawa Ain.

Alisa menampar keras lengan gadis itu. Geram dengan sahabat yang satu ini. "Tak ada maknanya malam pertama. Tak sanding lagi. Kitaorang tak tinggal sekali pun lepas nikah", bebel Alisa.

"Kau serius. Korang tak duduk sekali ke lepas nikah? Kenapa?" Bulat bola mata Ain. Betul-betul bersemangat hendak membawang.

"Iya laaa. Rizqi dah ada rumah tapi banyak barang yang tak ada lagi. Nantilah kitaorang pilih slow-slow", balas Alisa.

"Barang lain tak ada tak kisah, asalkan katil ada. On je. Kalau dah tak menyempat sangat tak ada katil pun boleh je jalan", Ain sudah ketawa guling-guling di katil Alisa. Geli hati dengan kata-katanya sendiri.

Beruntung hanya mereka berdua yang berada dalam bilik. Jurusolek yang diupah sebelum ini sudah keluar usai menata hias wajah Alisa.

"Bongok la kau..Nurul Ain sedar sikit diri awak tu tak kahwin lagi. Biar berfikiran murni dan polos sikit", marah Alisa. Geram dia dengan sikap lepas gadis itu.

"Apa masalahnya, kau bukan budak bawah umur. Kau dah nak kahwin pun, nak jadi bini orang. Tak kan sampai sudah kau tak bagi Riz sentuh. Kau nak suruh Riz puasa sampai bila. Sampai mati", Ain menjulingkan matanya ke atas. Tanda menyampah dengan sikap malu-malu Lis.

"Amboi mulut kau Ain. Sensor sikit. Aku nikah pun belum lagi, kau dah cakap pasal mati", Alisa menjeling tajam Ain di sampingnya.

"Dah tu, kau marah sangat aku cakap pasal malam pertama. Ingat kau nak biar Riz puasa tak payah buka", balas Ain tidak mahu kalah.

"Aku rasa tak perlu kut kita bahaskan isu first night ni. Bukannya mendatangkan kebaikan dekat kau pun", malas Alisa menjawab.

"Kalau tak bahas dengan aku, kau nak bahas dengan siapa... Daniel? Ilham? Biar betul. Advance kau Lis", sindir Ain.

Bantal yang sudah terletak cantik, Alisa capai dan baling tepat ke wajah Ain yang sudah tersengih seperti kambing. Menjerit kecil gadis itu.

Tak ada akhlak punya sahabat. Dah kenapa dia perlu bahas isu first night dengan orang lain.

Alisa bangun menuju ke meja hias. Dia membelek seketika wajah di cermin. Setelah berpuas hati Alisa kembali melabuhkan punggung di birai katil. Risau juga rosak make upnya kerana ulah Ain awal tadi.

"Dah cukup cantik pun. Terkeluar dah biji mata Riz tangok nanti", sakat Ain.

Belum sempat Alisa membalas kata-kata Ain, terdengar riuh rendah di luar rumah. Jantung Alisa tiba-tiba berdegup kencang. Jarinya mendadak sejuk. Perasaan gemuruh yang tidak begitu dirasakan Alisa sebelum ini sepantas kilat datang mengetuk diri.

"Dah sampai, rombongan pihak lelaki dah sampai Lis", Ain menjerit teruja sambil menyelak sedikit langsir bagi membolehkan dia melihat suasana di luar.

Alisa terus mematungkan diri tidak menanggapi kata-kata Ain. Habis dibaca semua doa yang sudah dihafal. Tunggu tak baca doa makan saja. Rasa gemuruh itu tetap tidak menghilang.

Ain mendekati Alisa yang sedang terduduk kaku di birai katil. Tahu pasti Alisa gementar. "Jangan risau lah. Yang nak kena hadap Ijab Qabul tu Riz bukannya kau. Relax la", selamba Ain menenangkan Alisa.

Tidak tahan dengan sikap tidak semengah gadis itu, Alisa terus memberi cubitan ketam sehingga Ain mengaduh kecil. Boleh kita nervous dia tambah lagi.

Pertelingkahan kecil mereka terhenti dengan ketukan pada pintu bilik Alisa. Hasliza, kakak sepupu Alisa masuk untuk menuntun Alisa ke ruang tamu. Rombongan pengantin lelaki sudah tiba, begitu juga kadi. Acara akad nikah bakal dimulai.

**************

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience