BAB 39

Drama Completed 94402

Sakinah gementar. Acap kali dia ke bilik air melihat penampilan diri. Pesanan Nayli dalam telefon semalam hanya masuk telinga kanan keluar telinga kiri. 

Ubah penampilan kalau nak berjaya tetapi dia datang hari ini dengan cara yang sama seperti semalam. Bagaimana hendak ubah penampilan jika dia tiada duit. Tidak dapat beli pakaian baru. Dengan muka naif suci murni inilah dia datang ke pejabat di hadapan butik Nayli ini.

Lihat pakaian di tubuh. Kemudian pandang orang lain. Mereka jauh berbeza dengan dia yang nampak macam nenek kebayan ini. Entah-entah nenek kebayan lagi cantik dari dia agaknya.

Huh, dia mengeluh. 

Orang cakap jangan mengeluh. Itu maknanya tidak mensyukuri nikmat hidup. Dia pula bukan tidak bersyukur tetapi dia sedang mengenang nasib diri yang belum berubah. Bukankah tuhan suruh berubah demi menjadi yang terbaik. Dia sedang berusaha dan harapnya jalan yang terbentang di hadapan ini tidak akan berliku lagi.

Sakinah duduk di atas kerusi menunggu. Sapu paha yang berbalut baju kurung cotton bunga-bunga kecil berwarna biru yang sudah lama. Nampak lusuh. Kemudian dia sentuh kepalanya pula yang dibalut dengan tudung bawal labuh berwarna pastel. Cuma yang berbeza kali ini dia lilit tudung bawalnya seperti selendang. Biar nampak lain sedikit dari yang semalam. 

Mata pandang lagi pemohon lain. Muka masing-masing macam-macam riak. Bila matanya singgah pada calon di depan terus dia tunduk. Mata lelaki itu buat dia rimas. Ada rasa takut singgah di hati. Apatah lagi bila lelaki itu nampak seperti hendak menelannya.

Dia berdoa semoga lelaki itu sudah alihkan pandangan. Namun bila diangkat mukanya lelaki di depan masih memandangnya. Dia ketap bibir. Tidak akan sesekali dia berikan senyuman pada lelaki itu. Entah kenapa dia rasa tak sedap hati.

Sudah dia bersiap ala kadar tetapi dia tetap menjadi habuan mata lelaki juga. Harus apa yang perlu dia buat dia tidak tahu.

Di dalam bilik menunggu ini dia terpandang Nayli di luar yang sanggup menunggu dia sehingga habis temuduga. Nayli lambaikan tangan dan beri kata semangat. Walau dia tidak dengar dia tahu gadis itu sedang salurkan kekuatan untuknya.

Sakinah pandang ke bilik di depannya. Berdebar sungguh kerana dia tidak bawa apa-apa dokumen di tangan. Failnya sudah Nayli berikan kepada penemuduga semalam. Itu yang Nayli beritahu dia saat gadis itu menghubunginya. Dia kerisauan namun berharap akan lulus temuduga ini dengan mudah.

Dalam menenangkan diri tiba-tiba sekeping kertas berlipat dihulur dari tepi. Pandang gadis di sebelah yang hulurkan kertas itu dan senyum tanda ucapan terima kasih. Matanya pandang ke depan.

Jejaka berkacamata itu tersenyum ke arahnya. Rasanya tadi dia sudah siap ditemuduga. Kenapa tak terus keluar dan masih di sini. 

Sakinah buka kertas.
-Saya Iqbal. Boleh berkenalan?-

-Harap dapat jumpa lepas habis temuduga. Saya tunggu dekat luar.-

Sakinah telan liur dan lipat kertas tersebut. Dia ketap bibir. Jejaka di depan itu pun dia tidak mahu pandang. Pertanyaan lelaki itu pun dia tidak akan  membalasnya. Dia akan jual mahal. Biar lah lelaki itu nak kata apa pun. Dia tetap dengan pendiriannya. 

Sakinah tarik nafas panjang. Rasa takut tadi berganti dengan rasa geram. Geram pula dengan lelaki itu. Dalam situasi begini pun masih berani ambil peluang.

Tiba-tiba….

“Sakinah Taheerah. Sila masuk.”

Debaran yang sudah surut seketika tadi kembali bergelombang. Sakinah bangkit. Dengan lafaz bismillah dia masuk dan berharap rezeki berpihak padanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience