39: MENCEMAR DULI

Romance Series 889312

BEBERAPA hari yang lalu...

Hanna memandu pulang dengan tergesa-gesa. Petang ini dia pulang agak lewat. Sudahlah tengahari tadi dia tak dapat balik. Hari ini klinik ramai lain macam. Mungkin penduduk sekitar kampung ini sudah mula tahu yang klinik desa itu sudah semakin aktif beroperasi. Pesakit datang dan pergi tidak lagi sendu macam dulu.

Baguslah kan. Sekurang-kurangnya masyarakat mulai sedar akan keperluan mereka ke klinik. Tidaklah asyik mengharapkan perubatan kampung sahaja setiap kali mereka jatuh sakit.

Hanna sangat terdesak untuk segera tiba. Dia risaukan pesakit yang dijaganya dekat rumah. Sudah makan ke tidak dia ya? Ibu sudah tentu tak akan melayan. Ibu kata masih takut dengan orang itu.

Adam pula... Tak bolehlah mengharapkan Adam saja. Adam pun kena kerja cari nafkah. Jadi, siapalah yang uruskan dia makan, kan? Kalau dia sakit kepala lagi macam mana?

"Aah! Astagfirullah." Hanna menekan brake mengejut sehingga keretanya terhenti serta merta.

Di sebatang jalan kecil menuju ke rumahnya, kereta Hanna telah di halang oleh sebuah 4x4 yang melintang di hadapan. Hanna risau dan takut. Jalan di kampung itu cukup sunyi, jarang sekali ada kereta atau kenderaan lalu lalang. Tambahan dengan cuaca yang sudah mula senja, Hanna tak rasa individu yang menghalangnya itu membawa niat yang baik.

Dua orang lelaki berjaket hitam keluar dari kenderaan tersebut lalu menghampiri kereta Hanna. Salah seorang di antaranya maju ke arah pemandu, tempat di mana Hanna berada.

Hanna sudah menggigil masih kekal di dalam kereta. Ada juga niat mahu berpatah balik, tapi dia sedar keretanya tak akan mampu lari dari kejaran mereka. Dalam hati Hanna berdoa, semoga orang-orang itu tidak mengapa-apakan dirinya.

"Assalamualaikum! Cik Hanna Mariyam ke?" sapa lelaki itu.

Hanna tak menjawap, tegang mukanya. Walaupun tegurannya cukup berhemah tapi dia tetap menyimpan curiga.

Lelaki itu terus menghampiri. Tahu bahawa Hanna sedang ketakutan. "Jangan risau, Cik. Saya cuma nak minta tolong dengan cik saja," katanya.

"Minta tolong apa?"

"Mari kita sembang di tepi."

Pada mulanya Hanna memang takut. Tetapi setelah diyakinkan, dia akhirnya menurut. Mereka lantas berbincang di tepi dengan lebih santai.

"Itu sahaja pesan saya. Terima kasih banyak, Cik Hanna Mariyam."

"Sama-sama, tuan. Kalau ada apa-apa lagi, tuan boleh terus hubungi saya," kata Hanna.

"Baiklah, Cik Hanna. Untuk hari ini setakat itu je. Jangan lupa berikan ubat itu pada dia apabila dia mengeluh sakit kepala. Ubat itu sangat berkesan membantu meredakan kesakitannya."

Hanna menilik botol ubat di dalam genggamannya. Botol putih tanpa label yang diberikan oleh lelaki tersebut katanya berkesan meredakan sakit kepala yang Maleeq alami.

"Terima kasih, tuan."

"Sama-sama. Kami minta diri dulu. Tolong jagakan dia ya."

"Baiklah!"

Kedua lelaki itu akhirnya beredar. Hanna menarik nafas lega. Setelah itu barulah dia bersedia untuk meneruskan perjalanan pulang.

"Dia adalah Maleeq, seorang intel kepercayaan polis. Kami yakini dia telah dianiaya oleh pihak musuh yang mahukan dia mati. Dia amat diburu oleh musuh. Pihak musuh akan menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan dia, yakni untuk menghapuskannya. Jadi, jika ada sesiapa datang mengaku sebagai keluarga, Cik Hanna jangan percaya. Tolong jaga dia supaya tidak dibawa oleh pihak musuh yang sememangnya sedang memburu dia. Kami percayakan Cik Hanna."

Begitulah pesan kedua lelaki tadi kepada Hanna. Pesanan itu terus terngiang-ngiang di telinga, membuat Hanna bertekad untuk menjaga Maleeq apapun caranya.

"Jadi, nama dia memang Maleeq?"

Hari ini, pesan tersebut kembali melintasi fikiran. Hanna terdiam sejenak sambil memapah Maleeq masuk semula ke bilik apabila lelaki itu mengadu sakit kepala selepas berjumpa dengan wanita mengandung yang mengaku sebagai isterinya.

Fikiran Hanna yang serba paranoid memaksa diri untuk menjadi lebih kental. Tidak mahu terpedaya dengan wajah kesihan wanita yang sedang sarat mengandung itu. Dia perlu melindungi Maleeq. Biarlah apa nak orang kata, dia akan persembahkan jiwa raganya.

Hanna sudah bertekad, tidak akan sesekali menyerahkan Maleeq kepada sesiapa, terutama kepada individu yang mengaku keluarga.

Maleeq telah selamat dibaringkan di tempat tidur. Hanna pun lekas mengambil ubat yang diberi oleh lelaki tempoh hari lalu diberi kepada Maleeq. Setakat ini Maleeq sudah dua kali mengambilnya setiap kali mengalami sakit kepala yang teruk. Dan benar, ia terbukti berkesan pantas meredakan sakit yang Maleeq derita.

"Hanna, siapa dia orang tu?" Susah payah Maleeq bertanya setelah keadaannya kembali stabil. Tetapi dia masih belum dapat membuka mata.

Hanna hanya tersenyum lalu mengusap rambut Maleeq. "Saya pun tak tahu, awak! Sudahlah, awak tak payah fikir ya. Nanti awak sakit kepala lagi. Sekarang awak rehat. Kalau nak apa-apa bagitahu saya."

Lega hati Hanna setelah melihat Maleeq kembali tenang. Ada baiknya jika dia lebih berhati-hati sekarang. Nampaknya memang ramai pihak yang mahukan Maleeq binasa. Hanna tak akan biarkan itu terjadi.

***

PEJABAT Symphony HQ. Tengku Mukhriz kini semakin aktif bekerja mengendalikan syarikat. Tidak lagi banyak ponteng dan berfoya-foya macam dulu. Dia lebih komitmen sekarang dalam menggalas tanggungjawapnya sebagai salah satu pemegang saham syarikat berkenaan.

Sedikit sebanyak Tan Sri Baharudin turut berbangga dengan perubahan positif tersebut. Barulah nampak hala tuju syarikat apabila diteraju oleh pemiliknya sendiri.

Tapi kenapa hatinya semakin jauh dari ketenangan? Dengan Maleeq yang belum ditemui, dengan Puteri yang masih berduka. Macam mana beliau nak tenang?

Tambahan pula, tiga orang spy kepercayaannya sudah jarang turun ke pejabat. Apa kena dengan budak-budak itu? Bukankah mereka ada tugas sendiri di pejabat ini? Nak ponteng pulakah?

Bersama pemandu peribadinya, Tan Sri Baharudin telah tiba di markas ZMA. Beliau terus naik ke atas setelah memastikan mereka bertiga ada di markas.

"Assalamualaikum," salam beliau.

Zahaedy, Aryan dan juga Bad langsung terkejut. Mereka terkesima, tak menyangka bahawa Yang Berbahagia Tan Sri Baharudin telah sudi mencemar duli datang ke markas mereka.

Buru-buru mereka menyambut ketibaan Tan Sri dengan tangan terbuka. Tapi, semestinya mereka turut bimbang dan risau. Sebab tak biasa-biasanya Tan Sri akan berbuat demikian. Pasti ada hal mustahak yang beliau hendak sampaikan.

"Kamu bertiga ni, dah tak nak kerja dengan saya ke macam mana?" sindir beliau. Terus sound tepek tepat pada sasaran.

Tersengeh ketiga-tiganya. Kantoi ponteng kerja, melepak di markas sampai nak kena boss sendiri yang datang jemput. Tak patut, tak patut!

"Bu, bukan begitu, Tan Sri. Kami, dah rasa macam tak diperlukan je. Maklumlah, waris langsung kepada Allahyarham Tun Wafa dah turun tangan sendiri kan." Aryan mereka alasan. Dia menoleh pada Bad dan Zahaedy. Mereka mengangguk, setuju dengan jawapannya.

Tan Sri ketawa bersahaja. Ada-ada saja budak-budak ini. "Siapa yang waris langsung tu? Ni, ada di depan mata kamu ni. Selagi saya masih hidup, kamu tak perlu dengar arahan sesiapa selain saya. Saya punyai hak sepenuhnya untuk meletakkan sesiapa sahaja yang saya kehendaki untuk memegang jawatan. Faham?"

Mereka mengangguk.

"Saya tahu siapa yang kamu maksudkan. Sebab itu saya sanggup datang sini jumpa kalian di sini, iaitu untuk membincangkan hal ini."

Tan Sri Baharudin telah mengambil langkah selamat untuk berbincang dengan mereka dengan turun sendiri ke markas ZMA. Tan Sri sendiri sudah tidak percaya untuk berbincang di pejabatnya.

Perbincangan akhirnya diteruskan sehingga mereka menemui kata sepakat. Mereka tahu, pihak musuh nampak lebih bersedia. Setiap tindakan mereka, musuh seakan berada selangkah di hadapan. Sepertinya strategi baru perlu diatur lebih kemas, supaya tiada pihak luar dapat menghidu lagi.

***

ARYAN dan Bad sedang dalam perjalanan pulang. Menaiki kereta yang sama, Aryan memandu keretanya tekun sekali. Sehinggkan sikap itu mengundang rasa ingin tahu Bad, dan tak semena-mena telah mengejutkannya.

"Woi! Apa yang serius sangat tu?"

"Ish, bisinglah kau Adam!"

Senyap! Bad ternganga, Aryan pula terkebil-kebil. Mereka berpandangan serentak, Aryan tersengih serba salah.

"Apa, kau sebut aku?" Bad curiga.

"Err, mana ada?"

"Tadi tu?"

"Aa..." Aryan sudah bingung. Ish, boleh pulalah tersasul cakap. "Aaa, ada-ada aje kau ni. Haa, itu yang aku nak cakap," helahnya.

Bad masih tergamam merenung Aryan. Dia yakin itu bukan jawapan yang betul. Dia dengar tadi macam mana Aryan tersasul menyebut namanya. Cuma, dalam banyak-banyak nama, kenapa nama itu yang Aryan sebut?

Bad lalu putuskan untuk tidak bertanya lagi. Mungkin saja Aryan sedikit terkesan dengan perbincangan bersama Tan Sri di markas tadi, yang membuat Aryan jadi banyak melamun dan hilang tumpuan. Bad lalu pilih untuk tidak memperpanjang cerita.

Syukur Bad tidak tanya lebih. Lega Aryan. Tahu dah kenapa sampai tersasul macam tu. Tadi sebelum gerak dia sempat menelifon Adam di Sabah. Tapi jangan risau, perbualan mereka semestinya terlindung dari sesiapa. Hanya mereka berdua sahaja yang mengetahuinya.

Aryan telah mendapat tugas khusus daripada Tan Sri Baharudin. Mahu tak mahu Aryan perlu menyetujuinya. Sebab itulah dia menghubungi Adam. Ada misi mustahak yang mengharuskan Aryan berhubung kerap dengan Adam.

"Tolong saya, Aryan. Hanya awak yang saya harapkan sekarang. Awak tak perlu paksa dia lagi jika dia memang tak mahu pulang. Tak apa, ikutlah dia nak apa," kata Tan Sri.

"Tapi, Tan Sri. Macam mana dengan Puteri?" Aryan mempersoal cadangan Tan Sri.

Belia menghela dalam-dalam. "Saya faham mereka saling mencintai. Tapi bila dah jadi macam ni, saya tahu anak saya pasti akan tambah terluka. Dengan keadaan dia yang sedang memerlukan perhatian seorang suami, tetapi suaminya malah sinis padanya. Saya tak nak Puteri tambah tertekan, Aryan."

"Puteri benci abang. Puteri benci abang. Puteri tak nak jumpa abang lagi."

Bagitulah tangisan Puteri semenjak dia pulang daripada menemui Maleeq tempoh hari. Dia amat kecewa dan hampir tertekan. Dapat berjumpa Maleeq dalam keadaan masih bernyawa semestinya dia amat bersyukur. Tetapi bila Maleeq langsung mengabaikannya, dia tak dapat menerima semua itu. Kalau tak ingat sekalipun, bertenanglah dulu, bincang elok-elok. Bukan malah terus melarikan diri tak mahu jumpa seperti itu. Sungguh Puteri kecewa.

"Sebab itulah saya perlu bantuan awak, Aryan," kata Tan Sri.

Aryan meletakkan segenap perhatiannya.

"Pantau keadaan dia dari kejauhan. Kamu dekati dia perlahan-lahan. Jika dia sudah boleh dibawa bersembang, ajak dia pergi berubat. Saya nak dia pulang kemari nanti, dengan kemahuan dia sendiri apabila dia sudah ingat pada isterinya nanti. Oleh sebab itu, kamu tak perlu paksa dia lagi. Saya bimbang kalau dipaksa, jiwanya akan lebih memberontak. Kamu faham, kan?"

"Faham, Tan Sri."

Setelah itu, Aryan langsung menghubungi Adam. Rancangan ini sangat memerlukan kerjasama dengan orang yang berada di sana. Bagi Aryan, hanya Adam yang boleh dia harapkan. Semoga plan kali ini berjalan lancar.

Share this novel

Rohani Hussin
2023-09-04 13:38:36 

X sabar tggu sambungannya..harap cepat2 update..tq


NovelPlus Premium

The best ads free experience