Hati berbunga riang saat halaman rumah Mak Leha menjamu ruangan mata. Lega rasanya dapat pulang ke kampung, menghirus udara segar di sini.
" Mak! "
Sergahan aku buat Mak Leha lantas berpaling. Menyeringai dia memandang aku yang baru mencecah kaki di lantai dapur.
“ ish, budak ni. Dah berapa kali mak cakap, nak masuk rumah tu bagilah salam dulu. Ini tidak, dah macam pencuri lagaknya. " bebel Mak Leha sambil menayang muka cemberut.
Tubuh Mak Leha ku dakap kemas. Pipi tuanya ku cium bertalu-talu. Rindunya. Macam dah berbulan tak balik kampung.
Mak Leha hanya tersengih melihat gelagat manja aku. Sudah lama aku tak berpeluang bermanja begini dengannya. Maklumlah, kalau Kinah nampak nanti dia jeles.
" Sedapnya bau... mak masak lauk apa tu? " panjang leherku mengintai ke arah dapur yang masih belum terpadam api.
" Gulai ayam kampung, abah kau teringin nak makan. ”
Aku menelan liur. Lauk yang dimasak oleh Mak Leha nampak begitu menyelerakan.
“ Kejap lagi kita makan sama-sama. Tunggu abah dengan Taufik balik rumah dulu. " ujar Mak Leha lalu mematikan api dapur gas. Lauk yang sudah masak tadi dimasukkan sedikit ke dalam pinggan sebelum diletakkan di bawah tudung saji.
" Mana Kinah? mak tak nampak pun dia. "
" Tu.. dia ada kat luar tu. Tengah bercakap kat telefon. Kejap lagi masuklah tu. " usai berkata aku lantas melabuhkan punggung. Penat sangat rasanya hari ni. Balik saja dari kelas tadi, terus Kinah mengajak aku pulang ke kampung.
" Penting sangatlah tu. Sampai tak sempat nak masuk ke rumah dulu. " ngomelan Mak Leha ku sambut dengan senyuman nipis.
Kalau la Mak Leha tahu apa yang sedang berlaku, masak aku nak menjawab. Sejak Kinah putus cinta, tak habis - habis Samsul menganggu hidupnya.
Dasar lelaki begitulah, bila ditinggalkan macam-macam pujuk rayu dan janji manis yang akan ditaburkan.
" Rara tentu penat kan. Pergilah rehat dulu. Nanti lepas makan ada benda sikit mak nak bincang dengan Rara. "
Dengan dahi berkerut muka Mak Leha ku pandang hairan.
" Mak nak cakap pasal apa dengan Rara? "
Hati mula berdebar. Fikiran dah mula berfikir yang bukan-bukan. Risau jika perkara yang ingin dibincangkan itu ada kaitannya dengan hubungan Kinah dan Samsul. Namun otak cepat-cepat menyangkal. Tak akan ada orang lain yang tahu hubungan mereka melainkan aku seorang.
Mak Leha senyum segaris. Sebelah tangannya naik menepuk pelahan bahuku.
" Nanti aje kita bincang. Sekarang Rara pergi mandi dulu. Rehatkan badan. Muka Rara pun mak nampak penat sangat tu. "
Aku akur lantas kaki ku bawa menuju ke bilik.
.
.
.
Makan tengah hari kami sungguh meriah hari itu. Masing-masing teruja bila Taufik berkongsi berita yang dia bakal bergelar ayah tidak lama lagi. Dapat ku lihat keceriaan luar biasa di wajah mak dan abah. Senyuman lebar meniti di bibir masing-masing.
Aku dan Kinah juga begitu. Teruja memilih gelaran untuk bakal anak Taufik yang belum tahu jantinanya.
" Kinah, kerja kamu kat KL tu macam mana? okay ke? " tanya Mak Leha perihal anak gadisnya.
Kinah yang sedang rancak menyuap nasi lantas berhenti sebelum muka emaknya dipandang. Senyuman nipis terukir.
" Okay je mak. tapi ... Kinah ingat nak cari kerja lain laa.. "
" Eh, kenapa pulak nak berhenti. Kinah ada masalah ke kat tempat kerja? " giliran abah pula menyoal. Riak terkejut di muka abah sama seperti emak tadi.
" Tak ada lah abah. Kerja sekarang okay je.. "
" Kalau dah okay kenapa tak teruskan aje? " soal abah kemudian. Kerisauan jelas terbentuk di wajahnya.
Kinah diam sejenak. Nasi yang masih berbaki separuh di kuis pelahan. Hilang sudah seleranya untuk makan. Banyak perkara sedang berlegar di fikirannya sekarang.
" Saja nak tukar angin. Lagipun Kinah ingat nak cari pengalaman kerja kat tempat lain pulak. "
Sekilas muka Kinah ku pandang. Jawapan Kinah sangat menyakinkan aku bahawa semua ini ada kaitannya dengan Samsul.
" Kat sekolah abang ada nak pakai guru sementara. Kalau Kinah berminat, nanti bagi resume kat abang. " Taufik mencelah tiba-tiba.
Aku simpan ketawa.
Perangai macam Kinah nak jadi cikgu? ish, boleh
rosak anak murid nanti.
" Ish, taknaklah. Kinah tak minatlah nak mengajar budak sekolah. "
Taufik mencemik.
Nampak sangat adiknya memilih kerja.
" Kilang sawit kat kampung sebelah ada nak pakai kerani. Cubalah mohon. Mana tahu ada rezeki. " kini giliran Mak Leha pulak bersuara.
" Betol ke ni mak. Kalau kerja kerani Kinah nak." Riak muka Kinah berubah serta merta. Ceria jadinya.
" Kau serius ke ni Kinah? betul ke kau nak kerja kat sini? habistu aku macam mana? takkan kau nak biarkan aku tinggal sorang-sorang kat rumah tu. " bertalu soalan ku tanyakan pada Kinah sambil terpamer riak sedih di wajahku.
" Apa kau nak risau. Kau pun tak lama lagi ada peneman baru. "
Hah?
" Kau jangan macam-macam Kinah. Peneman baru apa pulaknya kau ni. " sebal hatiku bila Kinah mula mengekek ketawa. Bukan aku tak tahu maksud peneman baru tu apa. Hantu la kan....
" Peneman baru aka teman hidup. "
Aku alihkan anak mataku memandang Taufik yang sedang tersengih. Entah apa kenanya dengan 2 beradik ni. Merepek je kejanya.
Sudahnya aku mendiamkan diri. Menyuap nasi yang masih banyak berbaki.
.
.
.
Aku menghembus nafas sedalam mungkin.
Kotak kecil berwarna merah hati itu terus menjadi mangsa renunganku. Hati terus dibelit rasa pelik dan aneh. Apa yang berlaku sekarang bagaikan satu mimpi ngeri buat aku.
Dalam kelekaan aku termenung, Mak Leha mendekati aku. Mungkin wanita itu sudah lama memerhatikan gelagat aku tanpa aku sedari. Dia tersenyum nipis sebelum duduk di tepi aku di atas katil.
" Ralit sangat mak tengok Rara pandang kotak tu. Tak teringin nak buka ke? " soalnya lembut dengan bibir terhias senyuman.
Sedikit terkejut aku dengan soalannya. Macam mana Mak Leha boleh tahu yang aku masih lagi belum buka kotak tu.
" Semua ni berlaku secara tiba-tiba. Terlalu pantas. Sampai Rara tak tahu apa yang patut Rara buat sekarang. " luahku dengan riak buntu.
Pelahan-lahan keluhan aku terlepas. Di kala bertubi-tubi masalah yang datang buat otakku seakan lumpuh untuk berfikir.
Jalan kehidupan kadangkala memang tidak seiringan dengan apa yang kita idamkan. Ada banyak perkara yang terjadi diluar kawalan kita. Termasuklah apa yang sedang berlaku pada aku sekarang.
" Sebab tu mak suruh Rara balik ke sini. Mak nak tahu apa keputusan Rara. Kalau Rara tak setuju esok mak pulangkan balik cincin ni pada diaorang. "
Terketap rapat bibirku. Kotak merah itu ku renung buat kesekian kalinya.
Kepulangan aku ke sini rupanya sudah di rancang. Kinah sengaja mengajak aku pulang ke kampungnya atas arahan Mak Leha.
Muzzafar Adli!
Sebaris nama itulah yang berjaya mengkucar kacirkan hidup aku harini.
Tak ada angin, tak ada ribut tiba-tiba keluarganya menghantar rombongan meminang untuk aku.
" Mak pun tahukan kisah Rara yang dulu. Hati Rara ni... "
Bicaraku terhenti saat tangan Mak Leha naik melingkar atas bahuku. Diusap-usap manja dengan senyuman manis terukir di bibirnya.
" Rara masih lagi mengharapkan Izzt? "
Aku terjeda. Menelan laju air liur dengan soalan serkap jarang Mak Leha. Soalannya ku biarkan sepi buat seketika. Sukar untuk aku mentafsirkan apa yang ada dalam fikiranku. Apa yang aku tahu, pemergian Izzt Firhan telah buat hatiku hancur dan lumat. Hingga tidak ada apa-apa lagi yang tinggal melainkan kesakitan.
" Mak tahu tak mudah untuk Rara buka pintu hati Rara untuk orang lain. Tapi dah berbulan Izzt pergi. Takkan Rara masih mengharapkan dia lagi. Rara kena fikirkan masa depan Rara jugak. Kalau boleh mak nak tengok Rara bahagia dan jangan lagi bersedih macam dulu. " terhenyak aku dengan kata-katanya.
Aku menunduk. Berat hatiku untuk bertentang mata dengan Mak Leha yang begitu tulus menasihati aku.
Jujurnya aku sendiri masih keliru dengan diri sendiri. Aku tak tahu adakah aku benar-benar sudah berjaya lupakan Izzt Firhan ataupun tidak.
" Mak janganlah risau... Rara dah pun redha dengan semua yang terjadi.. Dan Rara janji Rara takkan buat perkara bodoh macam dulu lagi. "
Aku tersenyum hambar. Dulu memang aku terlalu mengikutkan perasaan. Sanggup berendam air mata menangisi pemergian lelaki yang aku cintai. Padahal sehingga harini lelaki tu langsung tak pernah cari aku.
" Mak tak memaksa. Semua keputusan ada kat tangan Rara. Kalau betul Ady tu ikhlas sayangkan Rara, mak rasa tak salah kalau Rara bagi peluang pada dia "
Tergamam dibuatnya. Aku pandang muka Mak Leha yang jelas mengharap. Sebagai orang tua, aku tahu dia lebih kenal siapa Muzzafar Adli berbanding aku. Masakan tidak, Mak Cik Zurina sendiri merupakan kawan baiknya.
" Sebenarnya Rara tak rapat mana pun dengan dia mak. Kat ofis pun kami tak pernah bercakap soal hati dan perasaan. Pelik juga macam mana keluarga dia boleh hantar cincin ni " Luahku masih terkejut dengan situasi yang berlaku.
Saat diberitahu pinangan ini datang dari Mak Cik Zurina mahu rebah aku depan Mak Leha. Sudahlah kami baru sekali berjumpa. Kenal pun tak rapat mana. Tup- tup dia datang meminang aku untuk anaknya, Muzzafar Adli.
" tak kenal maka tak cinta. Mana tahu selama ni dia memang sukakan Rara tapi dia segan nak bagitahu. " senyuman Mak Leha kian mekar.
Nak ketawa aku mendengarnya.
Segan? rasanya bos aku tu bukan jenis lelaki macam tu. Selama ni elok je dia beramah mesra dengan semua orang.
" Rara fikirlah dulu. Sama ada nak terima atau tak. Apa yang mak boleh cakap, Rara bertuah sebab jadi pilihan keluarga Ady. Mak Cik Zurina dan Pak Cik Yusoff tu baik orangnya. Bertuah kalau Rara jadi sebahagian dari keluarga mereka. " aku menyambut kata-kata itu dengan secarik senyuman.
Adakah aku sudah cukup bersedia untuk menyerahkan hati ini pada lelaki lain?
" Pinangan ni datang dari Mak Cik Zurina atau dari Ady sendiri? "
Entah kenapa soalan itu meniti laju dari bibirku. Keinginan ingin tahu datang secara tiba-tiba. Aku tak nafikan memang Mak Cik Zurina tu baik orangnya. Tutur katanya yang lembut dan bersahaja buat sesiapa saja akan selesa mendekati dia. Tapi masalahnya sekarang anak dia. Sudahlah Muzzafar Adli tu bos aku. Hubungan kami setakat pekerja dan majikan saja. Macam mana dia boleh terfikir nak meminang aku pun aku tak tahulah.
" Itu Rara kena tanya sendiri dengan tuan badan. Waktu pihak lelaki datang dia orang hanya bagitahu nak merisik Rara untuk anak lelaki mereka. "
Mengangguk aku tanda faham. Fikiran aku buntu dan kosong. Fizikal dan mental sama-sama kepenatan. Sehingga otak dan hati mula saling tak sehaluan. Sudahnya aku keliru dengan perasaan sendiri.
Keluhan berat terhembus. Muka Mak Leha ku pandang seakan menagih simpati.
" Mak rasa apa yang patut Rara buat? "
Mak Leha mengulum senyuman. Kotak baldu itu di ambil lalu dibuka. Cincin emas putih itu kemudiannya diletakkan atas telapak tangan aku.
" Mak rasa dia jodoh yang sesuai untuk Rara. " Senyuman Mak Leha teroles manis. Mukanya jadi ceria seakan mengajak aku untuk sama merasai apa yang dia rasakan.
Jika dulu aku dilamar sang kekasih tapi kali ini aku dilamar pula oleh seorang lelaki yang tak pernah ada dalam senarai calon pilihanku.
Patutkah aku terima lamaran ini?
Bersama deruan nafas lembut, aku mengangguk sedikit. Jika ini yang dinamakan jodoh aku akan berlapang dada menerimanya.
" Jadi Rara setujulah ni? "
Aku tak terus menjawab. Sebaliknya cincin tadi ku sarungkan terus ke jari manisku. Cantik dan nampak sesuai bila di pakai. Muka Mak Leha ku pandang bersama satu senyuman lebar.
" Mak tentu dah tahu jawapannya. "
bersambung ...
Share this novel