Tubuh yang terhempas membuatkan aku menyeringai kesakitan. Sambil berdesis, mata terus menikam tajam ke arah Izzt Firhan yang masih berdiri tegak dihadapanku. Namun belum pun sempat aku membuka mulut, suaranya terlebih dahulu menyapa peluput telingaku.
" Lima bulan saya biarkan awak tentukan arah kemahuan awak, Rara. Awak tinggalkan saya sehari selepas kita bernikah, saya terima. Sebab waktu tu saya tahu awak perlukan masa untuk tenangkan diri awak. Dan pastinya awak belum bersedia untuk jadi isteri saya. Tapi sekarang saya rasa dah tiba masanya untuk kita sama-sama berfikir secara matang untuk perbetulkan kembali hubungan ni. "
Izzt Firhan menghela nafas panjang. Dia berjeda seketika sebaik melepaskan apa yang terbuku di hatinya. Jika selama ini dia hanya membiarkan, tidak untuk kali ini. Selagi ada kesempatan, dia mahu mempertahankan apa yang telah menjadi miliknya.
" Tapi saya... "
" Belum bersedia? jadi apa je yang awak buat sepanjang tempoh 5 bulan ni? "
Tembakan tepat soalan dari Izzt Firhan buat aku terngadah. Jika di tanya apa yang aku buat dalam tempoh itu jawapannya hanya dua.
Melupakan dan menerima.
Melupakan yang telah pergi. Menerima yang baru hadir. Susah tapi aku cuba. Dan hasilnya aku berjaya melupakan segala kesedihan yang aku tangiskan sebelum ini. Namun malangnya sehingga kini hati ini masih ragu-ragu untuk menerima Izzt Firhan hanya kerana satu kesilapan masa lalunya.
" Tak perlu tanya apa yang saya buat. Terus terang kan senang. Awak sebenarnya nak cakap, awak menyesal sebab ada isteri macam saya kan? "
Izzt Firhan yang kelihatan tenang tidak terus menjawab pertanyaan itu. Sebaliknya di bawa tubuhnya menghadap tingkap yang terbuka luas. Memandang kehijauan taman rekaan mini yang terdapat di tepi sudut rumahnya. Sekaligus memberikan ketenangan pada jiwanya yang semakin ampuh dengan rasa itu.
" Saya tak pernah rasa menyesal, Rara. Tak pernah langsung! Malah saya bersyukur sebab saya diberikan peluang untuk menjadi suami awak. " tanpa menoleh dia bersuara lirih setelah beberapa ketika menyepi.
Belakang tubuhnya aku pandang dari sisi tepi. Bagaikan pita rakaman, satu persatu ingatan aku singgah pada peristiwa lalu. Terhenti, saat aku dipujuk agar menerima lelaki di hadapanku ini sebagai suami, bagi mengantikan tempat yang sepatutnya menjadi milik arwah Muzzafar Adli.
Kami disatukan pada tarikh dan masa yang sama. Namun sehari selepas majlis itu berlangsung, aku dengan nekad meninggalkan lelaki itu sendirian. Sebab utamanya adalah rasa kurang yakin aku terhadap cintanya.
" Hakikatnya awak terima saya pun sebab... "
" Itu hanya andaian awak! Saya tak pernah pun mengiakan. Kalau pun bukan sebab amanat arwah yang suruh saya jaga awak, saya tetap akan memperisterikan awak. Tapi malangnya awak terlalu prejudis terhadap keikhlasan saya. Kalaulah awak letakkan sedikit rasa percaya awak tu dalam hubungan ni, saya percaya kita boleh hidup bahagia macam pasangan lain. " tukas Izzt Firhan laju mencaras bicara isterinya.
Dia yang sudah berdiri betul-betul di hadapan isterinya, merenung wajah itu dalam-dalam. Memohon agar ada sekelumit rasa percaya biarpun dia tahu semua itu tidaklah mudah.
" Awak ada mata untuk melihat. Hati awak tak buta untuk menilai. Jangan kerana satu kesilapan yang pernah saya lakukan, awak cuba menafikan hak saya di hati awak. "
Perkahwinan yang dibina bukan atas dasar simpati atau kasihan. Tidak juga kerana amanah yang ditinggalkan. Hatinya tulus ingin memiliki kasih sayang dan cinta yang pernah dia sia-siakan. Namun semuanya bagaikan terlalu sukar untuk digapai. Surat yang ditinggalkan Muzzafar Adli kepada abangnya seringkali menjadi punca. Ada saja perkara yang mahu isterinya pertikaikan hingga langsung tak mahu memandang ketulusan cintanya. Padahal bukan Rara tak tahu sebelum wujudnya cinta Muzzafar Adli, cintanya terlebih dahulu yang bertapak di hati gadis itu.
" Awak takkan faham perasaan saya.. "
" Awak tak cerita macam mana saya nak faham. Cuba awak cerita. Apa yang awak takutkan sangat? padahal awak tahu kan saya takkan apa-apakan awak. Saya takkan sentuh awak selagi mana awak tak mengizinkan. Tapi tengoklah. Awak lebih rela kita duduk berasing dan biarkan orang luar terus mentafsir hubungan kita. " ungkap Izzt Firhan bernada kesal. Kesal kerana membiarkan hubungan ini berjalan terlalu lama atas acuan kehendak masing-masing.
Aku yang kematian kata terus kekal membisu. Menunduk seperti pesalah. Memang benar semua telahannya. Disebabkan rasa fobia dan takut pada kenangan lalu menyebabkan aku menghalangi rasa cintanya yang masih wujud itu dari terus bercambah. Berusaha mencipta jurang sedangkan aku tahu cinta yang sedikit itu pasti akhirnya akan bercambah. Takkan selamanya aku mampu mengelak dan menepis.
" Rara, tolong bagi saya peluang. Sekali je lagi. Saya janji saya akan bahagiakan awak. "
Suara itu kembali kedengaran. Menagih sebuah harapan yang aku sendiri sukar nak berikan. Saat pandangan kami bertemu segera aku memalingkan wajah ke arah lain. Tak sanggup pula rasanya untuk terus menatap mata bening milik Izzt Firhan yang terbias penuh harapan didalamnya.
" Pengalaman lalu telah mengajar saya untuk lebih berhati-hati. " Aku berkata jujur. Walaupun pahit didengar tapi itulah kenyataannya.
Izzt Firhan hela nafas kesal. Riak kecewa jelas terpeta di wajahnya. Buat kesekian kalinya cintanya di tolak biarpun kali ini dalam status yang berbeza. Tapi rasanya tetap sama. Sakit dan pedih.
" Bukan itu yang saya nak dengar, Rara. Hubungan kita ni takkan ke mana kalau awak sendiri tak nak bagi saya peluang."
Sehabis daya Izzt Firhan cuba berlembut. Mengawal emosi agar lidahnya tidak terbabas dari mengeluarkan kata-kata yang tidak enak. Fikirnya jika Rara menjadi api, biarlah dia pula menjadi air. Tak rugi jika dia beralah demi kebahagiaannya sendiri.
Wajah si isteri kembali di tatap. Sambil memeluk tubuh matanya dibiarkan terus merayap ke setiap inci wajah isterinya sambil memutarkan cebisan memori bahagia mereka satu tika dulu.
" Habis tu, awak nak saya cakap apa lagi? " soalku mendatar. Menelan liur yang tersekat di kerongkong saat melihat renungan Izzt Firhan yang bagaikan mengandungi seribu makna.
" Kalau saya kata saya nak… "
Izzt Firhan sengaja membiarkan ayatnya tergantung. Tak semena tubuh aku dihampiri. Lirikan mata dan senyuman menggodanya buat aku terpaksa menolak pelahan tubuh ke belakang bagi menjarakkan kedudukan antara kami.
" Izzt! awak ni dah kenapa? awak jangan nak macam-macam pulak eh. Kan awak dah janji... " Terketar-ketar aku memberikan amaran sehingga ayat itu termati dipertengahan jalan.
" Ya. Memang saya dah janji takkan apa-apakan awak. Tapi bukan sebab janji saya berhenti menuntut hak. Sebaliknya cinta saya pada awak bukan berlandaskan nafsu semata-mata. Saya ikhlas sayangkan awak, Rara. Sekalipun awak berbogel depan saya, saya masih mampu untuk kawal diri saya. " bisik Izzt Firhan tepat dipeluput telingaku. Bibirnya terhias senyum nakal seolah sedang mengetawakan tingkah aku yang berlebihan.
Aku mengemam bibir. Menahan rasa bahang yang sedang menerpa pada kulit muka. Saat ini terbit rasa malu kerana membiarkan otak berfikir yang bukan-bukan sebentar tadi.
" Saya nak balik! Tolong hantarkan saya balik. Sekarang! " bentakku lantas bergegas turun dari katil. Aku tak mahu lagi berlama-lama di sini. Daripada kami saling mempertikai dan saling salah menyalahi antara satu sama lain ada baiknya aku balik saja.
" Awak nak balik? hmm, boleh. Nanti saya hantarkan. Tapi bukan hari ni. Sebab malam ni saya nak awak bermalam dekat sini! "
Izzt Firhan yang sudah berdiri di hadapanku berujar selamba. Bibirnya mengukir senyuman manis seolah tiada yang salah pada permintaannya tadi.
" Eh, apa pulak ni, Izzt.. mana boleh! tadi awak cakap nak ajak saya berbincang je. Sekarang dah lain pula jadinya. " Bentakku dengan wajah kelat mencuka. Nampak sangat laki ni dah plan awal nak kenakan aku.
" Cukuplah lima bulan saya biarkan awak hidup macam orang tak ada suami. Untuk malam ni belajarlah jadi seorang isteri yang boleh menyenangkan hati seorang suami. " ucap lelaki itu mengelus perlahan pipiku sebelum berlalu dari situ.
.
.
.
Helaian putih yang dihulurkan aku sambut dengan hati yang berat. Biarpun aku tahu pemilik surat itu namun sehingga kini aku masih belum berkesempatan membaca isi dalamnya. Sebaik surat itu bertukar tangan, Izzt Firhan keluar dari bilik bagi memberi ruang kepada aku untuk membacanya sendirian.
' Saat surat ini sampai ke tangan yang berhak, aku belum tahu masih wujudkah lagi aku di muka bumi ni. Tapi andai aku telah tiada, sampaikan salam aku pada orang yang ikhlas menyayangi aku selama ni.
Tak ada apa yang mampu aku berikan, melainkan ucapan terima kasih kerana pernah hadir dalam hidup aku. Aku tahu payah untuk kau terima, orang yang selama ini kau sayang telah pun menjadi milik aku. Maafkan aku, sahabat. Bukan niat aku untuk mengkhianati persahabatan kita. Ketahuilah andai masa itu mampu di undur, aku dengan rela melepaskan dia kembali pada kau. Bukan kerana aku tak sayang, tapi kerana aku tahu sewaktu kami bersama sebahagian hatinya masih lagi kepunyaan kau.
Izzt, andai sesuatu berlaku pada aku, tolong jagakan dia sebaiknya. Jangan pernah kecewakan dia apatah lagi meninggalkan dia sendirian. Cintai dia sebagaimana yang pernah kau berikan pada dia satu tika dahulu. Sebab cinta itu tak pernah ada noktah. Harus memberi dan terus memberi tanpa kenal erti lelah.
Ikhlas,
Sahabatmu dunia akhirat.
Mata ku pejam rapat-rapat. Mengusir rasa sedih itu jauh-jauh. Menyedari hakikat kehidupan yang takkan sama dengan apa yang kita impikan. Kehendak hati takkan pernah seiring haluannya dengan takdir. Jika aku mengimpikan Muzzafar Adli menjadi suamiku, namun bila tiba masanya takdir menjadikan sebaliknya pula.
" Sekarang awak faham kan kenapa saya beriya sangat nak memperisterikan awak? Biar seribu kali awak cuba menafikan, awak tetap tak mampu menipu diri awak sendiri, Rara. "
Suara Izzt Firhan yang datang dari arah belakang benar-benar menyentak lamunanku. Entah bila gamaknya lelaki itu kembali masuk ke bilik itu, aku sendiri tak pasti.
" Awak ni suka sangat buat saya terkejut. Kalau hari-hari macam ni boleh jadi arwah saya tahu tak. " ujarku berpura-pura marah. Tubir mata yang sedikit berair tadi cepat-cepat aku kesat dengan hujung jari.
" Kenapa suka sangat sebut pasal mati? awak tahu kan saya tak suka nak dengar. " marahnya tak semena. Aku kaget. Tak tahu kenapa dia harus marah begitu.
" Mati itu pasti. Yang hidup sudah tentu akan mati. Semua orang akan berdepan dengan kematian termasuklah saya yang tengah bercakap ni. Jadi kenapa perlu rasa takut? " balas aku tanpa menghiraukan tegahan dan larangannya.
" Sekali lagi awak sebut perkataan tu, tahulah saya nak diamkan mulut awak tu. " ugutnya tegas.
Aku menjuih. Semakin dia melarang, semakin aku rasa nak menjawab. Sebab aku tak nampak di mana salahnya aku bercakap soal ini.
" Dulu awak jugak cakap, kematian itu bukan pengakhiran bagi yang hidup. Jadi bila kita ingat mati sekurang-kurangnya kita akan buat persediaan ke arah tu. Cuba bayangkan kalau saya mati ... "
Bicaraku tergantung. Membulat anak mataku dengan tindakan Izzt Firhan yang selamba meragut bibirku.
" Don’t say I didn’t warn you. " Izzt Firhan bersuara sebaik dia melepaskan pautan bibir kami. Tangannya naik mengelus lembut pipi aku seketika.
Aku hilang kata. Entah kenapa aku bagaikan tidak mampu untuk menolak tindakan berani lelaki itu tadi. Padahal kalau ikutkan kudrat yang ada, aku boleh saja melarangnya. Namun sentuhan sensual itu bagai mengundang getaran yang cukup indah dijiwa. Yang pernah aku rasakan satu tika dulu, sewaktu kami pernah bersama.
" Saya belum bersedia untuk kehilangan kali kedua, Rara. Cukuplah saya dah hilang seorang sahabat. Untuk menempuhnya sekali lagi, saya benar-benar tak kuat. Saya faham hakikat kematian tu memang tak boleh nak diubah. Saya juga tahu kita tak mampu nak ubah takdir tapi untuk sedikit masa yang ada ni, saya nak bahagiakan awak. Saya nak jadi suami yang terbaik untuk awak. Saya nak tebus semua dosa-dosa silam saya pada awak. Dan sepanjang perjalanan tu, saya harap awak sudi menjadi pendamping setia saya supaya kita sama-sama dapat mencari jannah allah. " ucap Izzt Firhan penuh berharap. Bening matanya bercahaya memandang ke arah sang isteri. Dia bukan buat janji kosong. Jika diberikan peluang akan dia buktikan apa yang diperkatakan tadi adalah benar dan tulus.
Aku terus melawan renungan mata Izzt Firhan. Bebola mataku menari-nari di atas wajahnya yang tenang sambil mencari titik kebenaran di sebalik kata-kata yang baru saja diungkapkannya tadi. Semakin aku mencari kebenaran itu semakin hati ini dipagut rasa bersalah. Luahan Izzt Firhan benar-benar berjaya menyentuh dasar hatiku yang paling dalam. Kini separuh hati sudah meronta mahu menurut. Mahu menyatakan kesudian untuk berada di sisi lelaki itu buat selamanya. Tapi bagai ada sesuatu yang menghalang hingga aku gagal untuk suarakan isi hatiku. Apatah lagi saat ini mata itu sedang galak merenung ke arah aku.
Telefon yang berbunyi nyaring menjadi penyelamat situasi. Aku menghela nafas panjang. Telefon ku angkat sebelum berganjak sedikit menjauhi tubuh Izzt Firhan.
" Malam ni tak kot. Mungkin esok. Okay, bye. " Aku kerling Izzt Firhan yang masih tak berganjak dari tempat duduknya. Aku tahu masih banyak hal yang mahu lelaki itu perkatakan tapi aku tak boleh membiarkan Izzt Firhan terus mencurahkan isi hatinya. Bimbang hati ini tidak kuat untuk menepis. Sudahlah perisai hati yang aku bina sudah semakin rapuh dek pujuk rayunya.
" Siapa telefon? "
" Hah? errr ... Li.. Liana. "
Entah apa yang aku kalutkan. Sampai sukar nak menyebut dengan baik. Sudahnya aku bangun berdiri. Menarik nafas dalam sebelum mendekati wardrobe baju di tepi sudut bilik.
" Tadi awak kata ada sediakan baju untuk saya. Mana? " soalku cuba mengubah topik sambil membelek baju dalam wardrobe tersebut. Bila melihat semuanya baju lelaki, aku berpaling semula ke arahnya.
Izzt Firhan melangkah mendekati. Bibirnya menyimpul senyum dengan telatah kalut sang isteri. Tanpa sebarang kata, pinggang ramping itu lantas dipeluknya.
" Awak tahu tak, awak kalut macam ni buat saya lagi rasa geram...auummmm... ”
Bisikan perlahan itu buat tubuhku kaku tak terkutik walau seinci. Malah kedudukan tubuh Izzt Firhan yang begitu rapat sehingga desah nafasnya jelas menyapa cuping telingaku buat aku rasa mahu terbang ke alam ghaib. Seram.
" Err.. kalau tak ada tak apalah. Mungkin saya boleh pinjam je baju awak nanti. " usulku semakin hilang fokus. Seram sejuk tubuhku apabila tangan kasar Izzt Firhan tiba-tiba bermain di sekitar perutku.
" Boleh. Boleh sangat. Baju saya kan baju awak jugak. " lirih dia membalas sebelum melepaskan satu kucupan di tepi pipi kananku.
" Awak boleh lepaskan saya tak? saya rasa tak selesa la. " gumamku kurang senang sambil cuba meleraikan rangkulan kemas Izzt Firhan. Namun seperti yang sudah ku duga, lelaki itu sengaja mengeratkan lagi pelukannya tanpa sedikitpun mahu melepaskan.
" Izzt! "
" Saya harap satu hari nanti, awak sudi mengandungkan zuriat saya dekat dalam ni. " ungkap Izzt Firhan seraya perlahan-lahan melepaskan rangkulan tangannya yang memeluk erat pinggangku.
" By the way, next week Najmi dengan Dell bertunang. Dia jemput kita untuk datang ke majlis tu nanti. "
" Najmi kawan awak tu? dengan Dalina? " soalku melahirkan rasa tak percaya. Susah aku nak percaya sebab dulu Dell tu kan cinta mati dekat si Izzt ni. Siap bagi warning bagai dekat aku. Tup-tup dia dengan Najmi pulak.
" Iyelah. Najmi mana lagi. Najmi kawan saya tu lah. Dia orang berdua tu dah macam belangkas kalau awak nak tahu. Pergi ke mana-mana pun berdua. Macam kita dulu-dulu. Awak dulu kalau sehari tak tengok muka saya yang hensem ni macam tak boleh hidup kan? hah, macam tu lah dia orang sekarang. " tersengih-sengih Izzt Firhan melontarkan bicaranya. Entah apa yang lucunya pun aku tak tahu.
" Perasan! macamlah saya tak ada kerja lain. Tak adanya saya nak mengadap muka awak tu hari-hari. " aku mencebik sebal.
" Sekarang memanglah, yang saya cerita ni waktu kita tengah hangat bercinta dulu tu. " balas Izzt Firhan enggan mengalah.
" Hangat bercinta konon. Hangat taik ayam adalah! " sinisku.
" Hamboiiiii.. tak sayang mulut betul isteri saya ni kan..." kecik anak matanya memandang gelagat isterinya yang beriak selamba.
" Biasalah. Hidup ni kan perlu berubah. " balasku berani sambil membawa langkah ke birai katil. Membiarkan pandangan tak puas hati Izzt Firhan terus mengekori langkahku.
" Satu je yang tak berubah. Awak nak tahu apa? "
" Apa? "
" Cinta dan sayang saya terhadap awak. Dua benda tu takkan berubah sampai bila-bila. "
Ah, sudah.
Tersedak air liur sendiri la nampak gayanya.
bersambung...
doakan mereka bahagia :)
Share this novel