Completed
137990
"Abang" sapa Qaseh sambil tersenyum. Haikal yang mendengar terus tertoleh pandang.
"Qais" Haiqal menyapa lalu salam dihulur tapi huluran itu tidak disambut Qais. Haiqal jungkit bahu lalu memandang Qaseh.
"Okaylah Qaseh, saya balik dulu" kata Haiqal pada Qaseh lalu melangkah pergi meninggalkan Qaseh bersama Qais. Qais tegak memandang Haiqal hingga tubuh itu melolos masuk ke dalam keretanya yang tidak jauh dari kereta Qaseh.
"Abang dari mana?" soal Qaseh yang sudah menghampiri Qais.
"Dah puas berseronok? patutlah tak kisah bila saya tak dapat hantar pergi kerja hari ni!" soalan Qaseh tidak dijawab sebaliknya, dia pula menyoal Qaseh. Marah sungguh, sampaikan kata ganti diri terus berubah.
"Abang cakap apa ni?" soal Qaseh tidak mengerti. Tanpa diduga, Qais menurunkan visor lalu trotel minyak dipulas, menderum motorsikal pergi. Qaseh yang hairan hanya memandang Qais berlalu meninggalkannya. Dia ni dah kenapa, tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba taufan nak melanda. Sengaja nak cari pasal ke apa ni! bentak Qaseh dalam hati. Dah la orang tanya tak jawab, kita pula disoalnya. Marah sambil melangkah ke arah keretanya lalu tubuh dilolos masuk. Tak apa, nak cari pasal sangatkan. Fine! Tidak menunggu lama, Qaseh terus memandu meninggalkan kawasan tersebut untuk pulang ke rumah Dato' Abbas.
+++
Helmet dicampak kasar ke atas sofa di dalam pejabatnya yang menjadi tempat Qais melelapkan mata. Kasar tubuh dihempas di atas kerusi. Jam ditilik, hampir jam dua pagi. Selepas berjumpa Qaseh bersama Haiqal tadi, habis ditawafnya pusat bandar Kuala Lumpur. Masuk ke highway, isi minyak motor dan disambung semula. Tiada arah tuju ditunggangnya motorsikal tersebut. Akhirnya, pulang ke IPD Ampang juga. Rambut diraup kasar. Kenapa awak buat saya macam ni Qaseh!
+++
Sand yang baru tiba di pejabat, terus menegur Qais yang berada di meja kerjanya. Nasib baik hari ini tak ada mesyuarat, bolehlah bermalasan sekejap di pejabat.
"Q, semalam kau pergi mana?" soal Sand. Qais hanya buat pekak seakan tidak mendengar pertanyaan Sand.
"Oit! aku tanya, kau pergi mana?" suara Sand sudah meninggi. Ah, peduli apa Qais nak marah. Kasut dilucutkan lalu kaki melangkah masuk dan dilabuhkan duduk pada kerusi di hadapan Qais.
"Aku tak ke mana lah" balas Qais acuh tak acuh. Sand dah geleng kepala. Ish dia ni..!
"Q! aku tau ada yang kena. Semalam kau pergi mana?" soal Sand lagi. Kuat Qais mendengus. Kalau dah namanya perempuan, selagi tak dapat jawapan yang memuaskan hati, selagi itu lah soalan yang sama diulang. Akhirnya Qais mengambil telefon yang ada di atas meja lalu ditunjukkan gambar yang dihantar Lyana semalam dan dicampak telefon di depan Sand. Tegak Sand memandang Qais.
"Nak tau sangatkan. Tengoklah tu!" kata Qais. Sand terus mengambil telefon Qais dan gambar ditelek. Qaseh dan seorang lelaki sedang duduk di meja di sebuah restoran. Qais dipandang.
"Qaseh keluar makan dengan siapa?" soal Sand. Ketat wajah Qais mendengar soalan Sand. Terus dirampas telefonnya yang ada di tangan Sand.
"Pasal ni kau keluar petang semalam? kau cari Qaseh?" soal Sand tidak percaya.
"Dah tanya Qaseh pasal ni?" soal Sand lagi.
"Tak payah tanya, aku sampai di tempat parking, Qaseh dengan Haiqal elok berjalan berdua!" balas Qais dengan wajah bengang.
"Oh, nama lelaki tu Haiqal.." sampuk Sand perlahan. Qais menjeling, berbulu telinganya mendengar nama Haiqal disebut.
"Nak buat apa aku tanya lagi, memang dah sah-sah Qaseh keluar berdua dengan Haiqal" keras suara Qais berbunyi.
"Betul ke Qaseh keluar berdua?" soal Sand. Qais memandang wajah Sand.
"Aku nampak dengan mata aku sendiri Sand. Huh! ingatkan dah betul-betul berubah. Harap pakaian je berubah, perangai makin teruk!" bebel Qais.
"Hey, kau tanya pun tak dah tuduh melulu. Kau percaya ke Lyana tu? Macam kau tak tau perangai dia macam mana" marah Sand. Suka sangat percaya dengan Lyana tu, bukan tak pernah terkena dengan Lyana gedik tu. Tapi masih nak percaya bulat-bulat. Cakap bangang nanti marah pulak!
"Dah la Sand, menyesal aku setuju kahwin dengan dia. Nak berubah la sangat!" kata Qais tak puas hati.
"Eh, kau jangan nak mengata Qaseh. Kau pun sama, masih tak berubah!" bidas Sand. Qais memandang Sand tajam.
"Apa, tak betul apa aku sebut? kau cakap kau dah berubah tapi kau masih juga jumpa dan berhubung dengan Danny. Apa tu?" soal Sand tidak puas hati.
"Itu urusan aku, kau tak payah campur!" marah Qais.
"Huh! senang jawapan kau kan. Eh, Q, kalau kau pun masih tak boleh nak berubah dan lari dari hidup lama kau, jangan nak senang-senang judge Qaseh macam tu!" marah Sand.
"Sekurang-kurangnya aku tak curang!" balas Qais dengan suara yang sudah meninggi.
"Kau jangan nak samakan Qaseh dengan Khay la Q! Kau pun bukan baik sangat!" kata Sand. Cakap macam diri tu malaikat!
"Aku tau aku ni jahat tapi sejahat jahat aku, aku tak pernah sentuh perempuan dengan air haram tu la!" marah Qais.
"Memang kau tak sentuh perempuan tapi kau tu dulu bapa ayam. Tak ada bezanya pun!" Sand sudah bangun berdiri. Tegang wajahnya.
"Eh, yang kau nak ungkit kisah lama aku kenapa?" marah Qais. Dari sebab Qaseh dah meleret sampai kisah lamanya. Sand ni dah kenapa? apa masalah dia!
"Sebab kau sampai hati nak jual aku, kawan baik kau sendiri untuk jadi ayam!" jerkah Sand bersama penumbuk melayang ke wajah Qais. Terteleng wajah Qais ke sisi. Biar satu blok ni dengar pun dia tak kisah. Qais sudah tegak berdiri. Pucat wajahnya.
"Kau.. kau.. tau pasal tu?" soal Qais sambil mengusap pipinya. Kebas juga rasa penangan Sand.
"Aku dah lama tau Q, tapi aku diamkan saja sebab akhirnya kau dengan Dayyan yang datang selamatkan aku walaupun pada hakikatnya kau yang aturkan pertemuan tu!" marah Sand belum reda.
'Ketang'
Bunyi tin minuman jatuh ke lantai. Kalut Sand mengintai.
"Qaseh!" terpacul nama di bibir Sand. Terkejut Sand dengan kehadiran yang tidak disangka. Waktu itu Qaseh yang wajahnya sudah pucat laju mengatur langkah meninggalkan pejabat Qais. Di atas lantai ada beberapa tin minuman dibiarkan tergolek. Qais yang mendengar sebaris nama itu disebut pantas berlari ke pintu. Dilihat Qaseh sudah tiada.
"Sorry Q, aku tak ada niat nak ungkit kisah lama" kata Sand serba salah. Qais hanya menggeleng.
"Kau tak nak kejar Qaseh?" soal Sand pada Qais yang hanya kaku di pintu pejabat.
"Aku tak rasa Qaseh akan terima aku lagi selepas dia dengar apa yang aku cakap tadi" Qais mengeluh. Maafkan abang sayang.
"Kau cakap apa ni?" soal Sand tidak faham. Qais menggeleng lagi.
"Qaseh tak tahu siapa aku sebelum ni" balas Qais lemah.
"What?" soal Sand kuat.
"Aduh.. eh! kau ni kan.. macam mana aku nak cakap ye. Patutnya kau kena berterus terang dengan Qaseh!" tegur Sand.
"Terus terang? terus terang apa? bagitau Qaseh yang aku ni pernah jual orang, ketua gangster, peras ugut orang.. macam tu? kau ingat Qaseh akan terima dengan hati yang terbuka sambil bertepuk tangan? fikir logik la Sand. Kalau kau jadi Qaseh, kau boleh terima suami dia, orang yang macam tu?" soal Qais yang sudah terduduk di sofa. Terdiam Sand tidak membalas.
"Tapi kau kena kejar Qaseh juga. Perempuan kalau tengah emosi, bahaya. Kalau kemalangan nanti macam mana? kau tak risau?" soal Sand. Dia pula yang bimbang.
"Dah la, kalau kau tak nak kejar. Biar aku yang pergi" kata Sand lalu kalut menyarung kasut.
"Tak payah, biar aku!" tegah Qais lalu jaket disarung pada tubuh dan kunci kereta bersama telefon diambil.
"Maafkan aku Sand" ucap Qais lalu melangkah keluar dari pejabat bersama rasa kesal.
"It's okay. Nanti kita bincang. Kau cari Qaseh dulu" kata Sand sambil menepuk perlahan bahu Qais.
+++
"Betul ke apa yang aku dengar tadi?" Qaseh sudah bercakap sendirian. Menggeletar tangannya memegang stereng.
Itu ke yang Qais maksudkan dulu supaya jangan tinggalkan dia kalau tau siapa dia sebenarnya. Tapi biar betul Qais macam tu orangnya dulu. Apa jadi dengan nasibnya. Kalau sahabat baik sendiri pun sanggup Qais nak jual, inikan pula dia yang baru kenal tak berapa lama. Qaseh sudah rasa tidak selamat. Laju keretanya meluncur keluar dari perkarangan IPD Ampang. Tanpa sedar, keretanya sudah sampai masuk di perkarangan rumah Dato' Abbas. Tanpa lengah, Qaseh matikan enjin lalu laju melangkah keluar dari kereta.
"Qaseh" tegur Datin Adawiyah dari belakang. Terperanjat Qaseh, pucat wajahnya.
"Eh, Mak Uda. Terkejut Q" kata Qaseh sambil mengurut dada.
"Qaseh.. kenapa ni? pucat muka?" soal Datin Adawiyah sambil mengusap belakang Qaseh.
"Hah? tak ada apa" laju Qaseh membalas sambil kepala menoleh ke arah jalan masuk.
"Qaseh cari siapa?" soal Datin Adawiyah sambil memandang ke arah yang sama.
"Tak ada apa. Jomlah kita masuk" ajak Qaseh sambil menarik lengan Datin Adawiyah masuk ke dalam rumah.
"Qaseh datang seorang ke? Qais tak ikut sama?" soal Datin Adawiyah yang mendahului langkah masuk ke dalam rumah.
"Hah? Qais? er.. Qais kerja. Tak ikut sekali" balas Qaseh kalut. Datin Adawiyah dah kerut kening, pelik Qaseh hari ni.
"Qaseh tak kerja?" soal Datin Adawiyah pula.
"Ha.. tak, Q minta cuti" laju dibalas.
"Ye lah, nanti Qaseh turun makan ya. Mak Uda dengan Mak Teha masak awal hari ni" balas Datin Adawiyah gembira. Qaseh hanya mengangguk dan laju melangkah naik ke tingkat atas. Sebaik masuk ke bilik, pantas pintu ditutup rapat. Duduk dilabuhkan di birai katil. Fikiran masih lagi terngiang-ngiang dengan apa yang disebut Qais. Tangan naik mengusap dada.
+++
"Assalamualaikum" ucap Ratib apabila masuk ke dapur. Waktu itu Datin Adawiyah sibuk memasak bersama Mak Teha.
"Eh, Atib. Bila sampai?" soal Datin Adawiyah bersama senyum di bibir. Tangan yang kotor laju dicuci dan dikeringkan.
"Baru lagi. Mak Uda sihat?" soal Ratib sambil mengambil tempat di bar stool.
"Alhamdulillah, sihat.. Atib nak air?" soal Datin Adawiyah yang sudah mengambil sebiji gelas dan diletakkan di hadapan Ratib kemudian jus tembikai di dalam peti ais diambil lalu dituang.
"Minum la" pelawa Datin Adawiyah. Ratib senyum lalu gelas dicapai dan jus tembikai diteguk. Hm.. manis.
"Atib dari mana?" soal Datin Adawiyah apabila melihat Ratib yang masih memakai pakaian kerja.
"Oh, Atib jumpa client. Lalu kawasan sini, singgah dulu. Lagipun Atib nak bagi ni pada Mak Uda" kata Ratib lalu menyerahkan beg kertas pada Datin Adawiyah.
"Apa ni?" soal Datin Adawiyah sambil menerima huluran Ratib.
"Mak Uda tengok la dulu" kata Ratib sambil meneguk jus tembikai lagi. Datin Adawiyah keluarkan satu kota baldu warna biru. Apabila dibuka ada seutas jam tangan. Cantik.
"Untuk Mak Uda ke?" soal Datin Adawiyah tidak percaya.
"Ya lah. Mak Uda kan ada cakap hari tu nak cari jam tangan baru. Jadi Atib beli la" kata Ratib.
"Susah-susah je.. terima kasih Atib" Datin Adawiyah senyum suka.
"Atib jumpa Q dengan Kak Jihah masa beli jam ni semalam, Dr Haiqal pun ada. Kebetulan terjumpa, diaorang makan sekali tapi Atib tak join pun sebab sampai je, diaorang dah siap makan" kata Ratib.
"Kau cakap apa? Qaseh dengan Kak Jihah keluar makan?" soal Qais yang muncul dari belakang.
Share this novel