Tepat jam 7.45 pagi Sakinah tercegat di depan bilik Hud. Melihat nama lelaki itu yang utuh di pintu bilik buat kekuatan Sakinah sedikit tergugat. Dia toleh ke belakang pula. Mencari encik David namun bilik lelaki itu nampak gelap. Belum sampai agaknya. Kini dia alih pandangan ke meja pembantu peribadi Hud yang masih kosong. Ada kerusi di depan dan dia seret kaki ke situ.
Punggung dihempas. Lelah mengejar bas awal-awal subuh agar sempat menaiki komuter dia lepaskan di situ. Dadanya masih kuat berdetak dan makin kuat apabila melihat lelaki yang hulurkan surat tawaran padanya kelmarin sudah sampai.
“Awal Cik Sakinah sampai.” sapa Rashdan.
Sakinah angguk dan lemparkan sekuntum senyuman buat lelaki itu. Terkedu Rashdan seketika. Sungguh manis dan bertambah menawan bila muncul lekuk-lekuk kecil di kedua-dua belah pipi gadis itu.
Patutlah bos nampak lain sejak gadis itu muncul kelmarin. Wajah hambarnya selama ini mula nampak bengis bila melihat gadis itu.
Ingatkan bos cintakan gadis itu tetapi melihat layanannya yang kasar dia anggap ada peperangan yang belum selesai antara keduanya.
Rashdan melangkah ke bilik bos besar. Pintu di buka dan dia persilakan Sakinah masuk.
“Tunggu dalam ni sampai bos masuk.” arah Sakinah dan menyuruh gadis itu duduk di atas sofa di hadapan meja lelaki itu.
Sakinah akur.
Dia lihat sekeliling bilik lelaki itu. Baru hari ini dia dapat meihat keseluruhan bilik ini. Nampak mendamaikan dengan dekorasi Bohemian. Namun dekorasi ini lebih sesuai untuk rumah. Apakah lelaki itu ingin bekerja dalam suasana damai seperti duduk di dalam rumah sendiri jadi dia deko pejabatnya begini. Tebak Sakinah.
Dia pandang jam tangannya yang sudah usang. Hampir sejam dia menunggu tetapi lelaki itu tidak juga muncul. Dia pandang keluar. Dari luar tak nampak apa-apa tetapi bila di dalam dia dapat lihat semua yang ada di luar.
Rashdan sedang sibuk membuat kerja sendiri. Sekejap dia menghadap pc. Sekejap dia menjawab telefon. Bukan setakat itu, Rashdan akan ke almari dan mencari fail yang tersusun di dalam almari. Cuma Sakinah yang diam tiada sebarang kerja. Kali ini matanya pandang pintu bilik encik David. Lelaki itu masih belum muncul.
Hud pula? Ah, lelaki itu. Mana dia.
Dari jam lapan sudah berganjak ke jam sepuluh tetapi kelibat lelaki itu tidak juga dia nampak. Terus hatinya rasa kesal.
Apakah sebenarnya ini sebahagian dari rancangan lelaki itu untuk membalas dendam padanya. Semangatnya jadi lemah mengingatkan dinginnya lelaki itu.
Sakinah tunduk. Tidak lama kemudian dia berpaling melihat ke arah Rashdan. Lelaki itu tiada di situ.
Sakinah bangkit dan melangkah ke pintu. Dia mahu keluar. Buat apa dia bodohkan diri menunggu orang yang memang tidak sukakan dia. Belum sempat pintu ditarik, seseorang menolak dari luar.
Tersembul wajah Hud yang tidak beriak. Pantas Sakinah tunduk.
Dia tidak melihat Sakinah sebaliknya terus ke meja. Briefcase di tangan dihempas ke atas meja. Berdentum bunyinya dan mengejutkan Sakinah. Kecut perutnya dengan tindakan lelaki itu.
Hud tekan interkom dan memanggil Rashdan masuk dengan nada keras. Tergopoh-gapah lelaki itu masuk dan terus tercegat di depan Hud.
Sakinah pula diam di tepi pintu bagaikan anak patung.
“Kau buat apa kat situ.” tegas Hud menegur dengan padangan tajam. Perlahan-lahan Sakinah mampir dan berdiri di sebelah Rashdan.
“Kenapa kau tak inform dekat aku yang kilang kita ada masalah sekarang. Banyak rugi yang kita dapat sekarang gara-gara lambat bertindak.” Marah Hud. Dia longgarkan tali leher. Sakinah yang hanya mendengar mula melihat ke arah lelaki itu.
“Maaf bos. Saya tak inform dekat bos sebab Herman cakap dia boleh selesaikan sendiri. Lagipun ini masalah kilang. Biar pihak kilang yang uruskan.”
Hud yang mundar mandir berhenti. Dia pandang tajam Rashdan.
“Kau ingat tu kilang kau. Itu kilang aku dan aku berhak tahu.”
“Maaf bos.”
Hud tumbuk meja dengan dua belah tangannya.
“Sekarang kita dah rugi Rash. Kita rugi.”
Hud betulkan rambut yang terjuntai ke dahi.
Rashdan angguk. Dia pandang Sakinah.
“Tak apa bos. Kita dah ada pelatih baru. Boleh bantu kita improve our company.”
Hud yang tunduk memandang meja kacanya angkat wajah dan pandang Sakinah. Gadis itu larikan matanya. Resah dia dengan pandangan Hud. Masih nampak dendam dalam mata lelaki itu. Lagi resah bila jawatan yang tertera di atas surat tawaran lain dengan apa yang diberitahu encik David. Dia tidak tahu kenapa jawatan pembantu peribadi sudah bertukar menjadi pelatih di sini pula.
“Kita ke kilang.” Ajak Hud. Dia capai kot hitam yang tersangkut di Hanging pole.
Rashdan mengekori dari belakang.
“Saya….” Sakinah bersuara.
Hud berhenti di muka pintu.
“Kau duduk sini sampai aku balik.”
Tercengang Sakinah dengan arahan lelaki itu.
Dia urut dada. Sampai bila harus tunggu lelaki itu. Ini bukan skop kerja dia. Perlu ke dia tunggu.
****
Waktu makan tengahari sudah tiba bila dia lihat beberapa orang pekerja sudah mula keluar dari pejabat. Perut sakinah berkeroncong. Dari pagi lagi perutnya tidak diisi dengan makanan. Makin lapar apabila dia hanya diam di dalam tanpa berbuat apa-apa.
Sakinah bangkit. Mahu keluar tetapi dia berbelah bahagi. Bagaimana kalau tiba-tiba Hud muncul.
Dia duduk semula. Bila laparnya datang dia kembali berdiri. Sedar tak sedar sudah pukul dua. Hendak tak hendak terpaksa dia keluar untuk mencari makanan. Mujurlah dia cuti bulanan maka kewajipan yang satu tidak perlu dia fikirkan.
Baru saja sampai di pintu utama syarikat dia terserempak dengan Hud dan Rashdan.
“Nak pergi mana. Kan aku suruh tunggu sampai aku balik.”
“Saya….”
“Masuk balik.” arah Hud sebelum sempat Sakinah menjawab.
Dengan langkah yang berat dia ikut juga.
“Kau keluar tanpa kunci pintu.”
Ujar Hud saat dia tolak pintu biliknya. Rashdan pula sudah ke meja sendiri.
“Aku tak pernah tinggalkan bilik aku tanpa dikunci. Kau baru saja kerja kat sini tapi dah berani buat bilik aku macam bilik kau sendiri.”
Sakinah terkedu.
“Dalam ni ada banyak fail sulit. Apa kau ingat syarikat ini harga sepuluh sen.” Hud hempas fail di atas meja dan Sakinah terkejut. Ketar tangannya mendengar bunyi yang terhasil.
Sakinah tunduk.
“Maaf.” ucapnya kesal.
“Maaf untuk yang mana satu?”
Soalan Hud dia balas dengan pandangan tidak faham.
Hud hampiri Sakinah di muka pintu. Pintu di tutup.
“Saya minta maaf.”
Pantas tangan Hud tolak tubuh Sakinah ke dinding sebelah pintu. Dia cengkam dagu sakinah.
“Aku tanya kau… kau minta maaf untuk kesalahan kau yang mana?”
Sakinah tunduk dan Hud tanpa belas dongakkan wajah itu. Sakinah pejam matanya.
“Salah yang mana satu. Fitnah aku, bunuh nenek aku atau sebab kau jumpa aku semula?”
Sakinah ketap bibir belah dalam. Melihat Sakinah ketap bibir begitu Hud telan liur sendiri.
Hud jatuhkan tangan dan wajah Sakinah terus tertunduk.
“Maaf Tuan. Maaf.” sekali lagi Sakinah luahkan ucapan keramat itu dan ianya membuatkan Hud makin sakit hati. Dia cengkam tudung Sakinah.
“Ucaplah sampai sejuta kali pun aku sesekali takkan maafkan kau.”
Habis berkata dia tolak Sakinah dan gadis itu terdorong ke pintu. Saat itu Rashdan masuk dan bucu pintu terkena hujung kening Sakinah.
Jatuh terduduk Sakinah tanpa sempat ditolong Rashdan. Dia sentuh keningnya. Perit apabila kayu keras itu mencium alisnya.
“Bos.”
Rashdan simpati dan dia mahu Hud lihat keadaan Sakinah tetapi Hud yang berpaling membelakangkan Sakinah tidak mahu ambil tahu.
“Kau bawa dia keluar tapi jangan bagi dia balik selagi waktu kerja tak tamat.”
Rashdan akur.
Dia mahu membantu Sakinah namun gadis itu tidak mahu. Sakinah bangkit dan dengan langkah yang lemah mengekori Rashdan hingga ke meja lelaki itu.
“Duduk dulu Cik Sakinah.” arah Rashdan menyuruh gadis itu duduk di depannya.
“Panggil Kinah saja. Tak perlu bercik-cik.” suruh Sakinah. Rashdan angguk.
Sakinah pandang ke arah dinding cermin yang menghalang dia dan lelaki di dalam. Tidak nampak tapi dia pakukan juga pandangannya dengan harapan lelaki itu tahu yang dia sedang kesakitan. Malah perutnya yang tengah lapar masih belum diisi.
Gitu ke cara seksa dia. alahai.
Share this novel