Kedatangan gadis itu disambut dengan senyuman. Beg bagasi yang di bawa bersamanya tadi lantas ku ambil lalu ku letakkan di hadapan bilik yang sudah siap ku kemas sejak awal lagi.
" Ini bilik Ana. Buat masa ni Ana boleh guna dulu bilik ni. Nanti kalau bilik yang depan tu dah bersih, Ana boleh pindah masuk ke bilik tu pulak. Bilik tu besar sikit. Lebih selesa untuk Ana nanti. "
Liana hanya menganggukkan saja kepalanya. Matanya masih lagi mengamati suasana rumah yang baru dijejakinya.
" Maaflah Ana. Rumah ni memang bersepah sikit. Akak pun belum sempat lagi nak kemas. Nanti cuti hujung minggu akak kemas okay? " ujarku bila menyedari mata Liana sejak tadi lebih tertumpu pada pemandangan di dalam rumah ini.
" Eh, tak apa kak. Akak jangan risau. Ana okay je. Yang bersepah-sepah ni nanti Ana tolong akak kemas. Sebagai tanda terima kasih Ana sebab akak bagi Ana tinggal dekat sini. " balas Liana pantas. Risau juga jika perbuatannya tadi disalahertikan. Padahal dia memandang kerana rasa teruja. Selepas ini dia sudah tidak perlu lagi berulang alik jauh ke tempat kerja. Kesudian kakak angkatnya membenarkan dia tinggal di sini ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
" Iye lah. Nanti kita kemas sama-sama. Akak harap Ana selesa tinggal dekat sini. Oh ya, lagi satu kalau Ana nak guna apa-apa barang dalam rumah ni, Ana guna je. Akak izinkan. " terangku yang sudah menganggap Liana seperti keluarga sendiri.
" Rara! "
Mata aku larikan ke arah suara itu.
" Err.. sorry ganggu korang. " Kinah menyengih. " Rara, kotak ni aku tinggalkan dulu dekat sini boleh? bonet kereta aku dah penuhlah. Nanti kalau kau nak balik kampung, kau tolong bawakkan sekali kotak ni eh. "
Kaki lantas ku bawa ke arah muka pintu, di mana Kinah sedang berada.
" Kau pun satu, semua benda nak sumbat masuk kereta. Asal batu-batu depan rumah tu kau tak sumbat sekali masuk kereta. " gumamku sambil tersenyum jengkel. Geram jugak aku dengan Kinah ni, tahulah nak tinggalkan aku, habis semua barang dia nak bawak balik. Lagak macam dah tak nak datang lagi aje. Sedih.
Kinah mencemik.
" Tunggu aku sewa lori dulu, bukan setakat batu aku kutip, dengan lampu-lampu jalan tu aku cabut bawak balik ke kampung. " balas Kinah sambil ketawa mengekek. Makin galak dia ketawa bila melihat muncung si teman sudah panjang sedepa.
" Daripada kau bawak semua tu, baik kau bawak aku ni... " aku tayang muka sedih. Pura-pura tagih simpati.
" Dah. kau tak payah nak buat muka sedih kau tu kat sini. Macam lah kampung aku tu jauh sangat. " sinis Kinah.
Ish, Kinah ni.
Potong mood betul lah.
" Semua barang-barang penting kau dah bawak ke? "
Kinah mengangguk. Kali ini dia yakin semua barang penting sudah ada di dalam kereta. Kalau ada yang tertinggal pun, bukan dia tak boleh datang ambik. Bila ada cuti dan masa terluang dia pasti akan datang menjenguk temannya di sini.
" Lepas ni kalau kau merajuk dengan orang kampung jangan lupa lari kat sini tau. Pintu rumah ni sentiasa terbuka untuk kau. " nada suara sudah berubah sayu.
Mahu tak sedih, kawan baik nak tinggalkan aku. Lepas ni dah tak ada lagi teman nak bertikam lidah. Meskipun sedih tapi aku bahagia dengan fasa baru yang bakal ditempuhi oleh Kinah nanti.
" Itu pasti. Aku memang dah tak ada port lain dah nak melarikan diri melainkan rumah ni. " ujar Kinah melayan saja otak aku yang tengah bersedih.
Maka bermulalah drama air mata kami. Seumpama selepas ini kami takkan bertemu lagi. Padahal kalau aku balik ke kampung, boleh je aku bertemu dengan Kinah lagi. Tapi perempuan biasalah kan, propa je lebih.
" Kau jaga diri elok-elok tau. Study jangan sampai lewat malam. Makan jangan lupa. Jangan asyik oder dengan abang panda je. Dia orang pun dah menyampah tengok muka kau. " pesan Kinah bertalu-talu.
" Yaaa... aku tahu.. Aku bukannya budak kecik lagi. " rungutku.
" Memanglah kau bukan budak kecik, tapi perangai kau tu kadang macam budak bawah umur. "
" Kinah! kau ni kan. Dah nak tinggalkan aku pun, masih lagi nak sakitkan hati aku. Bencilah macam ni." bebelku sambil tarik muka masam.
Kinah ketawa kecik.
Liana yang sedang berdiri di pintu bilik menutup mulut, menahan gelak dengan gelagat kami.
" Tengoklah tu. Suka sangat merajuk. Patutlah Ady tu pening nak melayan perangai kau. "
Cemberut terus muka aku.
Hilang mood nak bergurau kalau nama itu yang di sebut.
" Ni dah kenapa pulak ni... Tiba-tiba je buat muka. Kau bergaduh dengan Ady ke? " serius Kinah menyoal. Bukan dia tak perasan muka temannya berubah saat nama si tunang di seru.
" Mana ada kami gaduh. Kami okay je. "
Peristiwa di rumah Abang Hakimi kembali berlegar di fikiran. Malam tu lepas aku dengar semuanya, aku terus ajak Muzzafar Adli balik. Dalam kereta aku cuba mengelak dari bercakap dengannya. Aku malas nak dengar apa-apa lagi. Cukuplah kenyataan dia yang buat aku rasa kecewa dan tak dihargai.
" Bawak kereta tu hati-hati. Sampai kampung nanti jangan lupa mesej aku. Kirim salah dekat mak dan abah " pesan aku sambil melambai tangan.
.
.
.
Hari ini saja sudah beberapa kali aku cuba mengelak dari bersua muka dengan Muzzafar Adli. Seperti hari sebelumnya, bila tiba waktu rehat aku akan cepat-cepat melarikan diri untuk keluar makan. Kalau semalam aku ditemani Jaja dan Evelyn tapi hari ni aku bersama dengan Nazim pula. Kebetulan aku terserempak dengan lelaki itu di lobi tadi. Alang-alang keseorangan apa salahnya kami keluar makan bersama.
Disebabkan malas meredah jem, kami makan di kawasan berdekatan ofis saja. Sikap Nazim yang ramah dan mudah di dekati buat aku selesa berkawan dengannya. Dia juga tidak lokek berkongsi cerita tentang pengalamannya bekerja di syarikat lama.
" Kedai makan kat dekat depan tu pun sedap jugak. Harga pun boleh tahan. Lain kali aku bawak kau pergi ke situ pulak. " tuturku sambil menunjukkan ke arah kedai yang aku maksudkan. Sebagai orang lama, dah tentu aku tahu port makan yang best-best.
" Apa makanan killer kat situ? "
" Gulai kawah batang pisang. "
" Wow. Sebagai anak jati Kedah itu makanan favourite aku. Makan pulak dengan ikan masin, makin bertambah kencanglah aku makan nanti." jawab Nazim sambil tersengih-sengih. Mangkuk bihun sup yang sudah kosong lantas di tolak ke tepi.
Aku angguk setuju.
Jangan cakap orang Kedah je. Aku yang bukan asal dari Kedah ni pun suka makan.
Sedang aku asyik menyedut sirap limau, tiba-tiba Nazim bersuara.
" Eh, itu bos kan? dia pun nak makan kat sini jugak? "
Pandangan aku larikan ke arah yang sama dengan Nazim. Dari jarak 2 meter aku nampak kelibat lelaki itu bersama dengan teman baiknya Yusry.
Belum sempat aku menyorokkan muka, keduanya sudah nampak keberadaan kami di situ.
Aku ketap gigi.
Aduh, macam mana boleh terserempak dengan dia pulak ni. Padahal selama ni aku tak pernah nampak pun dia datang ke sini. Lagi pula, kedai makan cikai tepi jalan macam ni untuk orang kurang berduit makan aku je.
" Hai, korang berdua pun ada dekat sini? " sapa Yusry mesra.
Ketika itu kedua lelaki tadi sudah pun berdiri tegak di tepi meja kami. Aku paksa diri untuk senyum. Berpura-pura seperti tiada apa yang terjadi. Namun aku kalah bila mata itu tajam merenung aku.
" Rara cakap makanan kat kedai ni sedap. Itu nak cuba rasa tu. " Nazim menjawab ramah.
Biarpun soalan itu keluar dari mulut Yusry namun aku tetap rasa tak selesa dengan soalannya. Atau lebih tepat lagi aku tak suka berjumpa dengan mereka di sini.
" Boleh kami join sekali? "
Ah, sudah.
Terbantut suapan aku. Aku pandang muka Nazim. Menghantar isyarat 'jangan benarkan' namun entah kenapa aku rasa Nazim seperti enggan bekerjasama dengan aku. Buktinya dengan penuh ramah dia menjemput kedua manusia itu makan bersama kami.
Merundum terus mood aku.
Kalau aku punya kuasa sakti mahu saja aku menghilangkan diri dari ruangan ini. Namun semuanya tak mungkin akan terjadi. Sudahnya aku meneruskan suapan tanpa mempedulikan orang lain.
" Kenapa keluar tak bagitahu I? "
Suara lelaki itu buat aku tersedak tanpa sengaja. Saat mengangkat muka kelibat Yusry dan Nazim sudah tiada di situ. Kalut mata mencari keduanya namun aku hanya nampak Yusry yang sedang beratur untuk memilih makan.
Nazim?
Ke mana pulak lelaki itu pergi agaknya?
" Hmm... kenapa nak keluar tadi tak bagitahu I? kalau tak boleh kita keluar makan sama-sama. " suara itu kembali menerpa dengan soalan yang sama.
" Saya lupa nak bagitahu. " acuh tak acuh saja aku membalas. Mata masih enggan menatap wajahnya. Aku lebih selesa menunduk sambil mengira butiran nasi di dalam pinggan.
Ah, itu lebih baik rasanya.
" Malam nanti kita keluar nak? "
" Saya ada hal. "
Aku mula beralasan.
" Hal apa?
" Ada assigment yang nak kena siapkan. " Dengan yakin aku membalas. Padahal semua itu hanya alasan semata.
" Kalau macam tu esok pagi kita breakfast sama-sama. I datang jemput you dekat rumah. "
Cepat-cepat aku menggeleng. Sikit pun tak terkesan dengan pandangan penuh mengharapnya.
" Raraaaa .... " namaku diseru.
Dapat aku rasakan dia sedang berjauh hati dengan layanan dinginku.
Ah, pedulikan.
Selagi rasa sakit ini masih berbekas tak mungkin aku mampu layan dia seperti dulu.
" Sayang, kenapa ni? you masih marahkan I ke? " soalnya dengan suara yang cukup lembut.
Aku angkat muka. Seraut wajah itu ku jamah sesaat. Tatkala melihat air mukanya yang bersahaja buat hati aku bertambah sakit dan menderita.
Lantas aku biarkan saja soalan tadi tanpa jawapan. Sebetulnya dia tidak perlu pun bertanya soalan itu pada aku. Dia bukannya tuli, tidak juga hilang ingatan. Jadi sudah tentu dia tahu mengapa aku jadi begini. Atau dia nak aku jerit kuat-kuat dekat telinga dia bahawasanya aku terlalu terluka dengan kejadian tempoh hari.
Baru aku beura-ura nak bangun, Yusry pula sampai dengan makanannya. Riak tegang di wajah cuba aku sembunyikan. Aku tak pasti sama ada dia tahu masalah aku dengan Muzzafar Adli atau pun tidak, yang jelas aku semakin tak selesa berhadapan dengan kedua manusia ini.
Si Nazim ni pun satu. Mana dia pergi agaknya?
Tiba-tiba saja menghilang. Dah di larikan sang bunian agaknya.
" Sorry bos, saya dah cari dah. Tapi tak jumpa pun barang yang bos nak tu. "
Aku kerutkan muka memandang Nazim. Namun rasa lega itu tetap ada bila dia muncul juga akhirnya.
tapi barang apa yang dia cari?
" Its okay Nazim. Nanti I cari dekat ofis pulak. "
Nazim lantas duduk. Minuman yang masih berbaki di sedut sebelum pandangannya beralih pula pada aku.
" Jom, kita balik ofis. " ajak aku pada Nazim. Muka keras aku tayangkan padanya. Aku harap dia mengerti pandangan yang sedang aku isyaratkan pada dia sekarang.
" Aik, cepatnya. Tak nak habiskan makanan tu dulu ke? " soalnya sambil melarikan anak mata pada pinggan aku yang masih banyak berbaki.
Aku mula rasa nak ketuk kepala Nazim. Geram bila lelaki itu sukar memahami isyarat yang aku berikan. Padahal takkan dia tak nampak muka aku yang kelabu asap ni.
" Tak naklah. Tiba-tiba rasa kenyang pulak. " balasku lantas bangun berdiri. " Cepatlah. " gesa aku.
" Er.. mintak maaf ya bos, Encik Yusry. Saya minta diri dulu.. " pinta Nazim serba salah. Berkerut mukanya cuba memahami tingkah si gadis yang tiba-tiba berubah laku.
Muzzafar Adli masih lagi memakukan pandangannya sehingga tubuh kecik itu benar-benar hilang dari ruangan matanya. Sebaik berpusing, matanya bertembung dengan anak mata milik Yusry yang sedang galak memandangnya Dia tersenyum hambar. Berpura-pura tenang sedangkan hatinya parah melihat tingkah dingin si tunang.
" Sabarlah bro. Dia tengah merajuk lagi tu. Kau bagi dia sikit masa lagi. Lama-lama nanti dia okaylah tu. " Pujuk Yusry kemudian. Hanya itu yang mampu dia lakukan. Nak bagi nasihat lebih-lebih pun tak boleh. Bukannya dia tahu masalah sebenar pasangan itu. Sekadar yang dia tahu, Tiara merajuk dengan temannya. Merajuk sebab apa tidak pula dia bertanya.
" Harap-harap macam tu lah. " Senyuman cuba diukir biarpun jelas nampak terpaksa.
Sebaik sampai di ofis aku terus menuju ke bilik solat. Masa yang berbaki lagi 10 minit aku gunakan untuk sempurnakan kewajipan aku kepada sang pencipta. Doa ku titipkan. Moga aku berada dalam kalangan manusia yang redha atas ujiannya. Tidak merungut atas nikmat dan ujian yang diberikan.
Soalan Nazim pada aku ketika kami dalam perjalanan pulang tadi, terngiang di telinga.
" Kau dengan bos tu bergaduh ke Rara? aku nampak bukan main tajam mata dia renung kau tadi. "
Terkelu lidah aku nak menjawab. Aku ingatkan Nazim tak perasan dengan situasi pelik tadi. Rupanya cakna juga dia dengan masalah sekeliling.
" Mana ada gaduh. Dia tu memang macam tu. Kalau pandang orang macam nak terkeluar biji mata. " geram punya pasal selamba aku membalas begitu. Langsung tak ada rasa bersalah. Sesaat ketawa Nazim kedengaran.
" Boleh tahan garang kau ni. Kalau macam ni lah, takut orang nak ngorat kau Rara.. "
Aku picingkan anak mata. Merenung geram ke arah Nazim.
" Tak nak ngorat pun tak apa. Lagi aku suka. Tak payah aku pening kepala fikir pasal lelaki. "
Malas nak berlaga urat lagi, terus aku meninggalkan Nazim sedikit ke belakang.
to be continue..
Share this novel