Aku berpindah bersama Luq ke Perlis Indera Kayangan. Kami menyewa rumah di sebuah taman perumahan di kawasan itu. Bilik yang aku booking hari tu aku lepaskan kerana Luq memang nak ikut aku ke Perlis.
Luq serahkan urusan pusat tuisyen kepada sepupunya Shukri. Shukri sudah cekap mengurus dua pusat tuisyen itu. Dia boleh di harap berdasarkan pengetahun dan pengalamannya selama dua tahun bekerja dengan Luq.
Di sini, Luq mengajar secara part time di pusat tuisyen kenalannya. Dia hanya bekerja pada waktu malam sahaja.
Setiap hari Luq akan hantar dan ambil aku ke sekolah. Dunia aku hanya dengan dia. Kami cukup bahagia. Luq menjaga aku dengan baik sekali.
Luq mahu aku berehat, dia tak benarkan aku buat apa-apa kerja pun. Dia tahu aku cepat letih. Walaupun naik kereta ke sana sini, aku cepat sangat letih sejak akhir-akhir ini. Kaki aku dah mula membengkak. Luq yang banyak melakukan kerja-kerja rumah. Aku bersyukur sangat tentang itu. Luq suami yang baik.
Aku ambil cuti awal dua minggu dari tarikh due. Aku mahu bersedia lebih awal sebab aku belum ada pengalaman itu. Aku takut tanda bersalin terjadi di sekolah dan aku tak tahu nak buat apa-apa. Malu pula jika terjadi depan murid-murid di dalam kelas. Aku banyak dengar berbagai cerita dan pengalaman yang telah terjadi. Ada banyak kisah suka dan duka mereka kongsi dengan aku.
Sejak mengandung, Luq memang memanjakan aku. Aku rasa sangat disayangi. Aku tak pernah ambil kesempatan ke atas keperihatinan Luq. Aku akan buat apa saja kerja untuk membantu Luq. Sekarang ni aku bercuti, dapatlah aku luang masa bersamanya. Dia pun boleh berhenti mengingatkan aku jangan buat itu, jangan buat ini setiap kali nak melangkah ke sekolah.
Sebenarnya aku sedikit takut dengan perubahan sikap Luq. Setiap hari dia akan katakan cinta dan sayangnya pada aku. Tidak lupa juga merayu supaya aku tidak tinggalkannya walau apa pun terjadi. Aku tak buat apa-apa pun... tapi dia takut sungguh aku tinggalkan dia. Apa yang dia takut aku tak tahu.
Kandunganku dah pun berusia 35 minggu. Aku dan Luq cuma menanti hari kelahiran sahaja. Aku perlu membuat pemeriksaan dua minggu sekali di klinik kesihatan. Setiap kali aku ke klinik Luq tak jemu menemani ku... Sehinggalah suatu hari itu kami terserempak dengan Zaheer... Ya...si Ek yang mak panggil tu.
"Eh... abang Zaheer.. dari mana?" Aku yang mula menegur kerana tertanya - tanya dia dari mana.
" La... Jumpa kat sini pulak. Abang bawa pekerja luka kaki. Ingat nak terus ke Padang Besar, tinggal sini ka?" Zaheer menyalam Luq yang senyum buat-buat.
" Kami tinggal kat sini. Jom lah ke rumah" Nasib baik Luq menjawab juga. Kalau tidak malu aku kat si Zaheer tu. Nanti dia bawa cerita suami Lela sombong.
"Eh... Tak apa. Kejap lagi siap lah kawan abang tu. Mesti kena jahit. Luka pijak kaca."
" Boleh mana kaca tu? Aku buat muka terkejut. Nak tahu macamana boleh luka.
" Terpijak kaca sendiri. Gelas jatuh atas kaki. Tu yang terus ke klinik ni dekat sikit. Rumah dia taman sebelah sana ja. Kebetulan abang ada di rumah dia, terus abang yang bawa mai sini."
Aku sedar air muka Luq berubah bila aku terus bersembang dengan Zaheer . Aku tahu dia tak suka aku beramah mesra begitu. Biarlah... Orang kampung kot. Satgi kata aku sombong pula.
" Hah.. Tu dah siap kawan tu. Abang pi dulu. Nanti jumpa lagi. Oh.... dah jumpa ni boleh tak abang nak ambil nombor telefon, nanti abang nak panggil kenduri" Aku menoleh ke Luq minta persetujuan. Nak beri ke tak... Mata aku tertumpu pada wajah Luq yang mencuka.
"Beri nombor abang la ya...." Aku terus beri nombor telefon Luq kepada si Zaheer." Zaheer pun berlalu pergi selepas mendapatkan nombor telefon Luq.
"Seronoklah jumpa tunang tak jadi. Senyum sengih sampai ke telinga." Luq mula dah.... Lama juga aku tak disindir begitu. Sakit hati tapi kena sabar. Tak mau gaduh. Satgi aku jawab, jadi perang besar pulak. Aku diam tak menjawab.
"Ish... berabang-abang bagai.... suka lah tu ? Ish... dia sambung lagi. Telinga aku berdegung dah ni. Sabar-sabar.
" Abang tak suka Laila tegur orang macam tu. Tak tegur tak boleh ek?
"La.. dah kenal tak tegur macamana. Orang kampung pulak. Lagipun dok fikir macamana dia boleh datang sini. Tak hairan ke boleh jumpa kat sini. Mestilah teruja nak tahu."
"Huh! Mulut tu selalu ramah dengan orang. Orang tu tak tegur pun. Laila yang tegur dulu. Saja nak menggatal lah tu" Mendidih dah aku ni. Panas telinga.
"Salah ka tegur dulu, kenal kot ?"
"Salah la... Laila tu perempuan. Tak manis."
"Ya.... Laila salah. Minta maaf. Sepatutnya Laila biar abang yang tegur. Sori...." malas aku nak berbalah. Biarlah aku mengalah. Benda pun bukan salah besar kalau aku menegur orang. Tapi sebab dia tak suka aku ikut aja. Tak mahu panjangkan cerita.
"Minta maaf, buat lagi... Minta maaf buat lagi"
"Dah lah abang. Laila penat la...jom teman Laila ke kedai hujung sana kejap. Laila nak...
" Pergi sendiri, abang tunggu dalam kereta" sakit hati aku bila cakap tak habis dia dah cantas. Luq tak mahu teman aku. Hal kecil macam tu pun dah merajuk. Aku pun segan la nak ke kedai tu. Aku pun ikut dia masuk kereta. Benciiiii......
"Lah... Kenapa tak pergi. Abang nak tunggu dalam kereta bukan tinggal Laila kat situ.
" Abang suka macam tu...suka marah-marah. Ajak teman pun tak mau, sudah lah..jom balik "
" Memang abang marah... Laila bukan boleh jumpa lelaki. Tu abang ada. Kalau abang tak ada, entah - entah dah ajak makan". sakitnya hati.... tak habis lagi ka...
"Abang.... benda macam ni pun abang ambil kisah. Fikir yang bukan-bukan. Tak kan sampai nak ajak makan. Selalu ke Laila buat macam tu? Berapa banyak lelaki dah Laila ajak makan hah!???". Hi...hatiku makin sakit la dengan kelakuan Luq yang satu ini. Cemburu tak habis-habis. Yang tak tahan tu suka fikir benda yang aku tak fikir pun nak buat.
" Jom lah balik.... Malas la nak bertekak dengan abang. "
Luq terus bawa aku balik rumah. Kami tak bercakap apa-apa. Walaupun pada asalnya nak keluar makan. Dengan mood yang begitu malas aku nak ajak makan walaupun perut dah rasa lapar. Wajah pun dah tak ceria. Malas aku nak tengok.
Sampai di rumah aku terus masuk bilik dan rebahkan diri atas katil. Aku pejamkan mata dan tak nak fikir apa-apa, boleh buat darah naik saja. Akhirnya aku terlelap.
Aku terjaga bila perutku meronta minta di isi. Aku bangun terus ke dapur. Aku lihat Luq telentang atas sofa dengan tangannya di dahi. Macam sedang memikirkan masalah besar. Memang penyakit orang cemburu begitu. Benda kecil, boleh bawa bincang tetapi buat macam masalah tu besar hingga tak tertanggung. Aku malas nak melayan. Tak larat dah aku nak pujuk.
Aku pun tak tahu nak makan apa. Aku buka peti sejuk melihat apa yang boleh di makan. Aku melihat ada sebiji epal hijau. Aku mengupas epal itu dan menabur sedikit garam. Mmmm....pecah liur, sedapnyaaa....
Sedang mengunyah epal itu, aku teringat nak masak nasi untuk makan malam . Aku keluarkan ayam . Sambil menunggu nyahbeku ayam aku memasak nasi. Ingat hati nak buat ayam penyet jer... Goreng ayam dan buat sambal pun boleh membuka selera aku.
Sedang aku mengupas bawang, sepasang tangan tiba-tiba melengkar di perutku. "Abang minta maaf sayang.... Sayang lapar?? Biar abang yang masak. Sayang rehatlah."
Aku bertuah sangat dapat Luq sebagai suami. Tapi cemburunya itu membuatkan aku sedikit tidak bahagia. Dalam solat aku selalu berdoa agar kurang cemburu itu. Aku tahu cemburu yang tak boleh dibendung adalah sejenis penyakit. Aku harap Luq dapat kawal cemburunya itu supaya dia tidak menjadi penyakit yang serius.
..... Sambung.....
Share this novel