BAB 35

Drama Completed 94402

Air mata jadi peneman saat dia tinggalkan rumah arwah ayah. Tinggalkan umi yang langsung tidak mahu melihat mukanya. Saat dia bimbit beg pakaian mengekori langkah emak menuju ke perhentian bas umi tetap juga diam di dalam bilik. Hanya Kak Sayyidah yang menangis tak henti-henti menghantarnya pergi.

"Emak... jaga Kinah baik-baik mak. Idah sayang sangat kat adik Idah yang seorang ini. Kalau Kinah tak dengar cakap emak jangan bagi Kinah makan nasi." pesan Sayyidah dalam linangan air mata.
Sakinah menangis. Dia tahu kakaknya itu hanya bergurau.

Ustazah Rohaya angguk dalam senyuman yang pedih. Sayyidah raih tangan Sakinah. Elus lembut dan genggam erat.

"Jangan lupakan kak Idah. Jangan lupakan umi walau umi cakap tak mahu jumpa Kinah. Kinah kena ingat syurga Kinah di bawah tapak kaki umi. Selagi Kinah tak kahwin selagi itulah umi syurga Kinah."

Sakinah angguk dalam linangan air mata.

Sayyidah renung mata adiknya. Lama dan buat Sakinah tidak sanggup berjauhan dengan kakaknya. Satu-satunya kakak yang amat menyayanginya.

"Kak Idah nak tanya sesuatu sebelum Kinah jauh dari Kak Idah. Soalan ini selalu bermain dalam kepala Kak Idah jadi... Kak Idah perlu tahu supaya kak Idah tak benci Kinah. Supaya Kak Idah akan sokong Kinah sampai akhir hayat Kak Idah."

Sakinah angguk.
"Kak Idah nak tanya apa?" soalnya dalam senyum yang cuba diukir. Namun nampak payah. Walau bibir terherot senyum tawarnya tetap nampak.

Sayyidah tarik Sakinah jauh dari orang ramai yang mula memenuhi perhentian bas. Tidak mahu perbualan mereka didengari orang. Ustazah Rohaya hanya membiarkan keduanya berbual lama sebelum Sakinah di bawa pergi dan entah bila pula mereka akan berjumpa semula.

"Kinah masih suci kan? Tak pernah diusik orang kan?" bila soalan itu terbit dari mulut Sayyidah pantas kepalanya angguk.

"Kinah akan jaga baik-baik diri Kinah dan Kinah hanya akan berikan pada yang berhak saja Kak Idah."

Air mata Sayyidah terus meluncur laju. Ya, itulah yang selayaknya.

"Jadi... semua cerita yang Kinah beritahu arwah ayah itu tak betul?"
Sakinah tunduk ke bawah.
"Kinah fitnah Hud?"
Bila nama Hud yang terlontar dari mulut kakaknya pantas sekali kolam matanya melimpah ruah. Pantang nama itu terdengar di telinganya dia akan sebak dan air mata akan laju terjun keluar seperti air terjun lagaknya.

"Hud tak bersalah tapi untuk apa Kinah petik nama Hud. Kenapa Kinah?" Sayyidah goncang bahu Sakinah bila adiknya hanya berdiam diri. Melihat tangisan Sakinah dia sudah tahu Sakinah terpaksa tetapi untuk apa dia jaja cerita itu. Dia kesal dengan apa yang telah adiknya buat.

"Kenapa Kinah buat dia macam tu. Kalau dia ada buat salah pada Kinah sekalipun Kinah tak boleh hukum dia macam tu. Fitnah orang itu dosa besar Kinah."

Sakinah diam.
"Patutlah Kinah pergi minta maaf pada dia hari tu. Mati-mati kak Idah ingat dia yang salah." Kali ini matanya pula yang berair.

"Kenapa Kinah buat dia macam tu?"
"Kinah cintakan abang Hud kak Idah."
Sayyidah terpempan.
"Kinah cintakan abang Hud." Ucap Sakinah dalam deraian air mata yang tak berkesudahan.
"Kalau cinta kenapa hukum dia?"
"Sebab Kinah tak nak dia tahu apa yang ayah buat dekat Kinah. Kinah nak dia pergi jauh dari Kinah. Biar dia benci Kinah tapi...." Sakinah jatuh terduduk dan menangis kuat. Dia sudah tidak hiraukan orang ramai yang memandangnya. Bahkan ada seorang dua orang kampung yang mengenalinya tertoleh-toleh ke arahnya. Pasti akan ada cerita yang akan terjaja nanti.
"Tapi... Kinah langsung tak menyangka dia akan benci Kinah sampai akhir hayat dia. Malah dia tak akan maafkan Kinah lagi."
Sayyidah raih bahu adiknya. Sakinah bangkit berdiri perlahan-lahan.
Sayyidah kesat air mata adiknya lalu peluk erat.
"Berat ujian Kinah. Berat sangat. Jadi, Kak Idah akan selalu berdoa semoga adik kakak akan kuat."
Sakinah tarik hingus yang keluar tak henti-henti.
"Selalu tersenyum dik walau cabaran silih berganti datang menguji. Kalau selalu tersenyum orang di sekeliling Kinah pun akan bahagia."
Sakinah angguk. Dia eratkan pelukan.
"Kak Idah doakan Kinah kuat ya."
Sayyidah angguk. Leraikan pelukan dan perlahan-lahan tarik Sakinah hingga menghampiri
susuk tubuh Ustazah Rohaya.
"Emak kena selalu sihat sebab Idah nak emak selalu ada untuk Kinah."
Ustazah Rohaya angguk.
Mereka saling berpandangan sebelum melangkah masuk ke dalam bas yang sudah sedia untuk bergerak bila-bila masa.
Sakinah ukir senyuman manis dengan harapan permulaan senyuman hari ini akan membahagiakan dia. Biar senyuman ini akan menjadi penawar pada semua orang. Biar juga senyuman ini menjadi sebab untuk dia terus kuat mengharungi liku-liku hidup yang tidak dia ketahui bila penghujungnya.
Sayyidah di luar lambai ke arah kedua-dua insan kesayangannya yang dibawa bas menuju ke destinasi yang dapat memberikan kebahagiaan pada mereka.
Moga Kinah akan selalu kuat. Bisiknya dalam hati dan bas menghilang dari mata namun air matanya tetap tak mahu surut.
"Kak Idah rindu Kinah." Tuturnya perlahan dan sapu air mata dengan harapan tidak akan ada lagi air mata seterusnya selepas ini. Biar kebahagiaan saja yang muncul.

*****

Makin kuat tangisan Sakinah hingga terhinjut-hinjut badannya menahan tangisan. Ustazah Rohaya tersedar dari lena apabila suara esakan Sakinah terdengar kuat. Dia buka lampu meja dan kelihatan air mata Sakinah laju menuruni pipi walaupun matanya sedang terpejam rapat.

“Abang Hud… ampunkan Kinah. Ampunkan Kinah.” suara Sakinah teresak-esak menyebut nama lelaki itu. Ustazah Rohaya sebak. Malam-malam Sakinah kini selalu terganggu. Dia simpati dengan anaknya itu. Bilakah ketenangan akan muncul membawa pergi penderitaan Sakinah. Dia tidak tahu.

Disekanya air mata yang keluar lalu dia kejutkan anaknya. Namun Sakinah tidak sedar juga.

“Abang Hud, mana abang. Jangan buat Kinah macam ni. Jangan seksa Kinah.”

Sakinah meracau. Memanggil-manggil lelaki itu. Tidak betah Ustazah Rohaya melihat Sakinah bagaikan orang sakit rindu padahal bukan rindu yang gadis itu rasai tetapi kesakitan. Sakit mendambakan kemaafan Hud.

"Abang Hud…."

“Sakinah!” panggil Ustazah Rohaya sedikit kuat lalu Sakinah tersedar dari lena. Dia bangkit, raup muka dan duduk bersandar di kepala katil.

“Kinah masih mimpikan dia?” tanya emaknya.

Sakinah angguk.

"Entahlah emak. Wajah abang Hud selalu muncul dalam mimpi Kinah. Bukan di dunia zahir saja dia sumpah Kinah. Malah dalam mimpi pun Sakinah terkena sumpahan dia." cerita Sakinah dalam sebak yang mencengkam dada. Ustazah Rohaya tarik Sakinah lalu dipeluknya erat.

“Banyakan berdoa pada tuhan sayang. Minta dengan tuhan selalu biar Dia leraikan semuanya. Biar  lembut juga hati dia untuk maafkan Kinah, untuk lupakan semuanya.”

Kinah angguk. Berharap mimpi berat ini akan berakhir jua. Walau dia tidak tahu sampai bila mimpi ini akan menghantuinya dia tetap bawa harapan ini. Harapan agar lelaki itu memaafkan dia dan akan dia genggam ke akhir nafasnya.

Abang… kalau abang bersumpah tidak akan ingat Kinah dan tidak akan mencintai Kinah lagi… Kinah pula bersumpah akan ingat abang sampai bila-bila. Malah tak akan ada lelaki lain yang mampu ganti nama abang dalam hati Kinah. Nama abang akan selamanya ada dalam hati Kinah. 

Kinah bersumpah Abang Hud. 

 

kuatkan semangat semua. last bab dan selepas ini muncullah Sakinah tang dewasa bersama satu watak baru. Please tinggalkan komen. Nak tahu macam mana. Okay ke x?huhuhu

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience