Bab 29

Romance Completed 137990

"Dah, cepat turun. Punya la payah nak kejut bangun. Kesian Qais, dapat isteri macam Qaseh" bebel Datin Adawiyah sambil beriringan turun tangga bersama Qaseh. Nak pastikan Qaseh bangun dan mandi punya pasal, dekat setengah jam dia di atas. Ish, budak bertuah ni.

Sebaik kaki memijak anak tangga terakhir, wangi bau nasi goreng. Kalut Datin Adawiyah melangkah ke dapur. Mak Teha dah datang ke, awalnya. Bagitau semalam jam sepuluh pagi. Sampai sahaja di dapur, dilihat Qais yang berapron bunga-bunga sedang mengacau nasi dalam kuali. Bulat mata Datin Adawiyah. Aduh.. menantu yang kena masak, menantu lelaki pulak tu. Kalau menantu perempuan tak apa lagi.

"Wanginya bau nasi goreng" tegur Qaseh yang berada di belakang sambil memeluk pinggang Datin Adawiyah menegur. Terpejam matanya menghidu aroma nasi goreng.

"Qais.. Qais buat apa ni?" soal Datin Adawiyah yang sudah sampai ke tepi dapur. Qais yang ralit mengacau nasi goreng menoleh ke sisi.

"Eh, Mak Uda. Saya tolong masakkan nasi goreng" balas Qais bersahaja.

Sebaik Qaseh mendengar ayat yang ditutur Qais, pantas mata dicelik. Ditoleh ke sisi.

"Pandai ke masak tu" tegur Qaseh yang sudah tertawa di belakang. Datin Adawiyah penepuk tangan Qaseh yang ada di pinggangnya.

"Ada cakap macam tu pada suami" marah Datin Adawiyah.

"Auch, sakit la Mak Uda" Qaseh marah manja pada Datin Adawiyah lalu pinggang itu dilepaskan dan kaki melangkah ke bar stool dan duduk dilabuhkan.

"Comel dia.. masak pakai apron bunga-bunga" usik Qaseh lagi pada Qais. Menjeling Datin Adawiyah dengan perangai Qaseh. Ish, budak bertuah ni.. dimain-mainkan suami macam tu.

"Kenapa Qais yang masak. Qais lapar ya?" soal Datin Adawiyah serba salah.

"Tak lah. Bahan-bahan dah siap, nanti nak masuk kuali je. Tak susah pun" balas Qais lalu menutup api dapur.

"Apa bising pagi-pagi ni?" soal Dato' Abbas yang baru tiba ke dapur.

"Aik, Q pula yang masak ke?" soal Dato' Abbas tidak percaya. Qais hanya tersenyum sambil membuka apron bunga-bunga milik Datin Adawiyah.

"Ya bang, rezeki kita dapat rasa air tangan Qais pagi ni. Nak harapkan Qaseh, memang tak lah.." perli Datin Adawiyah. Qaseh yang waktu itu sedang duduk di bar stool terus muncung bibirnya.

"Mak Uda ni.. mengata depan-depan. Tak baik tau. Kecik hati Q yang tak berapa nak besar ni" kata Qaseh dengan nada suara merajuk.

"Biar depan-depan, mana tau nak berubah" Kata Dato' Abbas pulak. Qais hanya senyum senget. No komen!

Masam wajah Qaseh. Suka la tu kan, pagi-pagi dia dah kena smash!

"Wiyah, cepatlah bawa ke meja makan. Tak sabar saya nak rasa" kata Dato' Abbas yang sudah melangkah ke meja makan. Datin Adawiyah yang sedang membancuh air kalut jadinya.

"Eh, ayah bukan tak makan berat-berat kalau sarapan pagi macam ni ke?" soal Qaseh pelik.

"Hari ni tukang masaknya lain, rugi kalau tak rasa" balas Dato' Abbas yang sudah ke ruang makan.

"Ee.. Qais punya pasal, tak pernah-pernah makan nasi waktu sarapan, sibuk nak makan" bebel Qaseh tak puas hati.

"Dah, cepat bawakan nasi ke sini" jerit Dato' Abbas dari meja makan.

"Biar saya tolong sendukkan" kata Qais.

"Tak payah, Qais ke depan. Biar Qaseh yang sendukkan. Qaseh, sini!. Tolong Mak Uda. Cepat" panggil Datin Adawiyah. Qaseh dengan malas turun dari bar stool. Sempat dijelingnya Qais sewaktu berselisih. Ish, geram!

Kelentung kelentang bunyi sudip berlaga dengan kuali. Protes punya pasal.

"Eloklah, ketuk kuali tu kuat-kuat sikit, biar satu tempat ni dengar!" tegur Datin Adawiyah. Qaseh dengan wajah cemberut dan hidung yang dikembang kempiskan terus letakkan sudip dalam kuali. Nyampah!

"Dah siap, bawa ke depan. Lepas tu ambil pinggan ni sekali. Mak Uda nak bawa air dengan cawan" pesan Datin Adawiyah lalu berjalan meninggalkan Qaseh yang tidak puas hati di dapur. Separuh jalan melangkah, Datin Adawiyah menoleh ke belakang.

"Buat apa lagi kat situ, cepatlah" panggil Datin Adawiyah.

"Pagi-pagi buat perangai" menggeleng kepala Datin Adawiyah dengan ulah Qaseh. Macam-macam.

"Mana nasinya?" soal Dato' Abbas apabila melihat dulang air yang sampai. Tidak lama Qaseh tiba bersama mangkuk semangkuk nasi goreng.

Berselera sarapan pagi hari tu dengan nasi goreng dari air tangan Qais. Habis semangkuk. Banyak juga nasi goreng yang dimasak Qais.

"Alhamdulillah.. Kenyang ayah. Lewat sikit lah kita makan tengah hari nanti Wiyah. Nasi goreng penuh perut ni ha.." ucap Dato' Abbas yang sudah tersandar di kerusi.

"Iyalah, sedap Qais masak" puji Datin Adawiyah pula.

Qaseh di sebelah sudah buat muka, nasi dikuis-kuis saja dalam pinggan tu. Sombong tak nak makan, lapar baru tau!

"Biasa-biasa je Mak Uda, kecik-kecik selalu tolong mak di dapur. Tak kira anak perempuan ke lelaki, mak suruh juga buat." balas Qais. Segan rasanya, nasi goreng biasa-biasa je pun. Mungkin sebab orang dalam rumah ni dah biasa dengan masakan Mak Teha dan Datin Adawiyah, itu bila Qais yang masak, terasa lain.

"Er, ayah, Mak Uda, rasanya nak gerak dululah. Takut lewat sampai, lewat pula mak dengan adik balik nanti" kata Qais lalu bangun dari kerusi. Qaseh yang dari tadi sunyi sepi tak bersuara masih diam tempatnya.

"Hah, Q apa lagi. Qais dah nak pergi tu. Siaplah cepat" tegur Dato' Abbas.

"Q dah siap dah" balas Qaseh malas.

"Kalau dah siap, cepatlah. Lambat mak dengan adik Qais sampai rumah nanti" sampuk Datin Adawiyah.

"Ye.. ye.. Q naik atas sekejap nak ambik beg" kata Qaseh lalu bangun meninggalkan ruang makan.

"Qais, jangan dimanjakan sangat Qaseh tu, kalau salah tegur. Jangan dibiarkan pula" pesan Dato' Abbas yang waktu itu turut bangun dan mengekori Qais ke muka pintu. Tidak lama Qaseh sampai bersama beg galasnya.

"Ayah, Mak Uda, pergi dulu" ucap Qais lalu menghulur salam.

"Ayah, Mak Uda" panggil Qaseh pula. Kekura tangan Dato' Abbas dicium, begitu juga Datin Adawiyah.

"Assalamualaikum" ucap Qais lalu melangkah ke keretanya dan tubuh dilolos masuk diikuti Qaseh.

Dalam perjalanan ke rumah Qais, senyap sahaja. Qais tenang memandu manakala Qaseh lebih selesa melayan lagu yang diputarkan di radio. Tidak lama sampai di perkarangan rumah Qais, remote pagar ditekan dan perlahan pintu pagar terbuka. Waktu itu dilihat Qaisara sedang menyimpan beg di dalam kereta. Setelah kereta diletakkan di bawah porch, enjin kereta dimatikan dan ditoleh pada Qaseh di sisi.

"Marilah masuk. Ni lah rumah kita" kata Qais sambil menepuk perlahan tangan Qaseh. Tanpa banyak bicara, Qaseh mengikut langkah Qais menghampiri Qaisara.

"Assalamualaikum" sapa Qais.

"Waalaikumsalam" balas Qaisara lalu menghulur salam dengan Qais dan kemudian beralih pada Qaseh.

"Abang Ayeed dengan Kak Q dah sarapan ke?" soal Qaisara yang masih lagi memegang tangan Qaseh.

"Dah, sarapan di rumah tadi" balas Qais.

Qaseh pula masih diam. Kekok pulak rasanya bila orang memanggil dia kakak. Biasanya dia yang memanggil kakak pada Najihah.

"Ingatkan belum sarapan, kalau belum boleh makan bihun goreng mak masak tadi, ada sikit lagi" kata Qaisara.

"Kalau macam tu, marilah masuk dulu. Mak tengah bersiap" ajak Qaisara sambil menarik tangan Qaseh. Qaseh menoleh pandang pada Qais yang berada di sisinya. Qais hanya angguk dan senyum sahaja. Hai la Qaseh, sopan pulak. Kalau di rumah dia.. adui, dia punya nakal. Lain maciam.

"Mak..!" jerit Qaisara

"Mak, abang Ayeed dengan Kak Q dah sampai" jerit Qaisara.

"Oit! anak dara. Cuba sopan sikit. Jerit-jerit, dah macam tarzan" tegur Qais lalu meletakkan kunci pada bekas di atas meja sisi berhampiran pintu lalu dilabuhkan duduk pada sofa.

"Sibuk!" balas Qaisara lalu dijelirnya lidah pada Qais. Elok sangat, adik dengan isteri, satu kapal.

"Akak nak minum apa?" soal Qaisara pada Qaseh yang sudah ditarik supaya duduk di ruang tamu.

"Er.. apa-apa je la" segan pula bila dilayan begitu.

"Eh, abang Ayeed tak nak tanya ke?" soal Qais pada Qaisara yang sudah menghilang ke dapur. Ish, bertuah punya adik.

"Hah, Ayeed, Qaseh. Dah lama sampai?" soal Puan Adlila yang baru turun dari tingkat atas. Sudah siap untuk pulang.

"Baru je mak" balas Qais dan Qaseh serentak lalu bangun menghampiri Puan Adlila dan saling bersalaman.

"Mak nak balik dah?" soal Qais pula. Waktu itu Qaisara datang menatang dulang bersama mug berisi coklat panas. Diletakkan dulang di atas meja kopi. Bertuah punya adik, untuk kakak ipar je.. sabar je la.

"Nak balik dah Yeed, takut lambat pula sampai nanti" balas Puan Adlila.

"Bawa kereta tu jangan laju-laju, kena saman bayar sendiri" pesan Qais. Bukan boleh harap Qaisara ni, namanya je perempuan. Bawa kereta kalau tak habis meter tu tak sah. Bila kena saman, pandai pula minta dia yang bayarkan.

"Tau lah" balas Qaisara.

"Qaseh, mak balik dulu. Nanti jangan lupa balik sana. Mak ada buat kenduri sikit. Buat makan-makan." pesan Puan Adlila sambil mengusap lengan Qaseh.

"In sha Allah mak" balas Qaseh.

Qais dan Qaseh menghantar Puan Adlila dan Qaisara hingga ke muka pintu. Perlahan kereta HRV putih itu bergerak meninggalkan kawasan perkarangan rumah.

"Qaseh, saya nak keluar sekejap. Awak tak apa ke tinggal sorang?" soal Qais pada Qaseh yang sudah berada di ruang tamu.

"Awak nak ke mana?" soal Qaseh. Cuak la pula bila ditinggalkan seorang diri dalam rumah besar macam ni.

"Saya ada kerja sikit. Sekejap je" kata Qais sambil menyarung jaket pada tubuh.

"Okaylah.." balas Qaseh.

"Kalau macam tu saya pergi dulu" kata Qais lalu dilabuhkan cium pada dahi Qaseh. Terkaku seketika dengan tindakan Qais. Pintu rumah ditutup rapat lalu kaki melangkah ke kereta dan tubuh melolos masuk ke bahagian pemandu. Sebaik keluar dari perkarangan rumah, pintu pagar ditutup kembali menggunakan remote.

Qaseh yang masih berada di ruang tamu, menyentuh perlahan dahi yang dicium Qais tadi. Terloret senyum di bibir. Tiba-tiba perut berbunyi. Aduh. Lapar la pulak. Itu la tadi sombong! Laju kaki melangkah ke arah dapur..

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience