Aku terngadah.
Terpaku kaku dengan tubuh mengeletar sambil menyaksikan pergelutan yang sedang berlaku. Terlihat keduanya kini saling berbalas tumbukan. Bunyi erangan dan pekikan kedua lelaki itu mula merajai kawasan halaman rumah. Menambahkan lagi rasa gerun dan takut aku untuk mendekati keduanya. Jika tadi terlihat Muzzafar Adli telah rebah ke tanah, kini giliran lawannya pula yang tersungkur saat buku lima lelaki itu melayang tepat di rahang lelaki tegap itu.
Di sisi aku, Mak Leha bagaikan orang dirasuk. Tangisannya mula berlagu pilu. Puas sudah tekak tuanya menjerit meminta agar keduanya berhenti dari pergaduhan tersebut namun langsung tidak diendahkan.
" Apa lagi yang kau tak puas hati dengan aku hah???" jeritan lantang Muzzafar Adli bergema kuat. Mukanya merah padam menahan marah. Rahangnya juga bergerak-gerak bersama renungan yang cukup mengerunkan. Sungguh, belum pernah aku melihat tingkahnya bertukar sebegitu rupa.
Lelaki tegap itu melontar senyum sinis. Nafas kasar terhembus keluar dari dadanya yang berombak kencang. Lantas telunjuknya naik memegang hujung bibir yang pecah dan berdarah. Dengan kasar darah itu diludahnya ke tanah bersama pandangan yang cukup menjengkelkan.
" Aku benci pengkhianat macam kau!! " Cemuhnya penuh kebencian.
Kakinya laju menendang perut Muzzafar Adli membuatkan tubuh itu sekali lagi terdorong ke belakang sebelum jatuh ke tanah. Tanpa lengah lelaki tegap itu terus menerpa dan menindih tubuh Muzzafar Adli yang semakin hilang kudrat.
" Kau kawan paling tak guna yang pernah aku kenal!! "
" Aku pun tak hadaplah nak berkawan dengan kau! " tersekat-sekat nafas Muzzafar Adli ketika menuturkan kata. Dahinya mula berkerut-kerut menahan kesakitan tatkala tubuh tegap itu terus-terusan menindih rusuknya.
Tak tahan diperlakukan begitu, dengan kudrat yang ada dia lantas menolak tubuh lawannya sekuat hati menyebabkan tubuh itu terpelanting sedikit jauh. Tatkala si lawan menyeringai kesakitan, kesempatan itu diambil dengan mencengkam kolar baju lelaki itu sebelum buku limanya di angkat meninggi. Hampir sejengkal saja lagi ingin mengenai wajah itu, suara tangisan dan rayuan kuat itu membuatkan dia berpaling memandang.
" Tolong lepaskan dia. Tolonglah.. saya merayu, tolong jangan bergaduh lagi. "
Aku merayu sambil teresak menangis. Dalam ketakutan yang teramat lengannya aku tarik, memujuk agar dia tidak meneruskan niatnya memukul lelaki itu. Cukuplah dengan apa yang terjadi. Baik muzzafar Adli mahu pun lelaki itu keadaan keduanya sudah sangat teruk. Lebam dan darah sudah terhias jelas di raut wajah mereka.
" you ke tepi! Biar I ajar dia ni cukup-cukup! "
Muzzafar Adli membentak tiba-tiba. Matanya tajam dan bengis memandang aku. Tangannya kembali mengepal penumbuk dan tanpa sengaja tubuhku tertolak ke tepi.
" Sayang! "
Serentak keduanya memanggil. Aku menyeringai kesakitan sambil memegang hujung siku. Pedih.
" Sayang, you tak apa-apa ke? " Muzzafar Adli lantas mengapai tanganku. Riak risau jelas terpancar di wajahnya.
" Ini yang awak nak kan? tadi nak sangat bergaduh, bergaduhlah lagi! "
Kini giliran aku pula untuk melempiaskan kemarahanku. Sakit hatiku melihat ego keduanya. Langsung tak malu bergaduh persis anak-anak kecil. Padahal keduanya sudah besar panjang, sudah boleh berfikir dengan matang.
" Lelaki panas baran macam ni memang tak sesuai untuk awak, Rara. " selamba saja lelaki itu berkata. Dia bangun berdiri, menepuk-nepuk bajunya yang kotor dek terkena debu tanah. Tersenyum sinis dia memandang Muzzafar Adli.
" Eh, apa masalah kau hah?? " Muzzafar Adli kembali berpusing. Badan lelaki itu ditolak kasar bersama nafas yang kembali beralun ganas.
" Pulangkan hak aku! dia milik aku!! " herdik lelaki itu tanpa sedikit pun rasa gerun.
" In you dream! "
Provokasi itu kembali menaikkan darah Muzzafar Adli. Dengan rasa marah yang teramat, dia kembali mencengkam kolar baju lelaki itu. Ingin dilumatkan saja mulut lelaki berdebah yang sedang lebar menayang senyum kemenangan.
" Dasar perampas! "
" Shit!! "
Jerkahan kuat itu buat anak mataku membulat. Mata terpasak laju pada muka membengis Muzzafar Adli. Beralih pula pada lelaki yang wajahnya menyeringai garang. Riak kedua-duanya begitu mengerunkan.
" astagfirullah al azim.. apa nak jadi dengan budak berdua ni ya allah... "
Mak Leha yang sudah lecun dengan air mata tiba-tiba merintih cemas. Baru sekejap tadi wanita itu meninggalkan aku di sini. Bergegas masuk ke rumah untuk mencari pertolongan barangkali. Nak harapkan kudrat kami untuk menghalang, memang tak kan mampu.
" Sudahlah tu. Tolonglah berhenti! " halangku.
Buat kesekian kalinya aku merayu. Memberanikan diri berdiri di tengah-tengah antara mereka biarpun dengan ketinggian yang ada aku hampir tenggelam di situ.
" Rara, tolong terima saya semula. Saya masih sayangkan awak, Rara. "
" Jangan percaya cakap dia ni. Ingat balik apa yang pernah dia buat dekat you sebelum ni. "
Masih belum habis nampaknya perbalahan mereka. Saling tolak menolak. Hingga tersepit aku ditengahnya.
" Saya bukan milik sesiapa! Diri saya adalah kepunyaan saya! Kalau korang masih terus bergaduh macam budak-budak macam ni, saya akan telefon polis. Biar korang berdua meringkuk dalam penjara, lagi baik! " tengkingku teramat geram. Bulat mataku memandang keduanya. Siling berganti sebelum aku berlalu meninggalkan tapak pertempuran itu. Dan ketika itu jugalah abah dan Taufik muncul, terkocoh-kocoh mendapatkan keduanya yang masih sibuk bercakaran tanpa sikitpun menghiraukan amaran aku tadi.
.
.
.
" Apa nak jadi dengan kamu berdua ni hah? lebam sana sini. Pakaian kotor macam kerbau berkubang. Kamu ingat halaman rumah abah tu gelanggang gusti ke? " jerkah abah.
Kedua tangannya masih bercekak pada pinggang. Tegang muka tuanya tatkala matanya beralih melihat seorang demi seorang lelaki yang sedang terduduk lemah sambil mengaduh kesakitan di hadapannya.
Taufik yang duduk di sebelah abah juga turut menayangkan riak tegang. Sempat mengurut dada sendiri tatkala masih terkejut dengan apa yang terjadi.
" Kamu berdua dah cukup besar sangat dah. Dah boleh berfikir dengan matang dan waras. Kalau tak puas hati, bawak berbincang. Bukan bertindak mengikut emosi macam ni! "
Abah kembali duduk di kerusi. Kepalanya digeleng kesal. Nasib saja kepulangannya tadi tepat pada masanya, kalau terlewat sedikit tentu saja keadaan akan jadi lebih parah.
" Kalau dengan dia ni tak boleh nak berbincang elok-elok, bah. Bukan reti bahasa! "
" Eh, cakap tu elok sikit. Aku atau kau yang tak reti bahasa?! " pantas Muzzafar Adli membalas. Rahang yang sakit bergerak tegang saat menuturkan kata itu.
" Sudah! sudah! kamu berdua ni kan, tak tahu malu ke bergaduh berebutkan perempuan? " tempelek abah kuat. Terhinjut bahu aku kerana terkejut.
Abah kalau dah naik angin boleh tahan juga garangnya. Mahu terbang atap rumah ni bergegar dek suara kuatnya.
" Izzt cuma pertahankan hak Izzt je, bah. Dia ni dah ambil hak Izzt! Abah pun tahu kan Rara ni hak Izzt! "
Berderau jantungku.
Terhenti gerakan tangan yang sedang membasahkan kain untuk mencuci luka di muka Muzzafar Adli. Bersama riak wajah yang masih terkejut aku berpaling mencari wajah lelaki itu.
Izzt Firhan.
Sebaris nama itu buat otakku tiba-tiba rasa memberat. Terlalu banyak perkara yang sedang berlegar di fikiranku sekarang. yang jelas kemunculan lelaki itu telah mengembalikan cebisan kenangan masa lalu.
" Otak kau dah tak betul agaknya. Rara ni sekarang dah jadi tunang aku! Bila masa pulak dia jadi hak kau. " sindir Muzzafar Adli keras. Kalau tidak kerana ada yang menghalang dah lama dia bangkit menerjah lelaki itu.
Tanpa semena-mena, Izzt Firhan ketawa sinis. Tetapi, sekejap cuma. Dia tiba-tiba mengaduh sambil memegang rahang. Mukanya berkerut menahan sakit.
Hmm, padan muka. Nak sangatkan bergaduh.
" Tunang kau tapi hati dia masih milik aku! "
Aku tersentak. Hati mengelupur tiba-tiba. Entah kenapa sebaris ayat itu buat dadaku terasa sempit untuk bernafas.
Mak dan Abah juga ku lihat saling berpandangan sesama sendiri. Sama seperti aku mereka juga terkejut dengan kenyataan berani Izzt Firhan tadi.
" Laa yeke? confident betul kau ni kan. Tapi kesian. Syok sendiri. Kalau Rara ni tak sayangkan aku, rasanya dia takkan terima pinangan aku. Betul tak? " bidas Muzzafar Adli.
Nafas aku tarik dalam-dalam dan mata merenung kembali ke arah Muzzafar Adli yang masih beriak tegang. Boleh tahan baran lelaki ni.
" Jangan nak perasan sangat la. Dia terima kau pun sebab kesian je. "
" yang kesian tu kau! tak tahu malu! terhegeh-hegeh nakkan tunang orang. " tukas Muzzafar Adli.
" Sudah! sudah! abah tak nak lagi dengar kamu berdua bergaduh berperang mulut macam ni! Kalau pun ada yang perlu buat keputusan tu adalah Rara. Dia yang berhak memilih siapa yang dia nak bukannya kamu berdua! "
Nah. Sekali lagi abah menjerkah kuat. Sekaligus membantutkan niat Izzt Firhan untuk membalas kata.
Kini pandangan semua orang terarah pada aku. Merenung aku bagai seorang persalah.
" Rara "
Panggilan abah membuatkan aku semakin gerun.
" Abah tak suka ribut-ribut macam ni. Baik Izzt mahupun Ady kedua-duanya mengaku sayangkan Rara. Jadi Rara buatlah keputusan, siapa pilihan Rara? "
Jeda.
Ayat berterus terang abah umpama bongkah berat menghentam kepalaku. Membuatkan dadaku terasa ketat tiba-tiba.
" Rara kan dah bertunang.. "
" Jadi Rara pilih Ady? " laju abah menyoal.
Air liur yang terasa berpasir ku telan payah. Muzzafar Adli ku lihat sudah mengorak senyum di bibir. Terbias jelas bahagia di wajah itu.
Tapi Izzt Firhan?
Masih adakah lagi rasa cinta aku buat lelaki itu?
" Semua ni salah kau Fik! kalau kau tak tipu aku semua ni takkan jadi!"
Izzt Firhan berteriak tiba-tiba. Muka Taufik yang tadinya tenang tiba-tiba berubah riak saat bebola mata helang Izzt Firhan tepat ke arahnya.
" Tipu apa pulak ni?! " abah menyoal pelik. Bergaris dahinya sambil mengerling ke arah anaknya Taufik.
" Fik.. ada apa-apa yang Fik rahsiakan dari mak dan abah ke?" kini giliran mak pula yang menyoal.
Taufik tarik nafas panjang. Duduknya jadi semakin tak selesa bila semua tunak mata sedang memfokuskan pandangan mereka ke arahnya.
" Aku tak pernah tipu kau, Izzt. Ini kemahuan kau sendiri. Dulu kau jugak yang beriya-iya suruh aku carikan lelaki lain untuk tolong jagakan Rara. Jadi sekarang bila dah jadi macam ni kenapa kau nak salahkan aku pulak? "
Izzt Firhan ketawa sinis.
" sebab kau khianati aku! kau berpakat dengan dia ni untuk kenakan aku. Padahal bukan kau tak tahu yang aku takkan setuju kalau kau bagi Rara pada dia ni! " balas Izzt Firhan bengang.
Bebola mataku membulat. Air liur tiba-tiba rasa tersekat di celah kerongkong. Bulu roma menegak. Apa yang baru dituturkan oleh Izzt Firhan benar-benar buat otakku jadi sebu.
" Rara ni bukan barang dagangan Izzt.. yang boleh kau campak sesuka hati. Dulu waktu kau tinggalkan dia berkali-kali aku tanya samaada kau masih mahu teruskan hubungan korang ataupun tidak. Tapi jawapan kau tetap sama. Kau tak nak teruskan lagi hubungan yang ada. Jadi bila Ady sudi bahagiakan Rara, kenapa kau nak sakit hati pulak? " sela Taufik garang membuatkan Izzt Firhan terkedu lalu mengetap rapat kedua bibirnya.
" Abang Fik, apa maksud semua ni? " soalku dengan suara bergetar.
Taufik diam mengumpul kekuatan. Hanya beberapa detik berlalu barulah dia bersuara.
" Abang mintak maaf, Rara. Mungkin cara abang salah tapi percayalah abang cuma nak tengok Rara bahagia, tu je. " serba salah riak Taufik ketika ini. Semacam menanggung satu beban yang besar.
" Jadi selama ni Abang Fik memang tahu lah Izzt ada dekat mana? ya allah.. sampai hati Abang Fik tipu Rara kan.. Susah sangat ke nak berterus terang? padahal waktu tu Abang Fik sendiri boleh nampak sengsara Rara macam mana. " Rintihku bersalut rasa kecewa yang teramat.
Taufik semakin diterjah rasa bersalah. Muka diraup berkali. Lirikan mata tajam aku buatkan lelaki itu segera melarikan pandangannya.
" Saya yang mintak Taufik rahsiakan. Tapi percayalah Rara, saya tak pernah lupakan awak. Saya masih sayangkan awak sama macam dulu. " dengan berani Izzt Firhan berujar. Langsung tak peduli dengan reaksi mata Muzzafar Adli yang mencerlung memandangnya.
" Sayang? dengan memberikan kebenaran pada orang lain untuk memiliki saya itu ke maksud sayang bagi awak? " aku membidas sinis.
Sungguh, aku pantang benar dengan lelaki yang melihat seorang wanita itu umpama barang. Yang boleh diambil dan dipindah milik sesuka hati.
" Waktu tu saya ... "
" Ajal tu bukannya di tangan awak! Bukan awak yang menentukan tarikh kematian diri sendiri. Jadi kenapa terlalu berat untuk awak terima saya waktu tu? "
Aku memulangkan kembali cebisan kisah cinta kami yang tak kesampaian. Bagaimana sakitnya hati aku ditinggalkan sedangkan aku tak pernah minta lebih dari sebuah kesetiaan.
" Rara, saya ... "
" Cinta kita dah tamat. Saya bahagia dengan apa yang saya ada sekarang. "
bersambung ...
Share this novel