48: NAMA PANGGILAN ISTIMEWA

Romance Series 889375

"Assalamualaikum, abang! Abang sihat?" Suara Puteri terputus-putus tika sebak tak mampu lagi ditahan. Sekian lama dia menanti pertemuan ini, jiwanya yang rapuh terlalu mudah kecundang ke dalam tangisan hiba.

Maleeq masih tak mampu memberi apa-apa respon, tegak tak bergeming memandang wanita itu. Benarkah dia isterinya? Kenapa teramat sukar untuk diri ini merungkai memori lama? Apa dah jadi dengan diri ini? Kenapa teruk sampai macam ni sekali?

Tapi, adakah memori lama itu benar-benar ada? Atau, ianya hanya sekadar auta yang direka?

"Waa, waalaikum salam. Sihat! Saya sihat," sahutnya. Ragu-ragu!

Deras air mata Puteri mengalir menuruni wajah. Tapi dia bersyukur, paling tidak Maleeq sudah mahu menjawap salamnya. "Abang, ini Puteri. Isteri abang! Mari kita balik ke rumah kita abang."

"Uh... Puteri?"

Terjegil mata Puteri mendengar namanya disebut.

"Puteri, tak perlu risau. Saya, saya di sini baik-baik saja."

Air mata itu tumpah berderai semahu-mahunya, sehingga Puteri perlu menekup mulut dengan tapak tangan kerana bimbang raungan tangisnya tak mampu ditahan.

Bukan! Bukan itu sebutannya. Maleeq tak biasa menyebutnya dengan nama penuh. Panggilan istimewa yang ingin didengar nampaknya hanya sekadar harapan. Puteri sangat kecewa.

Tetapi, Puteri perlu faham akan keadaan Maleeq yang masih belum pulih. Pasti ianya memerlukan sedikit masa untuk kembali seperti sediakala. Yang penting Maleeq kini sudah lebih baik berbanding tika pertama kali dulu. Ia menguatkan harapan untuk Maleeq akan kembali pulih seperti semula.

Puteri berlagak tenang usai mengesat air matanya. Bibir dipaksa tersenyum di depan lelaki itu, yang menandakan dia amat gembira. "Abang, Puteri datang ni nak jemput abang balik. Kita balik rumah kita ya. Dekat sana nanti abang lagi senang nak berubat, supaya abang cepat sihat."

Selangkah Maleeq berundur tika Puteri semakin hampir. Membuat Puteri terpaksa mematikan langkah yang menjadikan jarak di antara mereka bertambah luas.

"Puteri, tak perlu risaukan saya. Saya okey. Jangan risau ya."

"Abang..." Betapa dia cuba untuk bertahan, tetapi sejujurnya Puteri tak kuat untuk menghadap sikap Maleeq yang kini jauh berubah. Anak matanya kembali berkaca-kaca menatap wajah lelaki itu, sayu sekali. "Puteri rindu abang, tahu. Puteri nak abang balik dengan Puteri. Jomlah kita balik."

"Saya, saya tak apa-apa. Puteri balik dulu ya. Tak perlu risau pasal saya."

"Kenapa abang cakap macam tu? Tidakkah tersisa walau sedikitpun rasa rindu pada Puteri? Puteri ni isteri abang."

Mendadak kepala Maleeq mula rasa berpinar. Pandangannya menjadi sedikit kabur. Dia kembali mengundur langkah sambil memegang kepala. "Puteri baliklah dulu. Tolong jangan paksa saya. Kesihan anak dalam perut tu. Tak bagus untuk Puteri terdedah di tempat seperti ini."

"Abang. Abang tahu tak ini anak abang? Inilah bukti cinta kita. Puteri nak abang balik sebelum Puteri melahirkan. Supaya kita boleh sambut anak kita bersama-sama."

"Agrhhh." Maleeq lalu menepuk dahinya kuat-kuat. Matanya terpejam rapat sambil mengerang sesakitan.

Sial! Kenapa minda ini kosong dan kelam? Ke mana semua memori? Jika wanita ini benar isterinya, sepatutnya ada bayangan terlintas walaupun sedikit. Tolonglah, aku tak tahan terus seperti ini.

"Abang. Abang tak apa-apa ke? Abang sakit kepala?" Puteri turut risau melihat keadaan Maleeq. Dia hampiri kerana ingin tahu apa yang Maleeq sedang alami.

"Maleeq, awak tak apa-apa?" Tetapi Hanna lebih dulu tiba.

Dari tadi dia memerhati dari kejauhan. Seterusnya dia langsung datang apabila dilihat Maleeq sedang tersiksa menahan kesakitan.

Lengan Maleeq langsung dirangkul untuk membawa lelaki itu duduk. Tetapi Hanna baru tersedar akan jelingan seorang wanita yang seakan tidak senang dia berbuat demikian. Genggaman tangan Hanna ditepis agar terlerpas dari lengan Maleeq.

"Hei, awak siapa? Ini suami Puteri, tau. Jangan awak berani pegang tangan dia."

Hanna hanya merunduk tidak menjawap. Dia sedar, mungkin perbuatannya agak keterlaluan. Dia cuma risaukan Maleeq, itu saja.

Puteri pula telah mengambil alih lengan Maleeq. Dia mahukan penjelasan kenapa Maleeq biarkan wanita lain memegang tangannya. "Abang. Kenapa abang biarkan dia pegang tangan abang? Dia siapa?"

Dari desahan nafasanya saja sudah dapat dikenal pasti yang lelaki itu sedang menanggung sengsara. Namun akhirnya dia paksa diri untuk membuka mata, lalu memandang tepat ke wajah Puteri.

"Dia... Dia bakal isteri saya. Kami akan berkahwin tak lama lagi. Sebab tu saya nak awak balik. Awak tak perlu fikirkan pasal saya lagi. Saya bukan siapa-siapa."

Puteri terkaku beberapa saat. Rangkulan pada lengan Maleeq perlahan-lahan terlerai. Dia bingung harus memberi reaksi apa, yang jelas pengakuan Maleeq membuat dirinya seakan kehilangan nyawa.

"Abang... Tak mungkin." Lemah suaranya.

Puteri mengundur beberapa langkah tanpa sebarang emosi dari wajahnya yang sudah kehilangan seri. Dia tak percaya kata-kata itu akan didengar dari mulut suaminya.

Maleeq pula sudah dapat menduga bahawa kata-katanya pasti akan melukai hati Puteri. Entah kenapa dia tak sanggup untuk melihat kesedihan wanita itu. Oleh itu dia memilih untuk memusingkan badan, enggan melihat ke arah Puteri lagi.

Bagaikan ditikam dengan seribu bilah pedang tepat menusuk jantungnya, Puteri tak dapat menampung keseimbangan badan yang perlahan-lahan mula melonglai. Dia menyerah kalah. Tak ada apa perlu dipertahankan lagi. Puteri biarkan tubuhnya terkulai rebah.

Menitis air mata melihat bayangan Puteri telah rebah ke tanah. Tetapi upayanya seakan tak mampu berbuat apa-apa, sehingga dia tetap tak membalikkan badan dan terus membelakangi.

"Puteri..." Aryan menjerit sambil berlari.

Dari tadi dia hanya menjadi pemerhati dari kejauhan. Dia bimbang takut Puteri tak dapat mengawal keadaan, maka dia bersedia di posisi untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang tak diinginkan.

Sepantas kilat Aryan berlari mendapatkan Puteri yang terkulai lemah. Tak dibiarkan tubuh itu benar-benar jatuh ke tanah. Aryan panik bukan kepalang.

"Puteri! Puteri, bangun Puteri. Kenapa sampai macam ni?" Aryan cemas apabila Puteri tak mahu membuka mata. Dia tak tahu apa yang harus dilakukan untuk membuat Puteri kembali sedar.

"Apa yang kau dah buat ni, Maleeq?" Aryan tahu pasti lelaki yang sedang berdiri membelakangi itu adalah punca sehingga Puteri jadi begini.

Bagaimana pun dia perlu meredam amarahnya dulu. Keadaan Puteri jauh lebih membimbangkan. Cepat-cepat Puteri diangkat dan dibawa ke dalam kereta "Bad. Buka pintu kereta Bad," laungnya.

Mujur Bad ada. Mengikut arahan Aryan, Bad bergerak pantas membuka pintu. Setelah pintu kereta dibuka luas-luas, Puteri lalu dibaringkan di kerusi belakang.

"Hidupkan enjin Bad. Pasang aircond bagi dia sejuk. Lepas tu jaga dia sekejap," pesan Aryan.

"Kau nak ke mana Yan?"

Setelah Puteri selamat dibaringkan, Aryan mendengus sambil meramas genggaman. "Aku kena selesaikan satu perhitungan. Kau tunggu sini, jaga Puteri."

Aryan lalu kembali ke tempat Maleeq dengan membawa amarah yang melahar. Dia tak boleh terima semua ini. Sanggup dibiarkan isterinya sampai pengsan? Memang dasar keparat!

"MALEEQ!" jerit Aryan.

Debush!

Baru sahaja Maleeq hendak membalikkan badan, dia perlu menyambut genggaman penumbuk Aryan hinggap ke mukanya terlebih dahulu.

Tak cukup sekali, Aryan yang masih tak puas hati lalu menarik kolar baju Maleeq. Setelah itu penumbuk kedua mendarat sekali lagi, lagi dan lagi. Sehinggalah bibir pecah dan hidungnya berdarah.

"Jahanam kau Maleeq!" Merah padam muka Aryan membara penuh kemarahan. Turun naik dadanya berombak menyaingi nafas yang membuak-buak.

Hanna pula telah mengambil jarak. Tak berani masuk campur apatah lagi melerai perkelahian. Maka dia memilih untuk mendiamkan diri di sudut halaman.

Maleeq hampir tersungkur akibat penumbuk yang bertubi-tubi. Perlahan-lahan dia mula bangkit. Namun tiada perlawanan dia lakukan. Hanya mengesat darah di muka dan menyentuh bibir yang luka. Itu saja.

Aryan dilihat kembali mara, tetapi Maleeq tetap tak bergeming walau seinci. Ketibaan Aryan dipandang sepi, seakan pasrah jika lelaki itu datang untuk menumbuk mukanya lagi.

"Apa masalah kau ni, Maleeq?" tengking Aryan, menjerit lantang.

"Tergamak kau buat dia macam tu. Kau tahu tak, dia beriya-iya nak datang sini jauh-jauh membawa kandungan dia, semata-mata nak tengok kau. Dia tu isteri kau. Anak yang dia kandung tu anak kau. Kau tahu tak?" Aryan sembur kemarahan benar-benar ke muka Maleeq.

"Maafkan aku, Aryan. Aku, aku tak tahu. Aku bingung. Fikiran aku bercelaru. Aku tak ingat apa-apa pasal dia, kau tolonglah faham."

"Kau tak ingat tapi kau tak berusaha mengingat. Kau malah biarkan diri kau tenggelam ke dalam dunia baru kau. Sedangkan tanggungjawap kau teramat besar."

Maleeq tertunduk diam.

"Pandang aku, Maleeq," arah Aryan.

"Takkan kau tak ada sedikitpun rasa kesihan tengok muka dia? Ha, Maleeq? Kau tahu tak? Muka tu dulu yang kau puja-puja, yang kau terangau-angau siang dan malam. Sanggup mati demi dia. Mana semua tu, Maleeq? Mana?"

Geram! Aryan hampir hilang kawalan lalu menunjal-nunjal dada Maleeq sehingga lelaki itu terdorong beberapa kali.

Maleeq tetap diam tak membalas apa-apa.

"Ni, kau tengok muka aku ni. Aku, Aryan! Sepupu kau. Tukang tadah telinga bila kau tengah angaukan dia. Tukang coverline bila kau curi-curi nak jumpa dia. Apa saja kau sanggup buat asalkan dapat berjumpa dia. Walau beberapa kali harus berdepan kemurkaan Tan Sri kau tak peduli. Dalam kepala hanya Puteri, Puteri, Puteri. Tapi mana semua tu pergi, Maleeq?"

Suasana di halaman itu menjadi senyap untuk beberapa saat, seakan memberi ruang pada Aryan buat meluahkan kemarahannya.

"Dan kau, Yam." Aryan lalu beralih pada Hanna yang berdiri di sudut halaman.

Hanna mengangkat kepala bila Aryan menyeru namanya.

"Yam, kau sanggup nak kahwin dengan dia, Yam? Sanggup kau nak hancurkan hati perempuan yang tengah mengandung tu? Mana hati perut kau Yam? Kau sebagai sesama perempuan sepatutnya dapat rasa apa yang dia rasa, bukan malah menghancurkan perasaan dia."

Tiada siapa berani bersuara. Bahkan bunyi haiwan juga turut sepi. Seolah hari ini adalah milik Aryan seorang, bebas melampiaskan kemarahannya.

"Korang berdua, tolong pandang sikit muka lemah perempuan tu. Dia tak larat tapi dia paksa diri sebab nak jumpa suami. Bila sampai sini, apa yang dia dapat? Tak ada! Justeru malah dia pengsan kerana perbuatan korang. Kalau sampai terjadi apa-apa pada kandungan dia, aku sumpah, aku takkan maafkan korang berdua." Langkah terus dibuka usai menghabiskan bicara. Tak kuasa lagi Aryan nak berlama-lama. Naik muak pula tekak jadinya.

Tapi tidak! Aryan tak jadi terus melangkah. Dia menoleh semula kepada Maleeq lantas memutar langkah tadi. Dia hampiri Maleeq lalu merentap kolar baju lelaki itu cukup kasar.

Satu pesanan Aryan bisikkan pada Maleeq yang hanya mereka berdua sahaja dapat mendengar. "Jangan sampai aku ambil alih tempat kau. Perempuan tu sedang memerlukan perhatian seorang lelaki. Setakat nak bahagiakan dia, aku langsung tak ada masalah. Itu jam kalau kau nak menangis sampai keluar air mata darah sekalipun, aku tak akan bagi balik! Sumpah, aku tak akan bagi balik."

Cengkaman dilepaskan kasar. Aryan lalu kembali menyambung langkah dan memilih untuk segera beredar.

Kereta dipandu Aryan sudah mengundur sedia untuk bertolak. Bad yang duduk di kerusi sebelah tiba-tiba ditarik perhatiannya oleh kemunculan seseorang menaiki motosikal yang muncul dari arah berlawanan.

Sehinggalah kereta selamat keluar dari persimpangan, leher Bad masih tak berubah ke kedudukan asal.

Lelaki muda yang menunggang motosikal tadi juga turut perasan dan sama-sama saling memandang. Namun kereta sudah terlanjur berjalan, membuatkan pandangan terhalang dan akhirnya lenyap.

Bad tertanya-tanya, Adamkah itu?

Beralih semula kepada Maleeq. Lelaki itu masih berdiri kaku memandangi kereta Aryan yang kian menghilang. Sehinggalah bayangan kereta itu tidak lagi kelihatan, barulah dia melepaskan desahan berat.

Jujur di hatinya terdapat segunung rasa hiba yang tak mampu diluahkan. Lebih-lebih lagi melihat kereta itu kian berlalu pergi. Rasa kesal pada diri sendiri seolah sedang menghukum dari dalam jiwa, membuat dia kecundang turut menumpahkan air mata.

Maleeq lalu menjatuhkan punggung di atas pangkin melayan perasaan yang kian menyiksakan. Dia merunduk memicit dahi menumpahkan segala kekesalan bersama linangan air mata jantan.

"Macam mana kau boleh kata yang aku tak berusaha, Aryan? Sampai detik ini, aku tetap tak berhenti berusaha. Macam mana kau boleh kata aku tak kesihan tengok dia? Sebab aku kesihanlah aku suruh dia balik. Aku tak sanggup tengok dia menangis di depan aku, sedangkan aku tak lagi mampu melayan dia seperti yang dia mahu. Kau tak tahu Aryan, betapa hancur hati aku tengok dia rebah kerana menyangka aku adalah suaminya. Sedangkan aku sendiri tak tahu diri aku siapa."

Meratap seorang diri membiarkan rasa itu meremuk dada. Masih berusaha mencari jawapan dari kecelaruan jiwa yang tak tahu bila akan berakhir.

Maleeq mengalami sakit kepala tika dia cuba mengingat sesuatu. Sesuatu yang perlahan mula timbul dari helaian minda. Tidak banyak, melainkan hanya nama sebutan buat seorang yang paling istimewa, tetapi masih belum jelas ianya apa dan bagaimana.

Ia masih samar-samar, namun Maleeq yakin dia adalah nama sebutan buat seorang yang istimewa dalam hidupnya. Ianya mula terangsang apabila wanita bernama Puteri itu datang menemuinya.

"Maleeq!" Hanna tiba di sisi Maleeq. Dia risaukan keadaan Maleeq yang cedera akibat perkelahian tadi.

"Maleeq tak apa-apa ke? Mari bagi Hanna tengok luka." Hanna menyentuh bahu Maleeq untuk memeriksa kecederaan yang dialami. Sayang sekali, Maleeq buru-buru menepis tangannya.

"Saya tak apa-apa. Tak perlu risau. Hanna pergilah masuk. Bagi saya ruang bersendirian."

"Tapi Maleeq cedera. Kalau tak segera diubatkan, nanti..."

"Pergi jelah, Hanna." Tinggi seoktaf nadanya. Membuat Hanna lekas mengambil jarak.

Perlahan-lahan Hanna menyusun langkah untuk pergi. Kalau itu yang Maleeq mahu, baiklah. Nampaknya dia kena pergi.

Maleeq kembali melamun melayan perasaan. Tak siapa dapat mengerti apa yang dia rasakan. Yang jelas semua ini membuat dirinya semakin bercelaru. Mungkin lebih baik jika dirinya mati saja.

"Apapun dan siapapun awak Puteri, tolong maafkan saya."

*AUTHOR NOTES*
Korang boleh follow IG @pinkrose.my kalau nak tahu PR ada update ke tidak. Boleh je kalau nak DM tanya, tengok teaser dan sebagainya. Terima kasih kerana sabar menunggu.

Share this novel

Rohani Hussin
2023-09-29 00:01:15 

kesian puteri..harap cepat2 update

Hawani Hashim
2023-09-28 14:24:42 

TQ update

Rimatanti Rasyid
2023-09-28 13:27:36 

semoga Allah kembalikan ingatkan maleeq..tolong lh Maleeq....


NovelPlus Premium

The best ads free experience