24: MENGIDAM

Romance Series 889375

"HANNA," laung Najwa.

"Iya, bu?" Hanna yang sedang membasuh pinggan menyahut panggilan ibunya segera.

"Nah! Hantar pulut kuning dengan rendang ni ke rumah Adam. Kesihan dia. Dahlah duduk bujang. Mesti tak makan lagi." Dua bekas makanan diisi ke dalam plastik lalu diletakkan di atas meja.

Hanna selesaikan kerjanya terlebih dahulu. Setelah itu buru-buru menyarung tudung bawal ke kepala. Bungkusan plastik sudah diambil. Selanjutnya Hanna keluar melalui pintu dapur iaitu menuju rumah Adam.

"Salamalaikom! Adam, ooo Adam." Hanna sudahpun tiba. Dekat saja, hanya jalan kaki.

"Walaikum salam! Eh. Cik Hanna." Terjengul muka Adam di pintu. Anak tangga kayu perlahan dituruni.

"Nah, pulut kuning. Ibu bagi." Hanna hulurkan bungkusan.

"Wah! Susah-susah je Cik Hanna ni. Sedapnya pulut kuning. Dah lama tak makan. Terima kasih banyak, Cik Hanna." Senang hati Adam menerimanya.

"Sama-sama! Makanlah, Adam. Mesti Adam tak makan malam lagi, kan?"

"Tahu-tahu je saya tak makan malam lagi. Eh! Marilah duduk dulu. Duduk luar je. Tak elok duduk dalam. Hehehe!"

"Tahulah!"

Terdapat pangkin kecil di depan rumah, sesuai untuk duduk-duduk kalau hari sedang tak hujan. Di situ Adam mengajak Hanna duduk sebentar.

"Macam mana kereta? Okey ke?" soalan random dari Adam.

"Setakat ni okey lagi. Maaflah ya Adam. Hanna tak dapat bayar habis lagi duit upah Adam. Minggu depan Hanna dapat gaji, Hanna bayar baki dia."

"Eh, tak ada masalahlah, Cik Hanna. Bila-bila je Cik Hanna ada. Saya tak kisah."

Hanna senyum lantas merunduk. "Adam ni, tak payahlah panggil cik-cik lagi. Seganlah."

Adam pun tersengih malu. Masih belum biasa sebenarnya. Kalau ikutkan, Hanna ini dikira baru lagi menetap di kawasan ini. Selama ini mereka sekeluarga di KL saja. Bila musim perayaan baru ada pulang kemari sekali-sekala. Adam masih canggung, tapi dia tak kesah pun. Cun apa Cik Hanna ni.

"Adam! Boleh Hanna tanya?" Hanna mula membuka soalan.

"Silakan! Apa dia?"

"Kenapa Adam tak cakap bahasa Sabah dengan Hanna? Cakaplah bahasa Sabah. Ajar Hanna supaya lebih lancar."

Adam menghela keluhan dalam-dalam, seakan berat mahu mengutarakan. Tapi dia tak kesah kalau sekadar nak bercerita pada Hanna Mariyam.

"Sebenarnya, saya tak adalah lancar mana berbahasa Sabah ni. Bolehlah sikit-sikit. Loghat KL masih pekat. hehehe," jelas Adam.

Hanna sedikit terkejut. "Eh! Adam orang KL ke?"

Adam tersenyum tawar. Anak matanya melirik pada Hanna. "Selangor! Shah Alam. Arwah mak saya orang sini. Arwah ayah pula, orang Selangor. Saya...." Adam tundukkan wajah, seakan tak sedia teruskan kata-kata.

Hanna jadi serba salah melihatnya. "Kalau Adam nak cerita, Hanna boleh dengar. Tapi kalau Adam tak sedia, tak apa. Hanna faham."

Adam menoleh lantas kembali tersenyum. "Saya ada kembar."

"Apa? Betul ke?"

Adam mengangguk. "Mak ayah kami mengalami kemalangan dan meninggal di tempat kejadian. Kami bertelagah sesama sendiri dan saling menyalahkan. Akhirnya, kami mengambil haluan masing-masing. Saya lari ke sini, tinggalkan dia di sana. Saya fikir, hidup saya akan lebih tenang tanpa dia. Namun lama kelamaan, saya tak menafi, yang saya amat rindukan dia. Dia sahaja satu-satunya darah daging yang saya ada selepas pemergian kedua orang tua kami."

Adam tidak dapat meneruskan kata-katanya lagi. Dadanya terasa ketat dihimpir rasa sedih. Jelas dan nyata bahawa dia amat merindukan kembarnya. Namun apakan daya, mereka telah terputus hubungan angkara ego masing-masing.

Hanna cukup tersentuh mendengar cerita Adam. Meskipun baru mengenali Adam, tetapi Adam adalah jiran terdekatnya. Hanna tak menolak kemungkinan bahawa dia dan Adam lama kelamaan akan menjadi kawan rapat.

***

"KAK PUSPA!" Girang hati Puteri melihat muka Zahaedy muncul bersama Puspa dan Naurah.

Sejak masing-masing sibuk begini dah jadi jarang mereka berjumpa. Kebetulan hari ini sedang ada jamuan sedikit yang dianjurkan oleh Puan Sri Zakiah, tak lupa mereka pun diundang datang.

"Puteri! Rindunya dekat dia. Puteri sihat?" soal Puspa. Mereka bersalam serta saling merangkul. Gembira dapat berjumpa.

"Sihat kak. Kak Puspa macam mana?"

"Macam ni jelah, Puteri. Nak buat macam lagi, kan."

"Ala, kesihannya Kak Puspa. Jomlah duduk."

Puan Sri Zakiah yang power memasak, telah berjaya menarik hati kaum kerabat dengan air tangannya yang dipersembahkan di beberapa majlis yang diadakan baru-baru ini.

Puan Sri sendiri yang turun tangan menghasilkan hidangan dengan pelbagai menu-menu bangsawan mahupun rakyat marhaen. Hal itu telah membuat beliau kerap mendapat kunjungan dari kaum kerabat, yakni untuk menempah hidangan-hidangan lazat air tangannya.

Alhasil, perkara itu amat disenangi oleh Tan Sri Baharudin. Akhirnya beliau mencadangkan untuk membuka perniagaan katering untuk isterinya.

Sudah lama sebenarnya Puan Sri teringin mahu menyuarakan, tapi takut suaminya tak membenar. Bila Tan Sri sendiri yang buka mulut, barulah Puan Sri on.

Hari ini adalah perasmian pembukaan bisnes tersebut. Bertempat di Bangsar Kuala Lumpur, beberapa buah lot kedai disewa buat projek bisnes baru itu.

"Alhamdulillah! Rezeki orang dalam. Tak putus-putus tempahan," ujar Puan Sri. Baru saja dapat duduk dan bersembang dengan Puspa.

Puan Sri anggap semua ini adalah rezeki bakal cucu yang bersemayan dalam rahim Puteri. Sejak disahkan Puteri mengandung, terus berduyun-duyun Puan Sri mendapat kontak dari orang-orang istana. Memang kayanganlah masakan dia.

"Puspa macam mana sekarang? Okey tak?" soal beliau.

"Macam ni jelah, Makngah. Pergi mana-mana kena bawa bendalah ni hah." Puspa tunjukkan jarum insulin yang sentiasa dibawanya.

"Sakit tak kak?" Risau pula Puteri tengok benda tu.

"Sakit! Sehari kurang-kurang dua kali kena cucuk. Kalau tak, bahaya."

"Eeww! Takutnya."

"Sebab itulah, Puteri kena jaga dari sekarang. Kena alert dengan kesihatan. Ambil makanan-makanan yang berkhasiat saja. Kak Puspa ni teringin sebenarnya nak bersalin normal. Tapi dah tak boleh dah. Kena operate jugak," tutur Puspa.

"Ala, tak apa, Puspa. Yang penting Puspa dan baby selamat. Normal ke, operate ke, sama saja." Puan Sri menyampuk, menyedapkan suasana.

"Kalau Puspa nak tahu, makngah pun macam tu jugak dulu. Susah mengandung si Puteri ni hah. Itu pasal dapat seketul ni aje. Ayahngan tak nak lagi. Takut katanya."

"Itulah, Makngah. Abang ZD pun kata macam tu. Dia tak nak Puspa mengandung banyak-banyak dah dia kata. Cukup dah ini. Puspa sendiri tak ada masalah sebenarnya."

"Tak apa, Puspa. Orang lelaki memang macam tu. Sama macam Ayahngah. Kita yang mengandung, diorang yang terlebih risau."

Sembang-sembang diselingi tawa. Sesekali dilihat Puteri mengusap perut Puspa yang sudah sarat. Perutnya sendiri masih belum kelihatan. Tetapi syukur kerana akhirnya dapat juga merasa.

***

    
SEJAK isterinya disahkan mengandung, banyak Maleeq kena menimba ilmu daripada Zahaedy cara-cara bagaimana mengenali mood isteri. Nasib baik member tu dah berpengalaman dua kali handle isteri mengandung. Bolehlah buat rujukan.

Zahaedy kata, orang mengandung ni kadangkala ada mood pasang-surut. Sekejap okey, seminit kemudian emo tanpa sebab yang jelas. Mood swing orang kata. Maka peranan suami kenalah pandai menjaga perasaan isteri. Jangan bagi isteri terasa hati atau badmood. Sebab kalau dah terlanjur merajuk, memang susah nak dipujuk balik.

Jadi, Maleeq perlu elakkan dari tersalah cakap macam hari tu. Jangan sebut langsung. Tak boleh!

Paling penting sekali ialah, suami kena tunaikan segala permintaan merepek-merepek isteri. Ada kalanya perempuan mengandung ni suka minta makanan yang pelik-pelik. Contoh macam Puspa hari tu, mengidam nak makan murtabak kaki ayam. Puas meronda dekat setiap pasar malam di KL ni. Mana nak jumpanya. Menu tu wujud dalam angan-angan dia je.

Sebagai suami yang prihatin, adalah tanggungjawap Zahaedy untuk merealisasikan menu tersebut ke dalam wujud sebenar. Nasib baiklah juga dia memang jenis pandai masak. Maka jadilah menu baru, murtabak kaki ayam.

Itu kalau Maleeq yang kena, menangis jelah dekat belakang pintu jawapnya. Panaskan makanan dalam oven dia retilah.

"Abang..." bukan main meleret panggil suami. Saat ini Puteri sedang ikatkan tali leher pada suaminya. Nak berangkat kerja.

"Ya, sayang?!"

"Nak makan laksa dengan cendol durian."

Emm... Mula dah! Risau dah Maleeq ni. "Okey! Nanti abang beli untuk sayang."

"Tak nak take away. Nak dine-in."

Maleeq kemam senyum terpaksa. "Baiklah, sayangku. Nak pergi sekarang ke?" Pagi lagi kot. Datang mana kedai laksa buka pagi-pagi begini?

"Taklah, petang nanti. Sekarang mana buka lagi"

Huh! Lega. Ingatkan mengajak pergi sekarang. Ini tak tahulah mengidam yang kali ke berapa. Tapi nasib baik setakat ni mengidam dia hanya minta benda-benda yang ada dijual dekat luar je. Buatnya Puteri mengidam benda di luar alam, tak ke kempunan baby tu tak dapat makan. Ikut jelah rentak dia, Maleeq. Bini sendiri juga.

"Boleh, sayang. Petang nanti abang balik awal, lepastu kita pergi kat Kampong Baharu, ya."

"Tak nak yang dekat Kampong Baharu."

"Habis tu?"

"Nak yang dekat Bangi. Yang tempat kita first dating dulu tu. Ingat tak?"

Hah, tudia! Spesifik betul permintaan orang mengidam ni. "Mengadanyalah isteri abang ni." Geram dilepaskan dengan mengelus pipi. Siapa tak sayang cantik begini?

"Bukan salah Puteri. Salahkan anak abang ni. Dia yang nak, tau!"

Amboi! Baby terus yang disalahkan. Padahal budak itu baru sebesar kacang merah je. "Boleh, sayang. Tak ada masalah. Petang nanti kita pergi Bangi. Sekarang bagi abang pergi kerja dulu ya."

"Okey, abang."

Isteri dikucup dahinya sebelum berangkat. Tak lupa baby bump juga diberi ciuman serta ucapan selamat pagi. Tak sabarnya Maleeq menanti kelahiran anaknya. Seperti apa agaknya, kan?

***

  
EMPAT puluh lima minit perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bandar Baharu Bangi. Agak sesak di waktu petang bila hari weekday seperti ini. Mujur Maleeq gerak lebih awal, iaitu sekitar 4:30pm. Kalau lambat sikit pasti lebih sesak. Lagi-lagi bila peak hours.

Tasik Cempaka Bangi menjadi destinasi. Nak mengimbas zaman-zaman jual mahal dulu katanya. First date Maleeq bawa Puteri ke tempat ini pekena laksa dan cendol durian. Sekarang dia kena tunaikan permintaan Puteri lagi sekali nak pergi ke tempat itu. Tapi kali ini demi bakal anak sulung mereka.

"Happy tak?" Maleeq tanya. Mereka sudah duduk di meja dan sedia memesan makanan.

"Happy! Thanks, abang."

"Not a big deal! Anything for you, sayang."

"Abang tak nak order?"

Maleek senyum lalu menggeleng. "Tak apa. Yang penting sayang dapat makan. Abang tengok aje pun dah cukup."

"Poyolah abang ni." Puteri gelakkan suaminya.

"Yes! Tahun lalu sayang juga katakan benda yang sama pada abang. Di sini! Poyolah Mr. Mike ni." Diajuk gaya Puteri tika mengutuk dirinya dulu.

Berdekah Puteri mendengarnya. Sumpah kelakar bila diimbas balik saat-saat tika itu. Saat-saat mereka jual mahal yang kononnya tak suka. Muka ditarik 360 darjah. Saling bertekak dan saling melototkan mata.

Siapa sangka kini mereka telah lalui masa-masa itu sehingga menjadi sepasang suami isteri seperti sekarang ini. Sungguh indah peraturan jodoh ini, bukan? Tak siapa dapat menjangkanya.

"Abang! Tak nak dah."

Terkoyak tawa di bibir Maleeq luas-luas. Sebab itulah dia tak nak order. Bukan sekali benda ini berlaku. Setiap kali Puteri mengidam, alih-alih dia yang jadi tukang habiskan.

"Serius tak nak dah? Baru makan sikit je. Cukup ke?"

"Cukup dah, abang. Dah kenyang. Cendol pun dah tak nak. Abang makan eh?!"

Pulak dah? Haih! Habis tadi yang beriya-iya tu apa sebenarnya? Sabar jelah. Balik-balik dia yang kena jadi tong sampah.

Tak apalah, sabar. Demi isteri, Maleeq kena belajar melipat gandakan kesabarannya. Jangan membazir. Makan je. Hurm!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience