56: TIKAM BELAKANG

Romance Series 889375

PUAN Sri Zakiah meraung tak henti-henti sambil memeluk bayi kecil yang sudah mula membuka mata. Di sisinya adalah Tan Sri yang tak puas memujuk serta memberinya dorongan semangat. Sesekali pasangan itu melihat ke arah pintu wad ICU dan berharap ianya akan terbuka. Dua hari sudah berlalu, keadaan masih sama tiada berbeza. Resah hati dan kusut fikiran hanya mereka sahaja yang tahu.

"Kenapa anak kita yang kena tanggung semua ini, bang? Kenapa dia selalu kena alami keadaan macam ni? Saya tak habis fikir kenapa. Dua kali sudah kita diingatkan, yang kita hampir kehilangan dia."

Benar. Ini merupakan kali kedua Puteri bertarung nyawa, berada di tengah-tengah antara hidup dan mati. Merujuk pada keadaan Puteri satu ketika dahulu di mana dia hampir mati akibat kemalangan jalan raya dan koma hampir sebulan lamanya.

Kini, keadaan berulang kembali. Tapi ada sedikit perbezaan apabila turut terdapat bayi kecil tak berdosa sedang memerlukan Puteri berada di sampingnya. Manalah kedua orang tuanya tidak terkilan hingga sedemikian rupa.

"Sabarlah, Kiah. Kita doa banyak-banyak semoga dia cepat kembali pada kita. Doktor tengah usaha tolong dia. Awak kenalah positive thinking."

"Saya tak fahamlah. Kenapa perasaan cinta boleh sampai membuatkan orang jadi macam tu? Saya tahu dia amat cintakan suami dia, tapi dia tak boleh terlalu mencintai sampaikan jiwanya tertekan macam tu sekali. Anak kita layak hidup bahagia, bang."

Tan Sri meraih bahu isterinya lantas ditarik merapat. Dibiarkan wanita itu meletakkan kepala di bahunya bagi menumpahkan segala kesedihan. Buat masa ini, Tan Sri sendiri tak punyai idea untuk diutarakan. Maka dibiarkan kata-kata isterinya mematikan perbualan mereka.

Wad ICU yang menempatkan Puteri masih dijaga rapi oleh doktor. Seperti yang didedahkan sebelum ini, Puteri mengalami kejang sewaktu melahirkan sehingga proses kelahiran terpaksa menggunakan kaedah vakum. Bayi berjaya dikeluarkan dengan selamat, tetapi hingga kini Puteri masih belum membuka matanya.

Doktor mengesahkan Puteri mengalami gangguan saraf disebabkan stres yang melampau. Tekanan perasaan itu telah mempengaruhi otak sehingga oksigen hampir tak dapat mencapainya.

Hingga kini, keadaan Puteri masih tak berubah. Sama seperti keadaannya selepas mengalami kemalangan jalan raya di Australia satu ketika dahulu.

Benar, Puteri mengalami koma yang tak dapat dijangka bila ia akan berakhir. Untuk saat ini pihak penolong perubatan sedang berusaha keras menjalankan tugasnya menyelamatkan Puteri. Unit rawatan rapi tak membenarkan sesiapa menjenguk ke dalam melainkan pihak perubatan sahaja.

Hanya melalui celah pintu kaca Puan Sri dapat mengintai keadaan anaknya yang tidur nyenyak dengan penuh wayar berselirat di badan. Remuk hatinya dihenyak sedih melihat keadaan itu. Tak ada mana-mana ibu yang rela kehilangan anaknya, dan beliau juga sama.

"Ayahngah."

Tan Sri yang sedang memujuk isterinya langsung mengangkat kepala. Puan Sri juga tak lupa melakukan hal yang sama. Sapaan itu terdengar lembut berbunyi simpati, tetapi kenapa ianya malah mengundang cerlungan mata oleh sepasang suami isteri itu?

"Kamu nak apa lagi, Riz? Bukankah kamu dah dapat semuanya?" Tan Sri tak lagi memandang figura yang berdiri di hadapanya itu tetapi bicaranya tetap tertuju.

"Haah. Apa lagi kau nak? Puas kau tengok kami macam ni? Apa lagi kau nak datang ke mari?" Puan Sri pula sikit lagi nak hilang kesabaran. Sambil mendekap bayi dalam pelukannya dia sempat menyembur anak buah suaminya itu. Tan Sri buru-buru merebut bahunya dan meminta wanita itu mengawal kemarahan.

MINGGU LEPAS...

Ketika itu Tan Sri Baharudin sedang sedia keluar untuk menghadiri sebuah meeting bersama dengan Aryan dan Bad. Mereka agak tergesa disebabkan mesyuarat yang perlu dihadiri disampaikan pada minit akhir.

Pada mulanya Tan Sri tak bersedia hadir akibat susunan jadual yang bertindih. Tetapi bila memikirkan mesyuarat tersebut amat penting dan tak boleh berwakil, maka Tan Sri terpaksa membatalkan temujanji lain hari ini dan menghadiri mesyuarat tersebut.

Mujur ia tak jauh mana. Hanya terletak di daerah Puchong Perdana yang mengambil masa lebih kurang tiga puluh minit perjalanan jika tak tersekat dalam kesesakan. Tan Sri dan kedua bodyguardnya segera bergegas.

"Syukur Alhamdulillah, selesai juga akhirnya," ujar Tan Sri sebaik keluar dari kenderaan diiringi Aryan dan Bad.

Mereka bertiga sudah kembali dari Puchong lebih kurang 2:30pm. Kalau saja Maleeq ada, tentu dia tak perlu turun padang sendiri seperti ini. Biar menantu saja yang bersemuka langsung dengan badan-badan berpengaruh itu. Nanti dia juga yang akan run syarikat ini bila beliau sudah bersara.

"Kamu berdua, terima kasih banyak kerana temankan saya makan tengah hari tadi. Nak makan dekat hotel tadi tu saya tak ada selera. Semua makanan orang putih je. Saya ni dahlah tekak melayu tok-tok." Tawa kecil menyusul usai beliau menghabiskan kalimatnya.

Berselera betul tadi pekena daging salai masak lemak cili api dekat Kampung Baharu. Barulah kena dengan tekaknya.

Aryan dan Bad tak ketinggalan turut tergelak sama. Seronok melayan Tan Sri ni, simple aje orangnya.

Mereka teruskan melangkah sehingga tiba di ruang pejabat Tan Sri. Di situ langkah mereka serta-merta mati.

"Apa semua ni?" Tan Sri terkesima. Dua orang bodyguardnya ditoleh secara bergiliran, mereka juga tak kalah terkejutnya.

"Maafkan Riz, ayahngah. Riz cuma kesihan saja tengok ayahngah bertungkus-lumus sendiri. Riz nak ayahngah berehat di rumah, tak perlu susah-susah uruskan syarikat lagi."

Mukhriz lalu maju beberapa langkah daripada kedudukan asalnya. Kini dia sudah berhadapan betul-betul dengan bapa saudaranya.

"Tak, ayahngah tak faham. Riz buat apa ni?"

Dua orang lelaki berbadan tegap mengenakan sut serba hitam turut berdiri di belakang Mukhriz serta mengiringi lelaki itu bergerak ke hadapan.

Paling tak masuk akal, Tan Sri melihat papan perspek di atas mejanya sudah ditukar nama menjadi TENGKU MUKHRIZ. Beliau mendongak mencari wajah Mukhriz guna untuk meminta anak buahnya itu menjelaskan.

Mukhriz mempermanis senyuman sehingga matanya turut menyipit. Fail berkulit tebal yang sedang dipegangnya lantas dibuka lembar halaman. Fail diunjuk kepada Tan Sri supaya beliau dapat menyimaknya.

Beberapa dokumen penyerahan hak mutlak syarikat ke atas nama Tengku Mukhriz Bin Tengku Jaafar, telah lengkap bersama gurisan tanda tangan milik Tan Sri Baharudin.

Mukhriz memperlihatkan dokumen tersebut dengan lebih dekat agar bapa saudara beserta kedua bodyguardnya dapat melihat dengan jelas. Terbaris sekali senyum kepuasan di bibir lelaki muda itu. Terutama bila dilihat bapa saudaranya sudah kehilangan bicara.

"Kamu buat ni, Mukhriz? Bila masa saya turunkan sign ini?"

"Ayahngah lupalah tu. Semalam Riz minta, ayahngah dengan senang hati mencoretkannya. Takkan tak ingat?"

"Tapi..."

Seingat Tan Sri, beliau tak pernah pun menurunkan sign di atas dokumen sedemikian. Tetapi semalam memang benar dia ada menanda tangani sebuah dokumen yang diberi oleh Mukhriz, tetapi ia berkenaan projek luar bandar yang Mukhriz pernah usulkan sebelum ini. Jadi Tan Sri setuju dan terus menurunkan tanda tangannya.

Mukhriz mengoyak senyuman bangga seraya mengambil kembali dokumen dari tangan Tan Sri. "Terima kasih, ayahngah. Maaf kalau Riz terpaksa berbuat begitu. Riz terpaksa memanipulasi dokumen supaya ayahngah boleh sign."

"Kenapa kamu kena buat sampai macam ni sekali?" Tan Sri mula berbicara tegas.

Bad dan Aryan di belakang turut menapak maju, namun tak dapat berbuat apa-apa bilamana kedua bodyguard Mukhriz yang lengkap bersenjatakan pistol turut memajukan langkahnya.

Tan Sri tertunduk longlai. Tak habis fikir bagaimana anak buah yang amat dipercayainya tergamak menikam dirinya dari belakang. Inikah balasan yang dia harus terima atas segala kepercayaan yang diberi selama ini?

Bahu Tan Sri digamit oleh kedua tangan. Dipimpin bapa saudaranya itu untuk duduk dan bertenang. Mukhriz tahu ini pasti amat mengejutkan. Tapi apa boleh buat, dia sudah terlanjur menjadi penama ke atas hak kepemilikan mutlak syarikat keluarganya ini.

Mukhriz bertinggung di lantai sementara Tan Sri dibiarkan duduk di sofa. Cuba dicari wajah tua lelaki itu yang masih tertunduk sayu. Mukhriz perlu memujuknya.

"Ayahngah, janganlah sedih-sedih. Sama jekan, Riz yang pegang ke, ayahngah yang pegang ke, tak ada beza. Kita tetap keluarga, tetap ada pertalian darah. Bukan macam orang-orang luar yang tak ada kena-mengena tu. Mereka itu lagilah tak layak. Jejakkan kaki di pejabat ni pun tak layak. Kan?"

Tan Sri hanya menggeleng kecil tak mampu berkata apa-apa. Kata-kata Mukhriz di telinganya tak ubah seperti seorang psychopath. Apa yang Mukhriz mahu dia pun tak tahu.

"Apa kamu nak sebenarnya Riz? Kenapa sampai sejauh ini kamu bertindak?" Suara Tan Sri amat perlahan, cukup sekadar didengar oleh dirinya dan Mukhriz sahaja. Lebih tepatnya, beliau sudah kehilangan daya mahu bercakap.

"Riz tak nak apa-apa, ayahngah. Riz cuma nak bagi ayahngah berehat je. Iyalah, ayahngah pun dah kaya raya. Tak perlu lagi susah-susah nak handle syarikat. Lagipun, ayahngah dah cukup uzur..."

"Tutup mulut kamu. Berhenti bercakap macam orang psiko. Kamu tak takut dengan tindakan undang-undang ke? Kan sebelum ni dah pernah kena?"

Mukhriz menghela nafas bila bapa saudaranya mula membentak perlahan. Dia masih bertinggung di hadapan lelaki itu cuba memujuk lagi.

"Tak ada apa-apa bukti di sini yang menunjukkan bahawa Riz telah melakukan pelanggaran, ayahngah. Syarikat ini milik keluarga kita. Milik Allahyarham tok ayah. Riz pula cucu lelaki satu-satunya. Dengan kata lain, Riz juga mempunyai hak mutlak untuk mengendalikan syarikat ini. Riz cuma tak boleh terima bila ayahngah cuba memasukkan orang-orang luar yang tak ada kena mengena tu, turut serta dan memegang jawatan-jawatan tinggi di sini. Riz tak boleh terima, ayahngah. Riz tak boleh terima."

Tan Sri tak punya modal lagi untuk berujar. Beliau pilih merundukkan kepala dan enggan berbalas kata lagi. Hati tuanya terlalu hancur tak mungkin dapat dipujuk lagi.

"Kalau ayahngah fikir ayahngah dah kehilangan syarikat ini, Riz nak ingatkan bahwa ianya tak betul. Riz cuma ubah nama kepemilikan aje, dan Riz akan kendalikannya sendiri. Riz cuma tak nak syarikat keluarga kita ini ditangani oleh orang luar. Itu aje."

Tan Sri masih diam. Bukan bererti setuju tapi beliau masih belum selesai dari rasa terkejutnya.

"Kalau ayahngah tak percaya dengan kata-kata Riz, Riz akan buktikan pada ayahngah."

"Macam mana kamu nak buktikan?"

Mukhriz tersenyum. "Riz akan mengahwini Puteri apabila dia sudah habis melahirkan kelak."

"Kamu ni dah hilang akal ke?" Tan Sri terus bingkas seraya menolak bahu Mukhriz sehingga pemuda itu jatuh terduduk ke lantai.

"Ayahngah tak tahu apa yang dah merasuk dalam kepalamu ni, Mukhriz. Tapi ayahngah tahu ibu bapamu tak mungkin ajar kau jadi macam ni. Kau dah hilang akal, Mukhriz."

Mukhriz merengus bila tawarannya langsung tak disambut, malah dirinya ditolak sedemikian rupa oleh bapa saudara sendiri. Dia bangkit dari lantai dan kembali berdiri berhadapan Tan Sri.

"Riz dah cuba cakap baik-baik ni, ayahngah. Tapi ayahngah masih layan Riz macam sampah. Riz dah beri tawaran terbaik supaya ayahngah tak kehilangan syarikat ini, iaitu mengahwinkan Puteri dengan Riz. Kurang baik apa lagi Riz ni? Riz sanggup terima anak Puteri seperti anak Riz sendiri. Riz tak kesah pun. Riz boleh jadi bapak kepada baby tu."

"Cukup."

Pang!

Ekoran bunyi tamparan itu, suasana di ruangan tersebut menjadi tegang. Senyap dan hening.

Mukhriz terteleng ke samping lalu menyentuh pipinya yang terasa pedih. Namun tak lama, dia kembali mentautkan tenungan dengan bapa saudaranya lebih tajam.

"Aku dah pujuk kau elok-elok, tapi ini yang kau bagi pada aku? Dasar orang tua ego tak sedar diri. Maka dengan segala hormatnya, silakan angkat kaki dari pejabat aku, dan bawak kesemua sampah-sampah kau tu berambus sekali."

Sampah-sampah yang dimaksudkan adalah orang-orang kanan kepercayaan Tan Sri iaitu Zahaedy, Aryan dan Bad. Mukhriz tak mahu wajah-wajah mereka masih berkeliaran di pejabat ini.

Dia sudah naik berang. Nekad tak mahu memberi muka lagi. Penat-penat dia berlembut memujuk macam orang mengemis, namun Tan Sri tetap dengan egonya tak mahu dibawa berbincang.

Keadaan sedang tidak aman untuk mereka terus berada di situ. Maka buru-buru Aryan dan Bad memimpin Tan Sri keluar dari ruang pejabat itu. Dua orang bodyguard bersenjata yang mengiringi Mukhriz tak boleh dianggap remeh. Langkah selamat bagi mereka adalah berundur secepatnya.

Real or fake, just stay away. Don't mess up with people with a gun.

Dalam perjalanan pulang dihantar oleh Bad dan Aryan, Tan Sri Baharudin bergumam perlahan menggambarkan kekecewaan yang amat dalam. Jauh dari yang dia bayangkan bahawasannya Mukhriz sanggup bertindak hingga sejauh ini. Dia tahu ini semua salahnya dari awal lagi, kerana tak memberi peluang kepada Mukhriz melakukan yang terbaik. Tapi bukankah peluang itu sudah diberinya dengan menempatkan Mukhriz di posisi yang sepatutnya. Kenapa masih perlu perkara seperti ini berlaku?

"Tan Sri, kami minta maaf kerana gagal mempertahankan syarikat. Semua ini di luar keupayaan kami lagi. Kami yakin Mukhriz tak bersendirian. Mereka melakukannya dengan penuh perancangan, sehingga kami gagal mengesan." Aryan mengadukan sesal kerana telah gagal menjalankan tugas sehingga perkara sebegini bisa terjadi.

Tan Sri merunduk lemah dan tidak langsung menjawap. Kekecewaan yang mendalam buatkan beliau tiada rasa untuk bercakap.

"Kalaulah Maleeq ada di sini, pasti semua ini tak akan terjadi," gumam beliau akhirnya.

Aryan dan Bad turut merunduk, mengakui akan kelemahan mereka yang jelas tak cukup kuat tanpa keberadaan Maleeq.

Ketiadaan Maleeq merupakan satu kepincangan dalam kumpulan. Segala misi tak akan berjaya tanpa penglibatannya. Mereka mungkin akan berdepan kegagalan demi kegagalan di masa akan datang. Bahkan mereka juga berpotensi untuk gulung tikar.

***

"AYAHNGAH, tolonglah beri peluang pada Riz untuk membuktikan pada ayahngah."

"Peluang apa, Riz? Apa yang kamu nak buktikan sangat? Bukankah semuanya telah kamu dapat? Apa lagi yang kamu nak?"

Tan Sri menggeser kedudukan apabila Mukhriz datang dan berlutut di depannya. Ditoleh isterinya di sisi, wanita itu turut tak kalah masam mukanya.

Mukhriz lalu beralih pada bayi yang berada dalam kendongan Puan Sri Zakiah. Bayi kecil itu diusap lembut kepalanya. "Riz akan buktikan yang Riz mampu menjadi ayah dia. Bila Puteri sudah sembuh nanti, Riz akan segera mengahwininya."

Cepat-cepat Puan Sri menjauhkan cucunya dari tangan Mukhriz. Beliau berdiri dan bergerak sedikit menjauh. "Dah gila dia ni. Abang, marilah kita pergi dari sini. Muak saya lama-lama. Tak ada common sense langsung. Bukannya turut risau Puteri masih tak sedarkan diri. Sebok pula nak kahwin, nak kahwin."

"Riz, kamu balik Riz. Tak ada guna kamu nak berlutut di sini. Puteri masih belum sedar. Kalau dia sedar tak apa juga, boleh kamu tanya sendiri kata setuju dari mulutnya. Dengan tindakan kamu tersedak seperti ini, ayahngah tak rasa kamu benar-benar ikhlas nak jadi ayah kepada cucu ayahngah ni."

"Tak, ayahngah. Riz ikhlas. Sumpah, ayahngah. Riz ikhlas nak jadi ayah dia. Tolong ayahngah, beri Riz peluang. Riz akan buktikan bahawa Rizlah menantu pilihan yang ayahngah tunggu-tunggu selama ini."

"Pergi!" Perlahan suara Tan Sri, namun tegas menyentak telinga siapa yang mendengarnya.

"Apa?" Mukhriz terpempan.

"Pergi, aku kata! Aku tak pernah ada anak buah busuk macam kau. Adik aku Suraya, tak mungkin melahirkan manusia sebejat kau. Tak ada hati perut."

Berdesing cercaan menembusi gegendang telinga. Mukhriz diam sejenak dengan mata mula mencerlung menghadap lantai. Tak lama kemudian, dia mendongak bersama tenungan tajam. Mukhriz bangkit dan berdiri kembali.

"Keegoan tak akan membawa kejayaan, ayahngah. Malah akan semakin memperluas jurang kehancuran. Sama macam menantu ayahngah tu, bertindak melulu tanpa perhitungan yang matang. Dia fikir dia akan berjaya? Kesihan!"

Bulat anak mata Tan Sri tiba-tiba. Bait-bait kata yang keluar dari bibir Mukhriz telah mencetuskan segunung tanda tanya. Ditenung anak buahnya itu tanpa berkedip, berharap akan penjelasan lebih masuk akal dia perolehi.

"Apa yang kamu cuba cakap ni, Mukhriz?"

"Tak ada apa, lupakan saja." Mukhriz berusaha mengubah alur bicara. "Kalau begitu Riz minta diri dululah. Riz doakan semoga Puteri cepat sembuh. Riz balik dulu ayahngah."

***

"ASTAGFIRULLAH!"

Dia terkejut lagi. Tidurnya kembali diganggu oleh mimpi aneh yang dia sukar mentafsikannya. Dua hari berturut-turut mimpi itu datang, seakan ingin memberitahu sesuatu tetapi dia masih gagal merungkai makna.

Mimpi apa sebenarnya yang menggagu tidur lelaki itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience