BAB 67

Romance Completed 45920

Segala persiapan sudah hampir semuanya selesai. Berbaki 7 hari saja lagi aku bakal menamatkan zaman bujangku, sekaligus menjadi isteri kepada lelaki bernama Muzzafar Adli Bin Yusof. Rasa teruja mula bertapa di relung hati. Tak kurang juga rasa takut dan resah tatkala memikirkan status aku yang bakal berubah tidak lama lagi.

Pagi itu aku masuk kerja seperti biasa. Ada beberapa urusan yang perlu aku selesaikan sebelum aku bercuti panjang.

' Abang kat Perak lagi ni. Tak jadi nak balik hari ni. Ada beberapa urusan lagi yang abang nak kena selesaikan. Sayang tunggu abang balik tau. Abang dah tak sabar nak jumpa dengan sayang. Rasa rindu sangat-sangat kat sayang. '

Pesanan yang baru aku terima dari Muzzafar Adli itu buat aku mengetap rapat kedua bibirku. Dalam tak sedar aku mengeluh berat Masuk hari ini sudah 3 hari lelaki itu berada di Perak. Semakin menghampiri majlis kami, semakin sibuk dia dengan urusan kerjanya.

' Okay. Take Care. '

Mesejnya aku balas ringkas. Jujurnya aku agak terkilan bila urusannya di sana masih lagi belum selesai. Padahal baru semalam dia berjanji mahu mengikut aku pergi ke rumah Umi hari ni. Kalau dah begini gayanya, terpaksalah aku pergi sendirian saja ke sana.

" Rara! " seru Jaja lantas mendekati aku.

" Ada apa? "

" Ni. Bos suruh aku bagi pada kau. Dia mintak tolong kau settlekan. "

Aku lontarkan pandangan pelik pada Jaja yang masih setia berdiri di hadapan aku. File hitam yang dihulurkan aku sambut biarpun lambat. Kemudian aku buka file itu lantas baca isi dalamnya.

" Hisyh, apasal pulak suruh aku? Kau suruh je lah dia orang tunggu sampai bos masuk ofis semula. " Ujarku seraya menggeleng. Tanda tak setuju. Kemudian file hitam itu aku letakkan atas meja sebelum menghenyak punggung atas kerusi.

" Tolonglah Rara. Kalau aku tak sibuk aku boleh je pergi ke sana. Tapi masalahnya bos suruh aku follow up kerja dia dekat Perak tu." rayu Jaja bersungguh.

"Kenapa? ada masalah ke dengan cawangan dekat sana? " soalku ingin tahu.

" Banyak job pending. Staff kat sana tak cukup. Hari ni pun bos terpaksa open untuk intiview baru . " beritahu Jaja sekaligus memberikan aku jawapan kenapa Muzzafar Adli masih belum pulang bertemu dengan aku

" Kau tolong aku eh, Rara? kau pergi sana dan serahkan dokumen ni pada client. Kalau dia orang setuju suruh dia orang tandatangan dekat dokumen tu. " terang Jaja buat kesekian kalinya. Muka bersungguh Jaja aku pandang bersama helaan nafas.

" Aku bukannya reti bab-bab deal dengan client ni. Tersilap deal kang, lain pulak jadinya. "

Aku nyatakan kerisauan aku tentang hal yang satu itu. Tak pernah-pernah aku diberikan tugas seperti ini, namun entah kenapa yakin benar Muzzafar Adli memberikan kepercayaan pada aku. Padahal bukan dia tak tahu, ini bukannya bidang aku. Berjumpa dan berbincang dengan client untuk projek syarikat selalunya diuruskan oleh lelaki itu. Jika tidak dia, urusan itu akan diberikan pada Yusry, selaku rakan kongsinya.

" Bos dah bagi kepercayaan pada kau, maknanya dia yakinlah tu yang kau boleh buat. Lagipun, kau bukannya pergi seorang, aku dah suruh Hazim untuk temankan kau. " terang Jaja masih cuba memujuk.

Mendengarkan ada Hazim yang akan menemani aku nanti, buat hati yang gundah sedikit lega.

" Okaylah. Nanti kau sent location dekat aku. " Putus aku kemudian.

Jaja mengangguk laju. Seketika kemudian dia berlalu keluar dari situ, meninggalkan aku yang masih berada di dalam bilik Muzzafar Adli.

Telefon yang berada di atas meja ku capai. Sejak tadi sebenarnya aku cuba menghubungi Muzzafar Adli, namun panggilanku asyik tidak berjawab. Mesej yang aku hantar juga tiada balasan. Ke mana agaknya lelaki itu? barangkali dia terlalu sibuk agaknya.

.
. .

Sekilas aku mengerling jam di pergelangan tangan. Sudah menghampiri ke jam 11.30 pagi. Bermakna sudah hampir sejam aku dan Hazim menunggu di sini. Namun bayang client yang sepatutnya aku bertemu itu langsung tak kunjung tiba.

Saat bibir merengus keras, rasa sabar itu juga turut sama menipis. Tak suka benar aku berhadapan dengan situasi seperti ini. Sudahlah aku bukan jenis penyabar orangnya. Minuman sejuk yang mulai mencair dihembus penghawa dingin aku sedut sehingga separuh.

Hazim di tepi ku lihat hanya tenang-tenang saja. Sesekali bibir lelaki itu menyeringai dengan senyuman. Tak lain tak bukan, pasti hatinya sedang terhibur dengan video tiktok yang sedang ditontonnya.

" Kalau lagi lima minit tak ada jugak. Kita balik je lah. Buang masa je kita tunggu kat sini. " rungutku tak tertahan. Hazim langsung mendongakkan sedikit kepalanya sebelum memberikan jawapan melalui anggukan kepalanya.

Lima minit telah pun berlalu. Kini aku memutuskan untuk berlalu sahaja dari situ. Aku mencapai beg tangan dan segera memasukkan telefon ke dalamnya. Ketika aku mahu menolak kerusi untuk bangun, seorang lelaki tiba-tiba datang menghampiri meja kami.

" I'm really sorry. Saya terlewat. Ada accident waktu nak datang ke sini tadi. " ujar suara itu sedikit termengah. Aku langsung menoleh dan alangkah terkejutnya aku kala terpandangkan seraut wajah yang aku kenali itu.

Najmi! Bibirku mengumam sendirian.

" It's okay Encik Najmi. Jemputlah duduk. " pelawa Hazim ramah sebelum keduanya bersalaman dan berbalas senyuman. Aku pula masih mengunci mulut dari bersuara. Kagetku masih lagi belum hilang.

" Maaf sebab menunggu lama tadi. " Najmi menarik kerusi sebelum melabuhkan duduknya di hadapan kami dengan riak serba salah.

" Cik Rara, awak okay ke? "

" Ya, okay. "

Sedaya upaya aku cuba mengawal riak agak tidak terlihat janggalnya. Berpura-pura tenang sedangkan disebalik ketenangan itu terpalit satu rasa yang meresahkan jiwa.

Hazim di sebelah hanya tersenyum memandang. Pastinya lelaki itu sudah dapat meneka sesuatu yang tidak kena pada aku gamaknya.

" Segala design untuk pengiklanan tu nanti, pihak kami akan hantar melalui email. Kalau ada sebarang perubahan, Encik Najmi boleh terus telefon saja kami nanti. "

Ucapan Hazim itu menyapa lembut peluput telingaku. Sekaligus menyedarkan aku bahawa perbincangan ini telah pun sampai ke akhirnya.

Nampak sangat aku hilang tumpuan. Tak fokus dengan perbincangan. Nasib saja Hazim ada. Kalau tidak mahu tergendala semua urusan.

" Okay, sure. " Najmi dihadapan membalas tenang.

File hitam yang telah diturunkan tandatangan itu kemudiannya diserahkan kembali pada aku. Aku menyambutnya tanpa ragu bersama satu senyuman tipis.

" Dah jam 1 ni, apa kata you all lunch sekali dekat sini? " tiba-tiba Najmi berujar. Mempelawa kami untuk makan di cafe tempat kami janjikan untuk bertemu hari itu.

" Saya okay je. Tak ada masalah. "

Jawapan Hazim buatkan aku menoleh pantas ke arahnya. Suka-suka hati dia je cakap okay. Padahal tadi bukan main cakap mengidam nak makan nasi lauk kampung.

" Awak pulak macam mana Cik Rara? okay jugak ke? " giliran aku pula yang disoal. Aku pandang Najmi yang sedang menjongketkan keningnya bagi menantikan jawapan dari aku.

Ringan je mulut aku ni nak balas tak okay. Jujurnya aku memang tak okay untuk bertemu dengan sesiapa saja yang ada kaitan dengan Izzt Firhan. Kerna aku yakin pasti peristiwa pergaduhan tempoh hari juga berada dalam pengetahuan Najmi selaku teman baik lelaki itu.

" Saya belanja. Jangan risau. " ucap Najmi bila melihat aku masih diam, tak membalas ajakannya sebentar tadi.

" Kau okay kan Rara? kalau kita nak pergi makan kat tempat lain kena redah jem bagai. Kang terlewat pulak masuk ofis. " ujar Hazim bersungguh.

Kalau dah itu kata Hazim, apa lagi yang mampu aku suarakan. Dah lah datang ke sini tadi pun naik kenderaan lelaki itu.

Najmi senyum melihat anggukan aku, seraya itu tangannya di angkat, seorang pelayan mula datang menghampiri kami dan berlalu sebaik pesanan selesai di buat.

Sepanjang makan tengahari itu, aku hanya biarkan Najmi dan Hazim saja yang berborak. Aku hanya akan menyampuk bila namaku diseru saja. Jika tidak aku lebih selesa mendiamkan diri, menjadi pendengar cerita kosong kedua lelaki itu.

" Rara! Boleh kita bercakap sekejap. "

Langkahku pegun bila Najmi tiba-tiba bersuara begitu. Sekilas pandangan aku melekat pada wajahnya sebelum memandang Hazim yang sudah beberapa langkah jauh ke depan.

" Tentang apa ya? berkaitan hal kerja ke? "

" Oh tak. Tentang hal peribadi. "

Jawapannya buat dahiku berkerut panjang. Hal apa lagi yang mahu diperkatakan. Tentu saja berkaitan teman baiknya bukan?

" Kalau berkaitan kawan baik awak, terus terang saya cakap, saya tak berminat untuk mendengarnya. " mendatar saja ayat itu aku lafaskan. Malah tanpa secalit senyuman sekalipun. Sekali lagi aku mengerling ke arah Hazim. Terlihat lelaki itu sedang menanti aku di muka pintu cafe tersebut.

" Saya tahu konflik antara awak berdua. Tapi tak adil rasanya untuk awak terus menyalahkan dia atas apa yang berlaku. "

Bibir aku menyungging senyuman nipis yang tajam.

" Kalau awak betul-betul tahu, awak takkan bercakap soal adil dengan saya, Najmi. Sebab apa yang terjadi, semua dalam pengetahuan awak. Awak tahu apa yang kawan dah buat pada saya. Jadi cukuplah. Dan awak tolong nasihatkan kawan awak tu, jangan ganggu hidup saya lagi. Saya pergi dulu." nadaku sudah bertukar tegas.

Tanpa ucapan selamat tinggal aku terus terus berlalu dari situ. Membiarkan Najmi menghadam setiap patah perkataan yang aku ucapkan sebentar tadi.

.
. .

Hati semakin resah. Semakin tak senang duduk aku jadinya bila sejak semalam aku masih gagal menghubungi Muzzafar Adli. Tidak hanya panggilan aku yang tidak dijawab, malah ke semua pesanan mesej aku juga tidak dibalasnya.

Ke mana agaknya lelaki itu pergi?

Enggan berfikir yang bukan-bukan sekali lagi aku tekapkan telefon ke telinga. Menanti dan terus menanti panggilan itu dijawab sehingga akhirnya panggilan itu terputus dengan sendirinya.

Bibir ku ketap rapat. Otak mula ligat berfikir. Ke mana lagi harus aku bertanyakan keberadaan lelaki itu? Satu nama tiba-tiba menjengah di fikiranku. Tak membuang masa, segera aku hubungi lelaki itu.

" Maaf kalau saya menganggu awak, saya nak tanya Ady ada telefon awak tak? " Usai memberi salam, aku terus aku ajukan soalan itu pada Yusry. Sebagai teman baik, aku yakin mereka berdua selalu berhubung.

" Tak ada pulak Rara. Last kami berhubung sebelum dia pergi outstation ke Perak. " balas Yusry di hujung talian.

" Tak apalah kalau macam tu. Thanks ya. "

Akhirnya dengan rasa hampa, aku tamatkan perbualan itu. Telefon itu kembali aku letakkan atas meja. Mata ku biarkan terpejam buat seketika. Cuba menghilangkan rasa penat yang semakin menjalar di segenap ruang tubuh. Buat beberapa ketika, aku kembali membuka mata. Tak semena kenangan berada di rumah Umi semalam datang menjengah ruang ingatan.

" Kenapa tak bawak bakal suami Rara tu datang ke sini? kalau tidak boleh umi berkenalan dengan dia. " Bibir itu terus-terusan mengukir senyum. Ceria benar wajah Umi tatkala aku menghulurkan kad kahwin berwarna keemasan itu padanya.

Aku senyum segaris. Kuih keria yang sudah menapak masuk ke dalam mulut aku kunyah pelahan sebelum soalan Umi aku balas.

" Itulah. Sepatutnya memang dia nak temankan Rara datang ke sini. Tapi last minit, dia ada urusan pulak. Insyallah nanti lepas majlis, Rara bawak dia datang ke sini. Boleh dia kenal-kenal dengan Umi. " balasku sambil mengerling ke arah Maya yang sedang sibuk memasak di dapur. Katanya mahu ajak aku makan malam bersama-sama mereka nanti.

" Datanglah Rara. Umi lagi suka. Hilang bosan Umi duduk kat rumah ni. " tutur Umi ramah sebelum meletakkan minuman yang sudah dituangkan kepada aku.

" Kalau dulu waktu arwah Danial ada, rumah ni sentiasa meriah. Ada saja telatah dia yang menghiburkan hati Umi. Tapi sekarang... sejak dia tak ada, sunyi betul rumah ni. " suara ceria tadi tiba-tiba bertukar nada. Sebak. Sekilas aku memandang Umi, terbias riak sedih di wajah itu. Pastinya tika ini Umi sedang merindui satu-satunya cucu yang dia ada. Arwah Danial. Anak Esham dan Maya.

" Umi janganlah sedih. Kalau Umi sedih nanti Rara pun ikut sedih macam Umi jugak. Karang kalau Rara nangis, orang ingat ada budak kecik pulak kat dalam rumah ni. "

" Hisyh... budak kecik apanya.. dah layak jadi mak budak dah pun. " usik Umi. Aku senyum membalas. Memang betul kata Umi, aku dah layak jadi mak budak. Tapi nak buat macam mana. Jodoh lambat sampai.

" Esham cakap dia ada jumpa dengan Rara. Betul ke? " Umi tiba-tiba mengubah hala bicara.

" Dia datang untuk minta maaf. Dia akui semua kesilapan dia pada Rara. Jika betul dia ikhlas nak berubah, Rara rasa tak ada sebab untuk Rara terus bermasam muka dengan dia. " ucapku perlahan. Sejak Esham datang bertemu dengan aku tempoh hari, memang aku sudah nekad mahu memaafkan semua kesalahan lelaki itu. Pada aku melupakan yang pahit itu memang sukar namun aku percaya setiap yang pahit itu pasti ada manisnya.

" Rara betul-betul ikhlas untuk maafkan Esham? "

" Ya, Umi. Rara ikhlas. " tulus dari hati memang aku telah pun memaafkan semua kesalahan lelaki itu.

Tak semena jemariku diraih. Aku dongakkan kepala memandang Umi.

" Alhamdulillah, syukur Ya Allah... " ucap Umi perlahan dengan mata yang sudah bergenang. Aku tahu Umi gembira. Gembira bercampur sebak. Malah aku sangat yakin memang ini lah yang dimahukan Umi sejak dulu. Melihat aku dan Esham berdamai.

Ketukan bertalu di muka pintu, mematikan lamunan aku sebentar tadi. Saat aku berpaling Liana sudah pun ada di situ, membuka pintu pada si tetamu yang entah siapa gerangannya. Saat gadis itu berpaling, pandangannya terarah pada aku dengan garisan panjang di atas dahi.

" Ada orang datang cari akak. "

" Siapa? "

Aku terus bangkit, menuntun langkah mendekati Liana yang masih canggung di situ. Namun saat melihat tetamu berbaju biru gelap itu, tak semana jantungku tiba-tiba berdegup kencang.

bersambung .....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience