BAB 42

Romance Completed 45920

" Dah lawa dah tu. Ni kalau bos kau tu tengok confirm makin jatuh cinta dia dekat kau " usik Kinah tak sudah-sudah.

Aku mencemik.

Ikutkan rasa hati nak je aku sumbat botol air ni dalam mulut Kinah. Biar hilang bunyi 'lalat' kat telinga aku ni.

" Laa, aku puji je kot. Takkan itu pun tak boleh. " dia tersengih persis kerang busuk.

" itu bukan puji tapi perli. " getusku geram. Air mineral yang masih tinggal separuh ku teguk bagi menghilangkan rasa bahang di hati. Sudahlah dudukku macam ayam nak bertelur, ada kawan langsung tak membantu. Kerja nak membahan aku je.

" Kau pun satu hal, yang buat muka cuak sangat dah kenapa. Padahal dia orang datang tu sebab nak tahu keputusan kau je pun. " komen Kinah selamba.

Aku tayang muka sebal.

Sebenarnya aku tak berapa setuju bila keluarga Muzzafar Adli nak datang bertandang harini. Padahal semalam kan Mak Leha dah telefon Mak Cik Zurina. Dah bagitahu yang aku setuju terima pinangan anaknya. Cukuplah tu. Tapi kata Mak Leha adat orang merisik memang macamni. Kedua-dua belah pihak perlu bertemu dan berbincang.

" Syhhhhhhhh....”

Nur Jannah tiba-tiba datang menegur. Jari telunjuknya sudah diletakkan atas bibir. Memberi isyarat agar kami menutup mulut.

“ Kenapa kak? ” soalku pelahan.

“ Akak dengar ada bunyi orang beri salam. Dia orang dah sampai dah tu rasanya. ”

Erk! Terketap rapat bibirku. Menelan laju liur yang tetiba tersekat di celah kerongkong. Semakin galak Kinah mentertawakan aku sudah semakin resah di hadapannya.

“ Akak nak pergi depan dulu. Rara nak ikut sekali tak?” ajaknya yang sudah tersenyum memandang aku.

“ Eh, tak naklah kak. Seganlah.. ”

Serentak itu aku mengelengkan kepala. Tapak tangan mula rasa berpeluh dan melekit. Menari laju sang jantung sehingga susah nak bernafas.

“ Ish, kau ni nak segan apanya. Pergi jelah keluar. Lagipun family dia mesti nak jugak kenal-kenal dengan kau ”

Membuntang mata aku dengar idea Kinah. Sudahlah bagi idea tak bernas boleh pulak dia kenyit mata kat aku. Memang nak kena bantai budak sekor ni.

" Betul ni Rara tak nak keluar? kalau macam tu akak ke depan dulu ya. "

Usai Nur Jannah meninggalkan kami, aku menghela nafas lega. Adoi, ni baru sikit orang yang datang. Kalau satu kampung yang datang entah apalah yang akan jadi dekat aku gamaknya.

" Kinah, hati aku ni... "

" Hati kau resah? biasalah tu.. orang nak melalui fasa baru memang macam kau ni. Tak reti duduk diam. " gumam Kinah selamba. Langsung tak meredakan keresahan yang tengah bermaharajalela dalam hati aku.

" Kau rasa betul ke keputusan aku ni?

Aku menyoal dalam resah. Muka Kinah ku tatap sekejap sebelum aku kembali mengosok kedua telapak tangan. Sejuk dan berpeluh. Ah, masa-masa macam ni pulak penyakit exiety aku datang.

Melihat keadaaan aku, Kinah yang tadinya duduk depan aku mula beralih tempat. Bahu aku dipegang kemudian ditepuknya pelahan.

" Sangat tepat! "

Aku senyum hambar. Isyarat ok yang diberikan Kinah buat aku sedikit lega. Aku harap semuanya akan baik-baik saja.

" Eh Rara, aku nak ke dapur kejap. Kau boleh kan duduk kat sini sorang-sorang? " tanya Kinah tiba-tiba.

" Ala, temankanlah aku." sedikit merayu aku pada Kinah. Di waktu begini takkan nak tinggalkan aku sorang diri. Mahu murung aku kejap lagi.

" Wei, kau nak jadi bini orang dah kot. Takkan nak suruh aku temankan kau lagi. "

" Lambat lagi! "

Kinah ketawa mengekek.

Tak mahu terus melayani perasaan, aku mula bergerak ke muka pintu. Dengan cermat dan penuh hati-hati aku mengintai keadaan yang sedang berlaku di ruang tamu.

Nasib dia tak datang! aku lepas nafas lega bila kelibat Muzzafar Adli tiada di situ.

“ Cincin pun dah ada ni. Kalau macam tu kita terus buat majlis bertunanglah." terdengar jelas suara lelaki seakan meminta izin.

Semakin kalut aku jadinya. Air liur yang ku telan terasa berpasir.

Bertunang terus?

Ish, biar betul. Ingatkan dia orang datang nakkan jawapan je. Paling tidak pun merisiklah dulu.

“ Kita buat yang mana mudah. Lagipun budak-budak tu kan dah lama kenal. Perkara baik macam ni buat apa kita nak tangguh-tangguhkan. "

Aku kenal itu suara Abah. Gaya Abah cakap macam bersetuju benar dengan rancangan pihak sana. Adoi Abah ni...

Semakin kencang jantung hatiku berpalu. Nafas ku tarik dalam-dalam.

“ Kalau macam tu berapa lama cadangnya nak ikat ni?” suara Mak Leha pula kedengaran.

Aku dah peluk kuat pintu bilik. Mahu rebah aku dengar soalan Mak Leha. Cara tanya macam dah tak sabar sangat nak berbesan dengan Mak Cik Zurina tu.

“ Soal bila nak langsung tu biarlah budak berdua tu bincang dulu. Akak pun kalau boleh tak nak ikat lama-lama sangat. Lagi cepat lagi bagus." balas Mak Cik Zurina.

Kaget aku mendengarnya. Wajah ku raup dengan sebelah tangan. Peluh yang baru sahaja ingin kering kini merintik semula. Dari posisi berdiri aku terus duduk. Kinah yang turut pasang telinga dah mengosok-gosok belakang aku. Seakan ingin melegakan hati aku yang semakin tak keruan.

“ Hah! Elok sangatlah tu. Biar dia orang bincang dulu bila tarikh nak langsung. Kita mak bapak ni mengikutkan saja. Asalkan selamat semuanya." .

Masing-masing mengangguk. Setuju dengan pandangan yang diberikan.

“ Kalau macam tu bolehlah kami sarungkan cincin ni dulu ya.. sebagai tanda...” kata Mak Cik Zurina dengan riak ceria.

“ Eh, boleh boleh. Jemputlah masuk ke dalam. " balas abah memberi izin.

Mendengarkan kata-kata itu, laju aku melangkah ke arah katil. Duduk merapikan baju kurung yang aku pinjam dari isteri Taufik. Nasib baik badan Nur Jannah sama saiz dengan aku. Kalau tak mahu berkemeja dan berseluar jeans aku hari ni.

Kinah ketawa melihat gelagat aku. Suka agaknya kawan baik kena pinang cara express macam ni.

“ Rara dah lama tunggu ni. Masuklah. " sempat Kinah mengenakan aku. Terjojol biji kata aku memandangnya tanpa riak bersalah.

Kinah ni memalukan aku betul!

Langsir bilik diselak. Emak masuk ke dalam bilik diikuti Mak Cik Zurina. Ada seorang lagi perempuan ku kira itu kakak ipar Muzzafar Adli. Mak Cik Zurina tersenyum manis seperti pertama kali aku berjumpa dengannya dulu. Setelah bersalaman, jariku diaraih. Sebentuk cincin yang ku terima tempoh hari di sarungkan lembut ke jari manisku.

" Terima kasih sebab sudi terima anak ibu. "

.
. .

Berkali-kali aku menilik cincin yang sudah tersarung di jari manisku. Setiap kali itu juga senyuman lebar akan terukir di ulas bibirku. Cincin emas putih itu ku usap pelahan. Cantik bentuknya. Cincin yang memberi maksud aku kini sudah bergelar tunangan orang.

Ku biarkan angin petang menolak lembut seluruh peluput pipi. Terasa segar dan nyaman cuaca petang itu membuatkan aku terus leka duduk di atas pangkin.

Pandanganku teralih saat cuping telinga menangkap bunyi seseorang dari arah tepi rumah. Ku perhatikan gerak langkah Kinah yang deras. Berkerut saja dahinya setiap kali dia melepaskan butir bicaranya dicorong telefon. Jelas terpancar kekusutan di wajahnya. Aku menggeleng sendirian.

Selama aku mengenali Kinah belum pernah aku melihat hidup Kinah sekusut ini. Semakin lama semakin tertekan dia diganggu bekas kekasihnya. Entah sampai bila Samsul harus menganggu hidup Kinah.

Kinah tiba-tiba datang mendekat. Langkahnya laju menuju ke arah aku. Seakan berlari saja gayanya.

" Rara, habislah aku kali ni... mati aku kali ni Rara... "

Aku tergamam. Muka cuak Kinah terlayang di ruang mata.

" Eh, apa kena dengan kau ni Kinah? kenapa kau cuak sangat ni? " soalku ingin tahu.

" Sam... dia nak datang sini cari aku. Kau kena tolong aku Rara. Aku tak nak dia buat kecoh kat sini! " terang Kinah sambil tercungap-cungap mencuri nafas. Diraup kasar mukanya yang sudah bertukar warna.

Tersentak aku mendengarnya. Terlopong mulutku kerana terkejut.

" Macam mana ni Rara... apa perlu aku buat... "

" Ya, sabarlah dulu. Aku tengah cari idealah ni... " ujarku cuba membantu.

Kinah mula kegelisahan. Berlegar-legar dia dihadapan aku sehingga pening aku melihat tingkahnya yang diluar jangkaan. Kepalanya yang tak gatal digaru berkali-kali.

“ ish, kau ini kalau ya pun duduklah diam sikit. Mati akal aku bila tengok kau ke hulu ke hilir macam ni.. ” bidasku geram. Lengan Kinah lantas ku tarik. Memaksa agar dia duduk di sebelah aku.

“ Sam tu dah gila agaknya. Kalau dia betul-betul datang ke sini macam mana.. Habislah aku... ” luah Kinah semakin tertekan dengan apa yang berlaku. Makin terselah riak mendung di wajahnya yang tak bersolek.

Aku mengetap bibir. Ada simpati yang bertandang jauh di sudut hatiku.

" Dia gertak kau je kot.. "

Kinah menggeleng laju.

" Tak Rara! Aku kenal Sam tu macam mana. Dia tu hati kering. Kalau dia cakap nak datang dia tentu akan buat. "

Aku sungging bibir. Berani pulak lelaki macam Samsul tu nak datang ke sini. Habis tu selama ni kenapa selalu mengelak bila Kinah mengajak berjumpa dengan keluarganya.

" Kau tak payah risau. Negara kita ada undang-undang. Kalau dia datang ke sini, kita buat report polis. Biar padan muka dia tidur dalam lokap. " usulku. Rasanya bagus dah idea aku tu. Buat apa nak pening kepala melayan lelaki tak reti bahasa macam Samsul tu. Penjarakan aje. Habis cerita.

Berlapis dahi Kinah. Kerongkongnya bergerak pelahan, menelan liur yang seakan tersekat di celah kerongkong.

" Er ... takkan sampai report polis Rara ... " tanya Kinah mula teragak-agak. Riaknya sudah nampak serba salah.

" Habis tu kau tak takut ke kalau mak dan abah tahu pasal hubungan korang ni? tu belum lagi Abang Fik tahu. Kalau dia tahu... Ish, tak cukup tanah kau nak lari nanti Kinah. " ugutku mula geram dengan sikap Kinah yang tak tetap pendirian.

Aku jeling Kinah yang mula mengesat peluh di atas dahi. Aku tahu Kinah tak senang duduk bila nama Taufik mula ku dendangkan.

" Er.. habis tu apa perlu aku buat sekarang? aku memang tak nak siapa-siapa tahu pasal hubungan aku dengan Samsul. "

Soalan polos Kinah buat aku tersenyum senget. Tahu takut.

" Ada satu cara je yang boleh selamatkan kau. "

" Apa dia? bagitahulah aku cepat. " Semakin tak sabar dia ingin mendengar cadanganku.

" Kita kena buat plan. Kita kena cari sorang lelaki yang boleh berlakon jadi Abang Taufik. Andai kata kalau Sam tu betul-betul datang ke sini, kau kena bawak lelaki tu berjumpa dengan Sam. Kau suruh lelaki tu gertak Sam supaya dia jangan ganggu hidup kau lagi. Kalau dia kacau kau jugak, ugut dia yang kau akan buat report polis. " bersungguh aku menerangkan apa yang ada otak aku sekarang. Rasanya ini saja cara yang dapat buat kembali hidup bebas seperti dulu.

Kinah tersenyum nipis. Kepalanya mengangguk laju. Sekaligus menyatakan persetujuan dengan idea yang aku cadangkan.

" Hmm... tapi kat mana kita nak cari lelaki tu? "

Aku senyum lebar. Memang soalan itu yang aku nantikan dari tadi. Seketika mulutku menjuih ke arah rumah di pagar sebelah.

Kinah tayang muka blur. Masih tak faham agaknya dengan isyarat yang aku berikan.

" Aku tak faham. Kau tunjuk apa kat pagar sebelah? " Kinah menyoal sambil bahunya dijongkit tinggi.

" ish, kau ni slowlah! Jiran sebelah rumah kan ada. Apa kata kita ... "

Sengaja aku biarkan ayat itu tergantung. Hanya isyarat mata yang ku berikan pada Kinah.

" NO. Kau jangan nak buat pasal Rara. Aku tak nak ada kaitan dengan dia. Cari orang lain pleaseee.... " bantah Kinah. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Dia memang tak setuju kalau Ziyad diheret masuk dalam permasalahannya dengan Samsul.

Aku menghela nafas berat.

" Kalau dah itu cakap kau, nampak gayanya bersedia jelah kalau bekas kekasih kau tu datang ke sini. "

Aku lantas bangkit. Menyorong selipar sambil menepuk-nepuk paha Kinah. Memberi isyarat bahawa hanya itu idea yang aku ada.

" Ala Rara... Tunggulah kejap... "

Kinah menahan. Lenganku sudah dalam genggamannya.

" Dah kau tak nak. Aku nak cakap apa lagi. "

Aku lantas mencemik. Memancing ayat yang boleh buat jiwa Kinah semakin serba salah.

" Memang dia je ke yang boleh bantu kita? dah tak ada orang lain ke Rara? " rendah nada suara Kinah menyoal.

Aku mengangguk. Dengan sabar aku menunggu reaksi Kinah yang seterusnya.

" Ermm .... " Kinah lepas keluhan. " Kalau dah itu je pilihan yang ada, aku ikut jelah rancangan kau. "

Tersenyum lebar aku mendengarnya. Aku jatuhkan semula punggungku duduk di sebelah Kinah. Lalu perbincangan yang seterusnya menjadi semakin serius.

Lambat-lambat bibir Kinah mengukir juga senyuman. Nipis. Walaupun nampak mustahil tapi aku yakin ia akan berhasil. Samsul pasti akan patah hati selepas ini.

bersambung ...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience