58: PRINCESS, I'M HOME

Romance Series 889375

"ASSALAMUALAIKUM."

Awal betul tetamu sampai. Orang baru nak teguk air kopi, dah ada orang bagi salam kat luar rumah.

Tapi bunyinya macam tak asing. Ni tak lain tak bukan jiran sebelah la nih. Adam pun lekas bergegas keluar.

"Walaikum salam! Eh, Hanna. Awalnya datang. Ada apa ni?"

Adam terpaksa menapak menuruni tangga kecil. Takkanlah dia hanya nak berdiri saja di anjung sementara Hanna di halaman, kan?! Tak sopanlah. Nak ajak Hanna naik rumah, tak manis pulak.

Hanna senyum malu-malu. "Adam tak bukak bengkel ke hari ni? Dah bersiap semacam je. Nak keluar jalan-jalan ke?"

Adam menilik badan sendiri barang sekilas lalu bila Hanna menegur penampilannya. Biasanya pagi-pagi begini dia sudah siap dengan pakaian rasmi yang sarat dek tompokan minyak hitam. Walau dicuci banyak kali pun tetap tak hilang.

Hari ini, penampilannya berbeza sikit. Lebih kemas dan handsome. Plus wangi lagi. Memang sah tak bukak bengkel kalau begini gayanya.

"Eh, tak adalah. Mana ada jalan-jalan," kata Adam. Berdalih pula. Sejujurnya dia tak tahu nak cakap macam mana.

"Hanna pun apa kurangnya? Awal bersiap? Bukan main lawa lagi. Nak ke mana ni?"

Hanna menundukkan wajah sambil mengemam bibirnya. "Sebenarnya, Hanna datang ni nak berpamitan."

"Nak berpamitan? Nak pergi mana?"

"Hanna dah dapat rumah sewa dekat KL. Hanna cadang nak pindah sana balik, bawa ibu sekali. Hari ini kami nak terbang, tu pasal datang jumpa Adam ni. Nak berpamitan."

Adam terkesima. "Lah, pergi KL? Biar betul? Macam kebetulan je."

"Eh? Kebetulan? Maksud Adam?"

"Ni hah. Saya pun nak terbang ke KL juga hari ni. Nak teman si Maleeq tu. Dia dah ingat dengan keluarga dia. Dia nak balik hari ini."

"Iya ke?"

Hanna tak tahu harus memperlihatkan reaksi apa, tapi yang jelas dia terkejut dengan perkhabaran ini. Terkejut bila Maleeq sudah mula mengingat keluarganya, terkejut juga bila ternyata mereka bertolak pada hari yang sama.

Bagaimana pun Hanna tak mahu terlalu memperlihatkan reaksi terkejut itu di depan Adam. Cuma, baguslah kalau Maleeq sudah mahu kembali pada keluarga dia. Hanna sudahpun belajar untuk reda.

"Wah, kebetulan sangat ni. Flight korang pukul berapa? Kalau begitu, marilah berangkat ke airport bersama-sama. Jangan-jangan kita satu flight tak?"

Adam tak langsung memberi respond melainkan menimbang tara ajakan Hanna untuk berangkat bersama-sama. "Flight kami pukul 12 tengah hari."

"Lah, samalah. Memang sah kita satu flight. Jomlah kalau begitu."

"Errr... bukan. Sebenarnya..."

AWAL pagi tadi...

"Adam, oo Adam."

Subuh-subuh pagi lagi Maleeq sudah mengetuk pintu bilik Adam. Memang selalunya begitu pun. Dia dah serupa jam penggera pulak tukang kejut Adam sembahyang subuh. Lepas solat Adam biasanya sambung tidur sebentar, sehinggalah lapan setengah pagi.

"Emm, iya kejap." Suara Adam seperti biasa, dengan serak kemalasan dia menggeliat dulu. Malasnya nak bangun.

"Adam, aku ada nak cakap dengan kau ni. Penting."

Terus Adam bingkas. Apa yang penting sangatnya? Terseret-seret kaki Adam melangkah ke pintu lalu membukanya. Maleeq masih di situ menanti dia keluar. "Ada apa Maleeq?"

"Adam, aku nak minta tolong kau. Macam mana ya nak tempah tiket kapal terbang?"

Terbeliak biji mata Adam yang masih penuh gam-gam kantuk. Tak semena-mena terbuka lebar terus. "Tempah tiket kapal terbang? Kau nak ke mana?"

"Aku kena balik, Adam. Aku kena kembali pada keluarga aku."

"Kau dah ingat mereka, Maleeq?"

"Aku tak pasti. Tapi yang jelas aku kena terbang ke Kuala Lumpur secepatnya. Mimpi itu datang lagi buat kali ketiga. Aku takut itu firasat tidak baik telah terjadi pada..."

"Pada siapa?"

Maleeq menelan air liur sebelum menyambung kalimatnya. "Pada Princess. Isteri aku."

"Jadi, kau dah betul-betul ingat dia?"

Maleeq merunduk lantas menggeleng kecil. Sejujurnya, masih terdapat sekelumit keraguan yang belum dapat dirungkai sepenuhnya. Dia masih belum dapat mengingat kesemua kronologi. Tetapi perlahan-lahan memori itu mula memperlihatkan setitik cahaya. Berpandukan petunjuk itulah dia cuba meyakinkan dirinya untuk memantapkan langkah.

Nama Princess, adalah satu-satunya perkara yang menguatkan keyakinannya untuk pulang. Walaupun masih belum cukup pasti, tapi dia mesti yakin yang dia sudah memilih keputusan paling benar.

"Aku kena balik, tapi aku tak tahu macam mana nak tempah tiket. Tanpa dokumen diri, aku tak dapat berbuat apa-apa."

"Okey, kau bawak bertenang dulu. Bagi aku gosok gigi dulu kejap. Nanti aku cuba bantu kau."

Maleeq bersetuju. Seketika, diberinya ruang buat Adam melakukan urusan peribadi di awal pagi ini.

Usai itu Adam muncul kembali bersama telifon di tangan. "Aku akan hubungi Aryan, dan maklumkan yang kau nak balik. Mesti dia ada cara nak tolong kau tempah tiket," usul Adam.

Maleeq tak banyak membantah, dia setuju sahaja asalkan dia dapat balik. Apapun caranya dia mesti terbang ke Kuala Lumpur. Perasaan risau semakin kuat bila hati semakin yakin, bahwasannya individu yang hadir dalam mimpinya itu adalah Puteri.

"Aryan. Maaf ganggu pagi-pagi."

"Owh, Adam. Tak, okey je. Ada apa Adam?"

"Ni, Maleeq kata pada aku yang dia nak balik. Tapi dia tak tahu macam mana nak tempah tiket. Dia tak ada dokumen diri, kan. Macam mana ek?"

Aryan diam seketika cuba menghadam keterangan Adam. Dia masih shocked dan hampir tak percaya.

"Aryan, kau dengar tak?"

"Oh, ya. Sorry! Apa kata kau tadi? Maleeq, nak balik?"

"Aah. Dia cakap dia mimpi isteri dia. Dari semalam dia bagitahu aku pasal mimpi tu. Hari ni subuh-subuh lagi dia kejut aku, katanya nak balik KL secepatnya. Kau boleh tolong ke?"

Aryan yang tadinya masih terlentang di pembaringan terus bingkas dan duduk. Sukar dipercaya perkhabaran pagi ini. Tapi dalam masa yang sama dia amat gembira.

Maleeq. Akhirnya kau ingat siapa diri kau. Syukurlah!

"Oh ya, Adam. Bagi aku masa sekejap. Aku nak kena inform dulu pada Tan Sri. Nanti aku telifon kau balik," putus Aryan. Talian lalu dimatikan selesai mendengar kata setuju dari Adam.

"Maleeq, sabar kejap ya. Aku dah bagitahu Aryan. Biar dia tolong tempahkan tiket untuk kau."

Maleeq hanya mengangguk. Dari riak wajahnya jelas terlihat yang dia tidak sabar. Tetapi dia perlu akur untuk menunggu buat seketika sehingga Aryan menelifon semula.

"Hello!"

"Telifon dari Aryan ke?" Maleeq meneka tak sabar-sabar.

Adam menganggukkan kepala sementara dia sedang terhubung perbualan dengan Aryan.

"Adam. Kau dan Maleeq dah boleh siap-siap sekarang. Flight nanti pukul 12 tengah hari ni. Kau ikut sekali tau, temankan Maleeq." Suara Aryan di hujung telifon.

"Owh, boleh-boleh. Penerbangan apa?"

"Private jet, milik Tan Sri Baharudin a.k.a bapak mertua Maleeq."

Terus terbuntang mata Adam.

"Hoi, kau dengar tak?" Aryan terpaksa menegur bila tiada jawapan dari Adam. Nak kata talian putus tak pulak.

"Ya, ya. Dengar! Naik, private jet? Dengan aku?"

"Habis tu? Dah kau yang kena teman Maleeq, naiklah dengan kau sekali."

Mak oi, naik private jet, kau! Tak pernah terfikir seumur hidup nak naik kapal terbang peribadi macam tu. Nak berangan pun tak berani. Alih-alih hari ini rezekinya tiba. Gila tak teruja?

***

"OWH, iya ke? Jadi, korang terbang ke KL naik kapal terbang peribadi?"

Hanna mengulang kata-kata yang dijelaskan Adam barusan. Anggukan Adam memberi jawapan bahawa ianya adalah benar.

Hanna menguntum senyuman tawar yang lama kelamaan semakin mengendur. Perlahan-lahan dia semakin sedar bahawa dirinya telah tersilap kerana sempat berangankan Maleeq. Jelas bahwasannya lelaki itu bukanlah calang-calang orangnya.

Perasaan Hanna juga tak lupa dibayangi rasa bersalah kerana pernah menahan Maleeq daripada kembali pada keluarganya. Dia cuma risaukan keselamatan lelaki itu yang masih tak sihat masa itu. Itu saja!

Tapi ternyata, Maleeq akan jauh lebih baik jika kembali pada keluarganya, bukannya tinggal berlama-lama di kampung yang tak cukup kemudahan seperti di sini.

Lapan bulan lamanya dia mengenali lelaki itu. Kini sudah tiba masanya untuk Hanna melepaskan mimpi-mimpi yang pernah dicipta oleh dirinya sendiri.

Sumpah sakit. Tapi tak apalah.

***

LAPANGAN terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang. Sebuah lagi perjalanan udara telah pun mendarat dengan selamat. Penerbangan peribadi yang berlepas dari Kota Kinabalu, Sabah sekitar dua jam tiga puluh minit lalu itu, telah selamat berakhir setelah rodanya mula bergulir di atas landasan. Semakin lama ianya semakin perlahan, sebelum pesawat peribadi tersebut berhenti sepenuhnya.

Hanya dua orang penumpang dimuatkan di dalamnya, yang bermakna mereka datang dari golongan orang-orang penting sahaja.

Taklah penting sangat pun. Adam dengan Maleeq je. Kebetulan tengah bertuah, dapatlah naik private jet. Kalau tidak, naik jelah penerbangan commercial tu. Itupun jenuh cari tiket murah.

Penumpang kehormatan tersebut telahpun dipersilakan keluar daripada badan pesawat. Selanjutnya mereka teruskan dengan berjalan kaki mengikut laluan yang tersedia. Sehinggalah Adam perasan seseorang sedang melambai tangan di hujung sana. Aryan sudah sedia menunggu mereka.

"Hei, kat sana. Jom," ajak Adam.

Maleeq mengatur langkahnya di belakang Adam yang sudah bergerak lebih laju. Sementara dirinya, tiba-tiba berdebar tak tahu kenapa.

Tak terbias sebarang ekspresi, tegang saja wajahnya. Seolah-olah sedang bingung melihat tempat yang baru dia jejaki, namun dalam masa yang sama seperti sudah terbiasa. Cuma belum cukup jelas ianya bagaimana.

Adakah aku benar-benar sudah pulang? Tempat ini, adalah tempat dari mana aku datang?

"Assalamualaikum. Selamat pulang, Maleeq. Kau sihat?"

Maleeq masih tegak tak bergeming setelah tiba berhadapan dengan orang-orang yang menunggu. Bukan Aryan yang menyambut dahulu, sebab itu dia agak keliru.

"Aku ZDlah, sepupu kau jugak. Kau tak ingat aku?"

Maleeq perlukan masa beberapa saat untuk mengecam individu itu. Dia masih kurang pasti adakah dia ingat atau tidak.

"Maaf. Maafkan aku." Maleeq berujar ragu-ragu. "Maafkan aku... ZD. Aku..."

Tanpa banyak bicara, Zahaedy langsung menarik bahu Maleeq lalu merangkulnya erat-erat. Dia tahu Maleeq masih keliru. Dia faham keadaan Maleeq yang masih belum pulih sepenuhnya.

"Masya-Allah. Tak sangka aku masih boleh jumpa kau Maleeq. Alhamdulillah."

Sedikit demi sedikit Maleeq mulai dapat rasakan keakraban di antara mereka pernah terjalin satu ketika dahulu. Sentuhan Zahaedy yang begitu ikhlas layaknya saudara, telah membangkitkan jiwanya yang tertidur sekian lama.

Nampaknya Maleeq perlu membuang keraguan itu. Walaupun dia masih belum pasti adakah dia mengenali atau tidak, tapi dia perlu yakin bahawa orang-orang ini adalah keluarganya. Tangannya mula membalas rangkulan Zahaedy. Dia harus meyakinkan diri bahawa kini dia telah pulang ke rumah.

Aryan pula sudah berjabat tangan dengan Adam. Mereka berdua memberi ruang seketika untuk Maleeq berjumpa Zahaedy.

"Papa Mike."

Rangkulan sudah terlerai. Maleeq melihat seorang gadis kecil datang bersama Zahaedy lalu memanggil dirinya dengan sebutan itu.

Entah kenapa sebak tiba-tiba datang bila melihat wajah polos si kecil itu menanti dirinya membalas teguran. Perlahan-lahan Maleeq bertinggung bagi mensejajarkan ketinggian.

Dia terharu menilik wajah manis si kecil yang memandang redup padanya. Maleeq mula menyentuh pipi comel itu dengan berhati-hati menggunakan jemarinya yang gementar.

"Papa Mike, ini Naurah. Papa Mike dah lupa ke?"

"Nau... Naurah?"

Naurah menggangguk perlahan.

Maleeq tak dapat menahan air matanya lagi. Naurah lalu ditarik ke dalam pelukan. "Tak, sayang. Papa Mike tak lupa. Papa Mike cuma keliru. Maafkan Papa Mike ya."

SELANJUTNYA, Maleeq dan Adam dibawa keluar dari lapangan terbang itu. Zahaedy yang memandu kenderaan mahu memastikan dahulu hendak menghantar Maleeq ke mana selepas ini.

"Maleeq, kau nak terus balik rumah ke?"

Maleeq yang duduk di kerusi belakang tidak langsung menjawap. Sejujurnya dia masih berada dalam kebingungan. Dia tak tahu di mana rumah, balik ke mana dan apa.

"Aku... aku tak tahu. Tapi kalau boleh, aku nak terus jumpa dia."

"Jumpa dia?" Aryan mengulang kata-kata Maleeq menjadi soalan. Dilihat lelaki itu hanya mengangguk. "Maksud kau, Puteri?"

Barulah Maleeq memberi tumpuan penuh pada Aryan sebelum terus mengangguk dengan yakin.

"Puteri tak ada kat rumah." Zahaedy mencelah.

"Dia dekat mana? Boleh, kau orang bawa aku jumpa dia?"

Zahaedy lalu menoleh pada Aryan. "Yan, kau hantar dialah."

"Boleh! Kau pulak tolong bawa Adam dulu."

"Takde hal."

Aryan lalu beralih pada Adam. "Adam, kau ikut dengan ZD dulu. Aku nak hantar Maleeq, lepas tu baru aku jumpa kau nanti."

Adam tak banyak soal. Cukup dia tayang senyum sambil mengangkat ibu jari tanda dia tak keberatan sama sekali.

Kereta yang dipandu Zahaedy akhirnya tiba di pekarangan hospital. Dia memberhentikan kenderaan untuk menurunkan Maleeq dan Aryan berhampiran pintu masuk. Selanjutnya kereta kembali bergerak keluar setelah kedua-dua jejaka itu selamat turun.

"Kenapa kita pergi hospital?"

Aryan mula membawa Maleeq memasuki bangunan tersebut. Dia menguntum senyuman sederhana. "Kau kata nak jumpa Puteri, kan?"

Maleeq hanya tunjukkan isyarat termangut tak banyak bicara. Jujur dia masih belum keluar dari ambang kekeliruan itu. Sedikit demi sedikit memori mula terimbas, tetapi ianya sangatlah terbatas.

Seterusnya Aryan membawa Maleeq naik ke tingkat lapan yang terdapat wad ICU. Di situlah Aryan menunjukkan sesuatu.

"Dia dekat dalam," kata Aryan.

"Dia sakit?"

Aryan menunduk sayu. "Dia tak sedarkan diri. Doktor sahkah dia koma dan tak dapat dijangka bila dia akan sedar. Keadaannya masih seperti itu selapas dia melahirkan anak kau seminggu yang lalu."

Maleeq tergamam bukan kepalang. Untuk beberapa saat dia kekal tegak seperti itu tidak bercakap apa-apa. Sehinggalah air matanya berjatuhan tanpa amaran.

Perlahan-lahan dia mengintai ke dalam wad yang terdapat seorang wanita sedang terlantar tak sedarkan diri. Hatinya tiba-tiba terasa remuk menyaksikan wanita itu terbaring kaku dengan penuh wayar berselirat di badannya. Semangatnya terus menjunam jatuh, seperti turut merasakan kesakitan yang wanita itu sedang derita.

"Princess. I'm home. I've come home to you. Princess..."

Share this novel

Rohani Hussin
2023-10-25 18:14:44 

akhirnya maleeq kembali...x sabar tggu sambungan..suprise utk mukhriz


NovelPlus Premium

The best ads free experience