BAB 68

Drama Completed 94401

“Kau fikir masak-masak Kin.” Suruh Nayli sebaik saja Hud dan David sudah berlalu pergi. Sakinah tetap diam walau masa sudah lama berlalu. Hari sudah menjengah tengah malam dan dia masih diam di atas buaian di beranda tingkat atas. Bukan memikirkan lamaran keras Hud tetapi memikirkan nasib diri.

“Jangan sebab kau nak sangat dia maafkan kau, kau akan ikut saja kata-kata dia macam orang bodoh. Soal nikah kahwin ini bukan benda yang boleh di buat main-main Kin."

Sakinah pandang depan. Lampu malam yang menerangi jalan sedikitpun tidak membantu dia dalam membuat keputusan. Terasa kelam walau nampak sedikit cahaya.

“Dia tak bagi aku pilihan Nay. Kalau dia bagi aku pilihan senang untuk aku buat keputusan. Tapi apa yang aku nampak kalau aku kahwin dengan dia belum tentu aku akan tenang dan bahagia tapi aku boleh berusaha untuk bahagia. Aku akan pasti  berusaha untuk pujuk dia maafkan aku. Tetapi kalau aku tolak, dia tetap tak maafkan aku dan aku akan terus terumbang-ambing. Tenang dan bahagia itu tak akan wujud untuk selama-lamanya.”

Sedih Nayli dengan hidup Sakinah.

“Jadi kau akan  terima lamaran dia juga?” soal Nayli lagi. Sakinah diam dan pandang hadapan yang sememangnya tak nampak apa-apa. 

“Aku dah cakap Nay. Aku tak ada pilihan lain. Macam depan yang aku pandang sekarang Nay.  Walau ada lampu yang menerangi aku tetap nampak warna hitam dan gelap. Tak nampak apa-apa. Tapi aku harap bila aku pilih gelap, akan ada cahaya yang akan menyuluh dan menerangi kegelapan ini.” Ujar Sakinah lantas memandang Nayli dalam-dalam. 

“Kau cintakan dia kan Kin?” soal Nayli mahu tahu walaupun hakikatnya dia sudah tahu.

Sakinah kembali menghadap hadapan rumah. Duduk di beranda malam-malam begini cukup mendamaikan. Angin yang berhembus sepoi-sepoi bahasa menyentuh kulit wajahnya dan Sakinah sentuh pipinya dengan kedua-dua tangan. Dia  mahu angin yang menyapa tubuhnya membantu dia membuat keputusan.

Nayli tarik tangan Sakinah.

“Aku tanya kau ni Kinah. Kau cintakan dia ke?”

Sakinah diam dan hanya berikan senyuman.

“Agak kau?”

Nayli terangguk-angguk dengan mata berkelip-kelip pandang Sakinah.

“Dah kau senyum macam tu tentulah aku rasa dan aku agak kau memang cintakan dia. Tapi sejak bila?”

Sakinah senyum lagi. 

“Sejak hari pertama dia cakap dia sukakan aku.” Teringat saat Hud mengayat dia dan mengucap kata cinta suatu waktu dulu,
    “Means dah 10 tahun Kin. Maknanya selama ini Hud tak bertepuk sebelah tangan?”   

Sakinah angguk dan beri senyuman hambar..

“Ya Nay. Dah lama rasa ini tumbuh. Tapi… aku yang tak mampu nak balas rasa ini. Kan aku dah cerita semuanya.”

Nayli angguk. Semuanya sudah Sakinah ceritakan.

“Sekarang aku yang ragu. Adakah dia masih sukakan aku macam dulu. Kalau kau tengok dia sekarang tentu kau pun tahu jawapannya kan. Aku hanya nampak kebencian dalam mata dia. Aku hanya nampak dendam Kin.” Kolam matanya mula bergenang.

“Kalau macam tu kau jangan terima lamaran dia. Aku pula yang takut. Aku takut dia cuma nak perangkap kau. Mungkin lepas kahwin dia akan seksa kau cukup-cukup.”

Sakinah fikir lama.

“Tolong Kin. Jangan terima lamaran dia.”

“Kalau aku tak terima ada jaminan ke dia tak akan cari aku?”

Nayli geleng kepala tidak tahu.

“Dia dah bersumpah Nay. Walau kat mana saja aku sembunyikan diri dia akan cari aku sampai dapat.”

Nayli buntu.

“Aku tak rasa nak larikan diri Nay. Aku nak hidup dengan dia.”

“Kalau kau hidup dengan dia boleh jamin ke dia tak akan ingat apa yang kau dah buat dengan dia? Boleh jamin ke dia akan layan kau macam isteri yang sebenarnya. Entah-entah dia akan gantung kau tak bertali.”

Akhirnya kolam mata Sakinah pecah juga.

“Kau rasa dia akan sayang aku tak kalau aku kahwin dengan dia?”

Nayli geleng.

“Itu aku tak tahu. Tapi kalau dia dah benci sangat dengan kau mana mungkin perasaan benci tu boleh hilang sekelip mata Kin. Sepuluh tahun dia tak lupa apa yang kau buat dengan dia kan. Bila dah depan mata, aku takut benci tu tak hilang Kin.”

Kata-kata Nayli buat Sakinah gerun. Perlu ke dia kahwin dengan lelaki itu semata-mata kerana hendakkan secebis kemaafan dari lelaki itu. Berbaloikah dia korbankan perasaannya demi sebuah kemaaafan. Kalau dia lari akan selamatkah dia. Akan tenangkah hidup dia.  

Dia keliru.

“Janji kau dengan mak su Lini. Macam mana?”

Lagilah Sakinah keliru. Apa yang patut dia buat.

Akhirnya dia lepaskan rasa keliru dengan menangis semahu-mahunya.

*****

Hud tilik pengikat rambut di tangan. Beg gadis itu telah dia beri semalam namun pengikat rambut itu dia simpan sebagai bukti.  Dia mahu bukti yang Sakinah sebenarnya cintakan dia. Dia mahu dengar dari mulut gadis itu sendiri ucapan cinta bersulam rindu. 

Kalau Sakinah cintakan dia, dia akan buang rasa benci ini dan  jaga Sakinah sampai akhir hayat dia. Tetapi kalau gadis itu hanya mahukan kemaafan dia pasti akan seksa gadis itu secukupnya. 

Dan sekarang dia sedang tunggu keputusan dari gadis itu. Kalau gadis itu mengiyakan senang kerjanya nanti. Jika tidak jawapannya dia masih punya cara lain untuk seksa gadis itu secukupnya.

Aku tunggu kau Kinah.

******

Hud yang sedang berada di meja  kerjanya tersenyum bila nama Sakinah naik sebagai pemanggil.

“Macam mana? Aku tetap nak tanya juga walaupun aku dah tahu apa jawapan kau.” soalnya sebaik saja panggilan gadis itu di jawab.

Sakinah di corong sana telan liur. Dia sudah yakin namun mendengar suara tegas lelaki itu buat kepalanya berfikir lagi.

“Kau tak perlu nak ambil  masa yang lama sebab apa saja keputusan kau, aku tetap akan mengekori kau dua puluh empat jam Sakinah.”

“Ya, saya setuju.”

Terus terluncur laju jawapan dari bibir nipis Sakinah dan buat Hud tersenyum menang.

“Kau setuju apa?”

“Saya setuju untuk kahwin dengan tuan.”

“Tuan? Tuan mana?”

Sakinah terpinga-pinga.

“Tuanlah.”

Hud senyum senget.

“Mulai hari ini aku tak nak kau panggil aku tuan. Panggil aku abang macam yang selalu keluar dari mulut kau.”

Sakinah telan liur. Hud dan kuasa autokrasinya tak pernah berpisah.

“Kalau kau engkar arahan aku, kau akan dapat habuan pahit.”

Sakinah angguk dan putuskan talian. Dia tak kahwin lagi tapi dah rasa pahitnya. Namun Hud di sebelah sana pula senyum tak henti-henti.

Dia dah menang.

tak tahu nak cakap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience