BAB 02

Drama Completed 94291

Sakinah perasan sewaktu ke koperasi rehat tadi ada sepasang mata yang asyik melihatnya. Tetapi dia tidak ambil pusing kerana bukan seorang saja yang suka melihat malah merenungnya dalam-dalam. Banyak pasang mata lelaki di sekolah ini yang nampak jelas tidak boleh dipercayai. Dia tidak akan sesekali melayan karenah pelajar lelaki terutama yang belajar dalam kelas hujung. Kelas yang menempatkan pelajar lemah dan nakal.

Risau juga hatinya. Mana tahu dalam banyak-banyak mata yang memandang akan ada yang berniat jahat. Sebab itulah dia akan selalu ingat pesan ayah.

“Jangan percayakan lelaki Kinah. Jangan sesekali terima huluran tangan lelaki yang berjanji hendak menjaga  Kinah. Jangan sesekali percayakan mereka.”

Ayah selalu pesan begitu dan akan selalu bertanya terutama selepas dia balik dari sekolah. Ada tak pelajar lelaki yang ikut dia balik. Ada tak pelajar lelaki yang bagi dia makanan. Ada tak pelajar lelaki yang bagi dia surat?

Dia tidak sembunyikan apa-apa pun dari ayah kerana soalan ayah hanya dijawab gelengan atau diangguk tanpa perasaan.

Tiba-tiba matanya menangkap kelibat lelaki tadi yang sedang berdiri di balik pokok bunga di depan kelasnya. Pandangan mereka bertembung. 

Sakinah tidak mahu kalah. Dia tidak larikan pandangan hinggalah Ustazah Fatimah muncul di muka pintu kelas dengan wajah merah gaya menahan marah. Lelaki tadi pula sudah lari entah ke mana.

“Kau tengok apa?” Tanya Nayli sebaik berdiri untuk menjawab salam ustazah.

“Nantilah aku cerita.” Sakinah tidak mahu memikirkan lelaki itu. Dia terus fokus pada pengajaran Ustazah Fatimah hinggalah waktu persekolahan tamat.

“Kau nak balik terus ke Kinah. Tak nak ikut aku ke pekan?” tanya Nayli apabila melihat laju benar Sakinah memasukkan buku-buku ke dalam beg sandangnya. Gadis itu diam sekejap.

“Tak kut. Aku nak balik tolong ayah aku kat kebun.” Jujur jawapan Sakinah. Tanpa menunggu Nayli dia terus ke garaj menuntun basikal hingga ke luar kawasan sekolah.

“Hai cik adik.” seseorang menegur dari belakang saat dia sudah jauh mengayuh basikal. Dia berhenti dan menoleh ke arah suara yang menegurnya. Dua buah motosikal dihentikan. Satu motor berkuasa tinggi. Satu lagi motor cabuk. Motor cabuk itu dipandu oleh lelaki yang merenungnya waktu rehat tadi.

Melihat lelaki yang tersengih macam kerang busuk itu dia teruskan kayuhannya. Mamat dengan motor cabuk itu dia tidak kenal tetapi  Joe dan Khair memang dia kenal sangat. Kaki lepak dan kaki mengusik budak-budak perempuan. Disebabkan kenallah dia malas nak melayan. Buat sakit hati nanti adalah.

“Kinah, apasal kau cantik sangat eh. Boleh aku pegang kau kejap. Nak lepas rindu.” Tangan Joe menahan handle basikal Sakinah.

Cerlung mata Sakinah pandang Joe. Lelaki itu sejenis yang tak makan saman. Bukan dia tidak kenal. Kalau bapak segala pengusik dan pengayat perempuan itu tak lain tak bukan adalah Joe. Joe Jambul kaki skodeng.

“Memang tak ada kerja ke sampai kat luar sekolah pun nak mengusik.” Marah Sakinah. Dia tepis tangan Joe. Matanya kerling pula pada lelaki dengan motor cabuk. Sengih dari tadi. Menyampah.

Dia teruskan kayuhan. Tiba-tiba lelaki dengan motor cabuk tadi menunggang perlahan-lahan dan sudah ada di sebelah Sakinah.

“Boleh kenal?” Hud senyum. Cuba berbaik dengan gadis itu. Sakinah brek basikal secara mengejut dan menjeling tajam.

“Tak ada masa nak main kenal-kenal. Jangan sibuk nak kacau orang.” marah Sakinah lantas melajukan kayuhan hingga sampai di bawah rumah.

“Tu rumah dia.” muncung mulut Khair memberitahu Hud. 

Hud sengih. 

Tak jauh mana pun rumah gadis itu dengan rumah neneknya. Senang dia nak mengintai gadis itu yang asyik mengacau mindanya sejak rehat tadi.

“Jom balik. Esok-esok pun boleh mengurat.” Ajak Joe tidak senang. Hatinya di landa risau. Risau kiranya Sakinah cair dengan Hud yang  memang segak berbanding dia yang selekeh.

Hud angguk. Dia tukar motor. Motor kuasa tinggi itu dipanjat. Dia bunyikan hon tanda ingin berlalu. Joe dan Khair pula pusing motor untuk kembali ke rumah yang berlainan arah dengan Hud.

Sakinah di balik langsir mengurut dada penuh lega. Mujurlah mamat-mamat tak makan saman itu sudah pergi. Syukur, dia tidak perlu menadah telinga mendengar ceramah ayah. 

Sakinah senyum.

permulaan yang biasa2 dulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience