Izzt Firhan menunduk. Menekur lantai sambil menghela nafas perlahan. Tatkala merasa ada tangan yang menyentuh bahunya. Dia tegakkan tubuh. Mendongak. Lantas wajah Taufik yang terbias di depan matanya.
" Kau okay ke, Izzt? "
Izzt Firhan lontar senyuman kelat. Kepalanya menggeleng perlahan. Taufik yang melihat cuba faham keadaan si teman yang nampak begitu sugul. Sungguh. Dia sendiri hampir tak percaya saat menerima khabar berita tentang Muzzafar Adli. Apatah lagi memikirkan keadaan Tiara yang masih belum sedarkan diri setelah dikhabarkan pengsan akibat tidak dapat menerima hakikat tunangnya telah tiada.
" Izzt, temankan aku masuk ke dalam? "
Tanpa suara, Izzt Firhan menurut. Di bawa kaki menjejaki sekali lagi ke bilik itu. Saat Taufik menyelak kain putih yang menutup jasad Muzzafar Adli, air matanya kembali mengalir. Taufik di sebelah juga tidak mampu menahan rasa sebak.
" Aku rasa bersalah pada dia, Fik "
" Aku tahu kau dah cuba buat yang terbaik. " Taufik tepuk pelahan bahu Izzt Firhan. Cuba berkongsi kekuatan tatkala masing-masing berkongsi rasa yang sama.
" Dia memang kawan yang baik. Kawan yang tak pernah berkira dengan kawannya sendiri. Lepas apa yang aku dah buat pada dia, dia masih lagi sudi untuk maafkan. " Izzt Firhan menangis teresak-esak. Kepalanya digelengkan berkali-kali. Semakin kuat Taufik memegang bahunya, semakin deras air matanya mengalir.
" Ya. Dia memang baik. Sebab tu Allah ambil dia lebih awal dari kita. "
Izzt Firhan angguk, memang takdir selalunya begitu. Yang baik pasti akan pergi dulu menemui pencipta. Meninggalkan saki baki seperti mereka yang diberikan peluang dan nikmat untuk memperbaiki kelemahan diri.
Pintu terkuak. Muzammil Hakimi yang baru tiba di bilik mayat itu turut tergamam. Di bawa kakinya mendekati kedua lelaki yang sedang memandang tepat kearahnya. Tugasnya sebagai doktor membuatkan dia kalis pada kesedihan namun bila kematian itu melibatkan ahli keluarganya, hati yang dirasakan kental selama ini tak semena menjadi lemah.
" Kimi... "
" Betul ke ni adik aku, Fik? " soal Muzzamil Hakimi tidak percaya. Bibirnya di ketap kuat. Menahan sebak yang sedang datang bertamu. Sebaik menerima berita dari Taufik tadi dia terus bergegas kembali ke sini. Melihat anggukan halus Taufik, tanpa sedar air matanya mengalir laju.
Melihat keadaan itu, Taufik lantas memaut kemas bahu Muzzamil Hakimi.
" Aku tahu kau tak bersedia dengan semua ni, Kimi. Tapi kau kena kuat. Ibu dan ayah kau sangat perlukan semangat dan sokongan dari kau. Jika kau lemah mereka apatah lagi. " pujuk Taufik. Matanya kembali
merayap pada jasad kaku teman baiknya.
Ya Allah, permudahkanlah perjalanan sahabatku.
" Insyallah, aku cuba. "
Jeda seketika.
Izzt Firhan mengambil nafas. Dengan rentak perlahan tubuhnya di bawa mendekati Muzzamil Hakimi.
" Kimi, aku betul-betul mintak maaf kat kau... aku dah cuba nak bantu Ady tapi... " Izzt Firhan kematian kata. Kepalanya menunduk. Tak sanggup rasanya berdepan dengan Muzamil Hakimi yang sudah pasti tahu kisah yang pernah terjadi di antara mereka.
" Ya, aku tahu. Doktor Sabri ada bagitahu aku tadi. Kau ada dermakan darah kau untuk Ady. Terima kasih Izzt sebab kau sudi tolong adik aku. Tapi sayangnya Allah lebih sayangkan dia. " Muzzamil Hakimi kesat birai mata. Tersenyum lemah pada Izzt Firhan di sisi.
" Pagi tadi sebelum dia pergi jumpa kau, dia singgah dulu kat rumah aku. Muka dia nampak penat. Dia bagitahu, dia baru balik dari Perak. Bila aku ajak dia sarapan, dia tolak. Dia cakap dah janji nak keluar dengan kau. Aku tak sangka itu akan jadi pertemuan terakhir untuk kami.... " Muzzamil Hakimi raut wajahnya. Dipejamkam matanya seketika. Masih terasa pelukan hangat si adik tatkala Muzzafar Adli mengucapkan selamat tinggal padanya.
"... dan dia ada bagi sesuatu pada aku untuk aku sampaikan pada kau. " sambungnya pelahan dengan suara serak.
Izzt Firhan kerut dahi. Dilontar pandangan pelik pada Muzzamil Hakimi. Dengan lemah kepalanya digelengkan.
" Aku tak perlukan apa-apa lagi, Kimi... Cukuplah dia dah sudi maafkan aku. Yang lain dah tak penting untuk aku. "
Izzt Firhan kesat hujung hidung yang basah. Detik terakhir mereka bertemu kembali berlegar di kotak fikiran. Kenangan yang akan terus dikenang hingga ke akhir hayatnya. Bertapa ikhlasnya si teman yang selama ini di benci tapi sanggup memaafkan kesalahannya.
" Kau kan kawan aku. Dah tentulah aku akan maafkan kau. Dan selamanya kita tetap akan jadi kawan. "
" Tapi.. pasal kejadian hari tu... " Izzt Firhan kemam bibirnya. Dia yakin Muzzafar Adli faham akan maksudnya.
" Kalau aku di tempat kau pun, aku akan marah. Malah mungkin aku akan bertindak lebih dari tu. Tapi percayalah... aku tak pernah khianati kau. Dan kalau aku tahu kau masih ada perasaan pada dia, sumpah aku takkan rampas dia dari kau. " lirih saja suara itu menerangkan. Langsung tak ada rasa ragu. Sepertinya lelaki bermata redup itu terlalu redha dengan segala kemungkinan. Sedangkan dia? masih sibuk mahu mempersoalkan takdir?
Ya. Kau juga kawan aku, Ady. Kawan aku dunia akhirat. Moga masih ada peluang untuk aku bertemu dengan kau biarpun di alam yang berbeza.
" Paling tidak pun kau tengoklah dulu. Mana tahu penting untuk kau. Tapi sekarang kau dan Fik kena tolong aku. Korang tolong aku uruskan jenazah ni. Lepas selesai postmortem, jenazah akan terus dibawa bali ke kampung. Hanya korang berdua yang aku boleh harapkan untuk segerakan proses pengebumian adik aku. " Lelaki itu hela nafas panjang. Sedih macam mana pun, jasad adiknya harus segera diuruskan. Lebih cepat lebih baik. Itu yang dituntut dalam agama.
Serentak Izzt Firhan dan Taufik mengangguk. Buat kali terakhir mereka berjanji akan berikan khidmat yang terbaik untuk arwah si teman.
.
.
.
Segala urusan telah selesai dengan mudah. Pakcik Yusof mengiringi tetamu yang hadir bersama wajah sugul dan ucapan terima kasih. Kehilangan anak secara tiba-tiba bukanlah sesuatu yang mudah. Namun hati tuanya sedikit terawat tatkala melihat ramai saudara serta sahabat yang datang dan ringan tulang membantu sepanjang urusan pengebumian arwah anaknya. Sekaligus membuktikan bahawa arwah anaknya seorang yang baik dan sangat disenangi oleh ramai orang.
Namun hatinya sedikit gundah saat melihat wajah duka sang isteri. Kalau dia bersedih, isterinya apatah lagi. Sudahlah keduanya sangat rapat. Kehilangan ini sudah pasti sukar dan sulit untuk di terima.
" Kamu dah nak balik Izzt? " sapa Pakcik Yusof sebaik melihat anak muda itu didepannya.
Izzt Firhan tersenyum tipis. Peluh atas dahi langsung dikesat. Dia yang baru berura-ura ingin pulang, terus membawa langkah mendekati tempat berdirinya Pakcik Yusof.
" Ya, pakcik. Izzt kena balik. Ada banyak urusan lagi yang nak kena Izzt uruskan. "
Mendengarkan penjelasan itu, Pakcik Yusof lantas mengukir senyum tawar.
" Terima kasihlah sebab kamu sudi bantu keluarga pakcik. Kalau kamu tak ada, payah jugak Hakimi tu nak uruskan sorang-sorang. " ucap Pakcik Yusof ikhlas. Terharu dia melihat kesungguhan Izzt Firhan membantu mereka sekeluarga. Tidak hanya memberikan bantuan ketika di hospital malah anak muda itu sanggup membantu menguruskan jenazah arwah anaknya sehingga ke liang lahat.
" Saya tolong apa yang termampu saja, pakcik. Lagipun ini saja cara yang dapat saya buat untuk tebus semua kesalahan saya pada arwah. " balas Izzt Firhan masih dibelit rasa bersalah. Telah dia berjanji pada dirinya untuk membantu keluarga arwah selagi dia termampu.
Pak cik Yusof angguk, seakan faham apa yang sedang membelenggu fikiran Izzt Firhan.
" Pakcik yakin arwah Ady tentu dah maafkan kamu. Jika dia masih hidup sudah tentu dia akan berbangga punya kawan sebaik kamu. "
Izzt Firhan tidak membalas, hanya senyuman yang mampu dia berikan.
" Pakcik ada benda nak mintak tolong sikit dekat Izzt, itu pun kalau Izzt tak keberatan. "
" Tolong apa tu, pakcik? "
" Berkaitan Rara. "
Dengan dahi berkerut, Izzt Firhan angguk sedikit kepalanya, memberi isyarat agar Pakcik Yusof meneruskan bicaranya.
" Pakcik sebenarnya nak suruh Izzt tolong tengok-tengokkan Rara. Pakcik susah hati bila tengok keadaan dia macam tu. Dia pengsan tu pun dah tentu sebab terlalu bersedih dengan pemergiaan Ady. Lepas dia terjaga ni nanti, emosinya tentu akan lebih terganggu. Tentu sukar untuk dia terima yang Ady dah pun selamat dikebumikan. Keadaan dia begitu lemah, pakcik tahu dia tak kuat harungi semua ni sorang-sorang. Jadi pakcik nak minta tolong Izzt untuk tengok-tengokkan keadaan dia kat sana. Insyallah, lepas semua urusan di sini selesai, pakcik akan ajak makcik melawat dia di sana. "
Pakcik Yusof senyum segaris. Simpatinya jatuh melimpah. Tidak hanya mereka sekeluarga yang sulit menerima kenyataan, tunang kepada anaknya itu sudah pasti turut melalui perkara yang sama.
" Insyallah. Pakcik jangan risau. Izzt akan cuba bantu. "
Janji diberi biarpun hatinya sendiri tidak pasti. Saat ini, Izzt Firhan yakin tugasnya kali ini tidak mudah. Lihat sajalah penerimaan Rara sebaik tahu yang Ady sudah pergi meninggalkan dia, sampai rebah gadis itu akibat gagal mengawal perasaan. Sekarang sekali lagi dia ditugaskan untuk menenangkan gadis itu. Mampukah dia? Apatah lagi mahu memberitahu Rara bahawa jasad lelaki yang dicintai sudah terkambus diperut bumi.
Ah, kuatkah dia?
Bagaimana jika Rara kembali meratap? Kembali menyalahkan takdir yang tak pernah adil menyebelahinya? Mampukah dia berdepan dengan semua pertanyaan gadis itu? Malah hatinya turut bimbang, jika kali ini tangisan gadis itu bertambah galak. Harus bagaimana lagi mahu dia memujuk?
Ah, dia sendiri tak punya jawapan untuk semua soalan itu.
" Walaupun arwah dan Rara tak dapat bersama, tapi pakcik dah anggap Rara tu macam anak pakcik sendiri. "
Izzt Firhan kalih matanya. Kembali menatap wajah keruh Pakcik Yusof. Buat kesian kalinya dia berjanji pada keluarga ini, bahawa dia akan terus membantu selagi mana dirinya diperlukan.
.
.
.
Mimpi tentang Muzzafar Adli telah membangunkan aku daripada lena yang aku rasakan cukup panjang. Saat memandang sekeliling, aku yakin aku sedang berada di hospital. Namun kenapa tidak ada satu manusia pun di sini?
Ketika aku cuba untuk bangun pandangan mataku tiba-tiba saja berpinar. Malah ada denyutan halus yang sedang aku rasakan di seluruh urat badan. Bertenang untuk beberapa ketika, aku kembali angkat tubuh untuk bangun. Namun kali ini terhalang tatkala ada drip yang terpasang pada belakang tanganku. Tak menunggu lama, aku terus merentapnya kuat. Drip itu tercabut bersama beberapa titis darah.
Aku terus melangkah mendekati pintu namun belum pun sempat aku membukanya, seorang doktor bersama jururawat muncul di situ.
Panik melihat keadaan aku, doktor itu segera membawa kembali aku ke katil. Tangan yang terluka segera diberikan rawatan. Dibersihkan kemudian dibalut bagi menyekat darah yang mengalir.
" Kenapa saya ada kat sini? "
" Cik tak ingat apa yang terjadi? " soal doktor itu kemudian.
Aku lantas menggeleng. Kepala yang masih berpusing buat aku gagal berfikir dengan baik.
" Selepas pengsan tempoh hari, keadaan Cik tak berapa stabil, tekanan darah Cik turun mendadak. Jadi kami terpaksa tahan Cik di sini untuk pantauan. " beritahu doktor itu sambil membetulkan balutan di tangan aku.
" Dah berapa hari saya ada di sini? "
" Dua hari. "
Aku tersentak. Sekaligus membawa pandangan aku tepat ke muka doktor itu. Saat melihat doktor itu mengangguk, spontan aku menarik jam dipergelangan tangannya. Tarikh yang tertera pada jam bertali hitam itu aku amati. Kini mulutku melopong. Kepala menggeleng tidak percaya. Takkan begitu lama aku tak sedarkan diri?
" Jadi tunang saya .... "
" Arwah dah selamat dikebumikan. "
Seakan faham dengan maksudku, doktor itu pantas menerangkan.
Aku menunduk. Menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba bertenang dan kuat untuk menghadapi hakikat ini. Kini ingatan aku singgah kembali pada mimpi itu.
Ya.
Telah aku berjanji padanya untuk terus kuat untuk berdiri di atas takdir yang tertulis. Untuk redha atas semua ketentuannya. Malah akur, tangisan air mata darah sekalipun takkan mampu menghidupkan yang telah pergi.
Sayang akan ingat semua pesan abang.
.
.
.
Sebaik mendapat panggilan dari hospital tentang keadaan Rara, Izzt Firhan terus bergegas ke sana. Dalam keterujaannya untuk bertemu, tak dinafikan hatinya juga turut merasa bimbang. Entah bagaimana penerimaan Rara nanti. Sedihkah dia? rasanya itu sudah pasti. Marah? mungkin juga akan terjadi. Tapi dia harus bijak mengendalikan emosi gadis itu. Telah dia berjanji kejadian tempoh hari tidak akan berulang lagi.
" Boleh saya bercakap dengan Encik Izzt sekejap? " Izzt Firhan yang baru sampai di depan bilik Tiara lantas berkerut dahi. Menghantar pandangan pelik ke arah doktor perempuan bersama jururawat disebelahnya.
" Ada perkara berkaitan Cik Tiara yang perlu saya terangkan "
Bersama senyuman tipis, kepala di angguk menyatakan persetujuan. Langkah doktor itu diekori. Sebaik dia meletak punggung di atas kerusi di dalam bilik doktor itu, hatinya tiba-tiba merasa sebu.
" Ada apa-apa yang serius ke doktor? "
Lidahnya segera menyusun ayat. Muka serius doktor itu dipandang penuh tanda tanya.
" Begini Encik Izzt, seperti yang kami maklumkan dari awal lagi, keadaan kesihatan Cik Tiara sudah semakin pulih. Dia nampak lebih sihat dan bertenaga berbanding sebelum ni. Cuma pagi tadi, emosinya sedikit terganggu, dia bertindak mencabut tiub yang ada ditangannya. Saya anggap itu adalah kesan sampingan daripada bius dan ubatan yang kita bagi. Tambahan pula pagi tadi dia ada bertanyakan keadaan tunangnya. Saya jangkakan selepas diberitahu hal sebenar, dia akan mengamuk tapi sebaliknya pula yang berlaku. Dia nampak tenang tapi dia ada merayu untuk dikeluarkan segera dari sini. " jelas doktor itu pada Izzt Firhan.
" .... tapi sebenarnya ada sesuatu yang lebih merisaukan saya sekarang.. "
" tentang apa tu, doktor? "
" Saya ada check rekod lama perubatan Cik Tiara, saya dapati dia pernah mendapatkan rawatan berkaitan depresi. Jadi dengan apa yang berlaku pada dia sekarang, tak mustahil untuk dia menghidapi masalah yang sama sekali lagi. Tapi Encik Izzt jangan risau, pesakit seperti ini tidaklah berbahaya pada orang lain tapi boleh jadi bahaya jika tidak dirawat. "
" Maksud doktor? "
" Seperti yang umum ketahui, depresi bukanlah sejenis penyakit berkaitan anggota badan. Fizikal dan tubuh pesakit depresi adalah sihat seperti orang normal. Organ dalaman mereka juga tiada masalah. Cuma yang menjadi masalah utama mereka adalah disini…” Doktor wanita itu mengetuk jari pada sisi kepala kirinya.
" Emosi mereka sedang sakit. "
Izzt Firhan diam. Meskipun dia bukan dari bidang perubatan namun dia tidaklah terlalu naif. Dia faham apa yang sedang dijelaskan oleh doktor itu.
" Sekarang semuanya masih lagi terkawal. Keadaan Cik Tiara juga tidaklah terlalu membimbangkan namun jika Encik Izzt atau sesiapa saja ternampak perubahan yang tidak kena pada dia, jangan bertangguh. Tolong datang segera ke hospital. "
Berlalunya dia keluar dari bilik doktor itu, Izzt Firhan terus membawa langkahnya kembali ke bilik Tiara. Saat ini telah dia berpesan pada hatinya untuk tidak menunjukkan walau segaris emosi di hadapan gadis itu nanti. Dia harus terlihat kuat. Biarpun hatinya kini sedang merusuh dengan rasa bersalah yang teramat. Sejak tadi tak sudah dia menyalahkan diri atas depresi yang berlaku terhadap Tiara. Dia tahu dan amat yakin depresi itu berpunca dari perpisahan mereka dahulu.
" Kenapa direnung je makanan tu? makanlah. " lirih suara garaunya menyoal. Mengalun langkah pelahan mendekati si gadis bersama harapan kedatangannya kali ini diterima lebih baik.
" Saya tak rasa lapar. "
Jawapan mendatar itu menampar lembut halwa telingannya. Sekaligus membawa pandangan mata Izzt Firhan tepat ke arah si gadis. Benar apa yang diperkatakan oleh doktor tadi, hari ini gadis itu nampak lebih tenang berbanding sebelum ini.
" Aik, bukan awak nak cepat keluar dari sini ke? Kalau tak makan macam mana awak nak keluar? Hmm.. " soal Izzt Firhan lembut. Berhati-hati dalam menuturkan kata. Dia tahu disebalik muka tenang itu terdapat banyak parut luka yang bila-bila masa saja boleh berdarah kembali.
" Saya tahu makanan dekat sini tak best. Tapi saya janji, nanti lepas awak dah keluar dari sini, saya akan temankan awak makan makanan kesukaan awak. " pujuk Izzt Firhan lantas menyuakan tray makanan itu pada Tiara. Lama dia menanti, berharap benar gadis itu akan menyambut. Dia tahu sudah dua hari perut itu tidak berisi. Namun respond negetif yang diberikan buat Izzt Firhan menghela nafas panjang.
" Kalau macam tu biar saya suapkan awak. "
Sudu yang sudah berisi nasi itu lantas disuakan ke mulut Tiara. Dia cuba memujuk biarpun dia tahu tugas itu tidak mudah.
" Makanlah sikit.. takkan awak nak biarkan perut awak tu masuk angin. " Enggan mengalah, sekali lagi dia memujuk. Gerak matanya dibiarkan menjelajahi ke wajah tenang itu.
" Kalau awak tak .... "
" Ish, awak ni macam nurse lah. Suka memaksa! "
Dalam bentakan kecil itu, nasi yang disuakan itu dimasukkan juga masuk ke dalam mulut.
Izzt Firhan sengih. Rungutan itu langsung tak buat dia berkecil hati. Malah dengan hati yang senang, disua lagi dan lagi nasi ke mulut si gadis.
" Kalau saya dah boleh keluar dari sini nanti, saya nak pergi kubur arwah Ady. Boleh tak awak tolong bawak saya pergi ke sana? "
Dalam kaget menerima soalan yang tidak disangka-sangka, Izzt Firhan tetap mengangguk menyatakan persetujuan.
" Ya. Saya akan bawak awak ke sana nanti. "
" Kalau macam tu, awak bagi saya bekas makanan tu. Saya nak habiskan. Kalau saya dah sihat nanti bolehlah saya keluar dari sini kan? "
Sekali lagi Izzt Firhan terpempam. Reaksi yang terlukis di muara wajah itu buat dia terjeda seketika. Riak wajah itu tenang tak terusik. Nadanya juga sekata tanpa ada irama sumbang atau sedih.
Sudah sihat benarkah gadis ini? atau dia sedang cuba berpura-pura tenang?
" tapi saya nak tahu, kenapa semua orang tak tunggu saya? kenapa kebumikan arwah masa saya berada di hospital? "
Rengkung Izzt Firhan tiba-tiba terasa pahit. Sulit untuk dia perjelaskan. Namun melihat kesungguhan gadis itu menanti, akhirnya dia bersuara dalam menahan sebak di dada.
" Saya mintak maaf. Bukan kami tak nak tunggu awak, Rara. Tapi keadaan awak masa tu benar-benar tak mengizinkan. Keluarga arwah pula merasakan perlu untuk mereka menyegerakan proses pengebumian memandangkan arwah meninggal disebabkan kemalangan. "
Hanya anggukan diberikan. Tiada lagi air mata yang menyusul setelah dia berjanji untuk redha dan terima semuanya dengan hati yang lapang.
bersambung .....
jemput baca.
Share this novel