BAB 67

Drama Completed 94300

Hud bawa masuk beg sandang Sakinah yang tertinggal di dalam keretanya ke dalam bilik lalu dicampaknya ke atas katil. Beg sandang yang nampak lusuh itu dipandang lama. Terasa sebak dadanya melihat beg yang lusuh dan hampir tercabut talinya itu. Dia hempas punggung ke atas katil dan tarik beg tersebut. Letak atas paha lalu sentuh dan usap lama. Perbuatannya itu seolah-olah dia sedang mengusap wajah Sakinah. 

Dalam gelora mengingati gadis itu tangannya tersentuh hujung beg sandang yang menggelupas kulitnya lalu wajah Sakinah berterbangan hilang dan berganti rasa ngeri. Apa yang dia sentuh di belakang gadis itu tadi dan kenapa bila mengingatinya dia rasa pedih. Kerana tidak mahu biarkan rasa itu makin melemahkan diri dia baling beg ke hujung kepala katil. Habis terkeluar isi di dalam bila beg tersebut terpelanting jatuh ke bawah. Matanya disepetkan. Lihat isi yang berterabur.

Tiada apa pun kecuali telefon pemberiannya. Dompet gadis itu. Sebatang pen dan juga bedak compact yang sudah terburai isinya serta sebatang lip balm. Dia hampiri beg dan bila tangannya tarik beg untuk dimasukkan semula barang-barang tersebut tangannya tersentuh sesuatu di hujung zip.

Seurat pengikat rambut hitam yang tergantung keychain hello kitty ditarik perlahan. Tergamam saat melihat pengikat rambut tersebut. Perlahan-lahan dia tilik pengikat rambut itu. Buruk dan getahnya sudah kendur.

Pengikat rambut ini.

Dia ingat. Ya, dia ingat. Pengikat rambut ini dia letak dalam poket baju kurung Sakinah saat gadis itu terbaring lemah di dalam bilik rawatan suatu waktu dulu. Dia ingat lagi masa itu Sakinah tidak menolak saat dia kucup tangan gadis itu.

Apa sebenarnya yang kau sembunyikan dari aku Sakinah. Apa tujuan kau buat aku sengsara 10 tahun lamanya. Pengikat rambut ini kenapa masih kau simpan. Dia berfikir dalam. Mencari jawapan pada soalan yang dia tanya sendiri. Tangan digenggam dan tilam ditumbuknya geram apabila jawapan tidak dia temui.

Apa yang kau nak sebenarnya Sakinah. Kau bukan hendakkan kemaafan dari aku saja bukan. Kau dambakan sesuatu yang lain.

Dadanya rasa ketat. 

Cinta!

Apakah kau cintakan aku Sakinah?

Soalan itu berulang di dalam kepala. Puas berpusing hingga dia rasa geram.

Dia geram lalu dia tumbuk tilam sekali lagi. Hamburkan rasa geram dan amarahnya pada tilam.

Geram kerana Sakinah masih menyembunyikan hal yang sebenarnya dan amarahnya meletus kerana dia cemburu. Cemburu apabila sakinah mampu senyum di hadapan David tetapi tidak padanya. Sikap terburu-burunya tadi tidak seiring dengan akalnya. Hati menyuruh usik gadis itu tetapi akal menghalang. Mujurlah ada sesuatu yang menghalang jika tidak gadis itu akan dirosakkannya. Ah, dia hilang kewarasan gara-gara hatinya yang masih menyimpan cinta untuk gadis itu.

Ah, Sakinah!

Kerana kau aku dah jadi jahat. Tetapi jahat ini hanya muncul bila  ada kau. Kau buat aku tak mampu nak lupakan kau walau sesaat. Kau buat aku ketagih dengan kau Sakinah

Arghhh!!!

Dia menjerit kuat. Mahu semua rasa kesal, rasa marah dan rasa benci yang ada dalam dada berlari keluar. Dia mahu tenang. Dia mahu semuanya berlalu tetapi bila wajah Sakinah muncul lagi dia kalah. Dia mahu dera gadis itu. Dia mahu ajar secukup-cukupnya. Namun sekali lagi dia tak mampu menghukum gadis itu bila rasa cinta ini semakin hari semakin menggunung lalu menunjal-nunjal dadanya hingga hampir pecah.

Sakinaaahhh!!!

Aku cintakan kau.

****

David terkejut bila mengetahui Sakinah demam. Baru saja hendak berjumpa gadis itu untuk membawanya keluar makan bersama namun perkhabaran yang disampaikan Nayli kurang enak singgah di telinganya.

Hud buat jahat dekat Sakinah!

Tidak!

Dia tidak mahu percaya kerana sepanjang dia kenal Hud lelaki itu bukan seperti dia. Pantang melihat perempuan cantik terus lemah imannya. Hud juga tidak ada kekasih. Walau Shella selalu menghimpit Hud tidak pernah rasa mahu membalas. Dia hanya biarkan Shella tetap dengan sikapnya.

Tetapi hatinya panas. Dia yang selalu berbuat jahat pada perempuan lain tetapi bila Sakinah yang menjadi mangsa Hud dia tak mampu berdiam diri.

Pagi ini dia meluru masuk ke dalam bilik Hud. Akibat geram sebuah tumbukan padu hinggap ke muka lelaki itu tanpa sempat dielak Hud. Rashdan yang turut serta berbincang dengan Hud pagi ini di meja lelaki itu pantas bangun dan dengan lajunya mengunci pergerakan David. Hud yang terkebil-kebil sudah berdiri dan bersedia dengan pukulan kedua David bila-bila masa saja.

“Kau dah kenapa David?” Tanya Rashdan.

"Kau jangan masuk campur." Dia tolak Rashdan tetapi lelaki itu pandai mengunci sehingga dia tidak mampu lepaskan diri. 

"Kau nak apa. Datang tumbuk aku macam orang gila?" Soal Hud sambil tangannya menggoyang rahang sendiri yang kesakitan. Bibirnya pecah dan sedikit berdarah bila dia sentuh hujung bibirnya.

Setelah bersusah payah akhirnya David berjaya tolak Rashdan. Lelaki itu menjauh dan David dekati Hud hingga muka mereka hampir bertembung.

“Kau buat apa dekat Sakinah sampai dia demam.” soal David keras.

Hud tercengang. Dia tidak tahu apa yang jadi dengan Sakinah bila gadis itu hilang dalam kejadian semalam. Kalau David tak muncul dia tidak akan tahu apa yang dah jadi dengan Sakinah.

“Kau bawa dia kelmarin kan. Kau buat apa. Kau dah rosakkan dia ke?”

Rashdan terkejut. Buntang matanya dengan kata-kata David. Tak mungkin ketuanya ini sudah hilang akal.

Hud pula ketap gigi hingga berlaga sesama sendiri. Dia tahu apa yang Rashdan fikir tetapi dia biarkan saja kerana hanya dia dan Sakinah saja yang tahu cerita sebenar.

“Aku tak faham dengan kau. Apa yang kau cuba buat sebenarnya. Dia budak baik. Kalau dia perempuan yang sama macam yang aku dah usung ke sana ke mari aku tak akan bagi dekat kau. Malah aku yang akan merasa dulu."

Tak semena-mena Hud tarik kolar baju David dan cengkam kuat.

"Kau jangan nak fikir buruk. Sikitpun kau jangan nak fikir. Dia hak aku dan hanya aku yang berhak.”

Hud tolak David dan lelaki itu berundur bila kata-kata Hud berbunyi autokrasi. Lelaki itu berkuasa penuh atas Sakinah padahal gadis itu bukan hak milik dia  yang halal..

“Arghhh!!!”

David menjerit kuat. Tumbuk meja Hud dengan sekali tumbuk. Sakit hatinya dengan sikap Hud yang langsung tidak difahaminya.. Makin sakit hati bila gadis yang baik itu menjadi mangsa. Mangsa pada kemarahan Hud yang dia tidak tahu apa puncanya. 

Rashdan yang ada bersama hanya menikus semenjak tadi gelengkan kepala. Sakit kepalanya melihat kedua-dua lelaki ini. Semenjak Sakinah muncul nampaknya hubungan keduanya sudah berantakan.

Hud pula pandang lelaki itu tajam. Dia tahu kenapa amukan David meletup. Dia tahu ada sesuatu dalam hati lelaki itu bila Sakinah menjadi topik petang ini.

“Aku nak pergi jumpa Sakinah.”tiba-tiba David memberi kata putus. Baru nak melangkah Hud berbunyi.

“Buat apa kau nak cari dia?”

"Aku nak tengok dia. Kalau dia betul-betul tak sihat aku ada untuk tolong dia. Aku akan sentiasa ada untuk dia."

Hud ketap gerahamnya.

"Kau tak perlu nak tunjuk sikap ambil berat. Dia hak aku dan hanya aku yang berhak."

David sungging senyum.

“Kalau dia hak kau cuba kau cakap dengan aku kat mana dia sekarang. Aku dah pergi rumah sewa dia. Cari dia tapi jiran sebelah cakap dia dah tak tinggal kat situ lagi. Aku dah tanya Nayli tapi dia pun diam."

Hud tersentak. Lama dia berfikir akhirnya dia tunjuk senyum sinis.

"Aku risaukan dia. Macam mana kalau dia pengsan kat mana-mana.” Ujar David risau dan lagilah berdebar hati lelaki Hud bila kerisauan David melebih-lebih.

"Kau jangan bimbang. Aku tahu dia kat mana dan aku tahu apa yang ada dalam kepala kau sekarang sama dengan apa  yang kepala aku fikir."

David kerutkan muka.

Nayli!

Bukankah gadis itu cakap yang Sakinah akan menolongnya di butik selepas berhenti kerja. Ya, gadis itu kawan baik Sakinah. Mestilah dia yang akan tolong Sakinah. Ah, kenapa dia tak terfikir yang gadis itu menumpang di rumah Nayli.

Dia pandang Hud yang tarik kunci kereta di atas meja.

“Rash, kau tak payah tunggu aku.” pesan Hud pada Rashdan dan terus keluar tanpa beri apa-apa pesanan pada David yang terlopong. Tetapi David tidak akan berdiam diri. Dia tidak mahu ketinggalan lalu dia mengekori langkah lelaki itu yang sudah pun memandu keretanya meninggalkan bangunan Syarikat. Dia pula masuk ke dalam kereta dan menuju ke rumah Nayli. 

Apabila sampai kelihatan Nayli di luar kawasan rumah sedang membuang sampah. Nampaknya Nayli tidak ke butik hari ini bila pakaiannua santai sahaja.

Nayli tersentak. Melihat Honda Civic metallic di belakang terus tangannya dikepal. Serasa mahu tumbuk lelaki yang sudah keluar dari perut kereta dan berdiri di depannya.

“Sakinah mana?” tanya Hud tanpa sapaan. 

Nayli tidak tunjuk riak terkejut kerana dia sudah mengagak yang lelaki itu akan mencarinya. Atau dengan lebih tepat lagi mencari Sakinah Mungkin dia sudah dapat berita yang Sakinah tidak sihat. Sengaja dia beritahu David agar lelaki itu khabarkan pada Hud. Dan… rancangannya menjadi. Hari ini dia akan ajar Hud secukupnya. Cuma dia pelik. Kenapa David mesti ada sekali dan kenapa hujung bibir Hud pecah dan berdarah.

“Tak perlu lah kau nak tahu kat mana dia sekarang. Cukup-cukuplah kau seksa dia. Mulai saat ini biarkan dia hidup dengan  tenang. Tak perlu kau nak cari dia lagi Hud.” Ujar Nayli sedih. Dia tidak menunggu lama. Kaki melangkah masuk ke dalam laman rumah.

Hud pandang David yang tidak faham dengan apa yang berlaku. Tentu kepala lelaki itu sedang berteka teki. Sejauh mana Hud kenal Nayli dan sejauh mana hubungan Hud dengan Sakinah. 

David resah. Mulalah dia rasa tak sedap hati. Sejak  kenal Sakinah dia sendiri rasa pelik dengan hatinya.

Hud tolak pagar lalu menyaingi langkah Nayli yang sudah berada di depan pintu rumahnya yang tertutup.

“Kau nak apa Hud?” tanya Nayli geram apabila muka Hud nampak tak puas hati.

“Aku nak Sakinah.” 

Bulat mata Nayli dengan jawapan Hud. Begitu juga David.

“Kau nak buat apa. Dia tak ada kat sini.” ujar Nayli. Dia pegang tombol pintu. Teragak-agak hendak memulas tombol dan buka pintu. Bimbang Sakinah akan muncul dan Hud tahu Sakinah ada di dalam.

“Kau jangan tipu. Aku tahu dia ada kat dalam.” balas Hud apabila  melihat sepasang kasut berwarna coklat muda betul-betul diam di depan pintu rumah Nayli. Dia tahu itu kasut yang Sakinah pakai semalam.

“Aku cakap dia tak ada kat sini.” marah Nayli. Mahu masuk ke dalam dan kunci pintu tetapi belum sempat dia tolak daun pintu Hud terlebih dahulu menolaknya dan masuk ke dalam tanpa Izin Nayli. Menjerit besar gadis itu dengan perlakuan Hud yang tidak disangka-sangka.

Hud melilau mencari Sakinah.

David yang terpempan di dalam turut masuk namun dihalang Nayli. Gadis itu saja biarkan Hud melilau dan dia tahan David di muka pintu. Keduanya hanya memerhati. 

Hud geram. Mahu jejak anak tangga untuk ke atas namun bayang Sakinah yang menjejaki tangga mengejutkan semua. Gadis itu bimbit beg pakaian dengan lemah. Terpempan Sakinah melihat Hud depan matanya. Nayli pula terkejut kerana Sakinah turun ke bawah dengan beg pakaian.

Wajah itu pucat dan sembab. Gadis itu masih lagi demam dan hendak ke mana dengan membimbit beg pakaian tersebut.

Hud jejak anak  tangga dan tarik Sakinah hingga ke bawah. Beg pakaian di tangan Sakinah terlepas dan diam di atas anak tangga. Gadis itu pula keraskan badan tidak mahu ikut lelaki itu tetapi tenaganya yang terbatas buat kakinya mengikut juga langkah Hud yang sudah hampir di muka pintu. Berdekatan David dan Nayli.

“Kau nak apa lagi.” jerit  Sakinah kuat. Cuba meloloskan diri.

“Urusan kita belum selesai.” jawab Hud tegas dan berhenti. Mukanya masih mengadap David dan Nayli.

“Tak cukup ke dengan apa yang kau dah buat semalam.”

Hud terpempan. Teringat balik perbuatannya pada Sakinah semalam.

“Kau nak sambung balik apa yang kau dah buat dekat aku? Kau masih tak puas hati lagi kan. Kau nak aku betul-betul jadi mayat baru kau nak maafkan aku.”

Hud berpaling. Betul-betul merenung wajah itu. Serinya hilang akibat pucat yang bukan dibuat-buat.

Sakinah sudah menangis.

“Aku rayu pada kau. Maafkan aku. Maafkan segala  dosa-dosa aku pada kau. Kau ampunkan aku. Lepas tu kau lepaskan aku. Izinkan aku hidup tenang.”

Sakinah tiba-tiba melutut dan buat semua yang ada di situ terkejut. Dia menekur ke bawah bersama tangisan yang sudah berirama. Nayli yang menyaksikan semuanya juga turut menangis. David juga sama. Dadanya ketat dan sebak melihat Sakinah begitu. Entah apa yang gadis itu  lalui hingga hanya air mata yang menemani. Kalaulah Sakinah merelakan dia sudi peluk dan tenangkan gadis itu.

“Tolonglah abang Hud. Kinah mohon... ampunkan Kinah. Kalau abang Hud maafkan segala kesalahan Kinah, Kinah janji yanv Kinah akan pergi jauh dan tak akan kembali lagi.”

Hud tarik nafas panjang. Panggilan gadis itu padanya merentap tangkai hati. Terasa pedih menjalar dan buat dia rasa sakit.

Gadis itu sentiasa meminat maaf.  Bersediakah dia untuk memaafkan. Kalau dia bersedia bermakna dia sudah bersedia juga untuk kehilangan gadis itu. Akhirnya dia buat keputusan. Keputusan ini dari hati dia sendri.

“Kau nak aku maafkan kau kan?” Tanya Hud mematikan esak tangis Sakinah.  Dia mencangkung lantas dagu gadis itu dicengkam kuat.

“Kau nak sangat aku maafkan kau kan.”

Sakinah angguk dalam rasa sakit.

Hud renung ke dalam mata Sakinah. Tarik nafas panjang dan hembus kuat..

“Kahwin dengan aku.”

Buntang mata semua dengan kata-kata Hud dan  buntang lagi mata Sakinah.

Akhirnya dia longlai ke bawah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience