Muzzafar Adli mengeluh berat. Anak matanya meliar ke segenap ruang bilik pejabatnya. Lama dia termenung. Hatinya gusar sendirian. Ketukan tiba-tiba di pintu mematikan lamunannya. Bersama anggukan, dia membenarkan gadis itu untuk masuk.
" Ini ada surat untuk bos. "
Tipis senyumannya sambil menyambut surat yang dihulurkan. Setelah surat bersampul putih itu bertukar tangan dia terus membuka lantas membaca isi kandungan surat tersebut. Selang beberapa saat anak matanya membulat, riak wajahnya turut berubah serta merta. Muka Jaja kembali dipandang. Kali ini sorotan matanya tajam menembusi wajah pembantunya itu.
" Rara ada masuk ofis? kenapa you tak bagitahu I? "
Keras dan serius pertanyaan Muzzafar Adli buat Jaja menelan laju air liurnya. Ada getar yang tiba-tiba bertamu di hatinya.
" Err... yang sebenarnya.. saya sendiri pun tak tahu bila dia datang ofis. Masa saya datang tadi, surat ni dah pun ada atas meja saya. " terang Jaja bersama rasa gugup.
Mendengarkan jawapan itu, Muzzafar Adli pantas mencapai kunci kereta dan bergegas keluar dari bilik pejabatnya. Jaja yang melihat tingkah tergesa-gesa majikannya itu hanya mampu geleng kepala bersama satu keluhan panjang.
Di dalam kereta, nombor telefon Tiara segera di hubungi. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Malah berulang kali Muzzafar Adli cuba menghubungi tunangnya itu namun semua panggilannya tidak di angkat.
Muzzafar Adli mengeluh hampa. Dahinya dipicit. Sampul berwarna putih tadi kembali dipandang. Naik pening dia memikirkan sikap gadis itu. Tindakannya semakin di luar kawalan.
Takkan marahnya masih belum reda?
Enggan berputus asa, Muzzafar Adli kembali meletakkan telefon ke gegendang telinga. Lama dia menanti panggilan itu disambut sehinggalah panggilan itu terputus dengan sendiri.
Dalam keadaan hampa, dia bertindak menghubungi Muzamil Hakimi. Tiada insan lain yang menjengah ruang fikirannya saat ini melainkan abangnya seorang. Lelaki yang boleh disandarkan harapan untuk melepaskan segala beban masalahnya tika ini.
Sebaik saja panggilan bersambut, Muzzafar Adli terus bersuara.
“ Long, aku nak jumpa kau! ”
Muzamil Hakimi tidak terus menjawab. Lelaki itu diam sejenak. Mungkin sibuk barangkali. Iyalah, tiba-tiba dihubungi si adik. Sudahlah pagi-pagi Isnin begini dia agak sibuk. Banyak perkara yang perlu di uruskan.
“ Kau nak bercakap tentang apa dengan aku?” akhirnya lelaki itu menyoal.
Muzzafar Adli yang saat itu sudah menyusur pelahan keluar dari petak parking merengus kasar. Tegang air mukanya bila si abang banyak soal saat otaknya sedang sarat dengan masalah.
“ Kau nak jumpa aku ke tidak?! ”
“ Eh, seriusnya kau Ngah. Okay, okay. Kita jumpa dekat tempat biasa. Lagi satu jam aku sampai. " Muzamil Hakimi akhirnya memberikan persetujuan. Kedengarannya seperti terpaksa namun tidak dipedulikan Muzzafar Adli.
Keretanya terus memecut laju bersama fikiran yang semakin bercekeramuk.
" Arrrgggggggghhhhhhhh !!!!!
Jeritannya tiba-tiba bergema kuat. Muzzafar Adli mengancing gigi dengan seluruh urat saraf ditarik tegang. Jiwanya menjerit. Kecewanya bukan kepalang. Dada terasa bagaikan hendak pecah. Sekeping hatinya kini bagai dicarik-carik oleh situasi yang menyakitkan.
Seperti yang di janjikan, hampir sejam menunggu akhirnya Muzamil Hakimi muncul juga di cafe tempat yang mereka janjikan untuk bertemu. Sebelum meletakkan punggung, Muzamil Hakimi sempat menjamah muka keruh adiknya. Hatinya mula berteka teki.
“ Ada apa hal kau nak jumpa aku ni?” soal Muzamil Hakimi apabila adiknya hanya membisu sejak dia tiba.
Muzzafar Adli mengeluh lemah. Pandangannya berubah menatap wajah tenang lelaki di hadapannya.
“ Long, kau pun tahu kan, aku bukan jenis lelaki yang suka bercerita masalah pada orang lain. Tapi kau satu-satunya orang yang aku berkeyakinan untuk berkongsi cerita. ”
Muzamil Hakimi angguk perlahan mendengar mukadimah awal dari adiknya.
“Ceritalah. Aku sudi dengar. ”
Nafas ditarik dalam, setelah mengumpulkan seluruh kekuatan Muzaffar Adli mula menyusun kata-katanya.
“ Antara aku dengan Rara .... hubungan kami dah jadi terlalu rumit. Aku dah tak boleh nak pendam semuanya seorang. Aku harap kau dapat jadi tempat untuk aku kongsikan beban perasaan yang aku sedang tanggung sekarang ni.”
Mendengar nama Tiara disebut, Muzamil Hakimi yang bersandar pada kerusi secara spontan menegakkan batang tubuhnya. Hatinya terusik. Andaiannya tepat. Memang sejak tadi dia meneka kekusutan adiknya berpunca dari peristiwa yang berlaku di rumahnya tempoh hari.
“ Dia masih marahkan kau? ”
Muzzafar Adli mengeluh sekali lagi. Entah sudah berapa kali lelaki itu mengeluh sejak abangnya tiba.
“ Memang patut pun dia marahkan aku, Long. Aku yang salah. Tapi... aku buat semua ni sebab aku sayangkan dia. Dia satu-satunya perempuan yang pernah ada dalam hati aku. ” Luahan itu mengusik getar di hati Muzamil Hakimi. Sesuatu yang tak pernah dia sangka sebelum ini.
" Keadaan tak akan jadi macam ni kalau dari awal lagi aku berterus terang kat dia.…”
Mukanya diraut kesal. Akhirnya Muzzafar Adli mula membuka cerita. Bagaimana dia mula jatuh cinta pada Tiara sehinggalah perjanjiannya dengan Taufik demi sebuah persahabatan. Abangnya tekun saja mendengar. Ditahan segala persoalan demi cuba memahami apa yang sedang dilakukan oleh adiknya. Sehingga akhirnya tubuh itu kembali bersandar pada permukaan kerusi.
“ Aku tak berniat pun nak mainkan perasaan dia. Sumpah! Aku tak pernah berniat begitu." luah Muzzafar Adli penuh emosi. Ada nada kesal dalam setiap patah bicaranya.
Muzamil Hakimi hanya mampu menghantar pandangan penuh rasa simpati pada adiknya.
" Sekarang baru aku faham kenapa kau beriya sangat nak bertunang dengan Rara. Aku betul-betul mintak maaf, Ngah. Kalau bukan sebab aku tentu hubungan kau dengan Rara takkan bermasalah macam ni. "
Dia paksa diri untuk senyum.
" Aku tak salahkan kau. Aku anggap ini permulaan untuk aku betulkan yang mana salah. "
Memang sejak awal lagi dia tidak menyalahkan abangnya atas apa yang berlaku. Bagi Muzzafar Adli, jika Allah berkehendak elak macam mana pun tetap akan berlaku jugak.
" Jadi kau dah bagitahu semuanya pada Rara? apa reaksi dia? " soal Muzamil Hakimi.
" Aku dah cuba terangkan pada dia tapi dia tak nak dengar. Baru aku nak bukak mulut dia dah tuduh aku macam-macam. Dia anggap aku tipu dan mainkan perasaan dia. Kalau betul aku nak mainkan perasaan dia, tak adanya aku nak susah hati macam ni. "
Muzamil Hakimi akur dalam diam. Memang dia nampak perubahan air muka adiknya yang tak seceria selalu. Lihat sajalah sekarang, bukan main keruh air muka lelaki itu. Sesuatu yang tak pernah di lihat sebelum ini.
" Kau dah cuba minta tolong dengan Taufik? aku rasa ada baiknya kau ajak dia berjumpa dengan Rara. Mana tahu hati Rara lebih terbuka untuk percaya. "
Untuk kesian kalinya Muzzafar Adli mengeluh. Diketap rapat bibirnya bersama gelengan kepala.
" Entahlah... Aku tak rasa cara ni berkesan. Sebab Rara.. dia dah terlalu bencikan aku. Sampai nak tengok muka aku ni pun dia dah tak sudi. "
Muzzafar Adli tidak mampu lagi menahan emosi yang sedang berkocak hebat. Lelaki itu buntu. Entah apa lagi yang harus dibuat. Semua yang berlaku bagaikan terlalu rumit untuk diselesaikan.
" Maksud kau? " ungkap Muzamil Hakimi ingin tahu.
Dipandang riak duka yang tergaris di air muka adiknya. Kerana kerlanjuran dia berkata-kata akhirnya mengundang duka di jiwa itu.
" Rara dah resign. Dia dah tak nak kerja kat situ lagi. "
Fikirannya kembali terarah pada surat yang diterimanya pagi tadi. Kehadiran surat yang semakin merobek hatinya untuk terus mempertahankan ikatan yang ada
Kini dunianya terasa kelam. Apa yang baru berlaku diharap sekadar mimpi ngeri meskipun realitinya tidak begitu.
" Sabarlah, Ngah. Aku tahu kau kuat. "
Hanya itu yang mampu diungkapkan. Kalau dia yang mendengar pun rasa sakit kepala, apatah lagi tuan badan yang menangung.
.
.
.
Sakit kepala menyerang lagi. Diikuti perut yang memulas-mulas sejak tadi. Mungkin kerana belum ada satu butir makanan pun yang sempat masuk ke dalam perut aku sejak pagi tadi. Namun ku gagahkan juga mencapai tuala lantas masuk ke dalam bilik air.
Usai mandi, aku terus merebah tubuh atas katil. Ada sesuatu yang sedang bermain-main dalam fikiran aku saat ini.
Ya. Tentunya berkaitan keputusan aku untuk berhenti kerja. Meskipun hati ini masih berbolak balik namun aku cuba bulatkan hati dan yakinkan diri bahawa keputusan ini adalah yang terbaik untuk aku.
Mengingati kembali perbuatan Muzzafar Adli, rasa marah kembali bercambah di segenap ruang hati. Tiada sesaat dalam hati ini berlalu tanpa penyesalan. Sungguh, aku kesal mengenali lelaki itu. Ku sangkakan kehadirannya umpama pelangi, yang hadir selepas hujan lebat membadai hidupku, rupanya aku silap. Bahagia itu hanyalah sementara.
fffttttt
Saat aku cuba menutup kelopak mata, peristiwa dua hari lalu kembali menjengah kotak ingatan.
" Rara, she my fiance. "
Aku terpempan.
Belum pun sempat aku meleraikan pautan jemarinya yang mencengkam kuat, sebaris ayat yang dilontarkan bagaikan dentuman bom yang dijatuhkan tepat diatas kepalaku.
Aku bagaikan terpinga-pinga. Cuba berdiri gagah meskipun tubuh mula bergetar bersama hati yang semakin tak keruan. Saat itu, dapat aku rasakan jemariku sudah bebas dari gengamannya.
Seketika bunyi sorokan dan ucapan tahniah menampar gegendangku. Aku ketap bibir rapat-rapat. Debaran di dada mula memalu rentak yang sukar untuk aku terjemahkan. Bebola mata pantas ku larikan ke wajah lelaki di sebelahku.
Wah, tenangnya dia.
Langsung tak ada rasa bersalah buat aku macam ni? Malah senyuman manis yang teroles mekar dibibirnya buat hati aku bertambah sakit. Senyuman yang seakan memberitahu aku bahawa dia telah memenangi perlawanan ini sekaligus berjaya meletakkan maruah diriku di bawah telapak kakinya.
Sungguh tak ku duga dia akan bertindak senekad ini. Tidakkah baru sebentar tadi aku sudah menyatakan bahawa aku tidak mahu hubungan kami diketahui orang lain. Jadi kini mengapa dia perlu membongkarkan semuanya?
Apa yang mahu dia buktikan sebenarnya?
" Tahniah Rara. Aku tumpang gembira untuk kau. So bila majlisnya? "
Pantas aku berpaling, mencari pemilik suara tadi. Dan aku nampak senyuman Jaja sedang mekar berbunga padaku.
Tidak mahu wanita itu terus menyangka yang tidak-tidak, aku lantas mendekati Jaja. Namun belum sempat aku membuka mulut, lelaki itu sudah bersuara terlebih dahulu.
" Dalam masa terdekat. "
What!!!!!
Membuntang besar anak mataku. Macam tak percaya dia berani berkata begitu. Saat ini, ingin sekali aku menjerit sekuat hati untuk menyangkal kenyataan itu. Namun malangnya aku tak berdaya. Bagai ada sesuatu yang menghalang lidahku dari terus bersuara.
Tak betah berada dalam keadaan itu, aku lantas angkat kaki. Menonong saja langkahku tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang.
" Rara... "
Laungannya membuatkan aku segera menukar arah. Tak jadi aku naik lif sebaliknya aku terus menuju ke arah pintu kecemasan. Langkah ku atur laju, ingin terus melarikan diri daripada Muzzafar Adli yang pastinya sedang bergembira dengan kemenangannya. Beberapa kali dia memanggil namaku namun tidak sesekali aku menoleh. Dalam keadaan tergesa-gesa aku menuruni anak tangga sambil berpaut pada tiang besi di tepinya.
“ Rara!”
Sekali lagi namaku dilaung. Kali ini lebih kuat berbanding tadi. Aku buat tidak peduli saja. Malah semakin laju aku membawa kakiku menuruni setiap anak tangga. Tidak sanggup rasanya untuk aku terus mendengar kata-kata yang bakal menyakitkan hati aku.
Menghampiri empat anak tangga terakhir, tiba-tiba aku merasa sakit di pergelangan kaki yang terseliuh tempoh hari. Disebabkan rasa sakit itu aku terpaksa memperlahankan langkahku sehingga Muzzafar Adli berjaya memintas aku di depan. Kini matanya sedang tajam merenung aku. Sengaja dia meletakkan tangannya pada tiang besi di tepi untuk menghalang aku dari terus melangkah.
Aku mendongkol geram. Mengetap bibir sambil menahan sakit yang semakin mencucuk pergelangan kaki.
" Rara, kenapa dengan you? kenapa you mesti lari macam ni? " soalnya tegang. Jelas sekali dia tak berpuas hati dengan tindakanku.
Aku membuang pandang ke arah lain sebelum memberanikan diri bertemu mata dengannya.
" Sebab ... saya .... tak .... suka ... bos! "
Aku sebut satu persatu perkataan itu dihadapan mukanya. Biar jelas dia mendengarnya.
Sungguh, perbuatannya tadi benar-benar telah melahar kemarahan aku yang kini sudah mencapai tahap maksimum.
Keluhannya terzahir. Riak mendung mula terlukis di wajahnya.
“ you tahukan apa yang I buat ni semuanya untuk you. I nak buktikan yang I betul-betul sayangkan you. "
" Sayang? wah, cepatnya hati bos jatuh sayang dekat saya.. " aku menyungging bibir. " tapi malangnya saya dah tak kisah dengan semua tu. Bos sayang saya atau tidak dah tak penting lagi untuk saya. Apa yang paling penting sekarang bos jangan ganggu saya lagi! Saya dah tak nak ada apa-apa urusan lagi dengan bos. "
Aku tepis tangannya yang sedari tadi menghalang laluanku. Tanpa mempedulikan reaksinya, aku memacu langkah namun baru setapak aku kembali berpaling ke arahnya.
" Nah! "
" Err ... apa ni? "
Berkali-kali dia memandang muka aku berselang seli dengan objek yang berada di atas telapak tangannya.
Aku menjongket sebelah kening. Sinis sekali reaksi yang ku berikan padanya. Orang bijak pandai macam dia, takkan dia tak faham lagi isyarat yang sedang aku berikan.
" Kenapa you tiba-tiba pulangkan cincin ni pada I? Please Rara... Jangan buat I macam ni. ”
Aku menggeleng pelahan. Tanpa mengendahkan rayuan lelaki itu, kaki terus ku bawa melangkah pergi bersama rasa sayang yang kian pudar.
Muzzafar Adli yang ditinggalkan sekadar menghantar pemergian itu dengan hati yang sarat dengan duka. Dia kecewa. Terlalu kecewa. Pertama kali dalam hidupnya dia berasa kecewa dengan diri sendiri.
bersambung ...
Share this novel