Bab 22

Romance Completed 137990

"Q, kau ada baca tak dalam group whatsapp pasal kes rogol bunuh yang mangsanya pelajar UiTM tu?" soal Sand pada Qais semasa berjalan keluar dari bilik mesyuarat. Lemau betul bila hadir metting petang-petang macam ni.

"Yang mana? aku tak sempat baca." balas Qais sambil melangkah menuruni tangga diekori Sand dari belakang.

"Ni ha" kata Sand lalu menyerahkan telefon bimbitnya pada Qais. Qais mengambil telefon bimbit yang dihulur Sand lalu membaca fakta kes mengenai kejadian tersebut. Sebaik sebaris nama mangsa dibaca, terdetik di hati Qais. Kenapa macam pernah tengok nama ni. Berkerut dahi Qais. Telefon Sand diserah semula.

"Kau kenapa? berkerut dahi?" soal Sand yang melihat air muka Qais yang pelik.

"Tak, aku rasa macam pernah tengok la nama mangsa tu" kata Qais sambil memandang Sand yang beriringan berjalan bersamanya. Tiba-tiba langkah kaki Qais terhenti. Sand juga begitu.

"Kenapa?" soal Sand. Dah kenapa tiba-tiba berhenti di tengah-tengah jalan ni.

"Kau balik pejabat dulu, aku nak ke pejabat D7 jap. Ada hal" kata Qais lalu terus meninggalkan Sand yang terpinga-pinga.

Laju kaki Qais melangkah menuju ke pejabat D7. Hatinya sudah rasa tidak sedap, macam ada sesuatu yang tidak enak sahaja.

"Eh, Tuan. Selamat petang" sapa White yang baru tiba di pejabat apabila melihat Qais laju langkahnya menuju ke pejabat mereka.

"Siapa nama anak Lan Boya?" soal Qais pada White sambil mengekorinya masuk ke pejabat.

"Apa Tuan?" soal White.

"Anak perempuan Lan Boya, siapa nama dia?" soal Qais yang sudah tinggi suaranya.

"Tak ingat la Tuan. Kejap, saya ambil fail" laju White membalas sambil kaki melangkah ke arah rak kes fail. Fail yang ada disemak satu-satu hingga jumpa fail yang di depannya terdapat gambar passport wajah Lan Boya. Fail diambil dan diserah pada Qais. Pantas fail disambar dan helaian diselak. Tegak mata memandang pada sebaris nama itu.

"Kenapa Tuan?" soal White. Dah kenapa Tuan Qais ni. Ada yang tak kena ke?

"Ada baca pasal kes rogol bunuh pelajar UiTM?" soal Qais sambil memandang White yang berdiri di hadapannya.

"Ada. Kes malam tadi kan. Tak silap nama mangsa tu.." bulat mata White. Baru sedar apa maksud Qais.

"Anak Lan Boya!" kata White dan terus tegak berdiri.

"Tuan rasa kes anak Lan Boya dirogol dan dibunuh ni ada kaitan dengan kes yang kita siasat ni ke?" soal White dengan wajah yang penuh tanda tanya.

"Siapa lagi yang tahu Lan Boya dah buka mulut pasal kes anak Dato' Abbas?" soal Qais. Tidak mustahil kes anak Lan Boya ada bersangkut dengan kes Qaseh.

"Mana ada siapa yang tahu Tuan. Sulitkan" balas White. Aduh.. siapa pulak yang bocor rahsia ni.

"Hm.. bila Tuan nak bagitau perkara ni pada Lan Boya. Dia masih ada dalam lokap. Lusa baru ke Mahkamah untuk tuduh" soal White serba salah. Qais mengeluh perlahan. Bagaimana mahu dia terangkan pada Lan Boya. Pasti Lan Boya salahkan pihak polis kerana perkara ini berlaku.

"Yang tu biar saya uruskan. White, ikut saya ke lokap" kata Qais pada White. White angguk.

"Tuan" panggil satu suara dari muka pintu pejabat. Tertoleh Qais dan White ke arah suara yang memanggil.

"Hah, Ray. Ada apa?" soal Qais sambil menyerahkan semula fail tadi pada White.

"Tuan ingat tak, sebelum ni Tuan ada mintak anak buah Tuan Nasir pantau pergerakan Hariz anak Tan Sri Ghazali tu kan?" soal Ray yang sudah melangkah masuk ke dalam pejabat itu.

"Ya, ada apa-apa berita ke?" soal Qais.

"Anggota yang buat tugas tu platun saya, dia bagitau semalam dalam jam sepuluh macam tu ada seorang perempuan datang ke pejabat Hariz" kata Ray.

"Perempuan? Huh! Hariz biasa la, siapa tak kenal perangai playboy dia tu" balas Qais endah tak endah. Kalau ada perempuan datang berjumpa Hariz, itu perkara biasa.

"Tapi perempuan tu.. er.. anak Dato' Abbas" terang Ray serba salah.

"Anak Dato' Abbas? Qaseh?" soal Qais tidak percaya.

"Ya Tuan, ni gambarnya. Kawan saya ada ambil gambar semasa Cik Qaseh datang dan balik" kata Ray sambil menunjukkan gambar Qaseh yang masuk dan keluar dari bangunan tersebut di telefon bimbitnya.

Qais mengambil telefon bimbit Ray. Gambar itu diteliti dan dizoom. Memang gambar Qaseh. Setelah berpuas hati, telefon diserah semula pada Ray.

Kenapa Qaseh ke sana? Takkan Qaseh dengar perbualannya dengan Dato' Abbas semalam. Kalau betul, maknanya anak Lan Boya dirogol dan dibunuh mungkin disebabkan dia dah tahu Lan Boya dah kena tangkap? lalu diupah orang untuk lakukan perkara ni pada anak Lan Boya. Orang yang membocorkan perkara ni.. Qaseh?! Argh! biar betul!

Tanpa berlengah Qais terus meninggalkan pejabat itu. White yang melihat kalut mengikut dari belakang.

+++

"Assalamualaikum Tuan" sapa Zila yang berada di Kaunter Aduan. Qais dengan muka yang kelat, hanya menganggukkan kepala.

"Buka lokap" kata Qais.

"Tuan nak masuk ke?" soal Zila. Qais yang mendengar sudah merenung tajam pada Zila.

"Okay.. okay.. saya buka" kata Zila. Garangnya la hai. Tanya pun salah. Kalut Zila bergerak ke arah lokap di bahagian dalam kaunter aduan lalu pintu lokap dibuka dengan kunci yang ada ditangannya. White di belakang hanya mengekori.

"Tuan" anggota yang bertugas di lokap menegur Qais sambil berdiri tegak.

"Saya nak jumpa OKT nama Ramlan atau Lan Boya" kata Qais lalu dia bergerak ke bilik soal siasat lokap. White pula menanti Lan Boya untuk diiring ke bilik soal siasat. Tidak lama, White datang bersama Lan Boya dengan tangan bergari di belakang.

"Kau nak apa lagi ni Tuan?" soal Lan Boya yang sudah berada di hadapan Qais.

"Duduk dulu" arah Qais. Lan Boya kemudian mengambil tempat di kerusi di hadapan Qais.

"Aku harap, apa yang nak aku sampaikan nanti kau dapat terima dengan hati yang tenang" kata Qais sambil memandang Lan Boya di depannya yang sudah tertawa kecil.

"Apahal sopan sangat ni?" soal Lan Boya.

Nafas Qais hembus perlahan.

"Norhanani binti Ramlan anak kau kan?" soal Qais. Terus terdiam Lan Boya. Tegak matanya membalas pandangan Qais.

"Aku dah cakap, jangan libatkan anak aku!" marah Lan Boya.

"Kau sabar dulu boleh tak?" soal White sambil menolak Lan Boya supaya duduk kembali pada kerusi.

"Anak kau dijumpai mati malam tadi, dia dirogol dan dibunuh" kata Qais. Mendatar sahaja suaranya. Lan Boya sudah kaku sebaik mendengar apa yang dituturkan Qais.

"Kau cakap apa?" soal Lan Boya kasar.

"Anak kau dah tak ada, dia meninggal malam tadi. Polis terima panggilan dari orang awam yang menjumpai anak kau. Dia dirogol dan dibunuh" ulang Qais. Kuat Lan Boya menjerit sambil kepala dihantuk ke meja.

"Tu sebab aku tak nak bagitau! aku tahu dia akan cari anak aku! kau penyebab anak aku mati!" jerit Lan Boya macam orang hilang akal.

Berat sungguh tuduhan itu walaupun bukan dia yang menyebabkan anak Lan Boya jadi mangsa. Ditelan juga tuduhan itu. Lan Boya sudah meronta-ronta hingga terpaksa minta bantuan anggota bertugas lokap untuk membawa Lan Boya masuk semula ke dalam cell tahanannya. Qais meraup wajah. Qaseh.. apa yang awak dah buat ni! Bergerak-gerak rahang Qais. Dengan kepala yang serabut, hati yang membengkak, geram, marah, kaki dihayun melangkah keluar dari bilik soal siasat lokap itu.

Sebaik sampai di kaunter aduan, telefon bimbitnya berbunyi. Telefon dalam poket diambil dan skrin dilihat. Tuan Syam? tak sedap rasa hati.

"Selamat petang Tuan" sapa Qais.

"Datang pejabat saya sekarang" arah Syam lalu talian terus dimatikan. Tidak sempat Qais membalas. Tegang sahaja suaranya. Dengan hati yang berat, Qais melangkah keluar dari kaunter aduan menuju bangunan belakang.

Tok tok tok

"Masuk" suara Syam berbunyi. Perlahan Qais menolak daun pintu.

"Selamat petang Tuan" Qais memberi salam. Wajah Syam waktu ini, usah dikata, serius. Tegang sahaja wajahnya.

"Explain!" kata Syam sepatah, tegang sahaja wajahnya. Tanpa mukadimah Qais ditengking, duduk pun tak dipelawa.

"Explain?" soal Qais. Tidak pasti apa yang patut dia terangkan. Kuat Syam mendengus.

"Come on Q, don't make me repeat!" tengking Syam lalu terus membawa tubuhnya berdiri dan melangkah ke hadapan Qais. Kedua-dua tangan sudah naik ke pinggang.

"Mangsa rogol bunuh malam tadi ada kaitan dengan kes anak Dato' Abbas yang kamu siasatkan?" soal Syam keras. Qais yang wajahnya tegak ke depan terus menoleh pada Syam. Nafas dihela. Dah agak, pasti kecoh.

"Sebelum saya kena soal dengan dengan pihak atasan, told me from the very beginning. Don't miss any single of detail" marah Syam. Qais sudah tertunduk. Nak tak nak terpaksa juga dia terangkan apa yang berlaku sejak dari mula lagi.

"Q, you are smart police officer. Tapi macam mana awak boleh kongsi maklumat dengan orang awam. Di mana sumpah akur janji Akta Rahsia Rasmi awak?" soal Syam dengan suara yang tidak percaya.

"Awak tahukan, apa-apa juga maklumat yang ada tidak boleh dikongsi dengan orang awam, waima ahli keluarga sekalipun. Ini kan pula orang yang tak ada kena mengena dalam perkara ini. Saya tahu Dato' Abbas tu ayah kepada mangsa dalam kes yang awak siasat tapi tindakan awak ni salah, Q" kata Syam lagi.

"Disebabkan kecuaian awak, satu nyawa dah melayang. Memang ini hanya asbab bagi kematian anak Lan Boya tapi dia tetap salahkan pihak polis di atas apa yang berlaku pada anak dia tu. Awak fahamkan" sambung Syam lagi.

Qais hanya diam tidak membalas kerana tahu itu adalah salahnya tapi kalau Qaseh tidak curi dengar, pasti ini semua tidak jadi. Kenapa Qaseh, awak buat saya dalam keadaan begini.

"Saya nak awak siapkan laporan berkaitan perkara ni dan hantar pada saya esok pagi. Saya kena taklimatkan perkara ni pada Tuan Shukri" arah Syam.

"Kalau tak ada apa-apa, awak boleh keluar" kata Syam. Serabut!

"Terima kasih Tuan" kata Qais yang sudah berdiri hormat lalu terus keluar meninggalkan pejabat Syam. Telefon bimbit dalam poket dicapai lalu nombor telefon Qaseh didail.

"Hello" suara Qaseh berbunyi di sebelah sana.

"Maaf ganggu. Saya nak jumpa lepas habis kerja boleh?" kata Qais sambil kaki melangkah ke hujung koridor bangunan. Qaseh yang mendengar sudah ketawa perlahan.

"Rindu saya ek" kata Qaseh. Qais yang mendengar tidak membalas.

"Boleh tak?" Qais menyoal. Qaseh rasa pelik. Kenapa serius sangat ni..

"Okay boleh, kebetulan hari ni saya tak bawa kereta. Saya tunggu awak jam lima" putus Qaseh.

"Okay, thanks" ucap Qais lalu talian dimatikan. Qaseh sudah terkebil-kebil di sebelah sana. Dah kenapa Qais ni.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience