Bab 62

Drama Completed 94344

David hentikan kereta di hadapan sebuah rumah setinggan yang betul-betul uzur. Hatinya terusik. Melihat Sakinah yang meluru masuk ke dalam rumah usang itu lagilah hatinya sayu. Menyedari hakikat kehidupan dia bertuah kerana lahir dan hidup dalam kemewahan. 

David menunggu di luar. Tidak masuk ke dalam kerana Sakinah tidak mempelaa. Lagipun gadis itu nampak tergesa-gesa,

Di dalam rumah, Sakinah mencari emaknya apabila salam yang diberi tidak dijawab. Dia ke bilik emak. Wanita itu tiada di dalam. Dia ke dapur pula. Juga tiada. Namun mendengar air yang mencurah-curah dari bilik air bersebelahan dapur hatinya diterpa rasa takut dan bimbang.

Dia tolak pintu bilik air. Terbuntang matanya melihat sekujur tubuh emak dalam keadaan terlentang.

“Makkk!!!”

Pantas dia menghampiri. Paip air di pulas dan air sudah berhenti dari mengalir. Dia jatuhkan punggung dan lalu tarik kepala emak dan tampung dengan pahanya.

“Makkk!!!” sekali lagi dia menjerit kuat seraya menampar pipi wanita itu.

David terkejut. Jeritan itu cukup kuat terdengar lalu dia cepat-cepat  masuk ke dalam mencari Sakinah. Melihat gadis itu yang  mengampu seorang wanita buat David kecut perut.

Air mata Sakinah pula bercucuran tak henti-henti.

“Bos... mak saya. Tolong mak saya.” rayu sakinah dalam esak tangis yang meranapkan hati seorang David.

Lelaki itu tidak betah berdiam diri. Dia terus tarik orang tua itu dan dikendongnya hingga ke kereta. Dibaringkan orang tua itu ke atas kerusi belakang.

“Cepat. Kita ke hospital.” arah David lalu menyuruh Sakinah masuk ke dalam perut kereta. Dia pecut keretanya laju membawa Sakinah dan emaknya ke hospital berdekatan.

“Harap cik bersabar ya. Biar kami usahakan dulu.” Beritahu jururawat kaunter kecemasan sebaik saja Ustazah Rohaya tiba di bahagain kecemasan. Sakinah angguk. Duduk di atas bangku berhampiran bilik rawatan. Tangisannya mencurah-curah mengingatkan keadaan emak yang masih tidak sedarkan diri. Dalam tangisan hati tetap berdoa moga wanita yang telah bersusah payah menjaga dan membelanya bagaikan anak sendiri akan sembuh seperti asal. Dia tak sanggup untuk kehilangan emak selamanya.

“Sabar sweety. Pujuk David.” hanya itu yang mampu dia buat. Entah kenapa dia jadi kaku melihat Sakinah dalam kesedihan. Padahal sebelum ini pandai saja dia memujuk koleksi teman wanita sementara yang merajuk mahupun kesedihan. Tetapi bila Sakinah yang menangis dia jadi lemah.

“Saya pergi belikan minuman.” ujar David lantas meninggalkan Sakinah yang tertunduk menahan rasa. Sesekali David berpaling melihat Sakinah. Bimbang kiranya gadis itu pengsan.

Dia tarik telefon mahu hubungi Nayli namun tidak jadi apabila teringat pesan gadis itu. Dia di luar negara. Sedang mencedok ilmu dari pereka fesyen antarabangsa sebagai pengetahuan tambahan untuk dia menyertai pertandingan rekaan pakaian nanti. Tidak jadi dia hendak hubungi Nayli lalu dia masukkan semula telefon ke dalam poket seluar.

Sakinah di atas bangku pula melihat jam di tangan. Begitu lama emak di dalam bilik rawatan. Rasa seperti mahu saja dia terjah masuk ke dalam. Namun dia tiada kuasa hendak berbuat demikian. Tiba-tiba hatinya kesal. Kalaulah dia tidak ikut arahan Hud pasti emak akan selamat bersamanya di rumah. 

“Minum dulu.” botol minuman dihulurkan dan Sakinah angkat muka. Lihat ketuanya yang masih sudi menemaninya hingga saat ini.

“Terima kasih.” ucapnya lalu ambil botol di tangan Encik David. Botol  di letak ke tepi. David pula mahu duduk di sebelah Sakinah namun tidak jadi apabila jururawat sudah muncul dari bilik rawatan.

“Anak Puan Rohaya ke?” soal jururawat tersebut. Sakinah bangkit dan angguk dengan mata berkaca. Tidak sabar hendak tahu keadaan emaknya.

“Ikut saya masuk. Kita dengar apa yang doktor nak cakap.” ajak jururawat tersebut. Sakinah angguk dan ikut gadis muda itu hingga ke bilik rawatan. David mengekori bersama rasa bimbang.

“Puan Rohaya mengalami pendarahan otak yang cukup serius. Jadi buat masa sekarang kami akan tempatkan puan dalam bilik ICU. Kami tak jamin puan akan kembali pulih. Cuma sebagai anak, harap cik berdoalah minta yang terbaik untuk emak cik.”

Sakinah terjelepuk ke bawah sebelum sempat David bertindak. Dia hamburkan air mata tanpa menghiraukan semua yang ada di situ.

“Mak…. Semuanya salah Kinah mak.” dia menyalahkan diri sendiri di atas apa yang berlaku.

“Sabar Sweety. Sabar.” Pujuk David lalu tarik Sakinah supaya bangkit berdiri. Hati lelakinya turut bersedih dengan apa yang telah menimpa gadis itu.

Sakinah lap air matanya. Mulai sedar yang dia sudah terlepas laku. Leraikan tangan ketuanya.

“Bos baliklah. Saya okay. Saya nak rehat dekat surau.” ujar Sakinah.

David perhati wajah Sakinah. Mata gadis itu langsung tidak mahu membalas pandangannya lalu dia beranggapan gadis itu sebenarnya masih bersedih.  Namun dia  angguk juga kerana tidak mahu mengganggu. Biarkan Sakinah bertenang dahulu barulah dia akan kembali menemani gadis itu.

“Apa-apa hal jangan lupa call.” Dia seluk beg sandang Sakinah dan ambik telefon yang nampak lama lalu menyimpan nombor telefonnya.
“Itu nombor saya. Jangan lupa call kalau nak minta tolong.”

Sakinah angguk.

“Terima kasih bos atas pertolongan hari ini.” ucap sakinah dengan nada suara yang sayu.

David senyum.

“Small matter sweety.” Senyum David pada Sakinah buat hati gadis itu terus merintih. Kalaulah dia perempuan sudah lama aku peluk untuk kurangkan beban ini. Pada siapa lagi harus aku kongsi segala beban yang menggunung ini. Pada siapa. Aku dah tak ada siapa-siapa. Rintih hatinya bersama juraian air mata yang kembali menghiasi pipi saat David berlalu pergi.

Nayli.
Oh, Nayli!

Baru dia sedar dia masih ada Nayli. Namun terus tangisannya menjunam keluar bila mengingati gadis itu tiada di tanah air. Kesedihannya kembali beraja.

Mak. Jangan tinggalkan Kinah.

****

Acap kali dia hubungi nombor baru Sakinah. Nombor yang dia berikan pada sabtu lepas. Kenapa tidak dijawab. Sakitnya hati bila gadis itu langsung tidak menghargai usahanya. Amarahnya mula menggunung. Sakinah  memang sengaja hendak mencabar dirinya. 

Hud buka PC. Dia cari Sakinah melalui cctv namun tidak jumpa. Lantas interkom di tekan. David  dihubungi namun senyap tidak berangkat. Terus dia keluar dari bilik dan mendapatkan Rashdan.

“David pergi mana. Dah dua hari dia tak masuk ofis.” tanya Hud kasar. Rashdan sengih.

“David tu kan bos. Adalah tu tersangkut kat mana-mana.” jawapan Rasdan buat hati Hud menggelegak panas.

“Kau call David.” arah Hud padahal boleh saja dia sendiri yang hubungi kawan baiknya itu. Tetapi dia masih marahkan lelaki itu yang nampak masih berani hendak mendekati Sakinah.

Rashdan di depan kelihatan sedang menekan nombor di dada telefon. Sebentar kemudian terdengar perbualan keduanya. Tak lama kemudian dia lihat Rashdan sengih panjang sebaik talian di putuskan.

“Sakinah cuti tuan.”

Hud kepal penumbuk. Berani dia cuti tanpa izin aku. 

Gerahamnya diketap geram. Geram juga dengan David. Kenapa lelaki itu tidak memberitahunya. Sepatah kata pun tidak keluar dari mulut David. Selepas lelaki itu bawa Sakinah pulang dua hari lepas langsung dia tidak dengar khabar kedua-duanya. Hatinya makin sakit.

Dia masuk semula ke dalam biliknya. mundar-mandir tanpa arah tujuan. Rasa tidak seronok  apabila musuh nyata tiada di sini. Rasa serabut kepalanya. Mahu keluar sekejap untuk tenangkan diri dengan menghisap rokok.  Lantas dia bangun untuk ke tempat terbuka di atas bumbung bangunan ini. Tidak sempat dia keluar David sudah muncul dengan membimbit beg kertas yang diberikan kepada Sakinah dua hari lepas.  David letak beg itu di atas meja Hud.

“Sakinah tertinggal dalam kereta aku. Dia kelam kabut sangat masa tu.”

Bengkak hati Hud dengan penjelasan David.

"Kau dengan dia buat apa sampai kelam kabut. Bermadu kasih?" 

Terkejut David dengan tanggapan Hud namun di akhirnya dia senyum sinis. Masa inilah dia nak permainkan hati Hud. Nak lihat sejauh mana kesabaran lelaki itu.

"Bermadu kasih dengan dia sampai dia tak balik-balik rumah dia. Sampai aku penat nak mampus."

Hud kerutkan kening. David cakap apa. Dia pula yang takut. Dia mula membayangkan aksi buas David pada Sakinah. Tak mungkin. Dia tidak mahu terima cerita David. Tidak. Lantas kepalanya digelengkan berkali-kali.

“Dia kat mana sekarang?” keras suaranya bertanya. David beri senyum senget.

"Kenapa kau nak tahu dia kat mana. Bukan kau tak suka dia ke?" Sengaja dia mencabar. Hud mula tergugat. Nampak David sudah pandai membaca air mukanya. Dia palingkan muka.

David pula keluarkan bunyi geram. Dia kepal penumbuk. Mahu mengajar kelaki itu tetapi bila teringatkan lelaki itu tidak tahu apa yang jadi dia leraikan penumbuk.

Ah, Hud terlalu ego. Egonya setinggi langit. Sukar hendak meruntuhkannya. Dia harap suatu hari nanti ego lelaki itu akan jatuh tersungkur di kaki Sakinah. 

Dia hampiri Hud.

“Dia kat hospital. Kau tak  nak pergi jenguk dia. Dah dua hari dia kat sana.” suaranya sudah mendatar.

Hud terpempan. Dia tidak tahu. Langsung tidak tahu.

“Aku tak sempat nak temankan dia. Dua hari ni aku sibuk dekat ladang. Kalau kau nak pergi, kirim salam sayang aku dekat dia ya.” David kenyit mata. Dia tidak mahu menyakitkan hati Hud. Namun perbuatannya tetap buat Hud geram.

"Kalau kau tak dapat nak temankan dia kau tolong cakap dengan dia aku akan datang ambil. Biar aku bawa dia tidur rumah aku." beritahu David seraya ketawa mengekek. Tak nak sakitkan hati Hud tetapi tetap juga dia buat Hud rasa membara. 

Dia layangkan tangan dan keluar dengan senyuman panjang. Panas betul hati Hud  dengan David. Dia tahu lelaki itu sengaja hendak kenakan dia. Dia faham sangat dengan David sebab  itulah David tidak ambil hati dengan segala kata-kata sinis yang dia taburkan pada lelaki itu. 

Hud tarik beg kertas atas meja lantas berlalu keluar. Pada Rashdan dia tinggalkan pesanan agar tidak menunggunya.  Kereta di pecut laju dan dia tidak ambil masa yang lama untuk mencari Sakinah. 

Di hadapan wad ICU dia lihat Sakinah terlena di atas bangku panjang. Kepalanya terlentok di tempat letak tangan. Dia hampiri gadis itu dan duduk di sebelah. Muka sembab dan pucat macam mayat. Itu keadaan sakinah sekarang. 

Sakinah tersedar apabila terasa ada susuk tubuh hempas punggung di sebelahnya. Dia sapu bibirnya apabila terasa ada air pekat hampir keluar. Palingkan tubuh dan dia tunduk malu.

Ya, dia cukup malu apabila dilihat tidak sempurna di mata lelaki itu walhal Hud sudah terang tidak menyukainya. Sepatutnya dia biarkan saja lelaki itu melihat dia tak sempurna seperti selalu. Namun kerana rasa cinta yang bersarang dalam dada dia tidak mahu lelaki itu melihatnya begitu.

Hud pula keluarkan telefon bimbit yang dia belikan untuk Sakinah. Telefon itu dia masukkan dalam beg sandang gadis itu yang terletak di sebelahnya. Sakinah terkejut.

“Tuan, maaf. Saya terlupa.” Ucap sakinah apabila sedar yang pemberian lelaki itu tertinggal dalam kereta David.

“Maaf.” ucapnya lagi.

Hud cekak tudung Sakinah sambil mata melilau melihat orang lain. Bimbang perlakuannya dipandang serong. Apabila mendekat bau kurang enak singgah di hidungnya.

"Ucaplah berjuta kali sekalipun aku takkan maaf kan kau. Aku akan buat kau terseksa sampai aku puas." Tangannya dijatuhkan.
Sakinah sedih. Teramat sedih hingga tiada air mata yang mahu keluar lagi. Lelaki itu langsung tidak bertanya sebab dia berada di sini sebaliknya hanya tunjuk amarahnya. Sakinah betulkan tudung yang sudah senget-benget. Mujurlah dahinya masih tertutup elok.

“Berapa hari kau tak mandi. Dah macam perempuan gila tepi  jalan aku tengok.” pedih kata-kata Hud dan buat hati Sakinah tercarik luka. Begitu sekali lelaki itu membencinya hinggakan menyamakan dia dengan orang gila. Makin sedih apabila lelaki itu sudah bangkit. Tidakkah dia mahu tahu sebab apa dia jadi macam orang gila.

“Bangun.” arah Hud tiba-tiba. Sakinah terkejut tetapi dia keraskan diri.

“Kenapa?” Soal Sakinah tidak mahu.

“Bangun. Ikut aku.”

Sakinah geleng kepala.

“Saya takkan tinggalkan emak sorang-sorang kat sini.” Ujar Sakinah sedih.

Hud geram dan dia mula guna kuasa veto. Ditariknya tangan Sakinah dan cepat-cepat dia bawa gadis itu keluar dari wad menuju ke tempat parkir kereta.

“Saya tak boleh pergi kerja. Izinkan saya cuti tuan.” pinta Sakinah apabila merasakan lelaki itu mahu membawanya ke tempat kerja. 

"Tolong tuan. Izinkan saya cuti." Pinta Sakinah lagi. Hud diam sahaja. Tidak membalas kata-kata Sakinah. Sebaliknya dia tolak gadis itu masuk ke dalam perut kereta. Dia tolong pakaikan tali pinggang gadis itu. Sekali lagi bila mendekat bau kurang enak singgah di hidungnya. Dengan perasaan geram dia hempas pintu sebelah Sakinah dan masuk ke bahagian pemandu. Enjin kereta dihidupkan dan dia bawa gadis itu ke suatu tempat.

Sakinah tidak faham. Lelaki itu parkir kereta di hadapan sebuah pasaraya. Untuk apa tidak tahu lelaki itu bawa dia ke sini. Bilamana beberapa keping duit kertas dilempar ke pahanya barulah dia faham. Nampak begitu murah harga dirinya apabila diperlakukan lelaki itu begitu.

“Pergi beli baju dan apa-apa saja yang kau perlukan. Aku tak nak tengok kau pakai baju dua hari lepas.”

Sakinah kerutkan muka. Ya, gara-gara risaukan emak dia langsung tak ambik kisah dengan diri sendiri. Makan pun tidak apatah lagi hendak membersihkan diri. 

Ya, dia cuai.

“Cepat pergi.” arah Hud. Sakinah geleng kepala.

“Biar saya balik rumah. Baju  kat rumah dah banyak. Buat apa nak beli yang baru.” Sakinah diam tidak bergerak.

Hud keluar. Pintu sebelah Sakinah dibuka dan dia tarik gadis itu keluar dengan cara memaksa. Terpaksa juga Sakinah keluar kerana tidak mahu disakiti. Kereta dikunci dan tangan Sakinah yang masih di genggamnya ditarik lantas di bawa masuk ke dalam pasaraya. Gadis itu pula mengikut saja macam orang bodoh.

Hud singgah di sebuah butik dan mengambil beberapa helai gaun labuh berlengan panjang. Selepas membayar harga pakaian dia bawa Sakinah ke kedai yang menjual tudung. Sehelai dua tudung diambil tanpa bertanyakan gadis itu. 

Kolam mata Sakinah bertakung. Dia sebak. Bukan sebab lelaki itu membelikan dia pakaian tetapi tangan besar lelaki itu hingga saat ini masih lagi menggenggam tangannya yang halus dan kecil.

Dia lihat saja perbuatan lelaki itu tanpa mampu berbuat apa-apa. Dia dalam keadaan sedih yang amat. Dia mahu lelaki itu tahu dia tak berdaya. Namun siapa dia untuk meminta perhatian dari orang yang sememangnya bencikan dia.

Dia jatuhkan pandangan pada genggaman tangan Hud.

“Jaga diri Kinah baik-baik. Jangan ulang kesilapan umi. Meminta maaf itu baik tetapi jangan sampai Kinah murahkan harga diri Kinah sebab Hud.” terngiang-ngiang suara emak menasihatinya suatu waktu dulu.

Pantas dia goyang tangannya dan genggaman tangan Hud terlerai.

“Baru nak  suruh lepas. Tadi?” soal Hud sinis. Wajah Sakinah terus kelat. Makin kelat bila lelaki itu berhenti di hadapan kedai menjual pakaian dalam. Mukanya sudah merona merah. Nampak benar dia malu tetapi kulit muka lelaki itu memang tebal. Tidak rasa apa-apa pun bila singgah di kedai ini.

“Masuk dalam. Cari yang apa-apa yang patut.” Hud tolak Sakinah ke dalam dan wajah Sakinah makin menyebu merah. Nampak seperti kulit udang yang terbakar.

Hud senyum senget dan Sakinah terus masuk ke dalam. Dia tidak mahu ambil masa yang lama kerana dia begitu malu. Tidak lama kemudian dia keluar. Tanpa menunggu Hud dia melangkah hingga ke kereta. Hud dibelakang sudah tersengih panjang. Kemudian dia tampar pipi sendiri apabila menyedari dia sudah tersalah aksi.

Ah, gila. Kenapa aku teruja benar dengan dia. Tidak.
Jangan biarkan rasa cinta pada gadis itu satu waktu dulu kembali  hadir Hud. Fokus. Bisik hatinya.

Dia kendurkan kembali sengihnya.

Hud sudah masuk ke dalam dan hidupkan enjin kereta. Pecut laju dan bawa gadis itu ke kediaman mewahnya.

Sakinah tersentak. Untuk apa ke sini lagi. Rumah ini menjadi saksi kekurangannya hampir terzahir di depan Hud. Dia mula risau. 

“Keluar.” Arah Hud dan dia sendiri sudah melangkah masuk ke dalam rumah mewahnya.

“Neng, bawak Cik Puan ke bilik.” arah Hud pada pembantu rumah. Pembantu rumah berbangsa Indonesia itu angguk. Dia tersenyum melihat Sakinah yang terkebil-kebil tidak faham. Dia akur dengan arahan majikannya. Lagipun dia sudah mengenali gadis cantik ini.

“Cepat bersiap.” arah Hud dan dia segera ke laman rumah. Duduk di atas bangku di depan kolam sambil melihat ikan Koi yang berenang kegembiraan. Bunyi air terjun buatan menenangkan jiwanya. Dia suka dengan bunyi-bunyian alam semesta. Begitu mendamaikan.

Teringat duduk di kampung bersama arwah Nek wan. Dia suka dengan udara pagi yang bersih dan kehijauan hutan serta bunyi air sungai yang mengalir. Dia pejam mata. Merasai keindahan alam yang begitu mendamaikan. 

"Saya dah siap."

Ketenangannya terganggu apabila suara Sakinah singgah di telinganya. Mata di buka dan lihat Sakinah. Gadis itu berdiri di depannya dengan gaun panjang warna pastel dan dipadankan dengan tudung berona sedikit tua dari warna gaunnya. Seperti selalu, gadis itu tak pernah tak cantik. Mandi atau tidak, dada Hud tetap akan bergetar.

Sakinah pusing tubuh. Dadanya bergetar hebat saat Hud merenungnya dalam. Dia tidak mahu tenggelam dalam renungan lelaki itu pantas kakinya di arah ke kereta yang tidak berkunci. Dia masuk ke dalam dan duduk senyap-senyap menunggu lelaki itu masuk ke dalam. Tidak lama menunggu Hud akhirnya masuk dan duduk di tempat pemandu. Sakinah larikan muka dan pandang ke luar tingkap dan ketika itulah Hud curi pandang wajah itu.

Dalam rasa benci yang mendidih tetap ada rasa cinta yang meruap keluar dari hatinya. Mahu dia tatap wajah itu selalu namun dendam yang membara membataskan pandangannya. Setiap kali dia mahu leburkan rasa rindu pasti sejarah hitam lalu menjadi bara dan jiwanya terus mahu memberontak. Kerana itulah dia akan seksa gadis itu semahunya.

Sakinah pandang Hud bila tiada suara kedengaran. Dia resah kerana sudah lama dia di luar. Dia bimbangkan emak. 

“Makan dulu.” Hud tiba-tiba hentikan kereta di  sebuah restoran. Sakinah gelisah. Sudah lama dia di luar. Fikirannya asyik teringatkan emak.

“Cepat.” arah Hud kasar. Lambat-lambat dia keluar. Dengan perasaan sebu dia mengekori langkah Hud hingga ke dalam restoren. Sebaik melihat wajah-wajah yang sedang berbual di sebuah meja di bilik privasi barulah dia sedar yang lelaki itu sudah mempermainkannya.

Dia kesal.

ah... sedih betul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience