50: AKU MESTI SEMBUH

Romance Series 889375

SEMINGGU kemudian...

Hanna tersentak bila ada orang memberi salam dari luar arah depan. Kerja mengemas rumah di hujung minggu langsung terhenti. Dia kenal suara itu. Berbinar muka Hanna mendengarnya.

"Walaikum salam! Maleeq." Seperti yang dijangka, wajah lelaki itu yang muncul di halaman. Hanna bertambah senang bila wajah itu disertai senyuman.

Adakah Maleeq mengubah fikiran? Adakah Maleeq merasa bersalah dengan sikapnya tempoh hari? Jika Maleeq datang mahu meminta maaf, kedua tangan ini terbuka luas untuk menyambutnya.

"Hanna apa khabar?" tegur Maleeq. Berbasa-basi!

Tersipu Hanna dibuatnya. Hati berbunga bagai kuntum yang mekar. Dia maju beberapa langkah untuk menyambut Maleeq datang.

"Hanna sihat! Terima kasih sudi tanya khabar. Maleeq datang ni, ada hajat ke?"

"Haah, betul! Saya nak jumpa Hanna sekejap. Hanna tak keberatan kan?"

Apa? Nak jumpa? Mimpikah aku ini? Dia nak jumpa aku?

"Boleh! Boleh saja. Jemputlah duduk." Duduk di pangkin saja. Nak ajak masuk dalam boleh, kebetulan ibu sedang keluar. Tapi takut Maleeq pula yang keberatan.

"Tak apa, kat sini je. Saya sekejap aje pun."

"Owh, macam tu! Apa hajatnya?"

Maleeq lalu mula mengutarakan niatnya datang ke mari. "Begini! Saya nak tanya sesuatu pada Hanna."

***

TIGA hari sebelum...

Terteleng kepala Adam melihat Maleeq membuat kerja sambil melamun. Tangan menuang minyak hitam ke dalam enjin kereta, otak pula berkelana jauh entah ke mana. Dari pandangan matanya saja Adam sudah menduga yang lelaki itu sedang tak fokus membuat kerja. Apa sajalah yang dilamunkan oleh si gila ini?

"Hoi! Kalau nak termenung, kau letak dulu botol minyak hitam tu. Lepas tu kau ambil kerusi, duduk dan sambung termenung kat sana. Jahanam minyak hitam aku karang tumpah-tumpah. Hei, kau nih," bebel Adam.

Barulah Maleeq menumpukan perhatian. "S, sorry, Adam. Aku tak perasan." Mujur Adam tegur cepat. Tak sempat minyak hitam bersepah.

"Macam mana kau nak perasan? Kau asyik melamun je dari tadi. Macam orang mati bini," tempelak Adam.

Maleeq tak menjawap melainkan hanya tertunduk sendu. Sedar sudah membuat silap. Kena marah dengan boss dia reda.

"Adam! Aku nak tanya. Ada tak Aryan hubungi kau?" Meski segan dia paksa diri bertanya. Itulah sebabnya kenapa dia melamun sejak kebelakangan ini. Aryan tak lagi datang ke sini selepas kejadian itu. Membuatnya jadi tertunggu-tunggu.

"Tak adalah pulak. Kenapa?"

Sayu wajah Maleeq. "Mesti dia masih marah dekat aku."

"Entahlah. Mungkin juga! Yang perempuan mengandung tu, betul isteri kau ke?"

Perlahan Maleeq melabuhkan duduk dengan wajah masih tertunduk. Dia mendesah dalam. "Mungkin betul dia memang isteri aku. Aku je yang masih tak dapat mengingat dia."

"Lalu, apa kau nak buat sekarang? Nak balik KL?"

Maleeq tiba-tiba mendongak. "Adam! Appointment jumpa doktor tu bila ya?"

Adam perlukan sedikit masa untuk menjawap soalan. Dia kena ingat balik jadual temujanji itu. "Emm, kalau tak silap hujung minggu ni kot? Kenapa?"

"Aku nak pergi, Adam. Walaupun Aryan tak datang, kita pergi jelah ya."

Adam pun mengangguk. "Kalau macam tu cakap kau, kita kena set masa. Hujung minggu ni kita turun KK."

Maleeq setuju. Sejak saat itu dia berazam kuat untuk cepat sembuh. Walaupun Aryan tak datang, dia tetap perlu hadiri sesi treatment tersebut.

***

MALEEQ menyelak almari pakaian lalu  mengeluarkan sebuah sampul putih dari bawah lipatan baju. Dia tarik keluar sampul itu.

Menurut yang Aryan beritahu, treatment satu sesi perlukan deposit kurang lebih RM1000. Maleeq perlu mengira jumlah wang simpanannya. Aryan tak datang, nampaknya dia perlu keluarkan wang simpanan sendiri untuk rawatan tersebut.

Demi kesembuhan, dia sanggup gunakan wang simpanan yang ada. Nanti dah sihat betul-betul boleh kerja lebih dan dapat wang lagi, kan.

Wang sudah dikira, dia lalu datang menemui Adam. "Adam, duit aku ada RM700 je ni. Macam mana? Tak cukup untuk deposit treatment."

Adam tersenyum. "Tak apa, aku ada. Guna duit aku dulu mana yang tak cukup. Jangan risau pasal duit."

Cerah muka Maleeq mendengarnya. Syukur Alhamdulillah. Yang penting dia tak perlu skip sesi rawatan kali ini.

Mereka pun berangkat pagi itu juga. Nasib baik kereta sudah ada. Tinggal isi minyak dan boleh terus jalan.

Kereta sedan jenis sport dipandu oleh Adam. Maleeq diam tak bergeming. Deruan enjin yang garang seperti menyeru jiwanya bangkit. Maleeq bairkan kelajuan memecut membawa tubuhnya.

Sesekali nyeri di kepala mula menyerang. Tetapi Maleeq tak mahu layan. Top speed begitu menyeronokkan, sehingga dia lupa akan sakit itu.

"Adam. Laju lagi, Adam," pintanya.

"Eh, seriuslah? Nak aku bawak laju lagi?"

Maleeq mengangguk.

Adam pun apa lagi. Sudah lama dia mendamba nak ada kereta laju sebiji. Baru kini dapat merasa. Dia pun henjut, pandu semahu-mahunya.

Kira-kira dua jam menempuh perjalan, mereka pun tiba di hospital. Bergayut tawa di bibir Maleeq sambil keluar dari kereta. Seronok gila!

"Amacam? Best tak?" soal Adam.

"Best! Balik nanti kau bawa laju lagi."

"Apa kata kau je yang pandu? Nampak gaya kau serasi je."

"Aku?" Jari telunjuk menunjuk diri sendiri. Kurang faham dengan usul Adam.

"Iyalah! Tapi kalau kau tak yakin tak apa. Apa-apapun, jom kita masuk cepat."

Temujanji pukul 11 pagi. Mereka tiba 30 minit lebih awal. Terpaksa menunggu sebentar sementara giliran dipanggil.

***

"OKAY! Untuk sesi rawatan kali ini, kita akan melakukan imbasan sekali lagi. Ianya bertujuan untuk memeriksa kecederaan pada otak kamu adakah semakin membaik ataupun tidak. Selepas itu, saya akan mengajukan beberapa soalan kepada kamu berkaitan nama-nama atau situasi yang mungkin akan membuat memori kamu terimbas sedikit demi sedikit. Kamu dah bersedia?" kata doktor.

Maleeq mengangguk. Sudah terbaring di katil dengan mengenakan pakaian khas, sedia untuk melakukan imbasan CT dan MRI.

Hari ini Maleeq perlu menjalani beberapa terapi berkaitan saraf dan otak. Selanjutnya seperti yang doktor kata, Maleeq diajukan beberapa soalan berkenaan apa saja ingatan yang terlintas. Setakat ini doktor cukup berpuas hati.

Adam menunggu di luar sementara Maleeq menjalani rawatan. Dia sempatkan diri menghubungi Aryan untuk memberitahu perkembangan.

"Ada apa, Adam?" Suara Aryan terdengar lemah. Bercakap pun hendak tak hendak. Mungkin baru bangun tidur. Maklumlah, cuti.

"Aryan, aku nak bagitahu. Maleeq sekarang tengah menjalani treatment," lapor Adam.

"Emm. Lepas tu?" Langsung tidak bersemangat.

Berkerut dahi Adam. "Lepas tu apanya? Aku inform lah ni dekat kau. Dia yang nak pergi sendiri kali ni." Peliklah si Aryan ni. Bukan ke info macam ni yang dia tunggu?

"Dia nak pergi sendiri? Habis macam mana deposit dia?"

"Itulah aku nak cakap. Dia guna duit simpanan dia sendiri. Dia kata dia tak nak skip rawatan kali. Dia kena sembuh, katanya."

Untuk seketika Aryan berjeda. Setelah itu barulah dia bersuara kembali. "Dia, dia cakap macam tu?"

"Iya! Dia berazam sangat untuk cepat sembuh. Lagi satu, masa aku bawa kereta tadi, dia suruh aku bawa laju-laju. Aku rasa memori lama dia dah mula kembalilah, Aryan."

Perlahan-lahan Aryan bangun dari pembaringan dan duduk berlunjur kaki. Dia cuba menghadam penerangan Adam. Benarkah Maleeq sudah mula mengingat? Jadi, usahanya selama ini bukan sia-sia?

Sungguhpun dia masih kesal, tapi dia tetap bersyukur jika Maleeq sudah mula mengingat masa lalunya. Aryan mendesah pendek.

"Owh! Baguslah kalau macam tu. Nanti apa-apa kau khabari aku balik."

"Okey!"

Perbualan sudah tamat. Aryan lalu mengambil masa untuk berfikir. Jika benar Maleeq sudah mulai sembuh, nampaknya dia kena kuburkan siap-siap angan-angan untuk menggatikan posisi Maleeq. Elok jangan sedikitpun ada perasaan macam tu.

"Maafkan aku, Maleeq. Aku hampir saja nak give-up dengan kau. Aku harap kau cepat sembuh, sebab aku dah mula tak percayakan diri aku sendiri. Risau karang aku betul-betul jadi bapak anak kau."

Aryan teruskan bingkas dari pembaringan.

***

RAWATAN sudah selesai. Maleeq kini sedang mendengarkan taklimat daripada doktor. Dia turut dibenarkan meluahkan apa saja pertanyaan yang terlintas. Maleeq ada memberitahu yang dia mula tertarik dengan sesuatu yang dia rasa ada kaitan dengan masa lalunya.

"Bagus! Itu satu perkembangan yang baik. Kalau kamu dah mula terangsang dengan benda-benda sekeliling, cuba kerapkan diri kamu untuk melakukan hal tersebut. Contoh seperti yang kamu beritahu tadi. Menaiki kereta, makanan, situasi dan juga nama. Jika kamu kerap melakukan imbasan memori itu, ia lama kelamaan akan berkesan untuk kamu flashback daya ingatan. Amalkan makan yang sehat dan seimbang, vitamin perangsang daya ingat yang saya telah bekalkan, dan ambil ubat tahan sakit yang bersesuaian," kata doktor.

"Macam mana dengan sakit kepala saya ya, doktor?" Maleeq bertanya.

"Masih kerap ke sakit tu datang?"

"Tak kerap sangat dah. Cuma setiap kali saya cuba mengingat sesuatu, sakit tu datang balik. Kadang saya boleh tahan, kadang tak boleh tahan langsung. Sampai keluar air mata. Dulu awal-awal ada kalanya saya sampai pengsan. Tapi sekarang tak lagi dah."

Sebentar doktor berfikir sebelum menjawap soalan Maleeq. Setelah itu dia menunjukkan skrin monitor yang terdapat gambar otak manusia.

"Sakit tu, kamu rasakan bermula dari arah sini kan?" Doktor tunjukkan bahgian tengkuk bawah membawa ke atas.

Maleeq mengangguk.

"Macam ni! Pesakit amnesia memang akan mengalami kesakitan di sekitar sini setiap kali imbasan memori terangsang. Memang agak menyeksakan, tapi ianya biasa dan bersifat sementara. Malah rasa sakit itu yang akan membantu kamu mengimbas lebih cepat. Kalau boleh tahan, tahan saja. Jika tak tahan sangat, kamu ambil ubat tahan sakit yang saya bekalkan."

Maleeq mengangguk faham.

"Oh ya, doktor. Berkenaan dengan ubat, saya nak tanya sesuatu."

Doktor tersenyum. "Teruskan!"

"Sebelum ini, saya ada ambil satu ubat tahan sakit. Ia diberikan oleh misi yang merawat saya. Ubat itu sangat berkesan redakan kesakitan saya. Tapi semenjak doktor bekalkan saya ubat, saya dah tak mengambilnya. Jika satu hari saya ambil kembali ubat itu untuk redakan sakit, tak apa ke doktor?"

Doktor terdiam sejenak. Selama ini tak ada pula pesakitnya ini memberitahu ada mengambil ubat-ubatan lain selain saranannya. Doktor jadi curiga.

"Ada kamu bawa tak ubat itu? Saya nak cuba kenal pasti ubat jenis apa itu."

Maleeq tersenyum pasti. Mujur dia sempat teringat untuk membawa ubat itu bersama sebelum berangkat tadi. Tujuannya ialah untuk bertanya pada doktor akan fungsi ubat itu. Botol ubat segera dikeluarkan.

"Ini ubatnya, doktor." Benda itu diletak di atas meja lalu ditolak pada doktor.

Doktor terima dan segera memeriksa botol ubat tersebut. Tiada apa-apa label pada packaging. Hanya botol plastik putih yang kosong. Kembali doktor mengerutkan kening, curiga mula berganda.

Doktor lalu mengeluarkan isi kandungan. Beberapa butir capsul ubat dibawa keluar lalu diperiksa.

"Sebentar ya. Saya mahu periksa isi kandungan ubat ini di lab. Kamu tunggu sini," pesan doktor.

Maleeq tak keberaran untuk menunggu sebentar.

Lima belas minit berlalu, doktor kembali dari makmal. Serbuk ubat sudah dikeluarkan dari dalam capsul. Diletakkan serbuk itu di atas kertas lantas dibawa kembali untuk diterangkan kepada pesakitnya.

"Mana kamu dapat ubat ni?" soal doktor. Nampak tak main-main bertanya.

"Err, saya... Saya diberi ubat itu oleh misi yang menjaga saya."

"Misi? Dia kerja di hospital mana?" Doktor mula bertegas.

"Dia bertugas dekat klinik kesihatan di kampung yang saya tempati itu. Katanya ubat itu dia ambil daripada klinik tersebut." Jujur Maleeq mula resah bila muka doktor bertukar serius. Ada sesuatu yang tak kenakah?

Doktor kembali mengambil tempat duduknya. "Untuk makluman kamu, ubat ini tidak tersenarai dalam KKM."

Maleeq terperanjat.

"Ubat ini bukan paracetamol yang biasa kita gunakan untuk meredakan sakit. Ubat ini adalah painkiller dari negara luar yang diharamkan pengedarannya di Malaysia. KKM telah menyenarai hitam kemasukan ubat ini ke negara kita. Ubat ini berasal dari negara Swizerland yang telah dihentikan kemasukannya ke negara ini. Ini merupakan painkiller yang amat kuat, namun tidak bagus untuk saraf, terutamanya saraf otak."

Tegang muka Maleeq mendengar penerangan doktor.

"Kalau boleh saya tahu, berapa banyak kamu mengambil ubat ini?" Doktor bertanya lagi.

"Errr, adalah beberapa kali, doktor. Bila saya rasakan sakit kepala yang teruk, saya terus mengambilnya. Dan dalam kiraan saat, rasa sakit itu berangsur lega. Tapi semenjak saya amalkan ubat yang doktor beri, saya dah kurang sakit kepala yang teruk macam dulu. Jadi, saya dah tak makan ubat itu."

Doktor hanya terangguk-angguk. Dia faham keseluruhan apa yang pesakitnya sampaikan.

"Saya rasa itu penyebab otak kamu lambat untuk memproses imbasan memori. Saraf otak kamu sudah terganggu oleh tindak balas ubat ini. Dan jika kamu amalkan berterusan, kamu mungkin akan mengalami kerosakan saraf yang serius. Kamu akan mengalami kecelaruan identiti, dan paling buruk, berkemungkinan kamu akan mengalami kegilaan."

Maleeq terkejut dan hampir tak percaya. Ubat yang Hanna beri padanya selama ini, rupanya sangat berbahaya. Tapi dari mana wanita itu dapat jika KKM saja sudah mengharamkan ubat ini? Dan, apa tujuan Hanna beri kepadanya?

Dia rasa sangat perlu untuk berjumpa dengan Hanna dan meminta penjelasan dari wanita itu. Dia nak sangat tahu, apa tujuan Hanna memberinya ubat itu?

Share this novel

Rohani Hussin
2023-10-01 18:27:52 

Apa la si hanna ni..jahat la..geram aku

Hawani Hashim
2023-10-01 12:46:02 

TQ update


NovelPlus Premium

The best ads free experience