BAB 75

Drama Completed 94344

“Macam mana. Dapat tak?” tanya Kak Idah saat mereka bersarapan pagi. Sakinah geleng kepala. Susah juga cari kerja di bandar Sandakan ini. Ingatkan senang sedikit dari bandar Kuala Lumpur. Rupa-rupanya tidak.

“Kalau tak dapat mana-mana apa kata Kinah terima tawaran kawan Kak Idah. Dia minta tolong jadi PA dia untuk sebulan ni.”

“Hah, PA!” 

Dengar saja perkataan itu dia rasa berat hati. Kalau boleh dia semahunya akan mengelak mencari pekerjaan begitu. Ke sana ke mari dengan ketua. Siang dan malam tentu akan bersama.

“Kalau kerja macam tu Kinah terpaksa tolak. Tambah-tambah lagi kawan Kak Idah tu tentu lelaki kan.”

Sayyidah angguk dan renung muka Sakinah lama.

“Dia akan beri bayaran tinggi. Tak susah pun. Ikut saja ke mana dia pergi. Urus failing dan urus jadual harian dia. Makan minum dia tanggung. Silap-silap haribulan nafkah pun dia bagi.”

Pelik pula dengan tawaran kerja yang dinyatakan Kak Idah. Lagi pelik bila di akhirnya Kak Idah ketawa kecil.

“Maaflah Kak Idah, Kinah tak berminat, biar Kinah cari kerja lain.”

Terus muka Sayyidah berubah corak.

“Tolong Kak Idah. Kawan kak Idah tu terdesak sangat. PA yang dia harapkan dah lari jadi dia perlukan PA sementara. Nak cari PA tetap ambil masa juga jadi dia minta tolong Kak Idah carikan. Tolong dik.”

Makin pelik sakinah dengan kakaknya. Terasa makanan di depan mata langsung tak menarik minatnya. 

Sayyidah hidupkan telefon dan buka whatsapp. Hantar pesanan pada Sakinah.

“Itu… kak dah hantar alamat. Nanti Kinah pergi jumpa dia hari ini ya.”

Sakinah buka peti pesanan. Bila melihat alamat yang tertera dia telan liur.

“Kenapa hotel kak?”

“Dia duduk kat situ. Sebulan ini je dia kat sini. Lepas sebulan dia balik KL.”

“Kena pergi hari ni ke?”

“Haah… hari ni hari cuti jadi dia minta Kinah pergi jumpa dia untuk kenal-kenal dulu. Esok baru start kerja.”

Sakinah lihat alamat di dalam peti pesanan sekali lagi. Entah kenapa dia tak yakin untuk menerima tawaran ini.

“Kak Idah cari orang lain boleh tak?”

Sayyidah geleng kepala.

“Dia kawan Kak Idah. Lagipun Kinah ada kelulusan diploma pengurusan pejabat kan. Lagi elok. Dah tahu cara nak jadi PA. Lagipun Kinah cerita Kinah pernah jadi PA lelaki cina. Nama apa tu….”

“David.” Sakinah sambung kata Kak Idah.

“Jadi… tolong kawan Kak Idah ya. Kasihan dekat dia. Sebulan je.”

Sayyidah merayu dan Sakinah pula tidak mahu lukakan hati kakaknya. Satu-satunya saudara sedarah sedaging yang dia ada. Dia tidak mahu kerana hal remeh temeh mereka bermasam muka pula.

Sakinah angguk dan lihat alamat sekali lagi. Dalam rasa berat hati dia akhirnya akur juga.

****

Dia parking di tempat parkir hotel Four Points Sheraton. Masuk ke dalam mencari bahagian penyambut tetamu. Terus bertanyakan gadis penyambut tetamu. Bila diberitahu siapa yang ingin dia jumpa gadis itu terus memberikan kad akses padanya.

Terkejut Sakinah. Tadi Kak Idah cakap lelaki itu hanya mahu berjumpa di lobi. Alih-alih penyambut tetamu menyuruhnya ke bilik pula. Rasa seperi dipermainkan. Padahal tadi dia sudah minta dengan Kak Idah nombor kawannya tetapi Kak Idah buat tidak tahu. Lagilah dia rasa pelik. 

Hatinya rasa nak marah. Terasa kakaknya sudah mempermainkan dia. Entah kenapa firasatnya mengatakan ada sesuatu yang disembunyikan kakaknya. Justeru dia akan berhadapan dengan apa saja dugaan yang datang mengganggu. 

Kaki terus melangkah ke bilik seperti yang diberitahu gadis penyambut tetamu. Masuk lif dan kotak ajaib itu membawanya hingga ke tingkat 25.

Kad akses dilayangkan ke pintu dan dengan mudahnya pintu dapat di buka. Sebaik daun pintu di tolak kelihatan fail-fail berterabur di atas meja kopi. Baru nak merasai tenangnya bilik ini yang mengadap laut terus matanya berbulu melihat keadaan yang bersepah dengan botol air mineral, plastik roti serta kulit kuaci. Lagi menyerabutkan matanya apabila melihat puntung-puntung rokok yang bersepah di tepi bekas habuk rokok.

Lihat puntung rokok terus dia teringat akan Hud. lelaki itu suka hisap rokok. Dia tahu walaupun tidak selalu nampak di matanya. Hanya sekali dia lihat selepas itu tidak lagi. Namun bauan yang kurang senang itu selalu menerpa hidung setiap kali berjumpa dengan lelaki itu.

Dia anti dengan lelaki penghisap rokok. Tetapi itulah asyik berjumpa dengan lelaki begitu pula. Abang Taufik pun suka hisap rokok cuma dia tidak tunjuk depan anak dan isterinya. Hanya ketika di luar ataupun bersama kawan-kawan.

Sakinah letak beg atas kabinet televisyen.

Cuba mencari sesuatu untuk membuang segala sampah sarap yang ada di dalam bilik. Keluar semula dan ternampak housekeeper yang sedang menolak troli. Dia minta plastik sampah dengan adik housekeeper lalu masuk ke dalam dan mula mengemas. Itulah kelemahan dia. Orang tak suruh pun mengemas tetapi dia yang terlebih rajin tolong kemaskan.

Bila sudah habis mengemas dia terdiam di depan pintu gelangsar. Mula terfikir betapa silapnya dia masuk ke dalam tanpa  tahu siapa yang ada bersama. Mula rasa takut. Gelisah kerana telah membuat salah. Dengan rasa gerun dia tarik beg di atas kabinet tv lalu melangkah ke pintu.

Belum sempat ditarik, pintu sudah di tolak dari luar. Melihat saja kelibat yang ada di depan, matanya membulat dan dia terundur ke belakang hingga tubuhnya rapat ke dinding.

Hud melangkah penuh gaya ke arahnya sambil ukir senyum. Sudah lama Sakinah tidak lihat senyuman manis Hud. Hampir pecah jantungnya melihat Hud makin mendekat. Dia mahu melarikan diri namun lebih dulu pinggangnya dipaut dan dia kembali rapat ke dinding. Mukanya dilarikan ke kiri. Dia tidak mahu melihat wajah yang telah menggores luka di hatinya.

Hud rapatkan mukanya namun pantas Sakinah berpaling ke sebelah kanan pula. Bibir lelaki itu singgah ke telinganya yang berbalut tudung.

“I miss you sayang. Miss you like crazy.” ucap lelaki itu romantis.

Akhirnya pecah juga jantung Sakinah tetapi bersama deruan air mata yang tak malu ikut serta menuruni lurah pipinya.

“Nampaknya kau pegang pada janji. Cari aku sampai ke lubang cacing kan.” kasar sapaan Sakinah dan Hud dengan lembutnya terus cengkam dagu Sakinah. Palingkan muka gadis itu biar betul-betul dapat di tatap puas.

“Abang dah cakap. Abang dah bersumpah akan cari Kinah sampai bila-bila. Kat mana pun Kinah berada abang pasti akan ikut.”

“For what?”

“To heal you… to love you. Until jannah.”

Sakinah tolak tangan Hud lalu berpaling.

“Tolong jangan nak permainkan hati aku. Aku….” tak sempat Sakinah hendak teruskan kata bibir Hud pantas mengunci mulut Sakinah. Sekejap saja tetapi tetap buat Sakinah menangis tak berlagu.

“Kalau tak nak abang kunci mulut sayang, jangan beraku engkau.” pesan Hud dan Sakinah hanya diam. Dia sapu air mata dan berpaling membelakangi lelaki itu. Sakitnya hati melihat lelaki itu yang berubah watak. Kenapa tidak dulu. Saat dia merayu memohon ampun dan maaf. Kalaulah ketika itu lelaki itu melayan dia dengan baik dia tak akan teragak-agak menyerahkan seluruh jiwa raganya.

“Saya nak balik.”beritahu Sakinah. Terus angkat kaki lalu ke pintu dan Hud tarik tangannya.

“Kenapa nak balik. This is ours.”

Terus Sakinah rentap tangan lelaki itu.

“Jangan nak robekkan hati saya yang dah lama terluka. Saya tak sanggup lagi gunakan hati saya untuk cari bahagia.”

“Abang akan bahagiakan sayang. Jangan takut. Abang cari sayang untuk jernihkan kembali hubungan kita yang baru nak bermula.”

Sakinah geleng kepala.

“Tak mungkin. Saya tidak sempurna.”

Bila perkataan itu yang keluar dari mulut Sakinah Hud dengan cepatnya tarik Sakinah dan peluk erat. Meronta-ronta gadis itu minta dilepaskan.

“Sakinah tetap sempurna di mata Hud.”

Benci dia dengan perkataan itu lalu dia tolak sekuat hatinya.

“Jangan nak tanam tebu di pinggir bibir. Saya tak akan kembali lagi pada awak.”

Hud senyum.

“Sayang kena ingat… sayang isteri abang. Sayang nak lari ke mana.”

Sakinah engkar. Dia tarik picu pintu dengan laju namun Hud lebih dulu rangkul tubuhnya dan kendong hingga ke katil.

“Duduk sini diam-diam.”

Arahnya bila Sakinah sudah dia dudukkan di birai katil. Sakinah duduk namun matanya dilarikan. Langsung tidak mahu memandang Hud yang tiba-tiba jatuhkan lutut dan berlutut depannya.

Tangan Sakinah dia tarik dan genggam erat namun Sakinah buat tidak tahu. Dia keraskan tangan.

“Sayang nak abang buat apa?” tanya Hud dan renung Sakinah lembut.

“Lepaskan aku. Aku nak balik.”

Tak semena-mena bibirnya dikucup Hud dengan lembut.

“Abang dah warning sayang tadi.” 

Sakinah keraskan diri. Langsung tidak mahu beri kerjasama.

“Sayang bagitahu abang apa yang perlu abang buat. Kalau sayang berterus terang lagi mudah.”

Hud pandang wajah Sakinah lembut. Terusik hatinya melihat wajah yang tiada seri itu. Sejak dia tahu kekurangan gadis itu seri sudah semakin hilang. Dia mahukan seri seorang isteri pada wajah Sakinah lalu dia akan ikuti segala permintaan gadis itu.

“Lepaskan saya.” suruh Sakinah. 

“Lepaskan macam mana?”

“Saya nak balik.”

Hud senyum.

“Tak boleh balik sebab tempat isteri di sisi suami.”

Sakinah tak mampu nak jawab. Namun peluang sudah datang dan dia akan gunakan peluang yang terbentang luas ini.

“Tolong maafkan saya. Maafkan segala kesalahan saya.”

“Sayang nak abang maafkan?”

Sakinah angguk walau menekur ke lantai.

“Sayang kena jadi PA abang dulu selama sebulan. Tinggal dengan abang di sini dan hari minggu saja abang hantar sayang balik rumah kak Idah.”

Hampir terjojol biji matanya mendengar nama Sayyidah.

“Awak dah jumpa kak Idah?”

Hud angguk dalam senyum.

“Dia yang tolong abang.”

Rasa mahu tampar mulut sendiri kerana bersetuju mengikut kata-kata kakaknya.

“Jangan marah Kak Idah. Dia hanya nak tolong kita berdua.”

Sakinah sudah angkat muka dan beri  jelingan maut.

“Lepas tu?” tanya Sakinah dalam rasa geram yang tak sudah.

“Sayang kena berterus terang kenapa sayang fitnah abang dulu. Bila abang tahu semuanya dari mulut sayang abang akan maafkan segala kesalahan sayang.”

Sakinah jatuhkan muka sekali lagi. Berdebar kuat saat Hud meminta dia menjelaskan perkara sebenar.

“Kalau sayang tak dapat ikut semua yang abang sebut tadi abang minta maaf. Abang tak akan maafkan sayang tetapi abang tak akan lepaskan sayang sampai bila-bila.”

Sakinah tolak tangan Hud, bangun lalu melangkah ke pintu gelangsar. Tangannya dikepal. Berpeluh dan rasa seperti berada di dalam bilik hukuman. Sanggupkah dia berterus terang. Apakah Hud akan terima ataupun dia hanya akan dimalukan lelaki itu.

Sakinah berpaling dan menghadap Hud yang sudah berdiri.

“Beri saya masa.”

“Maksud sayang?”

Matanya kelip-kelip memandang Hud dengan rasa takut.

“Saya terima semuanya tetapi yang terakhir sekali tu beri saya masa.”

Hud senyum lalu hampiri Sakinah.

“Abang tunggu.”

Sakinah telan liur.

“Jom. Abang hantar sayang balik rumah Kak Idah.”

“Kenapa?”

“Ambil barang sayang.”

Sakinah lambat-lambat mengikut lelaki itu yang sudah ke muka pintu.

“Atau sayang tak nak  balik. Tak nak ambil baju. Kalau tak pakai baju pun tak apa sebab kita dah halal.”

Mendengar saja usikan Hud Sakinah rempuh lelaki itu dan menonong tinggalkan Hud yang tersengih panjang.

Hud puas hati. Akhirnya dia berjaya dapatkan Sakinah. Bukan mahu mendera hati gadis itu tetapi dia mahu tahu kisah sebenar. Walaupun dia sudah tahu semuanya dia tetap juga mahu dengar sendiri dari mulut Sakinah.

Dia akan pastikan Sakinah berterus terang kerana dia mahu hidup bahagia dengan gadis itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience