Completed
137990
"Hai awak" sapa Qaseh sebaik masuk ke dalam kereta di bahagian penumpang hadapan. Qais hanya anggukkan kepala sahaja.
"Er.. kita nak ke mana?" Qaseh tetap menyoal juga walaupun wajah Qais serius, tiada segaris senyum yang dipamerkan.
"It's up to you" balas Qais yang hanya tegak memandang ke hadapan.
"Kalau macam tu kita ke hotel ni nak, rainbow ice-cream cake kat restoran tu sedap. Saya pernah makan sekali masa jumpa client" soal Qaseh sambil memasang seat belt.
"Okay, where?" soal Qais sambil menoleh sekilas pada Qaseh. Hati, sabarlah wahai hati.. bisik Qais.
"Depan tu je, M Design Hotel" kata Qaseh. Tanpa menunggu masa, pedal minyak terus ditekan, meluncur laju kereta ke destinasinya.
Qaseh yang berada di bahagian penumpang rasa seperti ada yang tidak kena, Qais tidak pernah begini. Hm.. baik tanya dari berteka teki sendiri. Baru Qaseh nak buka mulut, Qais dulu yang menyoal.
"What have you done Qaseh?" mendatar sahaja intonasi Qais. Qaseh dah berkerut dahi. Aku buat apa?
"Apa maksud awak Qais?" soal Qaseh yang sudah beralih tubuh mengadap Qais di sisi.
"Please Qaseh. You know what I'm talking about" suara Qais sudah naik oktafnya. Qaseh sudah cuak. Takkan Qais tahu yang dia dah tahu siapa pelakunya. Qaseh masih diam, tiada sepatah kata pun yang keluar dari bibirnya. Qais sudah hilang sabar.
"Qaseh!" kuat suara Qais bergema. Terangkat bahu Qaseh kerana terkejut, terus berubah wajahnya. Qais menoleh Qaseh di sisi dengan pandangan yang menggerunkan. Tidak mahu mengalah, Qaseh terus menentang pandangan Qais lalu berkata.
"Ya! apa yang awak fikirkan itu, memang ya! Saya mencuri dengar perbualan awak dengan ayah dan saya dah tahu siapa yang melakukannya. Dan awak sama bersubahat dengan ayah. Awak menyembunyikan hakikat bahawa saya memang telah diugut sejak mula lagi! Awak tak jujur Qais. Awak tak jujur!" jerit Qaseh.
'Skreettt'
Bunyi tayar bergesel dengan permukaan jalan apabila dipaksa roda itu berhenti. Nasib baik tiada kereta di belakang, jika tidak sudah pasti kereta Qais disondol. Signal kiri diberi dan kereta berhenti di tepi jalan.
Terdorong tubuh Qaseh ke depan, mujur seatbelt elok terpasang. Jika tidak, dah tentu dirinya terhantuk ke dash board kereta. Merah padam wajahnya menahan marah.
Rahang Qais bergerak-gerak menahan rasa. Merah telinganya bila dituduh begitu. Tangan kuat menggenggam stereng bersama dada yang berombak. Kalau orang lain, dah lama kenyang makan penumbuknya. Pantas wajah ditoleh pada Qaseh.
"Saya tak jujur Qaseh? awak cakap saya tak jujur?" soal Qais yang tegang wajahnya.
"Ya, awak memang tak jujur. Sepatutnya sejak awal lagi awak beritahu pada saya mengenai ugutan yang saya terima! bukan rahsiakannya!" Qaseh pula sudah naik angin.
"Saya buat semua ni untuk kebaikan awak! bukan saja-saja suka! awak faham tak?" pintas Qais pula.
"Kebaikan, kebaikan apa? huh! kebaikan supaya awak dapat pujian dari boss awak yang kes dapat diselesaikan. Dapat tahniah. Macam tu?" pedih sungguh kata-kata Qaseh.
"Saya melindungi awak Qaseh. Saya sayangkan awak" suara Qais sudah kendur.
"Tapi kenapa awak ambil tindakan sendiri? kenapa Qaseh?" Qais sudah naik menengking.
"Disebabkan awak bocorkan rahsia Lan Boya pada Hariz, anak Lan Boya mati! Awak tau tak, mati! Mati dirogol dan dibunuh pada hari yang sama awak jumpa Hariz!" tengking Qais. Terkejut Qaseh dengan apa yang dikatakan Qais.
"Pelakunya adalah orang suruhan Hariz! orang yang awak jumpa kononnya nak bagi amaran! awak dah kusutkan keadaan!" tambah Qais lagi. Qaseh sudah terkedu.
"Saya tak tahu. Sungguh saya tak tahu" perlahan Qaseh bersuara.
"Tu sebab saya rahsiakan perkara ni. Saya tak mahu awak masuk campur urusan polis! biar polis yang buat kerja." suara Qais masih lagi tinggi.
"Saya minta maaf" tutur Qaseh yang sudah menunduk.
"Maaf.. awak ingat maaf awak tu boleh hidupkan anak Lan Boya kembali?" marah Qais belum reda.
"Sekarang semua pihak salahkan saya padahal bukan saya punca semua ni jadi" kata Qais lagi.
"Habis tu, saya punca? saya yang menyebabkan anak Lan Boya mati? macam tu maksud awakkan!" Qaseh sudah tidak dapat menahan diri.
"Ya! memang awak Qaseh! Awak punca!" tanpa tunggu lama, pantas Qais mengakuinya. Berubah riak wajah Qaseh.
"Habis tu awak nak saya buat apa? melutut, merayu? macam tu?" tegang-tegang urat leher Qaseh berlawan kata dengan Qais.
"Awak menyusahkan saya Qaseh!" terluncur tanpa sengaja. Tertegak Qaseh memandang Qais.
"Maaf Qais, saya memang menyusahkan" seat belt di buka, unlock pada pintu ditekan lalu daun pintu dibuka dan laju Qaseh berlari masuk ke restoran hotel di seberang jalan.
"Shit!" stereng ditumbuk kuat. Kepala disandar pada head rest.
"Arghhhh!" jerit Qais.
Hampir lima belas minit Qais berdiam di dalam kereta. Antara mahu dan tidak mahu, akhirnya Qais memandu masuk ke kawasan hotel lalu memakirkan keretanya. Wajah diraup kasar. Daun pintu kereta ditolak dan kaki melangkah keluar. Tertegak seketika sebelum langkah kaki di atur ke restoran hotel.
Ikutkan hati yang marah, ingin sahaja dibiarkan Qaseh tetapi dia tidak mahu Dato' Abbas menyalahkannya jika ada sesuatu berlaku pada Qaseh semasa Qaseh dalam jagaannya. Sedar tak sedar, Qais sudah sampai di muka pintu restoran. Perlahan daun pintu kaca itu ditolak.
Mata melilau memerhati sekiling dalam kawasan restoran itu untuk mencari Qaseh. Tiba-tiba matanya terpaku pada sepasang pasangan yang sedang melangkah ke arah pintu keluar menghala masuk ke hotel.
Dari segi pakaian dan bentuk tubuh dari belakang macam Qaseh, tapi siapa lelaki bersamanya itu dan kenapa nampak Qaseh macam tidak stabil dan perlu dipeluk pinggang untuk dipimpin berjalan. Hati rasa sesuatu. Laju kaki melangkah mengekori tetapi kedua mereka telah hilang disebalik pintu lift.
Qais menunggu seketika di hadapan pintu lift dan penunjuk aras dipandang hinggalah lampu berhenti di tingkat tiga puluh tujuh. Butang lift ditekan, tidak lama pintu lift terbuka dan tingkat tiga puluh tujuh ditekan. Kedua-dua tangan digenggam erat, janganlah berlaku apa-apa pada Qaseh. Skrin penunjuk aras pada bahagian kanan pintu lift dipandang tidak berkelip. Butang tingkat tiga puluh tujuh ditekan-tekan lagi. Tergambar riak risau pada wajah Qais.
"Ish! lambat la pulak lift ni pun!" marah Qais. Bimbang pada keselamatan Qaseh.
Ting
Laju kaki melangkah ke luar sebaik pintu terbuka. Kiri kanan ditoleh, mana satu nak pergi ni. Lorong kanan dituju. Sampai ke hujung diperiksa tetapi tiada apa-apa yang mencurigakan. Kemudian berlari pula ke lorong kiri masih sama. Ah! mana awak dibawa pergi Qaseh. Qais sudah terduduk di tepi lift. Buntu.
Tiba-tiba dilihat lelaki yang memimpin Qaseh tadi keluar dari bilik paling hujung sambil membetulkan pakaiannya lalu menghilang di sebalik pintu rintangan api. Kalut Qais bangun berdiri, serba salah samada mahu mengejar lelaki tadi atau ke bilik yang lelaki tadi keluar. Akhirnya kaki berhenti di hadapan pintu bilik.
Perlahan tombol dipegang dan dipulas. Tak berkunci! Lalu daun pintu ditolak berhati-hati, tidak tahu apa yang ada di sebalik pintu itu. Kepala dijengukkan ke dalam, hanya nampak hujung katil. Perlahan kaki mengatur langkah sambil mata memerhatikan sekeliling bilik hotel itu dan terpaku mata Qais ke arah sekujur tubuh yang sedang terbaring di atas katil. Qaseh!
Tiba-tiba terdengar pintu terbuka lalu Qais menoleh ke belakang dan..
'Buk!'
Berpinar mata lalu terus gelap pandangan.
"Jackpot! aku tak ajak, kau datang sendiri. Memang rezeki!" kata satu suara tetapi tidak dapat Qais cam kerana kepala yang berdenyut dan terus gelap.
+++
"Assalamualaikum" Dato' Abbas memberi salam.
"Waalaikumsalam" jawab Datin Adawiyah lalu mengambil suit dan briefcase yang dihulur Dato' Abbas.
"Qaseh mana, tak balik sekali?" soal Datin Adawiyah sambil menjenguk ke belakang.
"Qaseh balik dengan Qais katanya" balas Dato' Abbas lalu melabuhkan duduk di sofa. Tidak lama Datin Adawiyah tiba bersama segelas air kosong lalu diserahkan pada Dato' Abbas. Setelah habis air diteguk, gelas diletakkan di atas meja.
"Abang ingat hujung minggu ni kita ke rumah Kinah, bincang pasal budak-budak ni" kata Dato' Abbas.
"Abang dah fikir masak-masak ke?" soal Datin Adawiyah. Dato' Abbas hanya diam sambil tersandar di sofa dengan mata terpejam.
"Abang.. kalau abang betul nak jodohkan Qaseh dengan Ratib, abang patutnya jangan benarkan Qaseh dan Qais tu rapat. Ni, abang benarkan Qaseh balik bersama Qais. Abang macam beri harapan pada mereka berdua" kata Datin Adawiyah.
Dato' Abbas perlahan membuka mata dan tubuh ditegakkan. Mata memandang Datin Adawiyah yang ada di hadapannya. Nafas dihembus perlahan.
"Abang suka dengan Qais tapi Ratib yang dapat teruskan legasi syarikat kita" kata Dato' Abbas mendatar lalu terus bangun meninggalkan Datin Adawiyah di ruang tamu.
Pasti Qaseh terluka.
Selepas selesai membersihkan diri dan solat maghrib, Dato' Abbas dan Datin Adawiyah turun ke ruang makan.
"Kak Teha, Qaseh dah balik?" soal Datin Adawiyah sambil membantu Mak Teha menyediakan makan malam. Dato' Abbas pula sudah mengambil tempat di hujung meja makan.
"Belum lagi Datin" balas Mak Teha.
"Belum? eh, dah lewat ni. Ke mana pulak Qaseh ni" soal Datin Adawiyah bimbang. Bukan apa, sejak petang tadi lagi hatinya rasa macam ada sesuatu. Tidak enak saja rasanya.
"Ada la tu pergi makan. Kejap lagi baliklah. Tak payah nak risaulah Wiyah. Dia keluar dengan Qaiskan" kata Dato' Abbas.
"Ye jugak. Bukan dengan orang lain" balas Datin Adawiyah yang sudah mengambil tempat di meja makan. Sedang enak menikmati makan malam, telefon bimbit Dato' Abbas berbunyi.
"Siapa pula telefon malam-malam macam ni. Kak Teha tolong ambilkan telefon saya atas meja kopi di ruang tamu tu sekejap" pinta Dato' Abbas.
Mak Teha yang sedang menikmati makan malam, terkocoh-kocoh bangun melangkah ke ruang tamu.
"Nak Dato' " serah Mak Teha.
"Nombor siapa ni?" soal Dato' Abbas tapi panggilan dijawab juga.
"Hello"
Share this novel