BAB 59

Drama Completed 94401

Hud tarik Sakinah masuk ke dalam bilik hotel. Lalu dia tolak gadis itu hingga merapat ke dinding dan dicengkamnya rahang Sakinah dengan kuat. Menyeringai kesakitan gadis itu dengan perlakuan Hud. Tangannya digenggam cuba menahan tangis namun air mata tetap terhambur keluar.

“Kau memang tak tahu malu.” kutuk Hud dan tangisan Sakinah makin kuat berlagu.

Dari dalam kereta lagi gadis itu nampak seperti menahan tangis. Kali ini terluah jua dan dia jadi geram. Entah kenapa dia geram dengan gadis itu. Melihat tangisan Sakinah buat dia mahu peluk tubuh itu. Mahu tenangkan Sakinah. Juga mahu tenangkan gejolak jiwanya namun dia tidak mampu untuk buat semua itu. 

Hud perhatikan wajah Sakinah yang terpejam rapat. Dia genggam jemari kanannya. Melihat wajah itu yang basah dek air mata dia leraikan genggaman dan angkat tangan kanannya. Mahu lap air mata gadis itu. Namun bibir Sakinah yang bergerak-gerak seiring  dengan tangisan buat dia tak senang duduk.  Sedari tadi bibir itu memanggilnya tak henti-henti. Dadanya pula tak usah cakap berdegup tak seirama sejak dari David mahu mengusik Sakinah lagi. 

Dia geram. Dia marah dan dia tidak mahu lelaki lain menyentuh Sakinah. Dia mahu  jadi orang yang pertama. Tetapi kenapa perlakuannya terasa tersekat.

Pandang Sakinah lama dan rahang gadis itu dilepaskan.

Sakinah yang terpejam matanya berasa sungguh takut. Dia tidak mahu lihat wajah itu. Dia benar-benar takut. Bagaimana kalau malam ini menjadi malam yang tragis padanya. Tidak. Dia tidak akan benarkan lelaki itu sewenang-wenangnya memperlakukan dia seperti perempuan lorong. Dia buka mata dan wajah Hud yang serius dan menakutkan ada di depannya sekarang. Amat dekat malah hanya berjarak sekaki. Dia tolak dada Hud agar menjauh namun tenaganya tidak cukup kuat.

Tiba-tiba lelaki itu lekapkan tangan ke dinding. Mengepungnya agar tidak melarikan diri.

“Kau tak payah tunjuk mahal. Bukan ke tadi kau yang nampak beria sangat nak beri hak kau pada orang lain.”

Sakinah terpempan. Pantas dia gelengkan kepala. Kini Sakinah hamburkan lagi air matanya dan Hud tampar dinding dengan kuat. Tidak suka melihat keadaan Sakinah yang teresak-esak lalu dia jatuhkan tangannya. Mahu berlalu pergi namun esakan itu buat dia sakit hati lalu dia cengkam sanggul Sakinah dan dongakkan kepala gadis itu. Matanya meliar meneliti bibir gadis itu. Serta merta tangan kanan naik ke bibir dan mengusap lembut dua ulas bibir yang dia  oleskan lipstik dalam majlis tadi.

Serasa dia kalah melihat kecantikan Sakinah. Dalam basah wajah itu Sakinah tetap terlihat cantik.

Dia kalah lalu dia dekatkan bibirnya namun Sakinah pantas melarikan wajah dan bibirnya melekap di pipi kiri gadis itu.

“Tolong tuan. Jangan apa-apakan saya.” rayu Sakinah dalam limpahan air mata yang tak surut-surut menjunam ke pipi. 

“Bukan ini yang kau nak sangat.” tangannya mengelus pipi Sakinah. Pipi yang putih dan berona merah itu cukup indah di matanya.

“Tuan… tolonglah. Ingat tuhan tuan. Ingat tuhan. Saya tak halal untuk tuan.” nasihat Sakinah dalam sedu yang sudah kedengaran.

Hud pejamkan mata. Ya, Sakinah bukan isteri dia.

Bila tersedar yang dia kalah dengan nafsu sendiri, dia  jatuhkan kepala dan sembamkan mukanya di bahu Sakinah. Haruman gadis itu meliar dalam dadanya dan buat dia makin tak keruan. Sebelum dia bertindak bodoh dia tolak Sakinah dan gadis itu jatuh di tepi katil.

“Kau muncul dalam hidup aku dan buat hidup aku huru-hara. Kau buat aku tak mampu nak bernafas dengan betul Sakinah.”

Bila namanya disebut lelaki itu tahulah dia yang lelaki itu masih ada perasaan belas. Dia senyum dalam payah. Bangkit berdiri dan memandang Hud yang masih menghadap dinding.

“Saya tahu saya salah dan kesalahan saya itu amat berat. Saya hanya nakkan kemaafaan dari tuan. Kalau tuan maafkan saya walau tak ikhlas sekalipun saya janji saya tak akan muncul lagi depan tuan dan tuan akan bahagia tanpa melihat muka saya  lagi.”

Hud panas hati. Dia kembali mengadap Sakinah dan tudung gadis itu dicekak kuat.

“Kau jangan harap. Sampai mati aku tak akan maafkan kau. Kau akan hidup dalam penyesalan sampai habis umur kau.” habis berkata dia tolak Sakinah hingga gadis itu terdorong ke depan.

“Kau pergi. Jangan kata nak sentuh kau nak tengok muka kau pun aku tak lalu. Kau jangan mengada-ngada tunjuk muka kua depan aku. Pakaian kau. Pakaian kau tu… jangan lagi kau pakai macam tu.  Aku tak suka.”

Air mata Sakinah gugur dengan banyaknya tetapi kali ini dia rasa puas hati. Walaupun tadi dia ketakutan kerana Hud nampak seperti dirasuk dan bertindak ganas tetapi kini dia rasa lega. Nampak hati Hud sudah ada lembutnya. Mahu juga lelaki itu menyebut namanya. Justeru dia akan selalu mendoakan nama Hud agar kemaafan terluncur jua dari mulut lelaki itu.

Itu yang dia dambakan semenjak dulu dan tak pernah berubah. Perlahan-lahan dia menapak pergi bersama harapan. Harapan agar ada sinar untuk mereka berdua.

*****

Hud genggam tangan kanannya dan  tumbuk dinding dengan kuat melepaskan rasa geram. Darah pekat pun mengalir lesu. Dia rasa sakit namun dia biarkan kerana sakit itu tidak sesakit hatinya melihat David cuba membakar perasaannya dan Sakinah yang hanya mengikut saja ibarat lembu dicucuk hidungnya.

Dada terasa ketat. Nafasnya berat dan kepalanya berserabut. Antara rasa cinta yang sudah lama dia kuburkan dan rasa benci serta dendam yang tak pernah surut pada Sakinah. Kedua-duanya saling berkejaran dan berebut-rebut mahu mendahului. Dia lelah.

Sakinah!

Di mana saja gadis itu berada dan bagaimana pun keadaannya, Hud tak mampu halau keluar wajah Sakinah dari kepalanya. Makin dia memaksa makin wajah itu hadir. Malah senyuman yang gadis itu hulurkan awal-awal majlis tadi masih terbayang di ruang mata. Begitu memikat hati dan penampilan gadis itu pula telah melemahkan imannya. Dia mahu menghukum tetapi di akhirnya dia yang lemah tak berdaya.

Hud pejamkan mata dan tarik nafas panjang.  Langkah di atur menuju ke tempat parkir hotel. Dia masuk ke dalam kereta. Pandang hotel yang dia guna untuk menjahanamkan Sakinah tetapi dia yang tak mampu. Air mata Sakinah yang tak henti-henti mengalir buat dia lemah. Dia tahan dirinya kerana dia masih manusia waras. Kalau dia tidak waras dia tidak tahu apa yang akan jadi dengan gadis itu..

Dia pandu kereta meninggalkan hotel. Dalam perjalanan yang baru bermula ternampak kelibat gadis itu  yang berjalan lemah menuju ke mana dia tidak tahu. Dia perlahankan kereta mengekori langkah gadis itu. Tetapi akhirnya dia pecut laju tinggalkan Sakinah seorang diri di tengah malam yang sunyi ini.

Dia tidak mahu ambil tahu pasal gadis itu lagi.

****

Sakinah sapu air mata yang masih degil hendak keluar. Dia sapu dengan geram. Geram dengan diri sendiri kerana masih mahu mengharapkan sedikit belas ehsan dari Hud.

Sudah terang lagi bersuluh lelaki itu tak akan maafkan dia tetapi dia tetap murahkan diri tunjuk muka depan lelaki itu. Benarlah apa yang Hud cakap. Dia memang murah. Kalau dia mahal dia tidak akan mengendeng mahu dilihat Hud. 

Bodoh kau Sakinah. Berharap pada lelaki yang memang tak mahukan kau. Kau memang bodoh. Apakah kau masih mahu tunjuk kebodohan kau. Monolog hatinya lemah.

Dia kelelahan. Berhenti di birai jalan. Tidak tahu apa yang perlu dia buat. Tiba-tiba sebuah kereta berhenti di depannya. Pintu bahagian penumpang dibuka. Kelihatan Mak Su Lini di bahagian pemandu menjerit kuat namanya. 

“Masuk. Cepat!” arah wanita itu keras. Sakinah akur lalu masuk ke dalam perut kereta. Wanita itu terus memandu sebaik Sakinah sudah duduk baik-baik.

Tidak lama dia hentikan keretanya di hadapan bangunan pejabatnya.

“Aku nak kau pergi jauh-jauh. Jangan muncul di depan aku dan Hud lagi.”suruh Mak Su Lini dengan suara mendatar. Tidak kedengaran lagi suara kerasnya seperti hari-hari lepas.

“Mak su, Kinah hanya mahukan kemaafan. Kalau Mak Su maafkan, Kinah janji tak akan muncul depan semua orang lagi.” sayu suara Sakinah dan buat mata Mak Su Lini berkaca-kaca.

“Kau tahu tak… aku keraskan hati tak mahu maafkan kau sebab kau dah buat Hud menderita. Walaupun semua tu dah lama berlalu aku tak mampu nak maafkan kau sebab Hud. Dia menderita Kinah. Amat menderita kerana kau adalah orang yang amat dia cinta.. Kau cinta pertama dia Kinah. Kalau kau anggap itu cinta monyet tapi bagi dia tidak. Dia cinta kau separuh nyawa dia tapi….”

Mak su Lini hentikan kata. Sapu air mata yang mula jatuh berguguran. 

“Kau fitnah dia malah fitnah kau itu buat arwah nek wan percaya yang Hud rogol kau. Tak sempat Hud nak jelaskan perkara yang dia sendiri tak faham nek wan pergi macam tu je. Mana hati Hud tak terluka Kinah. Luka yang kau beri terlalu dalam. Malah meninggalkan parut yang tak akan sembuh sampai bila-bila.”

Sakinah tak terdaya. Dia mahu berterus terang tetapi adakah penerangan dia akan diterima sewenangnya oleh Mak Su Lini. Akhirnya dia lelah sendiri.

“Dia cakap dia tak akan ingat. Ya, sepuluh tahun dia buang nama kau tetapi bila kau muncul semula aku nampak dia terseksa. Dia tak mahu ingat semua tu tapi kau dah buat dia ingat balik.”

Sakinah hanya mampu berdiam sahaja mendengar kata-kata wanita itu.

“Hati aku pun pedih sebab yang mati itu emak aku. Untuk pengetahuan kau aku dah lama maafkan kau tapi kenapa hati aku keras semula sebab… pedih yang kau bagi pada aku tak sepedih hati Hud. Aku kasihankan dia.”

Kalah Sakinah dengan kata-kata Mak Su Lini.

“Kau pergi jauh Kinah. Aku maafkan kau Kinah dan kalau kau nak tenang kau jangan muncul lagi.”

Sakinah angguk bersama linangan air mata.

“Kinah akan pergi mak su tapi izinkan Kinah habiskan baki bulan ini dan biar Kinah merasa gaji yang pertama dan terakhir ini. Lepas tu Kinah akan lenyap dari muka bumi ini.”

Mak Su Lini senyum hambar..

“Kenapa perlu tunggu gaji. Kalau kau nak duit aku akan bagi berapa saja yang kau nak. Janji kau cepat-cepat pergi.”

Sakinah geleng.

“Kinah tak mengharapkan durian runtuh mak su. Kinah hanya nak upah atas usaha Kinah.”

Akhirnya Mak Su Lini akur. Bukan dia benci dengan Sakinah. Dia sudah buang benci itu kerana sudah lama dia maafkan Sakinah. Tetapi demi Hud dia keraskan hati kerana dia kasihankan Hud. Lelaki itu terseksa dengan kehadiran Sakinah.

“Hujung bulan nanti aku tak nak tengok muka kau lagi dekat syarikat Hud.”

Sakinah angguk. Hatinya lega. Seorang sudah memaafkannya. Sedikit tenang namun dada tetap berombak bila nama Hud muncul dalam hati.

Abang Hud, moga hati abang lembut untuk maafkan Kinah. Biar kita sama-sama tenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience