BAB 31

Drama Completed 94344

Sakitnya tubuh Sakinah hanya tuhan saja yang tahu. Belakang yang melecur masih belum sembuh tetapi dia tidak mahu melayan sakit yang terasa. Kepalanya tika ini tetap memikirkan Hud. Bagaimana keadaan lelaki itu sekarang. Pasti dia terseksa sebab aku. Monolog hatinya bersama deraian air mata yang tak mahu surut.

Dia bersalah. Amat bersalah kerana mereka cerita yang tak betul. Dia yang patut mati bukannya Nek Wan. Dia yang bodoh. Mengikut kata-kata Joe tanpa usul periksa.

Perasaan bersalah ini semakin menguasai diri. Kenapalah dia bertindak melulu. Betullah kata orang tua. Kerana mulut badan binasa. Ya, dia sudah binasa. Hatinya pecah berderai dan jiwanya hancur lumat. Harus bagaimana hendak dia memohon ampun pada lelaki itu agar memaafkan kesilapan yang tidak disengajakan. Dia tidak sengaja. Kerana amarahnya dia buat cerita. Ya Allah, jahatnya seorang Sakinah. Harus bagaimana dia hendak meraih keampunan Hud.

Puas berfikir, dia gagahkan diri bangkit dari katil. Tudung di capai lalu dipakai dan cepat-cepat dia melangkah keluar dari biliknya.

“Nak ke mana Kinah?” tanya Sayyidah di atas kerusi rotan. Nampak mukanya sembab. Pasti dia juga menangis tak henti-henti dengan segala hal yang berlaku sehari dua ini. Sakinah tidak menjawab.

“Kinah nak ayah mengamuk lagi.”

Gadis itu yang sudah berada di muka pintu hentikan langkah lalu palingkan muka memandang Sayyidah.
"Kinah nak pergi jumpa abang Hud."

"Kenapa? Nak kena pukul lagi?"
Sakinah ketap bibirnya.
“Kinah buat salah atau pun tidak ayah tetap akan pukul Kinah. Sekarang, Kinah dah tak kisah ayah nak buat apa pun pada Kinah, buatlah."

Habis berkata Sakinah melangkah turun dengan laju. Tidak mahu kakaknya menyekat kemahuannya sekarang. Mahu berjumpa Hud dan meminta maaf pada lelaki itu.

“Kak Idah ikut.”
Sayyidah bangkit dari kerusi rotan dan dengan susah payah mengekori langkah Sakinah. Dari belakang dia lihat langkah Sakinah tidak teratur. Nampak gadis itu menahan sakit akibat habuan yang ayah berikan. 

Dalam mengekori langkah si adik kepalanya ligat memikirkan tujuan Sakinah mahu berjumpa lelaki itu. Untuk apa sakinah mahu ke rumah orang yang dikatakan telah meragut kesuciannya. Mengapa hendak dilukakan hati sendiri menemui lelaki tak tahu malu itu. Sayyidah tidak faham. Dia mula benci lelaki itu yang telah membuat adiknya kesakitan.

Dia kelelahan namun akhirnya segala lelah tamat apabila kaki Sakinah sudah memijak laman rumah arwah Nek Wan. Sampai saja di rumah kayu mewah itu tiada seorang pun yang kelihatan. Sunyi sepi malah nampak suram. Semenjak orang tua itu pergi suasana sudah tidak seperti dulu lagi. Tiada seri.

Sakinah pandang sekeliling. Cari lelaki yang telah dilukakan hatinya. Dia atur langkah ke pintu rumah arwah Nek Wan namun berhenti di tengah jalan apabila terlihat Hud melangkah lemah dari arah belakang rumah sedang mengelek tikar mengkuang di celah lengannya. Lelaki itu nampak tidak bermaya.

Sakinah pantas menghampiri Hud. Sayyidah juga mengarah kakinya ke sana. Mendapatkan Sakinah yang sudah setentang dengan Hud.

“Abang Hud!” panggil Sakinah sayu. Hud hentikan langkah dan memerhati Sakinah dengan renungan tajam. Kemudian dia tunduk semula menarik nafas panjang.

Sakinah pula sudah basah lencun wajahnya dengan air mata. Air jernih itu cepat benar turun membasahi pipi. Semenjak dia petik nama lelaki itu dalam cerita tak benarnya pantas saja air matanya menitis keluar.

"Abang Hud." sekali lagi dia panggil lelaki itu.
Hud angkat muka dan memandang jijik wajah Sakinah. Malah dia jijik dengan suara yang memanggilnya abang.

“Kau jangan nak tunjuk baik panggil aku abang. Aku benci kau Kinah. Selamanya aku akan benci kau.”

Esakan Sakinah makin kuat berlagu.
“Ampunkan Kinah. Ampunkan Kinah abang Hud.” Lagi sekali dia merayu namun hati seorang Hud sudah keras tak mampu dilembutkan lagi.

"Kau jangan nak panggil aku abang. Selama ini pun kau tak pernah panggil aku abang. Sebab kau dah rasa bersalah kau mula nak panggil aku begitu."

"Abang... Kinah....." Sakinah tidak mampu nak teruskan kata. Kalau hati Hud hancur berderai sebab fitnah yang dia lemparkan hati dia pula hancur kerana dia tak mampu nak jelaskan hal yang sebenarnya.

“Untuk apa kau datang lagi. Kalau sekadar nak meminta maaf, aku tak akan terima maaf kau Kinah.”

“Abang….”

“Jangan sesekali kau panggil aku abang. Aku benci kau. Sekali aku benci sampai mati aku  akan benci kau.”

Marah Hud sudah  bermula. Pertama kali dia lihat lelaki itu meluahkan amarahnya dan buat Sakinah menyesal berjuta kali.

“Kinah tak sangka….”

“Kau jangan sebut. Sekali kau sebut aku tak akan teragak-agak buat laporan polis.”

Sakinah menangis lagi.

“Pertama kali aku jumpa perempuan jahat macam kau. Cinta yang aku cuba beri tapi kau balas dengan tuba. Malah tuba yang kau hantar telah membunuh orang yang aku sayang.”

Gugur juga air mata lelakinya. Hud seka sebelum jatuh berguguran dengan banyaknya.

“Kinah mohon ampun abang Hud.”

“Jangan sebut nama aku. Mulut kau kotor. Jangan kau kotorkan nama aku dengan mulut kau.”

Sakinah terdiam. Hanya esak tangis yang kedengaran. Sayyidah di belakang akhirnya memahami walau bukan sepenuhnya.

“Jangan sebut nama aku sebab nama kau pun aku takkan sebut. Malah aku akan buang nama kau dari kepala aku buat selamanya.”
Sakinah sudah tidak mampu berbuat apa-apa apabila Hud mula tunjuk taringnya.

“Abang Hud…” Sakinah sebut juga walau di larang. Pedih hati Hud mendengar suara itu.

Sakinah tarik lengan baju melayu lelaki itu tetapi di  tepis kuat oleh Hud malah dia tolak Sakinah hingga muka gadis itu tersembam ke tanah.

“Baik kau pergi sebelum aku hilang kawalan.”

“Abang Hud.” tak jemu Sakinah memanggil nama lelaki itu. Hati Hud sudah hancur berderai malah sudah tidak mampu diselamatkan lagi. Hancurnya hati dia ibarat debu-debu halus berterbangan lalu hilang ditiup angin. Sakinah tidak akan jumpa lagi sekeping hati milik Hud selamanya.

Sakinah mengengsot memaut betis Hud.

“Ampunkan Kinah.”

Hud pantas beralih sebelum tangan Sakinah memaut dengan lebih kuat.

“Aku jijik dengan kau. Mulai hari ini aku tak nak tengok muka kau lagi. Kau berdoalah supaya kita tak akan berjumpa semula. Kalau aku jumpa kau budak, nahas kau aku kerjakan. Sampai mati aku akan seksa kau. Jadi... baik kau berdoa supaya kita tak akan berjumpa lagi."

Dia mahu hilangkan diri. Tidak mahu pandang muka gadis itu. Jijik melihat muka gadis itu malah hatinya cukup sakit. Teramat sakit hingga tiada patah kata lagi yang mampu digambarkan.

"Aku sumpah kau budak. Kau tak akan bahagia sampai bila-bila. Nama aku akan menghantui kau sampai mati. Malah aku sendiri bersumpah yang aku tak akan jatuh cinta dengan kau sampai bila-bila walaupun takdir menemukan kita kembali."

Puas menyumpah dia masuk ke dalam rumah dengan cepat.

Sakinah menangis semahu-mahunya di atas tanah. Pandang ke arah pintu rumah arwah. Mengharapkan Hud akan muncul namun wajah Mak Su Lini yang muncul. Nampak wajah perempuan itu basah dengan air mata. Sakinah kalah melihat wajah anak bongsu arwah Nek Wan. Dia kalah sebelum sempat berjuang habis-habisan.

Sayyidah di belakang yang menyaksikan kejadian itu juga turut sama menangis. Dia tidak tahu sepenuhya apa yang berlaku. Namun melihat wajah kedua-duanya hati seorang kakak turut terseksa.

Kau tunjukkan jalan  pada mereka ya Allah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience