52: BAYANGAN SILAM

Romance Series 889375

"APA yang patut saya buat sekarang?"

"Tak ada jalan lain, Cik Hanna. Kita kena teruskan juga."

Tersentap Hanna Mariyam dari posisi duduk yang tenang. Kata-kata lelaki itu terngiang kembali tatkala dia sedang merenungi silap terlampau.

Benar! Terdahulu ada seorang lelaki datang menemui dirinya dan mengajaknya bersembang mengenai Maleeq. Lebih dari sekali lelaki itu datang menemui Hanna. Mereka berjumpa dan berpakat, yang hujungnya membawa kepada kata setuju Hanna untuk bekerjasama.

Perbualan mereka tergolong agak sulit kerana melibatkan perkara yang agak sensitif. Pada mulanya Hanna kurang yakin, tetapi setelah lelaki itu berkata, "Saya tahu awak sayangkan dia. Dari cara awak melindungi dia pun dah nampak betapa lelaki itu amat bermakna dalam hidup awak. Jika awak sanggup kehilangan dia, berundur saja. Tapi jika awak teruskan, tak ada siapapun perlu tahu."

Hanna Mariyam lalu mula menimbang-nimbang kata-kata lelaki itu. Apa yang dikatakannya adalah benar bahwasannya Maleeq telahpun memiliki segenap ruang di hatinya. Dia tak kesah kalaupun Maleeq masih dalam keadaan separuh waras. Dia boleh bentuk lelaki itu dengan kasih sayangnya.

"Tapi awak adalah orang yang pukul dia, bukan?" Merujuk pada rupa paras lelaki yang menemuinya itu adalah lelaki yang dijumpai membelasah Maleeq hingga separuh mati, Hanna yakin dengan kesimpulannya.

"Benar, sayalah orangnya. Saya lakukan semua itu sebab saya nak lindungi keluarga saya daripada dia." Mukhriz mengakui.

"Lindungi keluarga awak?"

"Untuk pengetahuan Cik Hanna, dia itu lelaki jahat."

"Maleeq lelaki jahat? Saya tak rasa begitu."

"Itu sebab dia dah hilang ingatan. Sebab itu saya suka bila Cik Hanna rawat dia sehingga dia jadi macam tu. Dia tak lagi jahat. Perangainya berubah seratus peratus. Kan bagus tu?!"

Hanna tak tahulah tahap mana lelaki di depannya ini punya terdesak nak pertahankan diri. Sampai macam tu sekali dia reka cerita pun sanggup. Apapun yang lelaki itu katakan, Hanna tetap tak mudah percaya. Sudah jelas kot depan matanya sendiri bagaimana dia membelasah Maleeq sehingga seperti itu.

"Awak cuba nak ubah fakta, kan? Atau, awak nak brainwash saya? Yang jahat sebenarnya awak, betul tak?"

Mukhriz mempertemukan pandangan dengan wanita itu, kali ini dengan tenungan lebih tajam. "Cik Hanna, saya tak minta pendapat awak tentang apa yang berlaku. Saya cuma minta awak lakukan apa yang saya suruh. Teruskan apa yang awak buat selama ini. Mudah je, kan?"

"Teruskan apa? Apa yang saya kena teruskan? Awak jangan macam-macam ya. Atau saya akan report polis, biar awak ditangkap."

"Kalau saya ditangkap, ada jaminan ke yang awak sendiri akan selamat?"

"Apa maksud awak?" Hanna tak faham melihat senyuman sendeng di bibir lelaki itu.

"Begini, Cik Hanna. Tindakan awak melindungi dia pun satu perbuatan salah. Sepatutnya awal-awal lagi awak buat laporan atas penemuan dia. Tetapi awak pilih menyimpannya di rumah, sebab awak dah syok dekat dia, bukan?"

Hanna terpempan.

"Awak akan turut didakwa, Cik Hanna. Jadi daripada itu berlaku, lebih baik awak teruskan saja. Bagi dia ubat yang orang suruhan saya pernah beri kepada awak dulu. Ubat itu akan membantu awak, supaya dia boleh jadi milik awak selama-lamanya, tanpa ada orang perlu tahu." Mukhriz membisikkan akhir kalimat di telinga Hanna, supaya menambah kayakinan atas apa yang dia sampaikan.

"Tak, saya tak sanggup! Saya bukan jahat."

"Awak dahpun melakukannya, Cik Hanna."

"Apa?"

Mukhriz ketawa kecil melihat wajah Hanna yang cuak. Ditenung wajah itu semakin dekat. Tak dinafi yang ianya mampu membuat dirinya bersyahwat. Ditambah dengan suasana yang sunyi di tempat itu, mahu sahaja Mukhriz melampiaskan nafsu pada wanita itu sekarang.

Hanna buru-buru menjauh bilamana wajah Mukhriz sudah semakin dekat. Sebaiknya dia lekas beredar dari tempat ini sebelum terjadi sesuatu pada dirinya.

"Saya nak balik. Perbincangan kita sudah selesai, kan?"

"Nanti dulu." Mukhriz menarik lengan Hanna. "Saya belum mendengar kata setuju dari awak."

"Saya tak tahu. Benda ni susah, tau." Hanna menarik keluar tangannya dari genggaman Mukhriz.

"Susah sekarang atau susah nanti? Mana awak pilih? Masuk penjara, atau hidup bahgia dengan dia?"

Beberapa ketika Hanna terdiam membiarkan fikiran melacak laju. Jalan mana yang harus dipilih dia pun tak tahu. Tetapi jika dengan cara itu saja Maleeq boleh manjadi miliknya, satu kerugian besar kalau dia tak cuba.

Maka, Hanna sanggup membuat pertaruhan dan memilih jalan itu. Dia perlu terus mendekati Maleeq supaya lelaki itu termakan budi. Ubat yang katanya pereda sakit itu diberikan semula. Berharap ia benar-benar membantu agar impiannya terlaksana.

Namun siapa sangka Maleeq begitu cerdik dengan membawa ubat tersebut kepada doktor untuk diperksa. Jelas di situ mendedahkan bahawa ianya adalah ubat merbahaya. Segala tindakan telah memakan diri apabila Maleeq datang dan mempersoal tentang tujuannya memberi ubat itu.

Hanna menyesal. Lebih-lebih lagi bila lelaki itu menggertak mahu melaporkan kepada KKM. Boleh jadi ia akan berakibat buruk pada kerjayanya sebagai jururawat. Apa yang perlu dia lakukan sekarang?

"Maafkan Hanna, Maleeq. Maafkan Hanna."

Hanya tangisan menjadi peneman. Nasi sudah terlanjur menjadi bubur. Terlanjur perbuatan tak dapat diubah lagi. Nampaknya Hanna perlu fikirkan cara untuk melarikan diri.

***
 
SURAT peletakan jawatan telah selesai dihantar. Hanna Mariyam kini tak lagi berkhidmat sebagai jururawat di klinik desa. Dia terpaksa mengambil pilih paling sukar tersebut iaitu melepaskan satu-satunya pekerjaan yang dia ada. Sebelum dia disiasat oleh KKM atau mana-mana badan berwajib, lebih baik dia melepaskan diri terlebih dahulu.

Minggu pertama sebagai pengangguran, Hanna Mariyam bercadang mahu memasak makanan lebih, sekaligus untuk disedekah kepada jiran terdekat. Walaupun hidup tak mewah mana, amalan bersedekah bukanlah perlukan kemewahan, tetapi hanya perlu keikhlasan.

Biar hanya dengan sebungkus makanan, jika ia mampu membuat orang lain tersenyum, sudah tentu pahalanya besar. Begitulah yang ibu pesan kepada Hanna sentiasa.
 
"Asslaamualaikum." Membimbit mangkuk tingkat, Hanna sudah tiba di depan bengkel Adam.

"Walaikum salam. Eh, Hanna. Ada apa ni?" Adam menyambut senang kemunculan Hanna.

"Adam dah makan?"

Adam hanya tergaru-garu kepala sambil tersengih. Soalan tepat sebenarnya. Nampak pula Hanna membawa mangkuk tingkat. Macam rezeki je. Perut pun tengah keroncong ni.

"Hehehe. Belum lagilah, Hanna. Tak sempat nak keluar beli makanan. Kerja banyak ni haa," beritahu Adam.

Maka terbit kembali senyum manis di bibir Hanna. Tanpa perlu dipelawa, Hanna sudah mengambil tempat duduk terlebih dahulu dengan membawa mangkuk tingkat di tangannya.

"Kalau begitu marilah makan tengahari sama-sama. Hanna boring makan sorang-sorang kat rumah. Ibu tak balik lagi." Makanan mula dibuka lalu dihidang di atas meja. Hanna senang melakukannya.

Adam apa lagi, lebar senyum sampai telinga. Sudahlah sedang lapar, nak pergi beli makanan tak sempat. Ada pula orang bermurah hati bawa makanan percuma. Awek cun pula tu. Rezeki!

"Maleeq, dahlah tu buat kerja. Jomlah makan sekali." Adam datang menghampiri Maleeq yang sedang tekun merunduk menghadap enjin kereta.

"Kau pergilah makan dulu. Aku tak ada selera lagi." Tetap merunduk tak tergugat kedudukan.

"Janganlah macam ni, Maleeq. Kesihan dia dah beriya-iya datang bawa makanan untuk kita. Sekurang-kurangnya rasalah sikit."

"Tak apalah Adam. Kalau orang dah tak sudi tak payah dipaksa." Hanna mendengar perbualan mereka lalu menyampuk dengan bunyi kecil hati.

"Hanna tahu, siapalah Hanna ni. Hanna sedar Hanna dah buat silap. Berkali-kali minta maaf pun orang tetap tak akan sudi. Tak apa, Hanna terima." Tetap diteruskan menghidang makanan walaupun hati sedang remuk dan hancur.

Adam kesal lalu menepuk bahu Maleeq kuat-kuat. "Weh, cepatlah. Kan dia dah kecil hati tu. Banyak kali dah dia mintak cuba maaf pada kau. Paling tidak hargailah sikit. Makan sikit pun jadilah, weh."

Sebenarnya Adam yang tak sabar nak makan. Maleeq pula pakai drama jual mahal. Geram je Adam. Dia tak tahu ke perut ni dah bernyanyi?

Maleeq tetap tak bergeming. Angin dalam perut Adam mula naik ke kepala. Langsung diheret tangan Maleeq supaya berhenti membuat kerja. "Jom jelah, apa masalah kau ni? Aku lapar, tau tak?"

Tangan Adam dihentak supaya tak lagi mengheretnya. Bercantum kening Maleeq. "Kalau iya pun tak payahlah tarik-tarik. Okay, fine aku datang! Ni semua sebab kau je, tau." Akhirnya.

Menyerongeh mulut Adam, senang. "Hehehe. Jadilah tu. Janji boleh makan."

Hanna pun senyum merekah melihat Maleeq datang sekali. Dengan cermat makanan lalu diisikan ke dalam pinggan yang tersedia. Hanna tak banyak bicara melainkan hanya mempermanis muka dengan senyumnya saja.

"Baiknya Hanna. Siap hidangkan kat kita orang lagi. Terima kasih banyak ya," kata Adam. Maleeq pula lebih suka diam.

"Ala, tak ada hal pun, Adam. Lagipun, kita dah tak lama berjiran ni."

Adam sedikit terkejut mendengar hujung kalimat Hanna. "Dah tak lama berjiran? Apa maksud Hanna?"

Selesai makanan dihidang, Hanna lalu mengambil tempat duduknya semula. "Hanna dah tak ada apa lagi di kampung ni, Adam. Hanna dan ibu akan berpindah ke KL semula, nak mencuba nasib di sana. Memandangkan di kampung dah tak ada yang mempercayai Hanna, jadi Hanna akan membawa ibu pindah dan mencari kerja yang lebih baik di KL nanti. Manalah tahu boleh bayar balik rumah arwah ayah yang sudah kena lelong tu." Hanna tertunduk sayu usai menyudahi kata-katanya.

"Ala, nak pindah KL pulak. Humm, tak adalah bunga kat ni kampung ni lepas ni." Adam turut bersimpati.

"Bunga apanya? Bunga tahi ayam adalah." Hanna tak mahu suasana menjadi muram, sengaja dia berseloroh.

Tak semena-mena Adam pun ketawa. Hidangan di pinggan mula dinikmati. Bukan main berselera Adam menjamah makan tengahari berupa nasi putih bersama lauk asam pedas ikan pari. Sayur goreng dan telur masin tidak lupa menjadi pelengkap hidngan. Rezeki tekak hari ini makan sedap-sedap.

Tetapi di sisi lain, seseorang hanya terpegun melihat hidangan di pinggan. Bercakap pun tidak, menyentuh makanan apatah lagi. Hidangan asam pedas ikan pari di hadapan membuat kepalanya serasa berpinar-pinar.

'Surprise! Abang, Puteri datang bawa makanan untuk abang.'

"Ughh!"

Maleeq mengaduh sambil memegang kepalanya. Sebuah bayangan terlintas mengganggu moodnya. Suara seorang wanita, lembut dan manja membuat dirinya hampir gagal mengawal keseimbangan.

"Maleeq, kau kenapa?" Adam cemas melihat Maleeq seakan mahu tumbang.

"Tak ada apa-apa. Aku okey! Korang makanlah dulu. Aku tiba-tiba tak rasa lapar."

Maleeq terus beranjak dari tempat duduk lantas berlalu masuk ke bengkel semula. Kepalanya sedang tidak selesa, jadi dia tak perlukan apa-apa selain membaringkan badan. Maleeq lalu merehatkan tubuh di kerusi malas yang tersedia.

Sayu wajah Hanna menyaksikan Maleeq berlalu tanpa menyentuh makanan. Jika dulu dialah yang akan bergegas tampil membantu setiap kali Maleeq mengadu sakit. Tetapi tidak untuk sekarang. Dia yakin Maleeq tak akan sudi lagi menerima pertolongannya.

Sedangkan Maleeq di dalam tengah cuba menyesuaikan diri dengan rasa sakit tersebut dan bertahan tanpa mengambil sebarang ubat pereda kesakitan.

Seperti yang doktor pernah pesan, kesakitan adalah tindak balas langsung daripada otak yang sedang mengimbas memori. Maka dari itu Maleeq perlu bertahan. Biar bayangan memori itu terus berlumba-lumba kembali ke dalam otaknya yang kosong.

'Abang, tengok ni. Puteri masak asam pedas ikan pari kegemaran abang. Jom makan sama-sama.'

Maleeq memejamkan mata sambil memicit-micit kepalanya. Air mata merembes lantaran rasa sakit yang hampir tak dapat ditahan.

"Puteri? Nama dia Puteri?" Perlahan-lahan rasa sakit berangsur hilang. Tetapi matanya kekal terpejam.

"Puteri... Puteri..." Gagal mengawal kesedaran dia pun mengalah. Kepalanya dibiarkan terkulai lemah.

Share this novel

Rohani Hussin
2023-10-08 16:38:48 

Dh agak dh..si mukhriz punya keja..bg ubat ntah apa2..hanna tu pn pentingkan diri sndri..tq update..x sabar tggu sambungannya


NovelPlus Premium

The best ads free experience