BAB 50

Drama Completed 94401

Hud melihat Sakinah bersama kumpulan pelatih lain yang asyik melihat minyak masak yang dibungkus. Dia berada di muka pintu bilik yang luas ini dan dipenuhi dengan mesin-mesin besar. Memerhati tingkah si gadis yang sekejap-sekejap terangguk-angguk. Kemudian dia lihat bibir gadis itu terlukis senyum apabila bercakap dengan kawan-kawan pelatih yang lain.

Dia lagi tidak suka bila gadis itu tersenyum di depan pelatih lelaki lain. Walaupun dua tiga orang lelaki yang turut serta itu nampak masih muda seperti awal dua puluhan tetapi mereka adalah lelaki.

Dia lelaki dan dia tahu apa yang lelaki hendak dari seorang perempuan. Tambah-tambah lagi perempuan seperti Sakinah. Mata tiba-tiba terpandang Razlan yang ralik melihat Sakinah yang sedang menumpukan perhatian pada penerangan supervisor di depannya.

Dia tidak suka dengan cara lelaki itu merenung Sakinah. Apatah lagi gadis itu membalas senyuman Razlan. Ah, suami orang yang sudah ada anak tiga itu nampak gatal pula. Dia  panas hati lalu dengan langkah geram dia menuju ke arah Sakinah.

“Jangan nak menggatal macam perempuan tepi lorong. Kau kena ingat… kau hanya ada dua minggu untuk tunjukkan pada aku yang kau betul-betul nak berkerja.”

Terkebil-kebil Sakinah melihat lelaki di depannya menghamburkan kata. Berbunyi keras dan pedas. Tebal kulit mukanya di marahi dan di tuduh sedemikian rupa di hadapan pelatih lain. Lagilah malu bila dia masih baru dalam  kalangan mereka semua.

“Jangan nak guna muka kau untuk tarik perhatian orang. Dah macam tak ada benda nak tunjuk. Menggoda orang dengan senyuman palsu kau tu.” lagi Hud berikan ayat pedas. Sakinah akhirnya tunduk malu. Ayat lelaki itu langsung tidak benar. Dia tidak pernah palsukan senyumannya. Dia senyum demi menutup kelemahannya tetapi lelaki itu suka menebak tanpa usul periksa.

Razlan di depan sedikit tidak suka bila ketuanya itu memperlakukan Sakinah sedemikian rupa. Walau dia lelaki tidak memahami sangat perasaan perempuan tetapi dia tahu gadis itu terasa hati malah sudah malu besar.

“Bos….” Razlan nampak hendak membela Sakinah tetapi terus dipangkah Hud.

“Aku nak kau buat kerja untuk aku kat dalam ofis. Kalau kau kat sini aku tengok orang lain tak boleh bekerja dengan betul.” Hud mengarah tegas bila melihat beberapa orang pekerja kilang asyik memandang Sakinah.   

Razlan terpempan. Sakinah pula ketap bibir. Dia tahu itu hanyalah alasan untuk lelaki itu seksa dia lebih teruk sekarang.

“Tapi bos… dia kan pelatih dan dia bawah tanggungjawab saya.” Razlan mahu membantu Sakinah. Dia lihat ketuanya itu seperti begitu membenci Sakinah.

“Dia dah tandatangan kontrak kerja dengan aku. Bila-bila masa saja aku panggil, dia kena patuh walaupun sekarang dia tengah bekerja dengan kau.” Beritahu Hud dan Sakinah telan liur.

Razlan terdiam. 

“Cepat.” arah Hud yang sudah melangkah. Sakinah angguk pada Razlan dan juga pelatih lain. Pusing badan lalu mengekori langkah Hud. Lelaki itu tiba di sebuah bilik yang besar. Luas tetapi nampak tidak kemas dan teratur. Kertas-kertas tidak tersusun elok di atas meja kerja manakala fail-fail menimbun di atas meja kopi.

Baru saja masuk lelaki itu bersuara.

“Buatkan aku nescafe panas.”

Kelip-kelip dia pandang lelaki itu.

“Kenapa?” soal Hud geram. Sudah diarah tetapi Sakinah masih tercegat di muka pintu bagaikan tiang seri di tengah rumah.

“Pantri kat mana?”

“Kau tak ada mata dengan tangan nak cari pantri.”

Sakinah terpukul lalu pusing badan dan matanya melilau mencari bilik berdekatan. Tetapi masalahnya sekarang hanya ada bilik Hud dan satu lagi bilik dengan pintu kayu. Kemudian lorong panjang menuju ke bilik air dan surau. Dengan teragak-agak dia tolak pintu kaya dan bibir terherot senyum. Itu adalah pantri dan ada satu lagi pintu menuju ke bahagian operasi kilang. Itu yang tertulis di atas pintu.

Bila dia masuk ada seorang dua kakitangan sedang makan.

“Ya, nak cari siapa?” tanya salah seorang perempuan berambut paras bahu. Mukanya dimaniskan.

“Saya nak buatkan nescafe untuk Tuaj Hud.”

Perempuan itu kerutkan kening.

“Awak siapa dan siapa yang suruh awak buatkan minuman untuk bos?”

“Maaf. Saya pelatih yang datang buat kerja kat kilang tapi tuan Hud suruh saya buatkan minuman untuk dia.” Sakinah jujur dan muka perempuan itu terus berubah riak. Tidak suka dengan Sakinah.

“Kau pergi sambung kerja kau. Biar aku yang buat.” arah perempuan itu. Matanya nampak tidak suka dengan kemunculan Sakinah.

“Tapi cik… tuan suruh saya.”

Perempuan itu tidak endahkan suara Sakinah sebaliknya dia terus bancuh minuman yang ketuanya minta. Sakinah mula rasa tak sedap hati.

Bila sudah siap perempuan itu terus melangkah ke bilik Hud. Sakinah pula dengan lajunya mengekori langkah perempuan itu.

“Hud, I buatkan nescafe untuk you.” Kamey letakkan cawan di atas meja Hud. Cerlung lelaki itu pandang Sakinah di belakang Kamey.

“Aku suruh kau yang buat apahal pula kau suruh orang lain yang buatkan.” sergah Hud seraya menolak kuat cawan di atas meja dan cawan itu terpelanting hingga ke kaki Sakinah lalu percah berderai. Sama berderai dengan hati Sakinah yang pertama kali melihat lelaki itu bertindak begitu. Hancur hatinya kerana tidak sempat mempertahankan diri dan dia jadi takut. Malah kelakuan lelaki itu buat dia teringatkan arwah ayah yang menyeksanya cukup-cukup hingga dia tiada ruang untuk sembuhkan hatinya hingga ke saat ini.

Kamey pula terkejut besar. Buntang matanya melihat wajah bengis Hud. Hud bukan seorang perengus walau dia serius dua puluh empat jam. Tetapi hari ini dia lihat sisi lain seorang Hud Iskandar apatah lagi bila mata lelaki itu melihat tajam ke arah susuk tubuh di belakangnya. Terus dia toleh dan matanya pandang si gadis yang masih tercegat dengan muka tertunduk ke bawah.

“Bersihkan.” arah Hud pada Sakinah. Sakinah angguk lalu keluar. Kamey juga mahu angkat kaki kerana kecut perut. Dia tidak boleh buat main-main dengan Hud sekarang. Tak boleh menggoda lelaki itu macam dulu. Kalau dulu pun susah nak dapat apatah lagi sekarang. Nampak mukanya macam nak telan orang dan dia tidak berani lagi hendak melawan kata lelaki itu.

“Kalau aku tak suruh kau  buat kerja untuk aku kau jangan nak memandai Kamey. Cukup kau buat kerja kau.” pesan Hud. Kamey angguk lalu keluar. 

Dia tidak suka tunjuk muka baik pada Kamey. Gadis itu pun sama macam Shella. Tidak ada bezanya. Hanya reti menggoda orang. Ah, jangan harap dia nak tergoda kerana hatinya sudah beku. Dia tidak akan cair dengan mana-mana perempuan. Kalau bidadari turun dari langit sekalipun dia tidak akan tergoda.

Tapi Sakinah?

Mata dia. Hidung dia. Bibir dia dan apa saja yang ada pada muka gadis itu bukankah telah buat kau lemah. Hari tu kau bukan ke nak rasai bibir dia? Sebelah hatinya menyoal. 

Pantas dia gelengkan kepala bila Sakinah muncul dengan kain lap di tangan. Dari tempat duduknya dia perhati tingkah Sakinah. Gadis itu lap air yang tumpah. Kemudian keluar semula  dan masuk dengan penyapu serta penyodok di tangan. Disapunya kaca yang berterabur lalu dimasukkan ke dalam penyodok dan di buang ke dalam bakul sampah. Bila sudah selesai dia simpan kembali kedua-dua alat tadi dan muncul di depannya dengan muka takut. Gadis itu berdiri di depannya dengan tangan sentuh paha yang beralas baju.

Hud lihat ada setitik dua darah menitik ke lantai.

“Kau….” pantas dia bangun dan hampiri Sakinah. Laju dia tarik tangan kanan Sakinah. Tilik jari telunjuk gadis itu yang berdarah dan bila dia sentuh terasa ada serpihan kaca yang melekat di jari.

“Kau luka.” ucapnya keras. Sakinah terdiam. Dia tidak sedar langsung jarinya terluka tetapi bila Hud rasa dan  tekan sedikit mulalah dia rasa pedih.

“Hissss.” bibirnya tarik angin tanda dia sakit.

Hud geram lalu tarik tangan gadis itu mendekati kerusinya. Ambil tisu lalu tekap darah yang tak berhenti mengalir. Walau luka itu kecil darah tak segan hendak keluar.

Sakinah pula hanya memerhati wajah Hud yang ralik hendak merawatnya. Lelaki itu tunduk dan tarik laci atas. Ketip kuku dikeluarkan lalu dia ketip serpihan kaca dan tarik keluar dengan cepat. Sakinah hanya ketap bibir tahan pedih namun mata tak lepas memandang wajah lelaki itu. 

Nampak lelaki itu risau. Tetapi betulkah lelaki itu risaukan dia. Kalau benar dia mahu peluk lelaki itu dan ucapkan terima kasih. Namun sebaik Hud angkat muka tangannya ditolak kasar.

“Kau jangan perasan aku akan tunjuk muka manis macam dulu. Malah aku tak simpati langsung dengan kau.” Ujar Hud keras dan buat hati Sakinah pecah berderai sekali lagi seperti cawan kaca yang jatuh terhempas ke atas lantai tadi. 

“Pergi cuci luka lepas tu tampal dengan handyplast.” Hud letak plaster atas meja. Sakinah angguk dalam malu. Dia ingatkan lelaki itu risaukan dia tetapi dia salah teka. Lelaki itu hanya jalankan tanggungjawab sebagai manusia sahaja.

“Aku nak keluar dan kau tunggu aku kat sini sampai aku balik semula. Kalau aku tahu kau pergi mana-mana tanpa izin aku nahas kau.” amaran di akhir bicara Hud buat Sakinah kecut perut. Dia yang pegang jari yang terluka pantas berlalu ke bilik air. Sebaik dia kembali semula Hud sudah tidak ada. Dia ambil plaster di atas meja lalu tampal luka yang hanya sedikit itu.

Dia pandang keliling. Dia tidak sakit jadi dia perlu buat kerja lalu tanpa arahan Hud dia mula mengemas bilik ini seperti bilik ini kepunyaannya.

Hud pandang kamera cctv melalui telefonnya. Dia herot senyum bila Sakinah ligat ke sana ke mari. Hatinya berbunga.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience