40: REZEKI TAK SALAH ALAMAT

Romance Series 889375

"JADI benar itu dia?! Ya, aku yakin itu memang dia. Aku tak buta, aku tak gila. Aku kenal suamiku. Ya! Dia suamiku. Abang Mike-ku." Di dalam kamar Puteri meratib seorang diri. Sudah beberapa hari keadaannya sedemikian rupa, umpama hilang arah membiarkan diri terumbang-ambing dibawa perasan kecewa.

Selepas pertemuan semula dengan Maleeq yang memaksanya pulang dengan tangan hampa, Puteri jadi lebih suka menyendiri. Baru sahaja semangatnya hendak pulih dari sejak Maleeq hilang, kini semangat itu kembali sirna selepas menemukan Maleeq dalam keadaan masih bernyawa.

"Tapi kenapa dia mengabaikan aku? Kenapa dia tak hiraukan aku? Aku isterinya. Tidak ke dia nampak yang sedang mengandungkan anaknya? Abang..." Dia menjerit lantas menangis melepaskan perasaan. Sehinggalah mommy datang.

"Puteri! Ya Allah, anak mommy. Kenapa ni sayang?" Puan Sri yang mendengar suara Puteri menangis segera bergegas naik menyusul ke bilik.

Seperti yang dia risaukan selalu, Puteri didapati melepaskan perasaan seorang diri di bilik dengan membaling barang. Baju-baju Maleeq dikeluarkan dari wardrobe tak tahu handak dibuat apa. Puteri sudah meringkuk di lantai menangis sambil memeluk salah satu baju kepunyaan suaminya.

"Ya Allah, anak mommy janganlah macam ni, sayang. Istigfar, Puteri. Ingat Allah! Yang penting Maleeq masih selamat, kan. Patutnya Puteri bersyukur."

Puteri lalu dipimpin untuk bangun.

"Puteri benci abang, mommy. Dia dah tak kenal Puteri. Berani dia tak kenal Puteri. Dia pilih minta dirawat oleh perempuan itu. Kalau sekadar merawat dia yang sakit Puteri pun boleh, mommy! Apa? Sebab Puteri bukan jururawat ke?"

Dilepaskan perasaan di dalam pelukan mommy. Puteri meraung, melampiaskan apa yang membuat hatinya tak puas.

Puan Sri tak ketinggalan turut berlinang air mata setiap kali melihat keadaan anaknya sedemikian rupa. Dengan kandungan yang semakin sarat, jiwa Puteri turut diguncang bertubi-tubi. Orang tua mana yang tak simpati melihat keadaan anak jadi seperti itu.

"Sabarlah, nak! Kan daddy tengah usaha tu nak pujuk suami Puteri balik. Puteri sabar ya."

"Tak nak. Puteri tak nak jumpa abang lagi. Puteri benci abang."

Puan Sri pilih mengiakan saja apa yang Puteri cakap. Biarlah dia luahkan perasaannya. Sekurang-kurangnya dia tak lampiaskannya sendirian.

Setelah agak lama, barulah tangisan Puteri mulai reda. Dia berangsur tenang dan stabil semula.

"Nak minum susu tak?" Soal Puan Sri.

Puteri mengangguk.

Puan Sri segera bergegas ke minibar yang tersedia di bilik tersebut buat menyediakan susu hangat buat Puteri. Beliau berangsur lega bila Puteri sudah kembali stabil.

"Sekejap lagi mommy nak ke kedai. Puteri nak ikut tak?" Puan Sri bertanya tanpa membalikkan badan. Tekun membancuh susu.

"Puteri?" Curiga kerna Puteri tak menjawap soalannya, Puan Sri pun menoleh. "Puteri, dengar tak mommy tanya?"

Puteri sudah bersandar pada kepala katil sambil memeluk baju-baju kepunyaan Maleeq. Puan Sri tak lagi mengulang soalannya.

"Abang! Mana mungkin Puteri benci abang. Puteri sayangkan abang. Puteri cuma nak abang. Puteri dah janji akan tunggu abang pulang, maka Puteri akan tunggu." Erat matanya dipejam. Pakaian Maleeq masih didekap dalam pelukan.

Puan Sri datang dengan membawa segelas susu hangat. Puteri lalu dipujuk agar lebih tenang.

"Puteri kena banyak bersabar, sayang. Doakan untuk kesembuhan dia supaya dia cepat ingat untuk segera pulang. Sekarang ini dia masih keliru dengan diri dia. Macam Aryan kata, raganya memang Maleeq, tapi jiwanya bukan. Nah, Puteri minum susu dulu. Walau sedih macam mana pun, Puteri jangan sesekali abaikan kesihatan dia. Okey?"

Besar sudah perut itu, diusap dengan penuh kasih sayang. Hampir memasuki usia 20 minggu, bayi itu semakin aktif bergerak.

***

"HELLO, Adam." Aryan sedang mengaktifkan panggilan.

"Ya, hello. Ada apa bro?"

"Aku ada benda nak minta tolong dengan kau. Boleh tak?"

"Apa dia?"

Aryan perlu berbincang dengan Adam tentang rancangan yang Tan Sri usulkan. "Kau, boleh tak tolong tengok-tengokkan Maleeq?"

"Tengokkan? Tengokkan macam mana maksud kau?" Adam kurang faham.

"Macam ni! Kau tolong perhatikan dia, kalau boleh kau ajak dia bersembang. Bawa dia keluar berjalan-jalan ke?! Kiranya, macam kau isi balik memori dia yang kosong tulah. Lepas tu apa-apa perkembangan, kau update dekat aku. Boleh tak macam tu? Kalau kau setuju, aku akan turun Sabah dua minggu sekali."

Adam terdiam. Dia menggaru kening sebentar cuba mencerna kata-kata Aryan.

"Oi, Adam. Kau dengar tak?"

Adam tersentak. "Erk... dengar, dengar! Tapi, Aryan..."

"Tapi apa? Upah? Gaji?"

Adam tersengih walaupun Aryan tak nampak. Macam tahu-tahu je si Aryan ni.

"Come on lah, Adam. Kau ingat ini sembang air liur ke? Ini perintah langsung daripada Yang Berbahagia Tan Sri Baharudin, tahu! A.k.a bapak mertua Maleeq. 5k sebulan, cukup?"

Bulat terus biji mata Adam. Terkejut sampai tak mampu membuka mulut.

"Li, lima? Kau biar betul?"

"Kenapa? Tak cukup lagi?"

Adam telan air ludahnya laju-laju. "Cu.. cukup-cukup! Hehehe." Tak ada alasan lagi untuk Adam tidak setuju. Rezeki! Siapa tak nak, rugi.

"Kalau begitu, kau dah boleh start dari sekarang. WhatsApp pada aku nombor akaun kau siap-siap. Nanti aku transfer sebagai pendahuluan."

"Serius ke ni, Aryan?"

"Apa yang tak seriusnya pula? Ini perintah dari bapak mertua Maleeq sendiri, tahu! Family dia dah menunggu. Jadi, kerjasama kau sekarang ni yang aku perlu. Boleh tak?"

Merenyeh seringai Adam. Kerja mudah macam tu je dapat gaji 5k? Gila tak boleh?

"Boleh-boleh! Kebetulan aku memang tengah tutup bengkel hari ini. Bolehlah aku ajak dia keluar kejap lagi."

"Haa, elok. Jangan lupa bagi nombor akaun bank kau. Aku transfer sekejap lagi!"

"Beres, boss!"

Maka sejak hari itu, bermulalah tugasan baru Adam iaitu menjaga dan mengawasi Maleeq. Kalau pendapatan bengkel saja susah-susah hendak mengumpul RM2000 sebulan. Yang ini cuma disuruh membawa orang bersembang dan berjalan-jalan sudah boleh buat duit sebanyak RM5000. Gila punya masyuk! Dengan senang hati Adam melakukannya.

Maleeq diajak keluar bersiar-siar di sekitar kampung dengan menaiki motor cabuk bersama Adam. Nyata ianya cukup berkesan membuat Maleeq menjadi lebih tenang. Mulai berani bergaul dan bertegur sapa dengan orang.

Walaupun ingatannya masih blur, tetapi Maleeq sudah mampu berjalan dengan baik dan menguruskan dirinya sendiri. Tidak lagi bergantung pada Hanna.

Adam juga ada memberitahu, bahawa Hanna itu bukanlah isterinya. Sejak saat itu, Maleeq mulai sedar untuk menjaga batas. Tidak lagi mahu kerap dibantu Hanna apatah lagi dalam hal urusan peribadinya.

"Adam, betul ke aku ni dah kahwin?" tanya Maleeq. Adam sedang membawanya melepak di warung teh tarik di hujung kampung.

"Mana aku tahu?! Tapi menurut yang kau sebut semasa awal-awal kau sedar dulu, kau asyik tanya pasal isteri kau. Tapi bila ditanya balik, kau kata kau tak tahu. Maknanya betullah kau dah kahwin."

"Iya ke aku ada tanya macam tu?"

"Betul! Takkan itu pun kau lupa?"

Maleeq diam sejenak sekadar untuk merenungkan kata-kata Adam. "Entahlah, Adam. Tapi aku memang tak ingat. Macam mana aku ada dekat kampung ni pun aku tak tahu."

"Ish, tak apalah. Kau kan masih belum pulih. Tak payah fikirkan sangat. Sekarang ni, kita minum teh tarik dulu. Sekejap lagi kita ronda-ronda kampung lagi."

Maleeq setuju dengan cadangan Adam. Untuk pertama kali senyumnya terukir ceria. Nampaknya memang benar, memorinya sedang mulai terisi kembali.

Setengah hari meronda kampung, melihat-lihat sawah bendang dan juga air terjun. Adam lalu mengajak pulang.

"Dah jom, kita balik. Aku nak kena buka bengkel pulak ni. Ada orang mesej nak repair kereta," kata Adam.

"Bengkel?" Maleeq seakan tertarik untuk mengetahui.

"Haah, bengkel! Aku buat kerja bengkel repair kereta orang. Walaupun tak banyak, tapi bolehlah buat teruskan kehidupan."

Maleeq masih meletakkan tenungnya pada Adam yang sedang bercakap. Tak tahu kenapa, hatinya seperti tertarik untuk mengetahui lebih. "Aku nak ikut boleh?"

"Nak ikut ke bengkel aku?"

Maleeq mengangguk yakin.

"Kalau macam tu jomlah."

Adam terus menyalakan enjin motosikalnya dan berniat untuk segera pergi. Bagus juga kalau Maleeq kata nak ikut. Ada juga member nak ajak borak di bengkel nanti.

Mereka akhirnya tiba di barisan kedai kampung yang terdapat bengkel Adam di antaranya. Maleeq tergamam menyaksikan bangunan shoplot di depan matanya. Nampak sedikit usang, tetapi menarik.

"Ini ke bengkel kau? Kenapa pintunya tutup?"

"Tutuplah. Aku kan keluar dengan kau. Aku mana ada pekerja. Kalau aku keluar, kedai kenalah tutup," jelas Adam sembari memarkir motosikalnya.

Maleeq pun faham. Terasa pula dirinya seolah menjadi beban kepada Adam. Hari-hari meluangkan masa dengannya, sehingga terpaksa menutup bengkel. Dan sudah pasti rezeki Adam pun terjejas. Hati Maleeq mula dijentik rasa bersalah.

"Aku, dah susahkan kau ke, Adam?"

Adam menoleh lalu mengangkat kedua tangan memberi isyarat tidak. "Eeh, tak, tak. Mana ada macam tu. Aku okey je. Tak ada hal pun."

Maleeq senyum tawar mendengar penafian Adam. Namun dia mula sedar yang dia patut tahu diri. Dia hanyalah orang asing yang menumpang hidup dengan keluarga Puan Najwa. Sekarang, Adam pula yang susahkan diri untuknya.

Puan Najwa hanyalah seorang ibu tunggal yang menyara hidup dengan berniaga. Hanna pula bekerja. Sedangkan dirinya? Makan tidur saja menumpang di rumah orang. Maleeq mula terasa rendah diri.

"Adam," panggilnya.

Adam sedang berhempas pulas menolak pintu kedai naik ke atas. Pintu kedai akhirnya terbuka luas. Adam menoleh pada Maleeq. "Haa. Ada apa?"

"Err... Kalau, aku nak tolong kau dekat bengkel, boleh ke?"

Adam hampir terkesima. "Nak tolong aku dekat bengkel? Jadi pekerja aku?"

Maleeq angguk laju.

"Tapi kau reti ke?"

"Aku cuba. Sambil-sambil tu, kau ajarlah aku."

"Okey! Tapi, aku tak ada duit sangat nak bayar gaji kau. Macam mana?"

Maleeq senyum lebih lebar kali ini. "Tak apa! Kau belanja aku makan pun dah cukup. Aku naik segan sebenarnya dengan makcik Wawa dan Hanna. Selama ini aku susahkan diorang je."

Tak banyak Adam perlu katakan. Kalau macam tu yang Maleeq mahu, dia okey saja. Atau lebih tepatnya, dia seronok gila. Tak adalah buat kerja sorang-sorang lagi.

Tak apa, mungkin ini salah satu permulaan baik untuk langkah yang Aryan cadangkan. Sebagai orang tengah, Adam kena sampaikan perkhabaran baik ini kepada Aryan secepatnya.

Secara peribadi, Adam memberi kesimpulan bahawa Maleeq ini sebenarnya jenis tahu diri orangnya. Baguslah kalau begitu. Dia juga yang untung. Pekerja dapat, gaji pun masyuk. Rezeki memang tak salah alamat, kan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience