Hati berdebar-debar. Hujung jari terasa sejuk kedinginan. Andai dihitung hari, maka genaplah lima bulan sejak peristiwa itu berlaku. Hari ini buat pertama kalinya aku akan muncul di hadapan mereka setelah berbulan aku hidup sendirian. Memilih untuk hidup terasing biarpun dikelilingi aku masih ramai yang sudi mengambil berat.
Perlahan-lahan aku menuntun langkah mendekati dewan yang sudah dihiasi serba indah. Pegun aku melihatnya. Keindahan yang pasti memukau sesiapa saja yang melihat. Mata meninjau-ninjau ke arah manusia yang ada di dalamnya. Mencari-cari gerangan yang ingin aku temui. Saat ini hati benar-benar tak sabar untuk menatap wajah itu lantas memeluk jasad itu seerat mungkin. Aku mahu buktikan telahan aku selama ini silap. Langkah yang ku sangka benar rupanya bengkok dan pesong.
Semakin jauh aku melangkah, semakin kuat debaran di hati. Sesekali aku betulkan baju kurung moden yang sedang membalut tubuhku. Sedikit ketat dan sendat. Berbeza sungguh jika nak dibandingkan ketika pertama kali aku memakainya dahulu.
Tak semena bibir mengorak senyum. Nun dihujung dewan, aku nampak Kinah bersama pasangannya, Zidan. Jika tidak kerana jemputan majlis perkahwinan mereka belum tentu aku mahu berbaju kurung seperti ini.
Hari ini, teman baikku itu telah pun selamat menjadi isteri pada seorang lelaki yang begitu baik dan begitu menghargainya. Jelas terpancar kebahagiaan di riak wajah Kinah yang cantik bersolek. Mengenakan baju persalinan berwarna nude buat Kinah nampak sangat manis dan cantik. Aku bersyukur, akhirnya Kinah telah berjaya temui cinta sejati yang selama ini dia cari.
Di satu sudut lain, terlihat mak dan abah sedang leka beramah mesra dengan tetamu. Senyuman penuh bahagia meniti di bibir keduanya. Aku tahu detik inilah yang paling membahagiakan hati mak. Masakan tidak, sejak dulu lagi mak sentiasa ternanti-nantikan perkahwinan anak perempuan tunggalnya.
Kaki terus mendekat bersama bungkusan hadiah ditangan. Hadiah itu baru saja aku beli sewaktu dalam perjalanan ke sini tadi. Sebaik pandangan kami bertemu, Kinah segera membawa langkahnya mendekati aku. Perasaan teruja jelas tergambar pada wajahnya. Tanpa mahu menunggu, aku juga turut melangkah laju ke arah Kinah. Kami berpelukan buat beberapa ketika. Melepaskan rasa rindu yang teramat. Sungguh aku sangat rindukan Kinah.
" Kau datang jugak Rara... aku ingatkan... " Ayat Kinah termati bila esak tangisan lebih dulu mengambil tempat.
Aku mengangguk kecil. Menahan sebak yang sedang menjerut tangkai hati.
" Takkan aku tak datang. Kan aku dah janji, kalau kau kahwin aku mesti datang. " sahutku masih merangkul kemas tubuh Kinah.
" Ya. Nasib baik kau datang. Kalau tak aku dah upah Zidan untuk cari kau. Aku siap ugut dia, kalau kau tak datang, aku tak nak kahwin dengan dia. " seloroh Kinah setelah pelukan kami terlerai. Hujung jari langsung dibawa mengesan tubir mata yang berair.
Ketawa aku mendengarnya. Kinah dengan pemikiran budak-budak macam tak boleh nak dipisahkan. Ada saja akalnya.
" tapi kau kahwin jugak kan... " usikku kemudian.
Kinah tersengih miang. Zidan yang sudah berdiri disebelahnya dikerling manja.
" Dia yang paksa aku. " tuduh Kinah tak semena.
" Eh, apa pulak saya. Kan awak yang suruh saya meminang awak cepat-cepat. " sangkal Zidan.
Tergeleng aku melihat telatah keduanya. Nampaknya Kinah dan Zidan memang serasi bersama. kedua-duanya kuat mengusik.
" Kau dah banyak berubah, Rara. " ulas Kinah setelah keadaan kembali tenang. Matanya tekun memerhati susuk tubuh aku atas bawah. Membuatkan aku tak selesa, apatah lagi aksi itu dilakukan di hadapan Zidan.
" Mana ada aku berubah. Aku masih sama jelah macam dulu. " balasku bersama suara yang sengaja aku ceriakan. Mahu menutup segala rasa yang sedang aku rasai.
" Itu aku tahu. Maksud aku badan kau tu. Macam dah gemuk je. Ni mesti kau kuat order makanan dekat abang panda kan? " Gurauan nakal Kinah meledakkan tawa aku. Zidan di sebelahnya hanya menyengih tayang gigi.
" Kenapa? Aku nampak gemuk sangat ke? " tangan lantas naik memegang kedua belah pipi.
Kinah ni pun. Bab berat jangan dibuat main. Mahu murung aku kejap lagi. Hilang selera aku nak makan.
" Tak adalah gemuk mana. Cuma kau dah tak duduk dalam kategori kurus melidi. Up sikit. Kategori sedap mata memandang. " usik Kinah. Mood masih nak mengenakan aku je kerjanya.
" Kalau awak melayan Kinah ni memang tak makanlah awak Rara. Dah, jom kita pergi ke sana. Family yang lain mesti seronok tengok awak ada dekat sini. " Zidan menyusul idea. Tak sempat aku bersuara, Kinah terlebih dahulu menarik aku bersama langkah teruja.
" Rara... Ya Allah lamanya mak tak jumpa kamu... "
Seru Mak Leha dengan suara sebak. Terus aku ditarik masuk ke dalam pelukannya. Belakang badanku diusap. Melepaskan rindu setelah sekian lama kami tidak bertemu. Sama seperti mak, aku peluk tubuh tua itu seeratnya. Menzahirkan kerinduan yang bertepian.
Kini aku dikelilingi oleh orang yang benar-benar menyayangi aku. Seorang demi seorang datang menyapa, bertanyakan khabar dan keadaan aku. Malah yang lebih buat aku terharu saat aku disapa oleh Makcik Zurina dan keluarganya. Tika itu tidak mampu lagi untuk aku menahan air mata ini dari gugur. Menangis teresak aku di bahu wanita itu. Sungguh aku terlalu rindukan mereka.
" Kau makanlah dulu. Aku nak pergi layan tetamu kejap. Nanti aku datang ke sini semula. " arah Kinah lantas meninggalkan aku di meja makan itu berseorangan. Perut berbunyi kelaparan. Pinggan nasi yang sudah sedia terhidang di atas meja ku gapai.
" Hai.. "
Belum pun sempat nasi mencecah ke mulut, suara garau yang menegur itu buat kepalaku mendongak. Saat melihat Izzt Firhan yang segak berbaju melayu sedang berdiri di depan mata buat air mukaku berubah serta merta.
Beberapa saat berlalu, kami hanya memandang ke wajah masing-masing. Berbalas pandangan. Sedangkan lidah terus melekat antara satu sama lain.
" Er.. boleh saya duduk? "
Aku mengangguk dalam paksa. Rasanya dalam banyak-banyak manusia seraut wajah inilah yang paling aku belum bersedia untuk berjumpa. Berbulan aku cuba mengelak, namun akhirnya takdir menemukan juga kami di sini.
Aku kuis-kuis nasi yang ada di dalam pinggan. Hilang selera makanku bila hanya kami berdua di meja itu. Sesekali aku mencuri pandang ke arah Izzt Firhan yang sedang leka menyuap nasi ke mulut. Nampak berselera sangat lelaki itu. Lapar sangat agaknya.
" Boleh kenyang ke tengok muka saya? "
Spontan dia mengangkat muka. Memandang aku selamba sambil memainkan kedua belah keningnya.
" Eh, ma..mana ada saya tengok awak. Jangan nak perasanlah! " nafi aku mulai gugup.
Aku yang malu terus menekur kepala memandang nasi di dalam pinggan. Rasanya aku dah habis cover dah tadi. Haish, kenapalah boleh kantoi pulak.
Izzt Firhan tersenyum sinis. Matanya tak salah melihat. Bukannya dia tak perasan sepasang mata itu mencuri-curi merenungnya tadi. Lagi mahu berdalih.
" Habis tu kenapa tak makan? tak sedap ke nasi tu? " soal Izzt Firhan apabila melihat gadis itu masih lagi menguis-nguis nasi didalam pinggannya.
" Awak tak nampak ke, kan saya tengah makan ni. " perlahan aku membalas. Hampir saja tak keluar bunyi. Entah apa yang sedang merasuk aku gamaknya sehingga perut yang tadinya lapar tiba-tiba boleh berasa kenyang.
" Makan apanya. Saya tengok tak berluak pun nasi dalam pinggan awak tu atau awak sebenarnya tak selesa saya duduk dekat sini? "
Pandanganku kembali terarah padanya.
" Mana ada. Saya okay jelah. Saya tak kisah pun kalau awak nak duduk dekat sini ke tak. " Dalam cuak aku membalas berani. Terburu-buru menyuap nasi ke dalam mulut dan memaksa diri untuk menelan butiran nasi itu.
Izzt Firhan menyimpan senyum. Mahu terburai tawanya melihat mulut kecil itu yang sudah di sumbat penuh dengan nasi.
Kini keadaan meja kembali sepi, yang kedengaran hanyalah bunyi lagu yang dimainkan oleh dj yang bertugas.
Sesekali sengaja aku melagakan sudu dan garfu. Semata-mata mahu menghilangkan rasa canggung tatkala aku dan Izzt Firhan hanya bertindak mendiamkan diri.
" Tak baik mengelamun depan rezeki. Orang tua kata nanti kahwin dengan lelaki lebih berusia. "
Aku mengerut dahi.
" Orang tua mana pulak yang kata macam tu? setahu saya yang kahwin dengan lelaki tua tu kalau menyanyi dekat dapur. " Geram jugak dengan mata tajam lelaki ni. Entah macam mana dia boleh perasan aku mengelamun, padahal mata dia tu dari tadi tunduk mengadap nasi.
" Oh, maknanya selama ni awak menyanyi kat dapurlah. Sebab tu awak kahwin dengan lelaki tua kan? "
" Eh, apasal saya pulak. Tak ada kena mengena langsung! " cantasku.
" Yeke tak ada kena mengena? bukan beza umur kita 5 tahun ke? "
" so? "
Aku mencebik nipis. Tak faham provokasi apa yang sedang lelaki ini wujudkan.
" Jangan pura-pura tak faham la, Rara. Dah tentu awak faham apa maksud saya tadi. " Izzt Firhan lantas bangun. Terus berlalu, meninggalkan aku yang terkebil-kebil kepelikan.
Usai balik dari majlis Kinah tadi, aku terus pulang ke rumah. Selesai membersihkan diri, aku duduk berehat di ruang tamu. Beberapa keping gambar yang aku ambil sewaktu di majlis Kinah tadi, aku pilih dan muat naik di laman sosial Instagram aku.
Seketika kedengaran loceng pintu rumah sewaku berbunyi. Tidak menunggu lama, aku lantas membukanya.
Kaget.
Aku memandang susuk tubuh lelaki yang cukup aku kenali itu dengan dahi berkerut.
" Awak? apa awak buat dekat sini? "
Izzt Firhan senyum segaris. Anak matanya dibiarkan galak menjelajahi ke seluruh wajah aku. Lagaknya persis aku ini orang asing baginya. Padahal baru tadi kami bertemu empat mata.
" Hello... awak dengar ke tak ni? Kalau tak ada perkara penting yang awak nak cakap, baik awak balik je. Kang tak pasal-pasal jadi bahan umpat jiran tetangga dekat sini pulak. " marahku sambil berpeluk tubuh. Mencebik bila si dia masih diam membisu. Entah apa yang ada dalam fikirkan dia gamaknya. Takkan tersesat sampai ke sini pulak.
" Jom, kita keluar. Ada perkara penting yang saya nak bincangkan dengan awak. " Izzt Firhan akhirnya bersuara. Tunak matanya masih melekat pada seraut wajah yang telah lama hilang dari pandangan.
" Cakap kat sini kan boleh. Saya penat. Saya nak rehat. " tolak aku dengan alasan mudah. Lagi pun baru minggu ini aku ada kesempatan untuk berehat. Setelah berminggu bertungkus lumus menyiapkan tugasan projek untuk semester akhir.
" Rara, please ... "
" Eh, awak ni tak dengar ke apa saya cakap? saya penat! Saya malas nak keluar. Jangan paksa-paksa saya boleh tak! " Aku mula rasa tercabar. Membentak kerana tak suka dipaksa apatah lagi dipaksa tika badan sedang kepenatan begini.
" I’m your husband, Rara! Perintah seorang suami selagi mana tak melanggar hukum agama, wajib untuk awak mentaatinya. Takkan selamanya awak nak kutip dosa free! " balas Izzt Firhan cukup sinis dengan maksud tersirat.
Aku menelan liur. Sebaris ayat itu benar-benar menusuk tajam terus ke dasar hati. Sekaligus menyedarkan aku bahawa kenyataan itu takkan mampu buat aku menang walau hanya sekali.
" tapi saya penatlah, Izzt... "
" Kalau awak penat, tangan saya ni masih gagah lagi nak usung awak masuk dalam kereta. Awak nak ke? emm.. " tanya Izzt Firhan selamba.
Melihat raut wajah serius Izzt Firhan aku yakin lelaki itu tidak main-main dengan ucapannya. Nafas terhela lemah. Nampaknya kali ni aku dah tak punya pilihan lain. Tak boleh nak kata tidak.
" Tunggulah sini. Saya pergi bersiap kejap. " aku beralah dalam paksa. Menjeling tajam tanda protes.
" Tak payah nak bersiap bagai. Nanti lambat. Macam ni pun dah okay. " tegah Izzt Firhan membuatkan langkah aku terhenti. Tak berpuas hati aku kembali bersuara.
" Nak keluar dengan t-shirt sendat dan seluar ketat ni? " Gumam aku sinis. Dah tahu aku tengah bersantai duduk di rumah. Dah tentu pakaian aku pun tak semenggah. Kang kalau orang lain tengok, tahu pulak sakit hati.
" Okay, three minutes. " Gesa lelaki itu seraya mengangkat tegak tiga batang jarinya.
Aku merengus. Dalam hentakan kecil, langkah terus ku bawa menuju ke bilik.
Tiga minit konon. Apa dia ingat aku ni askar wataniah ke? Bagi arahan macam dia tu ketua batalion negara pulak. Rungut aku sambil mencapai sehelai blouse dan jeans separas buku lali lalu segera menyarungkannya ke tubuh. Solekan tipis juga sempat ku calitkan ke kulit muka. Setelah itu terus aku keluar mendapatkan semula Izzt Firhan.
" Five minutes. You are late! " beritahu lelaki itu dengan jari telunjuknya mengarah ke arah jam di pergelangan tangannya.
Aku buat tak dengar saja. Malas nak layan. Kerana geram, pintu dan gril rumah aku kunci lambat-lambat sebelum menuju ke arah kereta Audi RS7 milik lelaki itu.
" Masuk cepat! " teriaknya dari dalam kereta.
Segera aku melangkah masuk ke dalam kereta yang sudah terbuka luas pintunya. Tali pinggang ku lilit kasar sambil mengomel tak puas. Kalaulah dapat diukur kesabaran aku saat ini mungkin sudah senipis kulit bawang agaknya.
Muah.
Ciuman tanpa izin itu buat aku tergamam.
" Itu denda. Sebab awak lambat dua minit. " Beritahu lelaki itu selamba sebelum mengerakkan keretanya.
Hati mendongkol geram. Sakit betul hati dengan sikap lelaki itu yang sewenangnya mengambil kesempatan. Agaknya inilah yang dikatakan mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Suasana sepi menemani perjalanan kami. Aku hanya membisu. Memilih untuk tidak bersuara sambil melontar pandangan ke luar tingkap. Ada rasa yang sedang membuku di dada. Ingin diluahkan namun terhalang saat sisa hormatku pada lelaki itu masih ada. Apatah lagi memikirkan apa yang terjadi mungkin berpunca dari kekurangan aku sendiri.
" Awak nak bawa saya ke mana ni? " Tak betah berdiam diri, aku lantas menyoal. Memerhati arah tujuan keretanya yang aku sendiri tak pasti.
" Rumah kita. "
Terkejut dengan jawapan Izzt Firhan buat tunak mataku terarah tepat padanya.
" Eh, kenapa pulak sampai nak kena pergi ke rumah awak? tadi awak kata nak ajak saya berbincang je kan. " aku suarakan keresahan dalam hati. Jika aku tahu arah tujuannya tadi, lebih baik aku berkeras tak ikut.
" Iyelah, bincang dekat sana. Tak ada yang salah pun kan? "
" Memanglah tak salah, tapi bincang dekat luar kan boleh. Buat apa sampai nak bawak saya ke rumah awak. "
" Lebih selamat. Tak adalah awak boleh lari tanpa dapat dikesan lagi. "
Saat itu, kereta yang dipandu Izzt Firhan sudah pun memasuki perkarangan rumah banglo mewah dua setengah tingkat.
" Kita dah sampai. Jom masuk. " arahnya seraya mematikan enjin kereta. Sempat matanya mengerling ke arah aku yang masih kaku tanpa sebarang tanda untuk keluar dari kereta. Sebenarnya aku tengah fikir berbagai kemungkinan jika aku mengikutnya masuk ke dalam.
" Kalau saya tak nak? "
" Please, sampai bila awak nak terus mengelak macam ni? saya dah penat, Rara. We need privacy and this is the best place to talk. " Pujuk Izzt Firhan cuba berdiplomasi. Berdepan dengan karenah gadis ini benar-benar buat jiwanya terasa lelah dan penat.
" Tak! Saya tak nak. Kalau nak ajak berbincang dalam kereta ni pun boleh. Tapi bukan kat dalam rumah awak. " aku masih berkeras. Bukan aku tak tahu dalam rumah tu tak ada sesiapa. Bahaya.
Keluhan lelaki itu terzahir. Izzt Firhan melurut rambutnya ke belakang dengan dada yang sedikit berombak. Tanpa berkata apa, dia terus keluar dari perut kereta dan bergerak ke bahagian tempat duduk penumpang.
Aku mula panik. Pintu kereta dibuka dengan kasar. Tubuhnya menyorong masuk ke dalam dan dengan mudah dia meleraikan ikatan tali pinggang keledar sebelum tubuhku dicempungnya.
" Izzt! apa ni. Lepaskanlah saya! "
Rontaan aku langsung tidak berjaya menghalang tindakan nekad lelaki itu. Malah di biarkan saja aku melepaskan tumbukan bertubi-tubi di dada bidangnya. Langkah di atur kemas mendaki satu-persatu anak tangga menuju ke kamar tidur. Sebaik tiba di dalam bilik bersize besar itu, dengan tak semena-mena Izzt Firhan menghempaskan tubuh aku tepat di atas tilam.
bersambung ....
mood rara dah okay :)
Share this novel