47: ADAKAH DIA...

Romance Series 889375

SEHARI sebelum...

Lelaki itu berdiri tegak di depan cermin memperhatikan pantulan dirinya sendiri yang sudah siap untuk berangkat kerja. Dah serupa model pakaian mekanik saja, balik-balik dia tilik badan sendiri depan belakang. Padahal baju overall aje pun yang dipakai. Itu pun dah lusuh.

Dia mengeluh pendek lalu meletakkan jari di dagunya. Terfikir akan kata-kata Aryan tempoh hari yang mengatakan bahawa dirinya dulu juga datang dari golongan conglomerate. Memakai pakaian berjenama yang kemas dan rapi. Penampilannya juga sentiasa terjaga, terutama bila hendak berjumpa dengan klien high class.

Iya ke? Macam tak masuk akal saja.

Berulang kali dia cuba perhatikan penampilan dirinya sekarang, sungguh jauh berbeza dengan apa yang Aryan katakan.

Bukan apa, masalahnya sekarang ni dia pakai baju formen kereta. Lusuh dan tak ada class. Tapi kenapa masih nampak handsome? Ini kalau pakai pakaian berjenama, tak ke lagi bertambah-tambah handsome dia. Jenuh nak mengelak dari kena ngorat. Betul tak?

"Hehehe!" Tiba-tiba tersengih sendiri.

Sesekali nak juga hilangkan stress kan. Nak berhibur tak tahu macam mana. Angkat bakul sendiri depan cermin pun jadilah.

Pin pin!

"Eh, Adam dah sampai? Tapi dari mana?" monolognya.

Kalau tak silap, dari tadi dia tak ada nampak Adam di rumah. Mana pergi pun tak tahu. Dahlah keluar tak ngajak orang.

Tapi, bunyi honnya agak berlainan. Maleeq kenal sangat bunyi hon motor EX5 si Adam tu. Kali ini terdengar macam, bunyi hon kereta?

Penasaran punya fasal, dia pun menyusul keluar untuk melihat apakah gerangan.

"Eh, Adam?" Maleeq hairan.

Adam dilihat sudah tersengih lebar sembari keluar dari perut kereta sedan berwarna putih.

"Hehehe! Amacam? Cantik tak?" soal Adam sambil bersandar pada badan kereta.

Maleeq kerutkan kening. Dia menilik luaran kereta dan menghampirinya. Semakin lama matanya semakin melekat memerhatikan. Macam tertarik, tapi... "Kau keluar kereta, Adam? Banyak duit kau?" tanyanya.

"Tak adalah. Kereta ni hari tu lagi Aryan deal dengan used car dekat pekan tu. Dia suruh aku guna untuk kemudahan kau ke mana-mana bila dia tengah tak datang sini," jelas Adam.

"Dia, suruh kau pakai?" Sukar Maleeq percaya, sampai tegak badannya.

"Ya, untuk kau sebenarnya, bukan untuk aku."

Maleeq terdiam dan tertanya-tanya pada diri sendiri. Kenapa Aryan tu bersungguh sangat? Adakah dia tengah cuba buktikan bahawa dia itu betul-betul dari kalangan ahli keluarganya? Tapi, macam mana jika semua ini hanya perangkap? Dan siapa sebenarnya yang cuba nak memerangkap? Apa tujuannya?

"Hoi, kau termenung kenapa? Tak nak pergi kerja ke?"

Adam mengejutkan Maleeq daripada lamunannya. "Eh, maaf! Aku cuma terpegun tengok kereta ni. Cantik!"

"Dah tu, jomlah naik."

"Naik kereta ni?"

"Habis tu?"

***

"BAD, aku tak kira. Kali ini kau kena ikut juga," gesa Aryan. Pagi-pagi lagi dah memekak.

"Ish, apahal kau ni main heret-heret orang? Hari cuti nak tidur lebih pun tak senang." Tak pasal-pasal kena heret dari tempat tidur. Buang tebiat agaknya si Aryan ni. Bengang Bad.

"Tak ada makna cuti-cuti. Bangun cepat."

"Ish, kalau iyapun cakaplah elok-elok. Tak payahlah heret-heret."

"Kalau aku tak buat macam ni, memang hauk kau tak akan bangun. Tak kira, kali ni kau kena ikut juga." Diheret juga Bad supaya lekas bangun dan mandi. Tak ada masa nak cakap elok-elok. Urgent ni, tahu?

"Iya, tapi kita nak pergi mana?"

Sebentar Aryan mengeluh setelah selesai menghumban Bad ke dalam bilik air. "Subang Airport. Tan Sri Baharudin dah siapkan private jet dia dekat sana. Cepat!"

"Hah? Kita nak naik private jet? Biar betul?"

Ish, berbulu je Aryan dengan budak si Bad ni. "Banyak tanya pulak. Pergi mandilah cepat!" Bammm!

Terus senyap mulut Bad setelah pintu bilik air dihempas oleh Aryan. Nak mandi pun banyak soal. Leceh betul.

Huh! Entah berapa kali dia mengeluh pagi ini. Jam masih belum pun tujuh pagi, tapi dia dah mengeluh tak silap lebih kurang 50 kali, atau mungkin lebih.

Aryan labuhkan punggung di sofa sambil menunggu Bad bersiap. Backpack kepunyaannya juga sudah sedia. Bukan banyak pun bawa barang. Backpack sederhana pun dah cukup.

Dia betul-betul tak menyangka, kata-kata Puteri tempoh hari yang dia fikir hanya luahan perasaan, ternyata wanita itu benar-benar nekad mahu terbang ke Sabah hari ini.

Pagi-pagi lagi Tan Sri Baharudin call meminta Aryan untuk temankan Puteri travel. Mujur jet peribadi sudah diselenggara, jadi tak perlulah nak susah-susah memesan tiket penerbangan komersial.

"Haih, Puteri, Puteri. Gigihnya awak, kan. Harap-harap awak bertabah dengan sikap Maleeq nanti."

Aryan lalu bangkit untuk menyarung jacket ke badan. Sedia untuk segera berangkat bersama Bad yang sudahpun siap.

***

AHAD pagi, bengkel Adam beroperasi seperti biasa. Hanna tiba dengan berjalan kaki membimbit mangkuk tingkat di tangan kanan. Tangan kiri pula terdapat bungkusan plastik kecil dibawa sekali.

"Assalamualaikum, Adam."

"Waalaikum salam! Eh, Hanna. Ceria nampak pagi-pagi?" sambut Adam.

"Iyalah, cuti kan. Adam je tak pandai cuti."

Adam tersengih. "Nak buat macam mana, Hanna. Saya ni kalau tak kerja tak makanlah jawapnya."

"Iyala tuh. Takkanlah sehari pun tak boleh cuti?"

"Ala, kalau cuti pun bukannya saya ada awek nak dibawa berdating. Jadi saya kerja jelah. Hehehe!"

Tak tahu kenapa Hanna jadi tersipu dengar kata-kata Adam. "Ada-ada je Adam ni! Ni hah, Hanna bawa nasi lemak untuk Adam dan Maleeq. Mesti korang belum sarapan lagi, kan?" Mangkuk tingkat diberi kepada Adam.

Dengan senang hati Adam menyambutnya. "Wah, rezeki. Alhamdulillah! Baiknya Hanna. Terima kasih banyak-banyak."

"Sama-sama! Kebetulan cuti kan, Hanna masaklah lebih. Oh, ya. Mana Maleeq? Tak nampak pun. Hanna datang ni sekali nak bagi ubat untuk dia." Panjang tengkuk Hanna mengintai ke dalam.

"Maleeq tengah buat kerja kat dalam. Nak saya panggilkan ke?"

"Boleh jugak."

Adam turuti permintaan Hanna. Maleeq lalu segera dipanggil keluar.

"Ya, Hanna. Kenapa?" Maleeq pun muncul.

Serba salah Hanna jadinya. Dah berapa hari Maleeq keluar dari rumah dan duduk dengan Adam. Wajah lelaki tampak semakin berseri. Segan pula Hanna nak tengok lama-lama. Debar di dalam bimbang makin tak terkawal. "Maleeq apa khabar? Sihat ke?"

"Sihat je! Ada apa? Saya banyak kerja ni."

Bukan tak senang Hanna datang. Cuma dia kena sambung buat kerja cepat. Tak banyak masa perlu dibuang sia-sia hanya untuk orang datang yang cuma nak tanya khabar.

Bagaimanapun Maleeq tidaklah meluahkannya secara lisan. Tetapi dari lenggok badan harap-harap Hanna faham.

"Maaf kalau Hanna ganggu Maleeq buat kerja. Hanna cuma nak bagi ubat Maleeq ni je. Tertinggal dekat rumah. Kebetulan tadi Hanna mengemas bilik, Hanna nampaklah ubat ni. Kenapa Maleeq tak bawanya sekali?" Beg plastik kecil diberi kepada Maleeq.

"Owh, ubat ni. Saya sebenarnya dah ada ubat lain yang doktor bagi. Itu yang saya tak bawa dah."

"Tapikan ubat ni yang berkesan kalau Maleeq sedang sakit kepala teruk. Dia pantas reaksinya berbading ubat lain. Ambillah! Hanna rasa Maleeq masih perlukannya."

Sungguhpun dia dah tak perlukan ubat itu, bagaimana pun Maleeq tak sampai hati hendak menghampakan Hanna. "Baiklah saya ambil. Terima kasih."

Hanna tersenyum manis bila ubat telah bertukar tangan. Bersinar anak matanya masih merenung lelaki itu, lembut. Seakan memaksa Maleeq untuk membalas tenungannya.

"Saya minta diri. Nak sambung kerja," ujar Maleeq.

Barulah Hanna tersedari dari terus khayal merenung wajah lelaki itu. Kenapa perasaan ini jadi begini setiap kali melihat Maleeq?

Sejujurnya Hanna mengaku, debar itu mula timbul sejak dari Awal dia menjumpai Maleeq lagi. Tapi tak sangka ianya semakin lama semakin menjadi. Bila Maleeq berikan respon baik, seolah pintu harapan terbuka luas, membuatkan bibir ini tak mahu berhenti tersenyum.

***

Menjelang petang, Hanna datang semula ke bengkel Adam. Masih berjalan kaki macam pagi tadi, tapi dia datang kali ini tak membawa apa-apa.

Hanna terus mendatangi Maleeq yang kebetulan ada. Nampak keadaan sedang senang, bolehlah Hanna minta tolong.

"Assalamualaikum! Maleeq, tengah free tak?" tanyanya.

"Bolehlah! Ada apa Hanna?"

"Kereta Hanna tak boleh start. Hanna nak pergi kedai nak beli barang untuk ibu meniaga. Maleeq boleh tolong tengok tak?"

"Owh, boleh je! Sekejap lagi saya datang."

"Terima kasih, Maleeq."

***

HAMPIR seharian dalam perjalanan, sekitar 12 tengahari penerbangan peribadi milik Tan Sri Baharudin telahpun selamat mendarat di lapangan terbang.

Puteri tak mahu membuang masa lalu menggesa kedua bodyguard-nya iaitu Aryan dan Bad untuk segera membawanya ke kampung di mana Maleeq berada.

Segalanya berjalan lancar apabila kenderaan pacuan empat roda telah tiba buat menjemput mereka. Tanpa melengahkan masa, Aryan telah bertindak mengambil alih pemanduan dan segera bertolak ke kampung siang itu juga.

Perjalanan mungkin mengambil sedikit masa memandangkan dia membawa Puteri yang sedang sarat. Kereta dipandu sederhana dan tidak terlalu laju, supaya Puteri lebih selesa.

Maklum saja, bila tiba di pedalaman jalannya tidak berapa cantik. Agak sempit dan berliku. Jadi Aryan pilih untuk tidak terlalu tergesa-gesa.

"Aryan, boleh laju sikit tak bawa kereta?"

Terkejut Aryan. Hanya menggunakan ekor mata dia melirik Puteri di tempat duduk belakang.

"Bila nak sampai kalau macam ni? Kita kena tiba sebelum senja, supaya senang nak uruskan abang nanti nak balik KL," omel Puteri.

Bergulir air ludah Aryan masuk kerongkong. Tanpa banyak bicara, kereta lalu dipandu agak laju sesuai kemahuan Puteri.

***

"MALEEQ nak air tak?" Hanna hampiri ke tempat Maleeq yang masih gigih membaiki keretanya.

"Boleh juga." Tetap fokus pada kerja.

"Sekejap Hanna ambilkan ya." Hanna lalu beralih untuk mengambil segelas sirap manis yang telah disedikan.

Gelas telah dihulur dan disambut dengan ucapan terima kasih. Minuman diteguk sehingga habis, gelas lalu kembali diserahkan kepada Hanna.

Hanna tersenyum, senang hatinya. "Maleeq, Hanna nak masuk dalam. Kalau Maleeq nak apa-apa, panggil je Hanna kat dalam."

"Okay!" Maleeq kembali fokus membaiki kereta.

4x4 tiba di pekarangan, membuat Maleeq terpaksa mengubah tumpuan. Sepertinya gerangan yang tiba bukanlah asing. Maleeq menyimpul senyum tipis melihat ketibaan Aryan.

Tetapi senyumnya pudar apabila disedari Aryan bukan datang berseorangan seperti selalu. Dilihat Aryan mula membukakan pintu penumpang bahgian belakang, dan mempersilakan seorang wanita keluar daripadanya.

Maleeq tergamam melihat wanita itu sarat mengandung, kini sedang memandang pada dirinya dengan pandangan redup kesayuan. Adakah, dialah wanita yang dikatakan sebagai isterinya?

Perlahan-lahan Puteri melangkah ke tempat lelaki itu berdiri. Rindu yang menggunung membuatkan takukan air membanjiri muka, tumpah tak dapat diseka.

Lelaki yang amat dicintai telah menanti kedatangannya. Benarkah dia menanti? Atau, hanya Puteri yang merasa seperti itu?

Bagaimana pun Puteri perlu terus mara menghampiri, sehinggalah langkahnya berakhir apabila mereka sudah benar-benar bertentangan.

"Assalamualaikum, abang! Abang sihat?" Suara Puteri terputus-putus tika sebak tak mampu ditahan. Sekian lama dia menanti pertemuan ini, jiwanya yang rapuh mudah kecundang ke dalam tangis nan hiba.

Maleeq masih tak mampu memberi apa-apa respon, tegak tak bergeming memandang wanita itu. Benarkah dia isterinya? Kenapa teramat sukar untuk dirinya merungkai memori lama? Apa dah jadi dengan diri ini? Kenapa teruk sampai macam ni sekali?

Adakah memori lama itu benar-benar ada? Atau, ianya sekadar auta yang direka?

Share this novel

norsila
2023-09-27 22:47:06 

kesian sgt..dah nk brsalin putri ni .suami lak tk ingat pdnya..sedihnya..napo kejamnya hana ni...snggup tgk isterinya mderita tanpa suami..snggupnya hati hana ni..mrmpas suami orng..kejam..mungkin ubat tu..mnahan mmory lama..

Rohani Hussin
2023-09-27 08:59:50 

Ubat apa ja yg si Hanna tu bg..ntah2 musuh maleeq yg bg ubat tu..supaya dia terus x ingat..kesian puteri..geram la aku ngan hanna ni..harap2 maleeq nk ikut balik kl

Rimatanti Rasyid
2023-09-26 23:05:39 

kesiannya puteri... semoga Maleeq dpt ingatkan nya kembali dn pulang pd puteri...


NovelPlus Premium

The best ads free experience