Completed
137990
Sampai sahaja di pejabat, Qais terus mengambil sampul yang mengandungi ugutan untuk Qaseh. Qais meneliti surat ugutan tersebut. Ternyata ianya bersifat peribadi tetapi kenapa baru sekarang. Dua kali Qaseh terima ugutan, yang pertama sekeping kertas yang dilekatkan pada cermin kereta dan yang kedua pula gambar Qaseh berada di tempat parking sebuah pasaraya dan gambar tersebut ada tanda pangkah dengan dakwat warna merah di muka Qaseh. Berdasarkan kedua-dua tarikh penerimaannya, iainya sebelum kejadian samun tempoh hari.
Tidak menunggu lama, Qais terus melangkah keluar dari pejabatnya menuju ke bilik soal siasat di bangunan sebelah. Laju kaki melangkah.
"Tuan" tegur White dan Vickey serentak sebaik melihat Qais yang masuk ke bilik soal siasat itu.
"Dah semak maklumat berkaitan suspek?" soal Qais sambil mata tajam memandang suspek yang mata ada kesan luka di sebalik cermin pandang sehala.
"Ni penyata akaun bank suspek, ada aliran wang tunai masuk sebanyak tiga puluh ribu lima hari lepas. Kalau berdasarkan pada risikan, suspek tiada kerja tetap dan kemasukan wang tunai yang banyak adalah sesuatu yang meragukan" kata White sambil menyerahkan fail yang mengandungi butiran tersebut.
"Semakan terhadap pemilik kereta pula dapati kereta tersebut adalah milik satu perempuan Melayu beralamat di Kedah. Kereta tersebut dilaporkan hilang pada bulan lepas Tuan. Ini salinan repot dan rekod senarai hitam kereta tersebut" kata Vickey.
"Rekod lampau?" soal Qais sambil meneliti dokumen yang ada di tangan.
"Suspek mempunyai sepuluh rekod lampau sejak tahun 2005 dan baru keluar dari penjara Kajang dua bulan yang lalu. Rekodnya kebanyakan adalah kes samun dan dadah Tuan. Rekod semua ada dalam fail tadi." sambung Vickey.
"Berdasarkan rakaman CCTV di kedai Seven Eleven, perskripsi suspek yang melakukan samun mendatangkan cedera adalah sangat sepadan dengan kecederaan di mata kiri suspek ni Tuan tapi dia tak nak mengaku dan tak buka mulut" terang White lagi.
"Dari tahun 2005? ni dah otai" kata Qais.
"Ya, Tuan. Suspek aktif di sekitar kawasan Lembah Klang ni" kata Wahite lagi.
"It's okay, kita tengok kawad cam nanti. Dia nak lari mana!" kata Qais.
"Seorang lagi?" soal Qais lagi.
"Yang seorang lagi rekod bersih. Masih muda, dua puluh satu tahun. Mungkin baru nak berjinak-jinak dalam melakukan jenayah Tuan" kata White.
"Apa hubungan suspek berdua ni?" soal Qais lagi.
"Kenal atas kenal Tuan, melalui kenalan" kata Vickey.
"Urine?" soal Qais.
"Dua-dua positif 'Meth' "kata Vickey pula.
Qais hanya mengangguk lalu menyerahkan fail pada White lalu tangan menyeluk poket dan mengeluarkan sarung tangan kulit warna hitam. White dan Vickey sudah saling memandang. Kalau dah Tuan Qais keluarkan sarung tangan berhantunya tu, nahas la suspek. Jangan ada yang makan ikut straw sudah.
"Buka pintu" arah Qais. Bengis sahaja wajahnya. Waktu itu ada Ray di dalam sedang soal siasat suspek. Sudahlah suspek samun, ni cubaan membunuh dan orang yang nak dibunuh tu orang kesayangannya pulak! Memang lunyai la..
"Tuan" tegur Ray dan terus berdiri di sisi Qais. Qais pula tegak memandang lelaki yang sedang duduk dan tangan bergari itu.
"Ray, keluar" arah Qais. Tegak Qais memandang suspek yang berada di dalam bilik itu"
"Tapi Tuan.." kata Ray yang sudah pun berdiri.
"Tak faham bahasa?" soal Qais keras. Ray sudah serba salah. Nak tak nak terpaksa juga melangkah keluar dari bilik itu.
"Keluar, tutup pintu. Jangan benarkan sesiapa masuk" kata Qais.
Suspek yang berada di depan hanya diam dan tersengih. Suspek ini sudah biasa keluar masuk penjara dan sudah biasa dengan keadaan dalam tahanan polis, jadi dia tidak risau dan bimbang tapi suspek ini silap kerana sekarang dia berdepan dengan Qais Qaayed!
"Ramlan bin Siduk atau Lan Boya. Aku tau kau dah biasa keluar masuk penjara dan dah biasa dengan keadaan ni tapi kau kena ingat, kalau kau disabitkan dengan samun mendatangkan cedera hukuman adalah penjara boleh sampai empat belas tahun. Itu kes pertama."
"Kes kedua, cubaan membunuh, jika disabitkan kesalahan hukuman penjara seumur hidup. Jadi sebelum kau nak jawab setiap soalan aku, kau fikir masak-masak!" pesan Qais sambil memandang suspek di hadapannya dengan pandangan yang tajam.
"Kau tak payah la Tuan nak ugut aku macam tu, kau tu umur baya anak-anak aku je, mentah lagi.." ejek Lan Boya sambil senyum sinis.
"Oh! ye lah, sebaya anak kau. Anak perempuan kan, cantik juga, dia belajar di UiTM tahun akhir. Dia tau tak yang ayah dia kena tangkap lagi?" soal Qais. Mendatar sahaja.
"Kau jangan nak babitkan anak aku sial!" terus berdiri Lan Boya. Senget meja di hadapannya.
"Kalau tak nak aku umum satu UiTM pasal ni.. baik kau beri kerjasama!" tengking Qais pula.
"Kerjasama..?" soal Lan Boya sambil ketawa kuat. Gila aku bagi kerjasama. Putus nyawa aku nanti!
"Hey! mati hidup balik pun aku takkan kerjasama dengan polis cabuk cam kau!" kata Lan Boya lalu meludah di lantai. Memerah telinga Qais. Hilang sudah sabarnya yang sememangnya sudah tidak sabar!
Hampir dua puluh minit Qais keluar dari bilik soal siasat dan mendapatkan anggota tadi.
"Tuan!" tegur Ray, White dan Vickey. Tertegak berdiri mereka apabila melihat Qais melangkah keluar dari bilik soal siasat. Tegang sahaja wajahnya. Dapat dilihat sarung tangan tadi sudah basah dengan cecair warna merah. Aduh, jangan mati sudah..
"Hantar suspek ke hospital, dia kena sawan dan cuba cederakan diri sendiri" kata Qais. Ketiga-tiga anggota yang mendengar sudah terkebil-kebil. Sawan??
Pantas Ray berlari masuk ke dalam bilil soal siasat. Lan Boya sudah terjelepuk di hujung bilik. Tepuk dahi Ray. Mati la nak.. jangan Tuan Syam tahu sudah, jenuh pulak nak menjawab. Boleh tahan juga singanya Tuan Syam tu.
Setelah sarung tangan dimasukkan ke dalam beg kecil, Qais terus ke sinki mencuci tangan. Merah juga buku limanya tapi puas hati bila apa yang dia mahukan telah dapat diperolehi. Cuma masalah sekarang, setakat pengakuan dari Lan Boya memang susah untuk membuat penahanan, bukti kukuh mesti ada. Argh!
+++
Pagi itu, selepas sarapan Qais memandu kereta menuju ke rumah Qaseh. Mahu melawat buah hatinya itu. Tidak puas rasanya hanya berbual di dalam telefon lagi pula dia mahu berjumpa dengan Dato' Abbas memandangkan hari ni cuti, Dato' Abbas tak ke pejabat.
"Assalamualaikum" Qais memberi salam.
"Waalaikumsalam" jawab Datin Adawiyah yang waktu itu kebetulan berada di kolam ikan sedang memberi ikan makan.
"Qais. Masuklah" ajak Datin Adawiyah.
"Ya, terima kasih auntie. Uncle ada?" soal Qais sambil mengekori Datin Adawiyah dari belakang masuk ke dalam rumah.
"Ada, sekejap auntie panggilkan. Qais duduklah dulu" kata Datin Adawiyah lalu berjalan melangkah ke dapur kerana mahu Mak Teha siapkan minum untuk Qais.
"Awak" tegur Qaseh yang baru turun dari tangga dan berselisih dengan Datin Adawiyah. Sebaik mendengar suara Qaseh, terus tegak Qais berdiri mendapatkan Qaseh.
"Eh, Qaseh nak ke mana?" soal Qais sambil beriringan berjalan bersama Qaseh ke ruang tamu.
"Saya nak jumpa awak la. Saya dengar suara awak dari atas tadi" kata Qaseh lalu melabuhkan duduk.
"Qaseh macam mana, sihat?" soal Qais. Walaupun pagi tadi soalan yang sama sudah disoal semasa berbual dalam telefon, dia tetap juga mahu bertanyakan soalan yang sama. Qaseh yang mendengar sudah ketawa perlahan.
"Awak ni.. bukan pagi tadi dah tanya ke?" soal Qaseh pada Qais di sisinya. Masam wajah Qais bila disoal begitu. Ala la.. ingat comel la tu buat muka macam tu. Qaseh ketawa lagi.
"Saya okay la. Calar sikit je." jawab Qaseh sambil memandang Qais di hadapannya. Lalu mata terpaku pada buku lima Qais yang merah-merah.
"Kenapa tangan tu?" soal Qaseh dan mahu mencapai tangan Qais. Laju Qais mengalihkan tanggannya dari disentuh Qaseh. Tak manis. Eleh.. tak manis la sangat..
"Tak ada apa, saya work-out tak pakai sarung tangan" kata Qais. Memang betul pun, malam tadi dia lepaskan geram pada punching bag di gym tapi sebab utama merah begitu kerana dia bergasak dengan Lan Boya. Tapi takkan nak beritahu pada Qaseh pula.
"Qaseh macam mana?" soal Qais lagi.
"Saya okay, tak ada apa. Haiqal dah beri ubat semalam. Ubat sapu ada, ubat kurangkan bengkak pun ada" terang Qaseh. Qais yang mendengar sudah tegak sahaja memandang Qaseh. Dah kenapa pula tengok aku macam ni. Salah cakap ke?
"Siapa Haiqal?" soal Qais. serius sahaja wajahnya. Lah.. itu rupanya. Jealous la tu..
"Oh.. tu doktor keluarga, sebelum ni ayah Haiqal tapi selepas Uncle Idham bersara tiga tahun lepas, Haiqal yang ambil alih" terang Qaseh.
"Dia dah kahwin? umur berapa? tinggal di mana?" soal Qais bertalu. Qaseh yang mendengar soalan Qais sudah ketawa sambil tergeleng kepala.
"Awak.. saya dengan Haiqal tu tak ada apa-apa la, kitaorang kenal dari kecil. Sama macam Ratib tu" jawab Qaseh bila ketawa reda. Qais pula masih seperti tadi.
"Okay.. okay.." akhirnya Qaseh mengalah. Tersenyum dia dengan perangai Qais. Ingatkan muka serius dua puluh empat jam ni, tak pandai nak jealous.
"Haiqal belum kahwin, muda lagi baru dua puluh sembilan tahun. Ada klinik sendiri di PJ. Sebelum ni Uncle Idham pernah nak jodohkan kitaorang tapi saya tak nak. Mungkin sebab jodoh saya bukan dia, tapi awak...! kata Qaseh sambil tersenyum manis.
"Kita kahwin" kata Qais sepatah. Qaseh yang mendengar tidak jadi mahu menyuap cucur udang ke mulut.
"Awak cakap apa tadi?" soal Qaseh sambil jari kiri naik menggosok telinga. Aku salah dengar ke? Dia ajak kahwin kan.
"Kita kahwin" ulang Qais, redup sahaja pandangannya pada Qaseh. Qaseh sudah terkelip-kelip matanya.
"Saya tak pandai nak karang ayat-ayat cinta. Cukuplah kalau saya katakan, hanya awak Qaseh yang ada dalam hati saya, siang malam hanya awak yang saya inginkan" kata Qais. Inginkan? apa lain macam je bunyi ayat ni. Qaseh yang mendengar sudah memerah wajahnya.
"Eh eh eh, maksud saya. Awak yang saya mahukan" Qais betulkan kata. Tapi mahukan pun macam tak kena. Aduh.
"Qais, lama dah sampai?" tegur Dato' Abbas yang baru turun dari tingkat atas bersama Datin Adawiyah. Kalut Qais meraup wajah bila ditegur Dato' Abbas.
"Baru lagi uncle" balas Qais lalu melangkah mendapatkan Dato' Abbas sambil salam dihulur.
"Ni dah kenapa, merah muka dua-dua ni? panas ke?" soal Dato' Abbas pelik.
"Eh, tak ada apalah uncle" laju Qais membalas.
"Marilah kita ke bilik bacaan" ajak Dato' Abbas. Qais yang mendengar terus mengekori Dato' Abbas dari belakang. Ditoleh seketika pada Qaseh di ruang tamu. Qaseh sudah tertunduk malu.
"Mak Uda" panggil Qaseh pada Datin Adawiyah selepas debar hati sedikit reda.
"Ya Qaseh. Kenapa?" soal Datin Adawiyah yang sudahpun melabuhkan duduk di sisi Qaseh.
"Mak Uda tak rasa ayah dengan Qais tu ada sesuatu ke?" soal Qaseh sambil menjamah cucur udang yang ada di piring.
"Sesuatu? maksud Qaseh?" soal Datin Adawiyah tidak faham.
"Ish, Mak Uda ni.. Sesuatu la. Macam ada benda yang dirahsiakan. Mak Uda tak nak tahu ke?" soal Qaseh. Datin Adawiyah sudah ketawa.
"Dah, tak payah nak fikir tu semua. Makan ni" kata Datin Adawiyah. Qaseh.. Qaseh.. Mak Uda takkan ceritakan walaupun Mak Uda tau.. ini untuk kebaikan Qaseh..
Share this novel