BAB 41

Drama Completed 94291

Nayli tersengih sampai ke telinga. Dia rasa bangga kerana Sakinah berjaya melepasi temuduga dengan mudah. Tentulah David senang-senang saja luluskan temuduga Sakinah sebab si David itu dah terjatuh hati dekat gadis itu. Tetapi satu saja yang Nayli tak faham. Kenapa perlu masuk ujian kelayakan dulu. Dua minggu pula tu.

Dia yang tengah mencari pakaian yang sesuai untuk Sakinah hentikan tangan lalu pandang gadis itu yang termenung di atas sofa. 

Nayli tarik kebaya longgar berwarna hijau muda dan bawa kepada Sakinah. Tersentak Sakinah apabila pakaian di tangan Nayli sudah mendarat di atas pahanya.

“Siapa ketua yang buat ujian tu. Seingat akulah si David tu pernah cakap dengan aku dia boleh pilih siapa saja yang dia suka untuk bekerja dengannya. Itu kelebihan dia sebab dia anak rakan kongsi bos besar kat situ. Tapi tak sangka pula hari ini lain jadinya.”

Sakinah diam. Tilik baju di atas paha. Jari jemarinya mengutis labuci yang terlekat di hujung lengan baju. Begitulah dia setiap kali datang rasa risau dan gelabah. Seingatnya ketika zaman sekolah dulu dia tidak begini. Dia orang yang berani dan bersemangat tinggi. Tetapi sejak peristiwa hitam itu terjadi lalu dia bawa satu sikap. Akan mengutis apa saja yang ada dekat dengannya atau menggigit kuku sendiri bila rasa takut.

“Tak tahu. Kawan baik encik David agaknya.” teka Sakinah walhal dia tahu siapa lelaki itu. Lelaki yang telah dia gores luka dengan begitu dalam.

“Kau dah jumpa bos besar tu ke?” tanya Nayli dan mematikan tingkah Sakinah. Dia geleng kepala. Tidak mahu Nayli tahu. Kalau gadis itu tahu siapa bos besar itu tentu akan panjang pula ceritanya nanti.

Sakinah kembali mengutis labuci.

“Weh kau ni. Rosaklah baju aku ni.” Nayli tarik kebaya dan suruh Sakinah pergi cuba.

“Kau suruh aku pakai baju macam ni.” Sakinah beliakkan mata. Tidak sanggup hendak balut tubuhnya dengan warna terang itu. Walau baju itu nampak longgar dia tetap rasa segan. Nayli tidak mahu ambil tahu. Dia tolak Sakinah hingga ke bilik persalinan. Di dalam bilik pula Sakinah termenung panjang. Teringatkan wajah lelaki yang akan dia jumpa esok. Kuatkah dia hendak menatap wajah itu. Beranikah dia untuk setiap  masa mengadap lelaki itu nanti. Sakinah sentuh dada sendiri. Terasa sesak dan seakan nafasnya berjalan lemah di dalam rongga dada.

Ketukan di muka pintu mengejutkan Sakinah.

“Cepatlah Kin. Bukan ke kau cakap nak balik awal. Emak kau tak tahu lagi kau boleh kerja kan?”

Sakinah tersedar. Ya, dia belum mengkhabarkan berita ini pada emak. Lalu dengan rasa tidak sabar hendak balik berjumpa emak dia tukar pakaian di badan dengan kebaya di tangan.

“Cantik sangat.” Puji Nayli saat Sakinah keluar dari bilik persalinan. Sakinah senyum panjang. Dia tahu Nayli ikhlas.

“Tapi….” dia tilik wajah Sakinah yang nampak berminyak dan Sakinah tertunggu-tunggu Nayli habiskan kata.

“Esok pagi aku ambil kau kat rumah kau. Kau bagi alamat.” Nayli ambil buku catatan di atas kaunter lalu mencacat alamat yang dilontar mulut Sakinah.

“Tak menyusahkan kau ke?” Sakinah tidak mahu terhutang budi. Lagipun dia tidak mahu Nayli tahu kehidupannya sekarang.

“Alah… small matter Kin. Untuk kau aku rela buat apa saja. Lagipun esok first day kau kan. Jadi aku nak kau nampak hebat di  mata semua orang.”

Sakinah pusing mahu masuk ke dalam bilik dan salin semula baju di badan.

“Terima kasih Nay. Budi kau tak mampu aku balas.” Sakinah berhenti dan luahkan ucapan syukurnya atas budi Nayli. Nayli lempar senyum.

“Anggap saja ini semua hadiah untuk kau sebab sudi kawan dengan aku yang buruk ni.”

Sakinah geleng  kepala.

“Kau dah malukan aku Nay. Kau lagi cantik dari aku sekarang. Aku pula serba kekurangan.”

Nayli rasa sebak. Kekurangan apa yang Sakinah luahkan. Memang dia nampak ada kekurangan. Semuanya terzahir melalui pakaian dan langkah yang gadis itu atur. Dia nampak lemah walau senyuman sentiasa menghiasi bibirnya. Namun dia hendak tahu sangat kekurangan apa lagi yang gadis itu sembunyikan. Sebab itulah dia akan ambil gadis itu esok. Ikutkan hati dia mahu hantar gadis itu pulang sekarang. Tetapi klien penting butiknya sudah dalam perjalanan hendak berjumpa dengannya. Jadi terpaksa dia jaga kepentingan hari ini demi kebaikan hari esok.

Sakinah sudah kembali dengan pakaian asal.

“Terima kasih Nay.” Ucap Sakinah dan peluk Nayli. 

Nayli hantar Sakinah hingga  ke pintu. Dia hulurkan beg kertas kepada Sakinah.

“Sorry tau. Aku tak boleh nak hantar kau balik.”

Sakinah senyum dan angguk. Beg kertas yang dia terima dipegang erat seperti eratnya janji dia untuk terus menyayangi Nayli.

“Tak apa Nay. Jumpa esok.” 

Sakinah beri salam, lempar senyum dan keluar dari butik dengan hati ria. Dia melangkah laju menuju ke perhentian bas. Tidak sabar hendak berjumpa emak. Hendak mengkhabarkan berita gembira. Namun dalam rianya hati tetap walang. Mampukah dia tempoh hari esok dengan berani.

Ya Allah, kuatkan semangat aku!

Seperti yang dijanjikan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience