BAB 72

Romance Completed 45920

Cahaya suram yang menerangi seisi kamar tidur mengejutkan lena aku. Sambil mengosok kelopak mata, aku lantas bangun dan duduk bersila di atas katil. Terkebil-kebil mengamati suasana hening sambil menjeling ke arah jam yang tergantung di dinding bilik.

4.17 pagi.

Masih awal lagi. Subuh pun belum masuk lagi. Aku mengumam sendirian.

Sedang aku berura-ura mahu menyambung kembali tidurku, tak semena pandanganku bertemu dengan susuk tubuh Izzt Firhan yang sedang bersujud di atas tikar sembahyang.

Hati berbisik yakin bahawa suamiku itu sedang menunaikan solat sunat. Dari jauh aku amati gerak tubuh lelaki itu. Bangkit dari sujud Izzt Firhan duduk di antara dua sujud sebelum menyudahkan solatnya dengan ucapan salam. Selang beberapa ketika, aku nampak lelaki itu mula menadah tangannya untuk berdoa.

" Ya Allah ya tuhanku, hanya padamu tempat untuk aku mengadu nasib. Hanya padamu juga tempat untuk aku meluahkan segala rasa di kala hati ini sudah tidak mampu lagi untuk menanggungnya sendirian. Jika segala yang terjadi adalah ujian untukku, maka aku redha Ya Allah. Namun janganlah pernah kau lemahkan hati ini dari terus berjuang merebut cinta dari isteriku. Bantulah aku untuk melembutkan hatinya. Kau jauhkanlah segala rasa sangsinya terhadap ketulusan hati aku. Sesungguhnya aku ikhlas menyintainya. Berikanlah kesempatan untuk aku membahagiakan dia, sebagaimana yang pernah aku lakukan padanya suatu ketika dulu. "

Liur dikerongkong terasa perit untuk ku telan. Walaupun suara itu tidaklah sekuat mana, namun setiap patah perkataan yang diucapkan masih mampu aku dengar dengan baik.

" Telah aku ampunkan segala salah dan silap yang telah isteri aku lakukan. Maka kau rahmatilah hidupnya. Kau perkenanlah segala hajatnya. Moga suatu hari nanti pintu hatinya akan terbuka untuk menerima aku sebagai suaminya. Aamiin ya rabbal alamiin. "

' Aamiinn '

Tanpa sedar bibirku turut melafaskan kalimah itu. Seolah mengharapkan apa yang suamiku doakan itu akan termakbul satu waktu nanti. Dengan dada yang semakin memberat aku pejamkan kelopak mata. Mengawal rasa sebu yang tiba-tiba datang bertamu. Saat mata kembali terbuka, bunyi esakan halus kedengaran dari arah yang sama. Semakin lama semakin jelas tangisan itu di cupingku. Kini di hadapanku jelas terlihat Izzt Firhan sedang menangis bersama henjutan kecil pada bahunya.

Entah kenapa kesedihan Izzt Firhan membuatkan aku semakin di buru rasa bersalah. Sebagai suami aku tahu Izzt Firhan tentu kecewa kerana memiliki isteri seperti aku. Yang degil, yang keras kepala. Juga terlalu ego dengan membiarkan perkahwinan kami berjalan tanpa arah tuju.

Ya Allah, berdosanya aku.

Sepatutnya aku sebagai isteri berusaha mendamaikan hati suamiku. Bukannya membiarkan air mata kesedihan mengiringi setiap doanya. Mengingatkan syurga seorang isteri itu terletak pada redha seorang suami membuatkan aku semakin tak senang duduk. Jiwa semakin dirantai rasa bersalah. Apatah lagi mengingatkan alunan doa yang tulus dari Izzt Firhan sebentar tadi, membuatkan aku semakin yakin bahawa percaturan aku selama ini salah. Tidak seharusnya aku membiarkan rasa sangsi itu terus menghancurkan hubungan yang terbina.

Nun di hujung sana Izzt Firhan masih lagi menangis. Tentu saja dia tidak sedar tindakannya itu sedang diperhatikan oleh aku. Esakan yang semakin kerap membuatkan aku semakin tak betah duduk diam. Lalu aku bangun dan bergerak perlahan mendapatkan Izzt Firhan yang sedang berteleku di atas sejadah. Terkejut dengan kehadiran aku, lelaki itu pantas menyeka air matanya dengan telapak tangan.

" Err...saya buat awak terjaga ke? err.. saya mintak maaf. " Ucap lelaki itu perlahan. Hampir saja tak terkeluar suaranya.

" Tak. Awak tak salah. " balas aku juga perlahan. Entah kekuatan apa yang aku perolehi sehingga berani bertentang mata dengannya. " Saya yang sepatutnya mintak maaf dekat awak. " Tulus dari hati aku melafaskannya. Bebola matanya yang kemerahan aku renung dalam-dalam. Jelas terlihat bertapa sengsaranya jiwa lelaki itu saat ini.

Izzt Firhan menarik nafasnya yang tersekat. Tindakan isterinya yang tiba-tiba melabuhkan duduk dihadapannya di pandang aneh.

" Mintak maaf sebab apa? Awak tak ada buat salah apa pun dekat saya. " serak suaranya menyapa pendengaran.

" Banyak salah saya pada awak. Dan saya tahu awak menangis sekarang ni pun sebab saya kan? " soalan aku membuatkan lelaki itu segera melurut tubir matanya. Cuba menghapuskan segala air mata yang bersisa.

" Eh, tak adalah. Mana ada saya menangis. Saya okay jelah. " balasnya lirih dengan segaris senyuman hambar.

" Iyelah tu. Habis tu yang mata awak merah semacam je ni dah kenapa? nak claim sakit mata pulak ke? " sengaja aku menyoalnya begitu.

Terpaku segala pergerakannya. Untuk beberapa saat dia bagaikan tidak mampu untuk memberikan sebarang jawapan. Menunduk seketika sebelum kembali memandang aku dengan riak kosong.

" Tentu ada sesuatu yang sedang menganggu fikiran awak kan? awak tak nak berkongsi cerita tu dengan saya?" akhirnya aku terpaksa bersuara bila melihat si dia hanya diam membisu. Seakan tidak sudi berkongsi segala rasa itu dengan aku.

" Betul? awak nak tahu? "

" Cerita jelah. Itu pun kalau awak sudi berkongsi cerita dengan isteri awak ni. " sebaris ayat itu meluncur laju keluar dari bibirku.

Izzt Firhan terpana. Lama dia merenung isterinya sebelum kembali bersuara.

" Isteri? Pertama kali saya dengar awak sebut perkataan tu. Walaupun secara spontan tapi saya harap satu hari nanti awak benar-benar dapat terima saya sebagai suami awak. "

Saat ini terasa pahit liur yang melalui kerongkongku. Malah tindakan berani Izzt Firhan yang mengenggam kemas jemariku membuatkan aku semakin gelisah di situ. Sepertinya dia sedang cuba menyampaikan sesuatu melalui perbuatannya.

" Saya tahu saya bukan suami pilihan awak. Saya hadir sebagai pilihan kedua. Dengan kesilapan yang pernah saya lakukan dulu, saya tahu tak mudah untuk awak terima saya semula. Tapi saya nak awak tahu, perkahwinan kita bukan macam cerita dalam novel. Kena kahwin paksa, lepas tu kena tidur bilik asing-asing. Hero heroin saling tak kenal tapi jatuh cinta dan bahagia hingga ke anak cucu. Realitinya kalau kita tak berusaha, bahagia tu takkan datang bergolek. Selagi awak berkeras tak nak terima saya, selagi tu la kita takkan bahagia. Dan selama mana hati awak enggan mengakui saya ni suami awak selama itulah awak akan terus rasa terbeban dengan apa yang awak lakukan. "

Setiap patah kata yang terpancul keluar dari mulut Izzt Firhan bagaikan peluru yang mengenai tepat pada sasarannya. Menyegarkan mata yang hampir katup sebentar tadi. Dan aku amat yakin ayat itu ditujukan gara-gara pertelingkahan yang tak berkesudahan yang telah berlaku di antara kami. Dalam tekanan melayani jiwa yang dibebani rasa bersalah, dia kembali menyambung kata.

" Mungkin dah tiba masanya kita patut sedar yang cara kita selama ini adalah salah. Kita patut faham tanggungjawab masing-masing. Walaupun tak cinta, sekurang-kurangnya kita patut hormati hubungan ni. Tak boleh terlalu ikutkan kata hati sampaikan hukum Allah pun kita main langgar. Saya akui kelemahan saya sebagai suami. Tak sepatutnya saya membiarkan awak hidup sendirian tanpa pernah mengambil peluang berbicara dari hati ke hati macam ni. Tapi rasanya masih belum terlambat untuk kita perbaiki semua tu. Better late than never, right? " sambung lelaki itu tanpa sedikitpun melarikan anak matanya dari tatapan wajahku.

" Cukuplah sekali kita pernah buat kesilapan. Tak perlu kita teruskan dan ulanginya kesilapan yang sama. Demi allah, saya sayangkan awak, Rara. Saya ikhlas peristerikan awak. " luah Izzt Firhan lega. Segala apa yang barusan dia ucapkan semuanya lahir dari lubuk hatinya yang paling dalam.

Nafas aku terhela lemah. Bicara penuh kematangan Izzt Firhan buat aku semakin diburu rasa keliru. Keliru dengan pendirian yang aku rasakan semakin goyah dan hilang magisnya. Jika selama ini aku bersungguh mempertahankan kehendak hati namun kini aku bagaikan anak kecil yang hilang arah tuju. Meraba-raba mencari arah yang terang setelah lama berada dalam kegelapan. Harus aku akui kesulitan yang sedang kami lalui hari ini datangnya dari sikap pentingkan diri aku sendiri.

" Tolong terima saya, Rara. Saya janji saya takkan sia-siakan awak. " pinta Izzt Firhan penuh berharap. Terlalu berharap. Kerana dia merasakan hanya kesempatan ini saja yang dia ada untuk memujuk rayu. Semetelah esok hari dia sudah berjanji mahu menghantar isterinya itu pulang.

" Rara? "

" Err... sa...sa..saya ... "

Hilang kudrat aku untuk berkata-kata. Bibir terketar-ketar mengawal rasa sebu yang kian kuat menjerut seluruh tangkai hati.

" Untuk kesekian kalinya, saya merayu pada awak... tolonglah terima saya, Rara. Saya janji saya takkan kecewakan awak lagi. Saya akan buat awak bahagia. Apa saja yang awak nak saya akan ... "

Kata-katanya terhenti. Izzt Firhan terjeda seketika. Melihat pipi putih bersih isterinya yang mulai dicemari air jernih buat hatinya dijentik rasa pelik.

" Rara, kenapa ni? kenapa tiba-tiba awak menangis ni? saya ada tersalah cakap ke? Kalau ada saya mintak maaf. Saya betul-betul tak sengaja. "

Kalut Izzt Firhan mengucapkan maaf. Bertambah kalut bila isterinya itu hanya mendiamkan diri dan langsung tidak membalas segala pertanyaannya. Risau dengan tindakan pelik itu, Izzt Firhan lantas menolak lembut dagu isterinya agar memandang tepat ke arahnya. Anak mata mereka berlaga. Lama wajah itu ditatap. Dengan penuh kasih sayang, tangannya naik menyeka air mata yang deras mengalir.

" Cakaplah. Kenapa dengan awak ni, Rara? " soal Izzt Firhan yang semakin tak senang duduk.

" Sa.. saya mintak maaf. "

" Hah? "

" Saya tahu saya bukan isteri yang baik. Saya banyak buat salah dekat awak. Tolong maafkan saya." Akhirnya berjaya juga aku lafaskan kalimah tu biarpun dengan nada yang cukup perlahan.

Tngannya aku capai. Mengucup tangan itu lama bersama rembesan air mata yang kian lebat. Saat ini terasa keegoan yang aku pertahankan selama ini lebur sekelip mata.

Izzt Firhan yang terkejut dengan tindakan drastik isterinya, gamam buat seketika. Sebaik sedar dan yakin semuanya bukan mimpi dia terus memanjatkan rasa syukur. Tanpa dapat ditahan, air matanya juga turut kembali mengalir. Malah semakin laju dan deras berbanding tadi. Tapi bezanya kali ini, air mata ini adalah air mata kegembiraan dan kesyukuran.

Tangannya terus mengelus lembut ubun-ubun isterinya. Sesekali Izzt Firhan tunduk mengucup kepala si isteri yang masih lagi tidak melepaskan tautan pada tangannya.

" Saya dah maafkan semua salah silap awak. Sebagai suami saya juga nak mintak maaf sebab gagal bagi kebahagiaan pada awak sebelum ni. " ucap Izzt Firhan tulus. Wajah yang menunduk itu kembali diangkat agar memandang ke padanya.

" Tak. Awak tak salah. Semua ni salah saya. Yang gagal tu saya. Saya yang gagal jadi isteri yang baik untuk awak. " teresak-esak aku menangis dihadapannya. Meluahkan segala sisa kekesalan atas sikap aku selama ini.

" Syyyhhhhh.. "

Izzt Firhan langsung meletakkan jari telunjuknya di bibir munggil itu. Kepalanya digeleng perlahan. Pilu hatinya mendengar isterinya itu terus menyalahkan diri sendiri.

" Kalau saya di tempat awak sekalipun, saya juga mungkin akan melakukan perkara yang sama. Tapi jujurnya, saya tak pernah salahkan awak, Rara. Sebab dari awal lagi saya tahu apa yang terjadi ni semua berpunca dari saya. Kalau dulu saya tak tinggalkan awak, dah tentu awak akan lebih mudah percayakan saya. Tapi itu lah, selagi namanya manusia kita takkan pernah lari dari buat kesilapan. " pujuk Izzt Firhan sebelum membawa tubuh isterinya itu rapat ke dada. Tubuh itu didakap seeratnya. Dicium berkali dahi isterinya. Kini yakinlah dia, pelangi itu sememangnya wujud selepas hujan. Setelah apa yang terjadi, dia yakin disinilah permulaan kebahagiaan bagi hubungan mereka.

Aku hanya membiarkan. Selesa berada dalam pelukan hangat seseorang yang telah lama aku nafikan haknya. Disepertiga malam itu kami saling meluahkan segala yang terbuku di hati. Menjernihkan segala kekeruhan yang telah sekian lama melanda rumahtangga kami.

.
. .

Perlahan-lahan aku mencelikkan mata apabila terasa ada sesuatu yang sedang merayap disekitar wajahku. Di luar sedar aku menepis gangguan itu. Mata yang semakin memberat membuatkan aku kembali menyambung tidurku. Namun suara ketawa halus yang begitu hampir di peluput telinga memaksa aku membuka kembali mata.

" Hisyh, awak ni. Janganlah kacau. Saya nak tidur. Saya mengantuk sangat ni." rungutku dalam nada suara serak. Maklumlah, baru bangun tidur. Sudahlah mengantuk.

" Dah pukul 12 tengahari. Matahari pun dah tegak atas kepala. Takkan awak masih mengantuk lagi. " balas Izzt Firhan ceria. Dia yang sedang berbaring di sebelah isterinya terus menggerakkan jemarinya di sekitar muka gadis itu. Kerjanya dari tadi asyik nak mengusik orang je.

" Hah? dah jam 12? ala, kenapa awak tak kejutkan saya? " Terus aku bangun bersandar di kepala katil. Melontar pandang pada jendela yang sudah terang disuluh cahaya matahari. Memang tak pernah aku bangun sebegini lewat. Nasib baiklah hari ini hari cuti. Kalau tidak masuk kerja lambatlah aku jawabnya.

" Saya tengok awak letih sangat. Tak sampai hati pulak saya nak kejutkan. Lagipun, tadi kan kita dah solat subuh. "

Aku angguk pelahan. Selepas solat subuh barulah aku dapat melelapkan mata. Itupun setelah puas kami mengadakan sesi meluahkan perasaan masing-masing. Setelah lega dengan semua masalah barulah mata terasa mengantuk.

Dan pagi tadi juga buat pertama kalinya aku dapat bersolat dengan berimamkan suami aku sendiri. Sesuatu yang pastinya menjadi impian ramai para isteri. Tatkala aku kucup jemarinya, dapat aku rasakan ada satu perasaan halus mula merantai hatiku. Sebuah perasaan indah dan bahagia.

" Eh, mengelamun pulak dia. " pipi aku lantas dicuit. Aku yang baru tersedar terus menyimpul senyum. Malu.

" Mana ada saya mengelamun. Dahlah. Saya nak pergi mandi kejap. Lepas tu boleh tak kita keluar pergi makan. Saya laparlah.. " perlahan saja nada suaraku.

Gara-gara sakit hati di bawa ke sini semalam aku tolak perlawaan lelaki itu yang mengajak aku makan. Sekarang rasa nak menyumpah diri sendiri sebab terpaksa tahan lapar sepanjang malam.


" Kalau soal makan awak jangan risau. Saya dah siapkan semuanya. Awak pergilah mandi. Lepas tu kita boleh makan sama-sama. "

" Awak masak? eh, biar betul? ke awak beli ni? "

" Apa awak ingat orang hensem macam saya ni tak reti masak ke? saya kalau bab masak power tau. " balas Izzt Firhan yakin.

" Hmm, iyelah tu.. "

Sengaja aku menjongketkan sebelah kening. Mahu mengusik. Padahal aku tahu, Izzt Firhan memang boleh memasak. Sebab aku pernah nampak dia memasak di kampung dulu.

" Heiii... " hujung hidung isterinya ditarik geram. " tak baik tau pandang rendah pada suami sendiri. "

Aku tergelak kecil. Lucu melihat muncung Izzt Firhan yang sudah panjang ke depan.

" Awak masak apa? " Soalku sengaja mahu memancing kembali mood Izzt Firhan. Dalam masa yang sama dapat juga aku mengelak dari memujuk suami sendiri.

Benar sangkaanku. Sedetik berlalu wajah Izzt Firhan terus ceria. Teruja agaknya dengan soalan aku.

" Rahsia. Kalau nak tahu pergi mandi cepat. Baju awak pun saya dah siap sediakan. Saya tunggu awak dekat bawah ya. Jangan lama-lama nanti saya rindu. " ucapnya seraya mengucup dahiku.

Selesai mandi, aku segera melangkah ke ruang meja makan. Ketika itu Izzt Firhan sedang sibuk menyusun pinggan di atas meja. Mata meliar memandang juadah di atas meja. Melihat udang masak merah, sotong goreng serta sayur campur yang terhidang benar-benar buat perut aku semakin lapar.

" Sedapnya... "

Puji aku tulus. Belum makan lagi dah terasa sedapnya. Kalau dah makan. Tentu lebih sedap. Mungkin juga bertambah nasi dalam pinggan.

Izzt Firhan yang melihat keterujaan aku terus melontar senyuman manis. Terus dia menarik kerusi lalu mempersilakan aku untuk duduk.

" Kalau sedap awak kena makan banyak-banyak. Kalau habis nanti saya masak lagi yang lain. "

" Amboiii.. awak ingat perut saya ni besar macam peti ais ke? "

Izzt Firhan tergelak.

" Manalah tahu. Semalam kan orang tu merajuk, mana tahu hari ni teringin nak makan banyak. "

" Ala, awak ni. Janganlah ungkit pasal hal semalam. Malulah. "

Makin melebar senyuman Izzt Firhan. Tangannya naik membelai pipi gebu isterinya yang sudah bertukar warna.

" Dah, jom makan. Awak nak makan yang mana satu? " soal Izzt Firhan sambil menarik kerusi untuk aku duduk.

" Lauk ni semua nampak sedap. Pandai betul awak masak kan. " puji aku ikhlas.

" Eh, tahu pulak awak yang saya pandai masak? ni mesti awak pernah mengintai saya masak dekat kampung dulu kan? " usik Izzt Firhan sambil mengintai muka aku yang pastinya sudah membahang.

Tanpa membuang masa, sambal udang yang nampak begitu menyelerakan itu aku cedok sedikit ke dalam pinggan. Baru saja aku mahu menyuap nasi itu ke dalam mulut, Izzt Firhan tiba-tiba menahan.

" Biar saya suapkan. "

Dengan hanya menggunakan tangan, Izzt Firhan mulai menyuapkan nasi ke dalam mulut aku. Kerana lapar, aku hanya menurut saja kemahuannya.

" Takkan saya je yang makan. Awak tak nak makan sekali? " aku bertanya usai dia menyuapkan aku buat kali keduanya.

" Tak apalah. Saya tengok awak makan pun dah buat perut saya jadi kenyang. "

Aku menyungging senyum. Clishe sangat jawapan tu.

" Tak payah nak poyo sangatlah. Tak ada maknanya tengok muka saya boleh kenyang. Nah, awak ambik pinggan ni. Kalau awak tak makan , saya pun tak nak makan! "

" Amboii, sekarang dah pandai main ugut-ugut eh? nak kena ni! " Tak sempat aku mengelak, berdas-das ciuman sudah singgah di pipi kananku.

Ketawa bahagia Izzt Firhan bila melihat cemberut dimuka isterinya. Sungguh, sejak mereka mulai berbaik semalam, dia merasakan bahagia yang teramat. Setiap detik dan saat dia mahu mencipta memori indah antara mereka berdua.

.
. .

Seiring aku dan Izzt Firhan melangkah ke kaunter pemeriksaan imigresen. Terlalu leka berbual hinggakan kami tak sedar waktu untuk menaiki pesawat sudah semakin hampir. Mujurlah pengumuman yang berkumandang menyedarkan kami daripada terlewat.

Selesai urusan pemeriksaan tiket, aku melangkah ke arah tempat duduk yang terletak betul-betul dibahagian tengah kapal terbang. Nafas ku tarik dalam. Kedua-dua belah tangan yang sudah dibasahi peluh ku genggam erat. Kelopak mata ku pejamkan rapat sambil mulut terkumat-kamit membaca doa menaiki kenderaan.

Saat pengumuman kapten juruterbang yang meminta agar semua penumpang bersiap sedia untuk berlepas membuka kembali mataku. Bunyi ngauman enjin pesawat membuatkan jantung aku berdegup pantas. Ternyata penyakit aerophobia aku masih belum hilang. Sejenis perasaan takut ketika menaiki kapal terbang.

" Let me ease your fear, dear. ” Izzt Firhan disebelah berbisik lembut. Dia yang kelihatan tenang, segera menyorongkan bahunya agar si isteri selesa bersandar di situ. Digenggam kemas jemari runcing itu erat-erat.

" Sepatutnya kita pergi bercuti dekat Cameron Highland je. Sejuk pun sejuk. Tak perlu nak pergi jauh-jauh macam ni. " Gumam aku dalam menahan suara yang jelas ketakutan.

Izzt Firhan mengulum senyum. Hujung hidung isterinya dicubit geram.

" Eh eh dia ni. Siapa yang hari tu beriya sangat ajak saya pergi tengok Fjord? Sampai merajuk tepi bucu katil kalau saya tak layan. Bila dah di layan boleh pulak dia merungut tak nak pergi. " Tangan yang melingkar kemas di celah jari-jemari isterinya diperkemaskan. Seumpama tak mahu dilepaskan walau sesaat.

" Memanglah saya yang ajak. Tapi tak ada ke Fjord yang dekat sikit? Ni sampai berbelas jam dalam flight ni, rasa seram pulak saya. " gumam aku sambil berpaut pada lengan berotot Izzt Firhan. Menumpang kekuatan yang kian hilang tatkala kapal tebang mulai bergerak laju di atas landasan.

" Kalau Fjord tu ada dekat Malaysia dah lama saya bawak awak pergi ke sana. Hari-hari pun tak apa. Tapi masalahnya, Fjord yang awak mengidam nak tengok tu ada dekat Norway. Nak tak nak kenalah kita naik flight ni, sayang. "

Izzt Firhan tersenyum bahagia. Didekatkan bibirnya ke sisi wajah si isteri. Sekali lalu pipi itu diciumnya penuh kasih.

Bau haruman isterinya buat jiwa Izzt Firhan bergelora resah. Sungguh, sejak mereka memutuskan untuk hidup bersama, hari ini merupakan hari yang paling dia nantikan. Hari di mana dia akan menuntut haknya sebagai seorang suami.

Memilih Norway sebagai destinasi bulan madu sangat mengujakan mereka berdua. Biarpun pada awalnya dia lebih selesa ke negara Europe yang lain, namun saat melihat keterujaan isterinya bercerita tentang keindahan Fjord, iaitu satu kejadian alam di mana air laut dan tasik yang masuk ke daratan di antara celah gunung ganang lalu membentuk sebuah landskap yang cantik membuatkan dia pula yang rasa tidak sabar untuk sampai ke situ.

" Hmm... tapi nasib baik kita pergi seminggu je kan. Kalau tak, mesti pening Jaja nak handle job dekat ofis tu. "

" Kenapa? Banyak sangat ke job yang masih belum settle lagi? " soalnya prihatin.

" Hmm, banyak. Abang Kimi tentu ada bagitahu awak kan, buat masa ni cawangan dekat Perak tu terpaksa ditutup. Semua job yang masih pending dekat sana, semua HQ yang kena cover. Sebab tu saya tak boleh cuti lama-lama. Risau lagi banyak kerja yang delay nanti. " terang aku. Padahal selama ni aku tak pernah pun bercerita hal kerja pada Izzt Firhan. Sebab aku yakin, setiap apa yang berlaku dalam syarikat arwah sudah tentu diketahui oleh lelaki itu, semetelah hubungan baik yang terjalin antara dia dengan Muzzamil Hakimi.

" Oh, patutlah susah sangat sekarang saya nak ajak awak keluar dating. "

Aku menyengih.

Ini bukan kali pertama Izzt Firhan meluahkan isi hatinya begitu. Malah aku akui sejak aku diberikan tanggungjawab untuk menguruskan syarikat peninggalan arwah memang masa aku untuk bersama dengan lelaki itu jadi semakin terhad.

Aku terus membiarkan tubuh hangat itu mendakap aku seeratnya. Jemari yang sejak tadi saling bertaut ku pandang penuh rasa cinta. Sungguh, semakin hari semakin bercambah rasa cinta aku pada lelaki ini.

" Kalau awak masih takut, awak tidurlah dulu. Mungkin boleh redakan sikit perasaan takut awak tu. " cadang Izzt Firhan sebaik merasa lengannya semakin dipaut kemas. Telapak tangan kirinya naik menyentuh lembut pipi isterinya. Sesuatu yang seringkali dia lakukan. Memanjakan si isteri yang semakin hari semakin berjaya dijinakkan.

" Tak naklah. Saya okay je. " balasku dengan kepala menyenget sedikit memandang mukanya. Memang tabiat wajib aku suka skodeng muka suami sendiri bila dimanjai sebegitu.

" Kenapa pandang saya macam tu? saya hensem sangat ke hari ni? "

Usikan nakal itu buat aku tersenyum senget.

" Tak adalah hensem sangat. Biasa-biasa je. " balasku kemudian. Padahal aku malas nak puji lebih-lebih. Kang terperasan payah jugak. Dahlah masa dekat airport tadi, ada banyak mata-mata asing yang mencuri pandang. Siap melambai tangan ke arah suami aku tu. Agaknya cara aku layan dia tak macam isteri-isteri orang lain kot. Itu yang diorang berani tayang gedik depan laki aku.

" Nasib baik kita kat tempat awam, kalau takkkkkk ....." kata-katanya dibiarkan tergantung. Izzt Firhan tayang muka nakal, mengemam rapat kedua bibirnya dengan anak mata galak menjelajahi ke seluruh tubuh isterinya hingga mampu meragut ketenangan gadis itu.

Geram dengan lagak Izzt Firhan, aku lantas menjarakkan kedudukan kami. Entah apa yang bermain di fikiran lelaki itu agaknya. Jangan dia menuntut janjinya di sini sudahlah.

" Awak jangan nak macam-macam eh.. Ingat sikit kita ni orang asia. " anak matanya aku renung tajam. Memberi amaran dalam diam. Jangan berani dia berkelakuan pelik-pelik dekat sini.

" Iyeee.. Saya ingat. Saya takkan lupa semua tu. But remember! " bahu isterinya ditarik mendekat. "Sebaik pintu bilik hotel tertutup, awak akan jadi milik saya sepenuhnya. Luar dan dalam! " bisiknya dengan senyuman yang kian terukir lebar.

Adoiii, goyang kepala lutut dengar bicara suami sendiri. Sudahnya aku tayang senyum nipis.

" Eh, lupa nak bagitahu tadi mama ada mesej saya. " sengaja aku mengubah haluan bicara. Sekurang-kurangnya aku masih ada tempoh untuk bertenang. Ya. Bertenang. Bukan mudah aku nak pujuk diri untuk ikhlas serahkan diri aku pada yang berhak. Rasa takut tetap ada.

" Mama? dia mesej awak? " soal Izzt Firhan berminat.

Aku betulkan duduk sebelum membalas.

" Hmm, mama tu macam biasalah. Hari-hari dia mesej saya tanya pasal awak. Dia risau agaknya, takut ada apa-apa jadi kat awak. " ceritaku tentang hubungan aku dengan mertuaku yang semakin hari semakin rapat.

" Kenapa mama tak mesej saya je? "

" Entahlah. Mungkin dia takut ganggu awak kot. "

" Awak pulak macam mana? awak tak kisah ke mama selalu kacau awak? kalau awak rasa tak selesa awak bagitahu saya. Nanti saya suruh mama direct mesej saya je. "

Aku segera menggeleng.

" Tak ada apalah. Awak janganlah risau. Saya okay je. Lagipun lepas jumpa mama dekat majlis tunang Dell hari tu saya nampak dia dah macam boleh terima saya." Sesuatu yang tak pernah aku jangkakan. Hubungan yang satu tika dulu pernah tegang di antara kami mampu jadi serapat ini.

" Mestilah dia terima. Siapa aje yang tak suka menantu baik macam awak ni. "

Pujian lelaki itu meletuskan tawa kecil di bibirku.

" tapi saya pelik.. ermm... macam mana mama boleh berubah? "

" Tak ada apa yang pelik pun, sayang. Hati manusia Allah yang pegang. Lagipun sejak mama tahu saya sakit, dia yang banyak membantu saya. Berbulan juga dia habiskan masa untuk jaga saya. Dan saya rasa sangat bersyukur. Di saat saya hampir putus asa untuk hidup, Allah kurniakan semula keluarga yang saya rasakan telah hilang selama ni. " cerita Izzt Firhan tenang menyulam kenangan lalu.

Aku yang mendengar turut merasa terharu saat mengetahui hubungan baik yang sedang terjalin di antara keduanya. Di majlis pertunangan Dell tempoh hari, bukan main mesra Izzt Firhan berborak bersama ahli keluarganya. Dalina yang selama ini tidak pernah sebulu dengan aku juga turut memohon maaf atas perselisihan yang pernah berlaku di antara kami. Bagi aku yang lepas, biarlah lepas. Kini aku mahu mulakan hidup baru setelah sekian lama aku membuang waktu. Dan pastinya kenangan aku bersama Muzzafar Adli akan terus menjadi sebahagian dari kenangan indah dalam hidupku.

" Dan sekarang hidup saya bertambah sempurna dengan adanya awak di sisi saya. Terima kasih sayang sebab sudi jadi pelengkap hidup saya. "

Jemari halus itu sekali lagi dibawa ke hujung bibir. Dikucup lembut bersama segunung rasa kasih. Kini dia bebas dan tak perlu risau lagi untuk memanjakan wanita yang dicintainya itu. Kerna dia tahu, semakin hari perasaan mereka berdua kian bersatu di atas satu aliran rasa cinta yang kian membara.

TAMAT .

Terima kasih kerana sudi baca sehingga ke chapter terakhir. Akhirnya Rara dan Izzt mencapai bahagia atas acuan mereka sendiri. Bahagia itu ada bukan bila mana kita memiliki semuanya. Sebaliknya bahagia itu ada tatkala kita menghargai apa yang kita ada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience