Selepas bercuti panjang, aku masuk kerja semula seperti biasa. Kedatangan aku di sambut mesra oleh rakan sekerja yang lain. Tak banyak perubahan sepanjang ketiadaan aku melainkan ada pekerja baru di MA Advertising. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Namun aku masih belum sempat lagi berkenalan dengan keduanya.
Aku capai telefon tatkala telefon di tepi tanganku bergetar halus.
' Kita lunch sama-sama. '
Aku kemam bibir. Takkan nak keluar makan dengan Muzzafar Adli. Nanti kalau budak ofis nampak macam mana?
Haish, cari masalah namanya tu.
' Bukan kita dah deal ke hari tu. Tak nak selalu keluar. Lagipun saya ada banyak kerja nak buat. Lain kali okay. '
Ini bukan alasan tapi memang betul aku ada banyak kerja nak buat. Kerja yang aku tinggalkan sebelum cuti semuanya perlu aku siapkan dengan segera. Semua dateline dalam minggu ni.
' kerja tu nanti-nanti la you siapkan. '
Ewah-ewah.
Mudah je dia cakap kan. Mentang-mentanglah dia tu bos. Kang tak siap kerja ni, aku jugak yang kena marah.
' Tak boleh. Dateline dah dekat. '
" Rara! kau ni kan, aku panggil kau banyak kali kot. Boleh pulak kau buat-buat tak dengar kan. " Sergah Jaja tiba-tiba. Kelam kabut aku tutup telefon.
" La ye ke? Aku tak dengar pun. "
" Eh kau ni. Confius pulak aku, yang sakit hari tu kaki ke telinga? " usik Jaja sambil tersengih-sengih.
Aku terus mencebik. Sengaja la tu nak mengenakan aku. Padahal bukan Jaja tak nampak aku tengah sibuk dari tadi.
" Erm, kau nak cakap apa tadi? cakaplah. "
Telefon di tangan aku letak semula atas meja. Fokus aku kini terarah pada Jaja yang sedang bersandar pada kerusi yang aku duduk.
" Kita orang semua plan nak keluar lunch sama-sama kejap lagi. Makan dekat-dekat sini je. Bolehlah nanti kau kenal-kenal dengan Nazim dan Dian. " ujar Jaja sekaligus menerangkan perancangannya kepada aku.
" Aku tak kisah. Aku follow je. "
Tak befikir panjang aku terus memberikan persetujuan. Setidak-tidaknya aku ada alasan untuk tidak keluar dengan encik tunang.
" Ok, cantik. Nanti lunch kita keluar sama-sama eh. Aku ada banyak benda nak cerita kat kau. " ucap bersungguh-sungguh dengan mimik muka sengaja di seriuskan.
" Antaranya? "
Laju aku bertanya. Tiba-tiba jadi berminat dengan reaksi muka Jaja yang ceria. Mana tahu kot bos nak bagi bonus pada semua pekerja.
" Kau dah ada pesaing sekarang. Aku nampak Dian tu macam suka je kat bos. "
Hampir tersedak air liur aku mendengarnya.
" Ish kau ni. Semberonong je nak tuduh-tuduh orang kan. " marahku tanpa memandang tepat ke muka Jaja. Risau juga kalau riakku menimbulkan syak wasangka pada Jaja.
Jaja tiba-tiba ketawa.
" Tahu takut. Tu lah aku suruh kau masuk line kau tak nak. Jual mahal sangat. Padahal bos tu dah lama bagi hint dia suka kat kau tau. "
Pulak dah.
Aku tayang muka bosan. Pura-pura tak berminat dengan usikan Jaja yang tak sudah.
" Nazim! kelulusan kebenaran signboard dari pihak majlis dah dapat ke belum?”
Suara garau milik Muzzafar Adli yang tiba-tiba muncul di hadapan meja pekerja baru itu buatkan aku dan Jaja saling memfokuskan pandangan ke arah yang sama.
“ Belum lagi bos. Dalam minggu ni baru dapat jawapan. ” jawab Nazim dengan yakin.
" soal bajet, ada apa-apa perubahan tak selepas perbincangan hari tu? " dengan gaya berpeluk tubuh, dia masih berdiri di tepi meja pekerja yang aku kira hampir sebaya dengan usianya.
" Setakat ni tak ada. Bajet kita masih sama macam yang sebelum ni. Nanti masa meeting saya akan perincikan semula pada bos. " ujar Nazim yang kini tugasnya menguruskan bahagian pemasaran syarikat.
“ Good. Evelyn, laporan yang I nak tu you dah sediakan ke? " kali ini arah matanya menuju ke arah Evelyn pula. Evelyn yang duduk selang satu meja dari Nazim lantas mengangguk. File hitam setebal dua inci itu lantas diserahkan pada lelaki itu. Muzzafar Adli membeleknya seketika sebelum kembali bersuara.
" Okay. Jangan lupa semua, meeting petang ni jam 2.30 petang. Kalau ada apa-apa masalah kita bincang masa meeting tu nanti. Anything else?”
Muzzafar Adli kembali memandang muka pekerjanya. Melihat masing-masing hanya menggelengkan kepala, dia mula memacu langkah meninggalkan ruang itu.
" Rara, masuk bilik I sekejap. "
" Hah? Er, ok bos." balasku gugup.
Muzzafar Adli menggosok-gosok tengkuknya sebaik saja punggungnya mendarat atas kerusi sofa di dalam ruangan bilik kerjanya. Badannya bersandar rapat pada permukaan kerusi sambil matanya dipejamkan buat seketika.
Dia kembali membuka mata sebaik telinganya menangkap bunyi ketukan di muka pintu. Tanpa berkata apa-apa, dia membiarkan saja pintu itu di kuak dari luar.
" Ada apa bos panggil saya? "
Tak berlengah aku terus bertanya padanya.
" Kot ya pun duduklah dulu. " pelawanya ramah dengan senyuman.
Akur dengan permintaannya, aku lantas menghenyak duduk berhadapan dengannya.
" By the way, tak ada important things pun I panggil you datang ke sini. I cuma nak tengok muka you je. "
Erk,
Aku lantas menjuihkan bibir.
" Kenapa buat muka macam tu? " soalnya pelik dengan reaksiku.
" Bos tu lah. Cakap belit-belit. Kan senang kalau bos cakap bos rindu kat saya." balasku berseloroh.
Ketawanya meletus.
" Habis tu you pulak tak rindukan I ke? " tanya lelaki itu lembut namun ada keseriusan pada katanya.
Aku bagaikan tersedak air liur sendiri. Hilang kosa kata aku untuk membalas. Dapat ku lihat anak matanya sedang galak bermain di sekitar muka aku.
" Hmm, you tak rindukan I ke sayang? " soalan yang sama kembali di tanya.
" Tak. Sebab semalam kan kita dah jumpa. "
Entah dari mana keberanian itu datang aku pun tidak tahu.
Sebelah keningnya sudah terjungkit mendengar jawapan aku. Mungkin dia tidak menyangka aku akan menjawab begitu agaknya.
" Really? kiranya I syok sendiri lah ni.. "
Aku hanya mampu meleretkan senyuman padanya. Tak mampu nak balas ya. Kang tak pasal ada pulak yang jatuh pengsan kat sini.
" Malam ni kita keluar boleh? temankan I pergi rumah Abang Kimi. "
" Abang Kimi? siapa tu? "
" Bakal abang ipar you. "
Jawapannya buat aku terbatuk kuat. Laju aku menoleh ke arah pintu. Semata-mata nak pastikan tiada orang di sekitar bilik itu. Buatnya ada orang dengar, jadi isu besar pulak nanti.
" Nasib baik tak ada orang dengar. " rungutku seraya melepaskan nafas lega.
" Kalau ada orang dengar pun apa salahnya. Lambat laun dia orang akan tahu jugak. " balasnya bersahaja. Nampak tenang sangat.
Aku menggeleng tidak setuju.
" Memanglah. Tapi kalau boleh biarlah dia orang tahu pada masa yang sesuai. "
" Bila masa yang sesuai tu? "
" Sikit masa lagi. Kalau saya dah bersedia nanti saya akan bagitahu dia orang. Saya bukannya apa, saya tak nak orang lain fikir yang bukan-bukan pasal saya. Dah lah sebelum ni Jaja tu.. "
" suka 'jodohkan' you dengan I? "
Kecik anak mata memandangnya. Musykil, macam mana dia boleh tahu?
" Mana aci. Bos curi dengar perbualan kami ke?"
" Eh, mana ada. I bukan curi dengar tapi terdengar. Korang berdua pun kalau berborak bukan main ligat. Sampai lupa nak pandang kiri kanan. Macam mana orang lain tak dengar. "
Aku menyeringai. Malu bila perbuatan kurang sopan itu diketahui orang, nak-nak lagi yang tahu tu orang yang digosipkan. Aduh, mana nak sorok muka pun tak tahulah.
Muzzafar Adli terus memakukan pandangannya. Sengaja dia merenung galak ke arah gadis itu. Hatinya bagai digeletek saat melihat muka tak keruan si tunang.
" Kalau tak ada apa lagi, saya keluar dulu lah. "
Mata terus berkalih ke arah lain. Mahu lemas aku kalau terus-terusan direnung begitu.
" Malam ni jangan lupa tau. Lepas maghrib I datang ambik you. " pesannya pada aku yang sudah tegak berdiri.
Aku angguk sekali. Usai itu aku terus keluar dari biliknya. Makin lama aku kat sini, makin kuat syak wasangka orang nanti.
.
.
.
Panjang leherku menoleh kiri dan kanan. Saat melihat suasana meriah di perkarangan rumah teres 2 tingkat itu buat hati yang tenang tiba-tiba berubah rentak. Perasaan gelisah mula bertamu mencucuk tangkai hati.
' tak ada apa-apa lah. Semuanya akan baik-baik saja. '
Sempat lagi aku positifkan diri sendiri. Dengan langkah penuh keyakinan aku mengekori langkah Muzzafar Adli yang sudah sedikit ke depan dari aku.
Semakin menghampiri pintu utama, detak jantung semakin tak sekata. Nak-nak lagi bila aku melihat khemah di hadapan rumah itu. Ramainya orang. Ada majlis apa sebenarnya ni?
" are'u okay? "
Kepala ku angguk tanpa sedar. Dalam keadaan aku macam ni apa orang cakap semua aku angguk aje. Jangan aku angguk benda yang bukan-bukan sudah.
Sampai saja di hadapan khemah, Muzzafar Adli mula menegur beberapa orang yang ada di situ. Mereka berjabat tangan dan berborak buat beberapa ketika. Aku hanya diam. Namun cuba memaniskan muka biarpun wajah mereka terlalu asing buat aku. Mungkin inilah masa yang sesuai untuk aku kenal dan buka pintu hati aku untuk mengenali dengan lebih rapat lagi sisi peribadi lelaki ini.
" Macam ni ke sahabat dunia akhirat, tunang bukan nak ajak member! "
Muzzafar Adli tersenyum kelat. Riak wajahnya nampak serba salah tatkala lelaki berkemeja hitam itu berseloroh mengusiknya.
" Bukan kau je yang dia tak ajak. Aku yang satu kampung dengan dia ni pun baru tahu dia bertunang. Itu pun dari mak aku. Nak harapkan dia bukak mulut, hmmm... jangan mimpilah. "
Tembakan serentak kedua sahabatnya buat Muzzafar Adli hilang modal untuk membalas. Pelipisnya digaru, kaki dibawa mendekati si teman yang sedang melebar senyum. Bahu teman sekampung merangkap sahabat baik dia dan abangnya itu ditepuk.
" Ala, korang ni pun. Itu pun nak merajuk ke. Kahwin nanti aku jemputlah korang. "
Aku larikan anak mata memandang sekeliling. Satu banner tertulis 'Happy Anniversary' menarik perhatianku.
Jadi majlis ini diadakan sempena sambutan ulangtahun perkahwinan? patutlah yang hadir kebanyakkannya golongan muda.
" Jom kita ke sana. "
Aku lantas membontoti langkahnya. Dia menemukan aku dengan seorang lelaki yang segak berbaju melayu berwarna merah. Disebelahnya ada seorang wanita bertudung yang juga mengenakan tone baju yang sama.
" Hah, sampai pun kau, Ngah! Aku ingatkan kau dah tak datang tadi. "
Muzzafar Adli senyum. Huluran tangan si abang di sambut mesra. Mereka berpelukan seketika.
" Aku datang. Cuma lambat sikit je. Sangkut jem tadi. " sempat lagi dia mengerling aku di sebelah.
" Oh, jadi inilah bakal adik ipar aku. "
Teguran lelaki berbaju melayu itu buat aku tersipu malu. Tak berlenggah aku terus menghulurkan salam pada wanita disebelahnya.
" Selalu dengar cerita je. Kali ni dapat tengok depan-depan memang cantik orangnya. Pandai Angah pilih pasangan. " pujinya setelah kami berbalas pelukan.
Aku senyum saja. Lambat-lambat aku menoleh ke arah Muzzafar Adli. Lelaki itu hanya tersenyum nipis.
Entah apa agaknya yang dia ceritakan pada orang tentang aku. Harapnya yang baik-baik sajalah. Kalau dia cerita yang bukan-bukan siaplah!
" Eh, jemputlah masuk. Boleh kita sambung borak-borak dekat dalam pulak. "
Kami hanya menurut. Di atas meja makan, semuanya sudah siap terhidang. Kak Nabihah isteri Abang Hakimi begitu menyantuni aku sebagai tetamunya. Dia nampak begitu teruja setiap kali bercerita tentang keluarganya. Perkahwinan yang sudah menjangkau usia 6 tahun bertambah bahagia sejak mereka dikurniakan sepasang cahayamata.
" Kalau Rara nak tahu macam tu lah dia orang berdua tu setiap kali berjumpa. Ketawa sana, ketawa sini. Entah apa yang di borakkan. Kita yang dengar ni pulak yang rasa sakit telinga. " celoteh Kak Nabihah sambil menggeleng kepalanya.
Aku menyimpul senyuman lebar.
Gelak ketawa kedua beradik itu sememangnya memeriahkan lagi suasana di meja makan tadi. Ada saja idea nakal Abang Hakimi untuk mengusik adiknya. Muzzafar Adli pula ku lihat lebih selesa menyambut usikan abangnya dengan gelak tawa.
" Ady tu selalu ke datang ke sini kak? "
Sesekali aku mencuri pandang ke arah wajah tampan lelaki yang sedang asyik berborak di ruang tamu bersama abangnya. Aku pula sudah 'di larikan' oleh Kak Nabihah ke ruang dapur rumahnya.
" Dulu selalulah jugak Ady tu datang ke sini tapi sekarang dah jarang dah. Mungkin sebab dia sibuk. Kalau ada apa-apa urusan penting pun dia orang lebih selesa berjumpa dekat luar. " jelas Kak Nabihah mesra seakan kami sudah lama berkenalan.
Jujurnya apa yang dipertontonkan pada aku malam ini buat hati aku semakin ikhlas untuk mengenali sisi sebenar lelaki itu.
Malah aku sudah nekad untuk bukak seluas-luasnya pintu hati ini untuk Muzzafar Adli, lelaki yang bakal menjadi suami aku suatu hari nanti.
Seketika kemudian, Kak Nabihah di datangi temannya yang ingin pulang. Dia lantas meminta diri untuk mengiringi temannya. Bosan keseorangan, aku mengorak langkah mendekati Muzzafar Adli.
" Kau rasa betul ke apa yang aku buat ni, Long? "
Perbualan santai tadi kini sudah bertukar menjadi serius. Muka Muzamil Hakimi dikerling sekilas, sebelum gelas air yang sudah kosong itu diletakkan kembali di atas meja.
" Kenapa baru sekarang kau nak tanya aku? dulu masa kau buat keputusan tak ada pulak kau nak mintak pendapat aku. "
Tersungging bibirnya saat mendengar ayat itu. Lain yang di tanya lain pula yang di balas. Tapi bukan dia tidak biasa dengan mulut 'jujur' abangnya.
" Kau sendiri pun tahu kan apa yang terjadi. Kalau aku tak... "
" Nak buat baik pun biarlah bertempat, Ngah! " cantas Muzamil Hakimi laju. Tegas dan keras nadanya.
Satu perangai yang dia tidak gemar tentang adiknya, terlalu mudah kasihankan orang. Berbeza dengan dia yang lebih tegas dan tetap pendirian. Tak mudah goyah dengan sebarang pujukan.
" Kau tak ada kat tempat aku, Long. Aku duduk di tengah-tengah. Kawan aku tengah susah. Takkan aku tak tolong. Lagipun ini satu-satunya jalan yang terbaik untuk semua orang. "
Muzzafar Adli raut wajahnya seketika. Satu keluhan berat terlepas dari bibir.
" Aku pun tak fahamlah dengan kau ni. Cepat sangat lembut hati. Baru kena pujuk sikit dah menurut. Si Taufik tu pun satu hal, macam dah tak ada orang lain je dia nak mintak tolong. " selar Muzamil Hakimi geram.
" ....ni cuba kau jawab jujur pada aku, Ngah. Kau bertunang dengan Rara ni sebab kau betul-betul sayangkan dia ke atau semata-mata kau nak penuhi permintaan kawan kau tu je? " sambung suara itu lagi.
Muzzafar Adli terpempan. Soalan itu buat lidahnya kelu berbicara. Akalnya buntu untuk menyusun kata. Segalanya membeku. Nak-nak lagi bila tunak mata Muzamil Hakimi sedang merenung tajam ke arahnya. Makin buat dia rasa tak keruan.
Melihat adiknya diam. Muzamil Hakimi kembali bersuara.
" Jadi betullah sangkaan aku selama ni. Kau bertunang dengan Rara bukan sebab cinta. Tapi sebab perjanjian yang entah apa-apa tu. Betul tak?? Aduh, kau ni Ngah! asal kau ikut sangat cakap kawan kau tu hah?? kau tak fikir ke apa akan jadi kalau Rara tahu pasal semua benda ni?? dah tentu dia akan kecewa, Ngah. Sepatutnya kau fikir jauh ke depan, bukannya buat keputusan tanpa berfikir panjang. " bebel Muzamil Hakimi berjela.
" Laaa, Rara kat sini rupanya. Akak cari kat dapur tadi... "
Bicara Nabihah itu telah membawa anak mata kedua beradik itu memandang. Saat terpandang susuk tubuh yang sedang berdiri di tepi dinding itu buat Muzzafar Adli terhenyak. Dia terkedu. Riak wajahnya berubah serta merta. Bibirnya bergerak-gerak hendak menutur kata. Tapi, dia tidak tahu dari mana hendak bermula. yang pasti riak mendung tu seakan membawa petanda buruk buat hubungan mereka.
Ah, parah.
bersambung ...
Share this novel