BAB 68

Romance Completed 45920

Aku menuju ke hospital. Bergegas ke sana sebaik mendapat khabar berita tentang keberadaan Muzzafar Adli. Bertemankan Liana, kaki melangkah berat mendekati pintu utama bilik kecemasan.

Pintu bilik yang masih tertutup rapat itu ku pandang dengan jiwa yang semakin tertekan dengan pelbagai rasa yang mencengkam kuat sanubariku.

Ya Allah, kuatkan hati dan jiwa aku!

" Akak sabar banyak-banyak ya. Ana tahu akak kuat. " pujuk Liana setelah beberapa ketika berlalu.

Aku mengangguk pelahan. Jiwa dibadai resah. Liur sudah ku telan berkali-kali.  Rengkung yang kering, terasa perit dan pedih. Aku cuba kelihatan kuat biarpun aku sendiri tahu aku tidak mampu berdepan dengan semua ini.

" Allah uji tanda dia sayang. " Kali ini tangan Liana sudah memeluk kemas bahu aku.  Menyalurkan sedikit semangat yang sangat aku perlukan tika ini.

" Akak tak kuat Ana.. " akui aku kemudian.

Tak lama, pintu utama menuju ke ruang itu terbuka secara automatik.  Sebaik saja pintu itu terkuak lebar, wajah Makcik Zurina serta beberapa orang lagi muncul di situ.  Memicing pandangan mata tuanya sebelum datang mendekat. Saat melihat wajah aku, mata tuanya kembali basah.  Air jernih bercucuran jatuh membanjiri wajah itu yang semakin hilang kudrat.  Tanpa mampu berkata apa.  Hanya esakan yang menjadi bicara bagi pertemuan itu.

" Rara... " seru Makcik Zurina lemah. Tubuh aku terus dirangkul bersama esak tangisan.

" Ibu sabar ya.. Semuanya akan baik-baik saja.. " Dalam aku sendiri tidak kuat. Aku gagahkan juga diri untuk memujuk wanita itu. Aku mahu terlihat kuat dihadapan mereka semua.

Makcik Zurina angguk berkali-kali.  Pakcik Yusof ditepi turut cuba menenangkan isterinya. Along Muzzamil bersama isterinya sejak tadi hanya diam, namun jelas terbias resah di wajah keduanya.

" Kita duduk dulu ya, ibu. " ajak aku setelah pelukan erat tadi terlerai.

Makcik Zurina angguk pelahan.  Hujung bajunya langsung dibawa mengesat sisa airmatanya. Pelahan-lahan tubuh itu aku bawa mendekati barisan kerusi di hadapan pintu bilik kecemasan

Satu jam telah berakhir, namun pintu bilik kecemasan itu masih lagi terkatup rapat. Malah sehingga kini tiada seorang pun yang tahu tentang keadaan sebenar Muzzafar Adli.

Penat duduk, aku berdiri. Menanti dan terus menanti tanpa jemu. Liana masih setia di sisi. Menemani aku setelah Kak Nabihah membawa Makcik Zurina dan suaminya pergi ke cafe. Itu pun setelah puas kami memujuk wanita itu agar mengisi perutnya yang seharian kosong tak berisi. Manakala Along Muzzamil pula terpaksa bergegas balik sebaik menerima panggilan kecemasan dari hospital tempat lelaki itu bekerja.

" Cik ni waris pesakit ke? "

Tak sedar aku bila masanya doktor lelaki itu berdiri di sebelah aku. Tak tunggu lama aku terus mengangguk mengiakan.

" Ya, doktor. Saya tunang dia. Macam mana keadaan pesakit? "

Wajah kepenatan doktor lewat 40-an itu aku pandang tak berkelip. Hati jadi semakin resah saat doktor itu diam sejenak, menarik nafas panjang yang kedengaran begitu lelah sekali. Pandangan aku tiba-tiba bertukar kabur.  Kabur dengan airmata yang mula bertakung di tubir mata.  Tapi tak sempat air jernih itu jatuh ke tengah pipi, aku seka dengan hujung jari.  Rasa tidak kena pula andai aku menitiskan air mata saat ini. Padahal bukankah tadi aku sudah berjanji untuk kuat.

" Maafkan saya cik.. "

Doktor lelaki itu menggeleng. Kepalanya ditundukkan seketika sebelum memandang aku dengan rasa kecewa dan simpati. Hati ini jadi berdebar tiba-tiba. Tak semena kolam air mata yang sejak tadi cuba ku tahan akhirnya pecah jua membasahi pipi yang tak bersolek. Sebaris ayat yang terucap itu benar-benar menyakitkan, merobek hati sehingga ke dasar yang paling dalam.

" Saya dah cuba sedaya upaya dan semampu yang boleh tapi keadaan pesakit terlalu parah. Pesakit kehilangan banyak darah akibat kecederaan serius pada beberapa anggota badan. Walaupun tadi ada yang sudi mendermakan darah jenis O+ tapi itu masih tak cukup untuk bantu pesakit yang kehilangan banyak darah. "

Aku tergamam.

Menggeleng berkali-kali menidakkan berita yang baru saja di sampaikan bersama air mata yang kian laju mengalir. Sungguh. Bukan ini yang aku mahukan. Bukan juga yang aku harapkan. Tapi mengapa ini yang terjadi pada aku? Harapan aku untuk melihat orang yang aku sayang berdiri di depan mata hancur berkecai sekelip mata.

Pedih. Ya. Tersangat pedih. Hingga tak mampu untuk aku terjemahkan dengan apa kata sekalipun. Mengogoi aku menangis kepiluan. Tak mampu lagi untuk aku terus berpura-pura tenang sedangkan apa yang terjadi benar-benar telah menghancurkan secebis harapan yang aku bina sejak datang ke sini tadi.

' abang.... '

Rintihku tak tertahan.

Kini tubuh bersandar lemah pada permukaan dinding yang rata dengan tangisan yang semakin jelas kedengaran. Malah semakin lama semakin kuat tangisan itu menyapa ruang yang tadinya sunyi tanpa suara. Tangan mencengkam dada yang semakin sakit dan pedih, rasa itu tak ubah seperti tulang temulangku dilanyak hingga hancur berkecai.

Beratnya ujian ini Ya Allah.. Kenapa kau ambil dia daripada aku? Dalam tak sedar aku mula mempersoalkan takdir yang ku rasakan tak pernah berpihak pada aku.

Aku mengetap rapat kedua bibirku. Saat tubuh sudah tidak kuat untuk berdiri, aku lantas memaut lengan Liana seerat-eratnya. Sungguh, aku tak kuat. Aku tak
mampu nak hadap semua dugaan ini.

Ya Allah.. bantulah aku, Ya Allah.

Ku seru nama sang pencipta, yang berhak menghidup dan mematikan hamba yang dikehendakinya. Jika ini adalah dugaan yang boleh menjadikan aku hamba yang lebih beriman, maka kau redhakanlah hati ini.

Berlalu saja doktor itu pergi, kaki menapak berat ke ruangan bilik serba putih itu. Selangkah demi selangkah aku mendekati sisi katil yang telah menempatkan jasad Muzzafar Adli yang sudah terbujur kaku.

' Sayang tunggu abang balik tau. Abang dah tak sabar nak jumpa dengan sayang. Rasa rindu sangat-sangat kat sayang. '

Tangan segera berpaut pada tiang katil. Tak berdaya aku untuk terus berdiri saat ayat terakhir kiriman lelaki itu kembali menerjah kotak ingatan.

" abang.... "

Saat menyeru nama itu, bibir bergetaran menahan rasa sebak. Apatah lagi saat aku menyelak kain putih yang menutupi seluruh jasad kaku di hadapanku. Hati ini bagaikan ditoreh dengan belati tajam.

" Abang... Sayang datang ni... Sayang datang nak jumpa dengan abang..." aku bercurian menarik nafas yang kian sesak. " abang pesan suruh sayang tunggu abang... sayang tunggu abang... tapi... tapi bila sayang dah tunggu kenapa pergi tinggalkan sayang macam ni?? "

Aku merintih hiba. Menangis semahunya. Hujung kaki yang sejuk dan kaku itu aku pegang bersama tangisan yang kian rancak.

" Abang bangunlah... bangunlah... abang tak kesiankan sayang ke? bangunlah abang... "

Bagaikan anak kecil aku terus mengogoi sambil mengoncang kencang kaki milik jasad yang sudah tidak bernyawa itu. Tersedu sedan aku di situ menghamburkan tangisan. Kelakuan aku itu hanya dibiarkan oleh Liana setelah berkali-kali dia cuba menarik aku dari berkelakuan seperti itu.

" Abang janganlah diam macam ni... abang bangunlah. Majlis kita tinggal berapa hari je lagi. Jomlah kita balik kampung sama-sama. "

Tanpa sedar kali ini aku menarik pula jemari pucat itu agar segera mengikut kehendakku. Aku tak mahu dia terus-terusan berbaring seperti itu. Aku mahu dia kotakan setiap kata dan janjinya padaku. Bukankah dia seorang lelaki yang sentiasa berpegang pada janji?

Namun melihatkan wajah yang berjanji itu sedang terbujur kaku, air mata ini semakin deras mengalir.

" Ana! Ana kena tolong akak.. Ana tolong suruh Abang Ady ni bangun. Akak nak balik dengan dia.. tolonglah akak, Ana... "

Kali ini aku merayu meminta pertolongan dari Liana pula. Liana yang sedang menahan esak, nyata terkejut dengan permintaanku. Tercengang dia memandang aku, sebelum pelahan kepalanya digelengkan.

" Akak, tolonglah jangan macam ni.. Akak kena terima yang Abang Ady dah tinggalkan kita semua... " mendatar suara itu menyatakan kebenaran yang sama sekali tidak mampu aku terima.

" Tak! Ana tipu. Ana tipu akak kan? Abang Ady ada je ni. Dia tak pergi ke mana-mana pun.. Dia penat. Dia cuma tidur. Sekejap lagi tentu dia bangun. "

Aku membentak tiba-tiba. Tubuh Liana langsung ku tolak sedikit menjauh. Aku benar-benar berjauh hati dengan bait katanya sebentar tadi.

" Akak...dahlah tu akak... Abang Ady... "

Kali ini bicara Liana sudah tidak bersambung lagi. Jelingan mata aku yang tajam, serta merta membantut niat gadis itu untuk menyambung bicara.

" Akak tak nak dengar apa-apa lagi Ana! Kalau Ana tak ada benda elok nak cakap lebih baik Ana keluar dari sini sekarang! " ujarku tegas dengan suara mulai meninggi.

Liana terkedu. Tak semena wajahnya bertukar riak. Terkejut.

" Bawak mengucap kak... Ana tahu akak tak boleh terima semua ni. Tapi kak... "

" Sudah Ana! Abang Ady bukan jenis orang yang suka mungkir pada janji! Dia dah janji yang dia takkan tinggalkan akak. Dia janji untuk bahagiakan akak. Kenapa susah sangat Ana nak percaya cakap akak ni?! " bentakku dengan bibir yang bergetaran. Saat ini dadaku sudah berombak kencang. Turun naik bersama nafas yang semakin hilang rentak.

Tak menunggu lama, Liana langsung berlalu dari situ. Meninggalkan aku yang kembali menangis dan terus menangis.  Teresak-esak, melepaskan perasaan yang membuku dalam hati.  Yang tiada siapa mampu faham dan mengerti. Namun, tangisan itu terhenti bila telinga menangkap derapan tapak kaki.  Saat aku menoleh, wajah Izzt Firhan pula yang muncul di situ. 

Pandangan pelik terlontar padanya. Menjelajah ke seluruh tubuh yang masih tegak berdiri hanya beberapa langkah dariku. Dahi berkerut sedikit. Tampalan putih berukuran sederhana di pertengahan lengan lelaki itu mengundang tanda tanya di lubuk hati.

" Awak buat apa dekat sini? "  aku yang masih berdiri di sebelah jasad Muzzafar Adli langsung bersuara.

" Saya datang untuk tenangkan awak. "

" Tenangkan saya? "

Dahiku berkerut lebat. Namun sesaat pandangan itu bertukar pada pandangan jengkel.

" Awak kena kuat, Rara. Jangan terus meratap macam ni. Awak kena terima hakikat yang Ady dah tak ada. "

Kepala menggeleng laju. Ketawa sinis terhambur keluar saat mendengar kata nasihat yang langsung tak aku perlukan.

" Tak! Ady masih ada lagi! Awak dengan Ana sama je. Dua-dua penipu! Ady ni kawan awak, Izzt. Tentu awak lebih kenal dia macam mana. Dia dah janji takkan tinggalkan saya. Kenapa awak dengan Ana masih tak nak percaya?! " marah aku dengan wajah kemerahan.

" Mengucap Rara... Istighfar banyak-banyak. Saya tahu awak sedih. Tapi meratap macam ni takkan mampu merubah apa-apa. Ady dah pergi dan dia takkan kembali lagi. Itu hakikat yang awak kena terima! " Nasihat Izzt Firhan.

Dia tahu tidak mudah untuk dia menasihati gadis yang seakan sudah hilang arah. Malah herdikan gadis itu pada temannya tadi yang membawa dirinya untuk datang ke sini. Menasihati dan menyedarkan bahawa yang sedang kaku di atas katil takkan mungkin hidup kembali.

Mendengarkan itu aku lantas merenung Izzt Firhan dengan tajam. Perasaan benci tiba-tiba menggebu di lubuk hati. Ingin saja aku memekik menidakkan kata-katanya tadi namun mulut seakan tak berfungsi.  Malah ada bahagian hati yang meminta aku untuk menghamburkan tangisan di dada bidang itu.

Tapi... aku tak mampu. Kedua belah kakiku bagai sudah dipasak. Tak mampu untuk aku bergerak ke mana-mana. Apatah lagi dalam keadaan sekarang. 

" Rara... "

" Awak keluar sekarang! Saya tak perlukan awak di sini! "

Izzt Firhan tak berkata apa. Meskipun dihalau, tubuh itu tidak berganjak walau seinci. Merenung penuh belas wajah yang sembab dan lecun kesan tangisan yang panjang. Rambut hitam panjang itu nampak tak terurus. Bibir yang sebelum ini merah merekah bak delima kelihatan sudah pucat dan kekeringan.

Matanya kemudian beralih memandang jasad yang diselubungi kain putih di sebelah gadis itu. Matanya memerah tiba-tiba. Ada takungan air yang cuba dikawal. Dia menggeleng kecil. Untuk bergerak ke situ dia langsung tidak punya kekuatan. Sepertinya ada sesuatu yang sedang menahan langkahnya. Sesuatu yang dipanggil ketakutan.

Maafkan aku sahabat. Aku dah cuba. Tapi aku tak mampu untuk melawan takdir. Hatinya berdesis penuh sesal.

Bibir bawah digigit. Izzt Firhan raut wajahnya. Saat ini tiada apa yang mampu menghilangkan rasa galau di jiwanya. Malah semakin dipujuk semakin parah dia menanggung rasa itu.

" Bangunlah abang... tolonglah jangan buat sayang macam ni.. sayang takut. Bangunlahhhh..... "

Rengekan dan esakan kuat itu kembali menyedarkan Izzt Firhan. Saat melihat jasad kaku itu digoncang dengan kuat, kakinya lantas di bawa mendekat. Di tarik kedua tangan gadis itu, sebelum tubuh kecil itu di bawa sedikit menjauh.

" Lepaskan saya! Lepaskan tangan saya, Izzt! "

Aku memekik kuat. Memberontak bagaikan orang hilang akal. Dengan sekuat tenaga aku cuba menolak tubuh tegap itu agar tidak menghalang perbuatanku, namun aku tewas. Malah semakin kemas dan utuh lelaki itu melilit pergelangan tanganku.

" Awak tak boleh macam ni, Rara! Awak kena kuat! Kesian kat arwah. Jangan siksa arwah dengan cara macam ni.. "

Melihat keadaan gadis itu, buat Izzt Firhan rasa seperti mahu meraung. Dia tahu gadis itu sedang tersiksa, tersiksa sehingga akal warasnya sukar menerima jasad kaku itu takkan mungkin hidup kembali.

" Ady bukan arwah! Dia masih hidup lagi. "

Bersungguh-sungguh aku cuba menyakinkan Izzt Firhan. Menyangkal hakikat yang aku sendiri tak mampu nak terima.

" Rara, please... "

Bicara Izzt Firhan terhenti. Tidak mampu lagi untuk dia meneruskan kata tatkala esakan si gadis semakin kuat menyapa pendengarannya. Dalam tak sedar, biar berkali dia cuba menegah air mata itu daripada gugur, tapi dia juga manusia yang punya hati dan perasaan. Dia akhirnya tewas. Membiarkan air mata itu jatuh menyentuh rahangnya tanpa perlu disekat.

" Kenapa dia pergi tinggalkan saya, Izzt ??? dia dah janji nak bahagiakan saya. Kenapa dunia ni kejam sangat pada saya... " aku meratap semahunya. Melepaskan tangisan yang entah bila akan berakhir. Malah bagaikan orang hilang akal aku mula mempersoalkan takdir. Hati terdetik yang takdir memang tak pernah adil untuk aku.

Waktu ini lidah Izzt Firhan benar-benar kelu. Dia tidak punya jawapan untuk setiap persoalan yang ditanya. Namun tangannya tetap gagah memeluk tubuh yang sedang meronta dan meraung. Tidak dihiraukan tubuhnya dijadikan mangsa amukan si gadis. Malah berkali bibir itu berdesis kesakitan saat cakaran kuku gadis itu mengenai permukaan kulit badannya yang terdedah. Dia hanya membiarkan. Sikit pun dia tidak cuba untuk mengelak. Jauh sekali untuk melarang. Dia tak kisah jika badannya berbirat atau terluka sekalipun. Apa yang penting, dia perlu tenangkan gadis itu.

" Kenapa dia tinggalkan saya? "

Soalan itu kembali bergema. Terlontar lemah bersama tubuh yang semakin hilang kudrat akibat kepenatan. 

" Kenapa, Izzt? "

Semakin lemah suara aku menyoal. Pelahan dengan suara serak yang kian jelas kedengaran. Aku menangis dan terus menangis.  Aku tahu mati itu pasti. Semua yang hidup pasti akan merasai mati namun kenapa dia meninggalkan aku disaat bahagia itu sudah berada di depan mata.

" Kenapa?!!! "

Tangan naik menumbuk dada berkali-kali. Sekuat hati. Sekuat tenaga. Dengan harapan rasa sakit itu akan berlalu pergi.

Tindakan drastik itu membuatkan tubir mata Izzt Firhan kembali berair. Dia pejam rapat matanya. Menahan sebak yang kian kuat menghentam sanubarinya. Jika mampu disalurkan segala kekuatan yang dia ada, pasti dia akan berikan pada si gadis yang pernah menjadi miliknya satu tika dulu.

" Allah sayangkan awak, Rara. Dia uji sebab dia kasih dan sayangkan pada awak. Awak kena kuat. Awak kena redha dengan pemergiaan Ady. Biarpun sakit awak tetap kena terima. Semua yang hidup pasti akan mati. Cepat atau lambat giliran kita juga pasti akan tiba... "

" Saya tak kuat, Izzt... Dan saya takkan mungkin kuat untuk berdepan dengan kehilangan sekali lagi. " bisikku pelahan.  Waktu ini aku sudah tidak berdaya lagi. Mahu segera menutup mata dan menganggap semua yang terjadi adalah sebuah mimpi.

bersambung....

Harap rara kuat :(

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience