53: ANTARA RINDU DAN BENCI

Romance Series 889312

SATU panggilan daripada klien memaksa Dr. Riduan menyemak telifon bimbitnya. Biasanya kalau dapat panggilan pada telifon bimbit ni, ia bukan klien biasa-biasa. Hanya klien tertentu sahaja yang dapat menghubungi doktor pakar saraf tersebut secara peribadi. Kebiasaan panggilan akan diterima melalui telifon di desk mahupun menerusi menolongnya.

Tersungging senyum di hujung bibir tatkala skrin telifon memaparkan nama yang tidak asing lagi. Tan Sri Baharudin. Tanpa berkira-kira, Dr. Riduan segera menyambut panggilan tersebut.

"Assalamualaikum, Tan Sri," sapanya.

"Waalaikum salam! Apa khabar, Dr. Riduan."

"Khabar baik Tan Sri. Alhamdulillah."

Dr. Riduan lalu mengeluarkan laporan kepunyaan lelaki bernama Maleeq, sementara panggilan tetap berlangsung. Dia tahu tujuan kliennya itu memanggil, pasti ingin mengetahui perkembangan berkenaan laporan kesihatan lelaki tersebut. Dr. Riduan mula membuka halaman fail di tangannya.

"Ada perkembangan apa berkenaan menantu saya, doktor? Dia semakin baik ke?" soal Tan Sri. Kedengaran seperti tidak sabar-sabar.

"Alhamdulillah, Tan Sri. Menurut rekod terakhir, dia mula menunjukkan perubahan yang memberangsangkan. Saya rasa tak lama lagi dia akan mula mengingat," kata Dr. Riduan. Yakin sekali.

Tetapi didengar kliennya malah mengeluh. Dr. Riduan tak rasa yang dia ada memberi laporan salah.

"Aduh, takkan itu je? Saya nak khabar yang lebih daripada itu."

"Maksud Tan Sri?"

"Maksud saya, dia ada cakap tak yang dia nak balik?"

Dr. Riduan mula kehilangan jawapan. "Emm, tak ada pula dia singgung soal itu, Tan Sri."

"Dah tu apa gunanya saya bayar kamu mahal-mahal kalau menantu saya masih belum sembuh?"

Suara Tan Sri Baharudin mula naik meninggi. Bingung Dr. Riduan dibuatnya. "Tan Sri, sabar. Sabar ya. Proses ini, bertahap Tan Sri. Untuk setakat ini memang dia sudah menunjukkan perkembangan baik. Tetapi Tan Sri perlu bersabar sedikit masa sahaja lagi," kata Dr. Riduan.

Tan Sri Baharudin terdengar menghempas nafas nan berat. Tak lama kemudian beliau iringi keluhannya dengan kalimah istigfar.

"Astagfirullahaladzim! Maafkan saya, doktor. Saya terlebih emo pula. Bukan apa, isterinya di sini tak lama lagi akan melahirkan. Jika boleh, saya sangat berharap yang dia akan pulang dengan segera, sebelum tarikh kelahiran tersebut."

"Faham, Tan Sri. Saya di sini hanya membantu dari segi perubatan. Selebihnya ialah kemahuan tuan badan sendiri. Saya turut mendoakan semoga dia cepat terbuka hatinya untuk segera pulang."

Tan Sri Baharudin mendesah kembali. "Kalau boleh saya tahu, dia ada appointment lagi bila ya?"

"Minggu depan, Tan Sri. 13 hari bulan."

Tan Sri senyap mencuri masa untuk berfikir. Kalau minggu depan tarikh Maleeq berjumpa doktor, sementara minggu lagi satu adalah tarikh Puteri melahirkan.

"Doktor, kalau dia datang minggu depan, boleh tak doktor tolong pujuk dia perlahan-lahan?" kata Tan Sri.

"Pujuk macam mana ya, Tan Sri?"

"Pujuk dia supaya mahu pulang. Saya rasa cakap kamu je dia mahu dengar. Buktinya dia, dia patuh aje datang pada tarikh temujanji itu kan?"

Dr. Riduan sedang menimbang tara. Memujuk pesakit, itu sudah keluar dari skop kerjanya. Dia hanya pakar mengubati, bukan pakar pujuk memujuk.

Tetapi bila dikenang semula akan kesungguhan Tan Sri Baharudin, yang sanggup membayar berapa sahaja untuk rawatan menantunya itu, sepertinya Dr. Riduan perlu mempertimbangkan lagi permintaan klien VIPnya tersebut.

"Baiklah, Tan Sri. InsyaAllah saya akan cuba. Tapi, Tan Sri jangan terlalu berharap, sebab saya tak berani menjamin ianya akan berhasil."

Jawapan Dr. Riduan walau tak berapa meyakinkan, sedikit sebanyak telah membuat Tan Sri terasa lega. Tak lupa doa turut tak putus dititipkan buat menantu kesayangan agar segera menemui jalan pulang.

***

PUTUS asa! Satu titik di mana jiwa telah kehilangan harapan sepenuhnya. Tiada lagi jalan untuk ditatal kembali, maka segenap harapan perlu dihenti dan dibuang jauh dari hati.

Hanya mampu menangis dan meratap apabila hati telah sampai ke tahap keputusasaan. Tiada apa lagi yang dapat dilakukan selain menelan kesakitan yang amat menyeksakan.

Di dalam pelukan adalah bingkai gambar perkahwinan. Dilihat kemudian dipeluk semula. Ada kalanya disentuh gambar lelaki yang bersanding dengannya, dicium dan dipeluk kembali.

Benarkah hati ini sudah benar-benar putus asa? Ataupun, jauh di dalam sana masih tersimpan secebis harapan bahawa si dia akan kembali semula?

Tapi bagaimana jika ia hanya berupa harapan palsu seperti yang sudah-sudah? Hingga ke detik ini, dia masih tak kunjung kembali. Lalu berapa kali saja hati ini harus menanggung kesedihan? Berapa banyak lagi air mata yang perlu dia tumpahkan?

"Abang! Abang tengah buat apa kat sana? Abang tahu tak yang Puteri rindukan abang? Puteri tak pernah berhenti rindukan abang."

Itulah yang dilakukannya tika bersendirian di bilik. Melepaskan rindu pada satu-satunya insan yang dicintai dengan nenatap wajah si dia di dalam bingkai gambar.

Mendadak dia menarik keluar frame gambar daripada pelukan. Wajah di dalamnya ditatap penuh benci. "Tapi abang nak kahwin dengan perempuan tu kan? Betul kan? Abang dah tak sayang Puteri lagi. Abang dah tak cintakan Puteri lagi. Puteri benci abang."

Tak semena-mena bingkai dihempas ke lantai. Bunyi riuh terhasil pabila bingkai kaca itu berderai pecah.

Puteri sambung menangis terisak-isak di pembaringan melampiaskan kesemua kesedihan. Jika di luar dia kerap tunjukan wajah tenang, maka di dalam dia akan luahkan segenap rasa sakit ke dalam tangisan sepuas hatinya.

"Puteri! Ya Allah, kenapa ni? Janganlah main baling-baling kaca. Bahaya, tahu tak?"

Puan Sri tiba sebaik bunyi riuh tadi terdengar. Dilihat Puteri sedang menangis di tempat tidurnya, sementara frame gambar kahwin mereka sudah berkecai di lantai.

Puan Sri jadi serba salah mahu mendapatkan Puteri dahulu atau mengemas frame itu? Tapi kaca pecah begini tak boleh dibiarkan lama-lama. Nanti terpijak, bahaya. Boleh mendatangkan cedera.

Maka Puan Sri terpaksa keluar semula sekadar untuk memanggil pembantunya mengambilkan penyapu. Tak lama kemudian kaca pecah segera dibersihkan.

Puan Sri mengasingkan gambar daripada bingkai yang rosak. Gambar lalu disimpan semula untuk diganti bingkai yang baru. Sementara bingkai dan kacanya yang sudah hancur telah selamat dibersihkan oleh pembantu.

"Mommy buang yang itu sekali," jerit Puteri.

Puan Sri terpinga-pinga.

"Mommy jangan simpan gambar tu. Buang! Puteri tak mahu lihatnya lagi. Puteri benci."

Puteri menyusul turun dari pembaringan dan berniat mahu merebut gambar kahwinnya dari tangan Puan Sri.

"Puteri, janganlah macam ni. Sayang, tahu gambar kahwin ni." Puan Sri tak mahu biarkan Puteri rosakkan gambar tersebut, tetapi Puteri tetap memaksa.

"Bagi pada Puteri, mommy. Biar Puteri koyak gambar tu. Tak ada gunanya lagi disimpan. Bagi pada Puteri, mommy. Mommy..."

"Puteri..."

Puteri tak lagi bergelut merebut gambar itu dari tangan mommy. Pergerakannya lumpuh dan kejung serta merta. Sekejap matanya memandang Puan Sri, sekejap merunduk ke lantai. Tegang wajahnya.

Puan Sri pun tak semena-mena menjerit tika melihat lantai sudah basah. Buru-buru dirangkul anaknya yang seakan hampir hilang keseimbangan badan.

"Mommy. Kenapa dengan Puteri ni, mommy?"

Perlahan-lahan Puan Sri membawa Puteri duduk di lantai sementara dia berteriak ke bawah memanggil sesiapa saja datang. Air sudah membuak keluar dari celah kaki Puteri. Sementara Puteri sudah setengah terbaring di lantai berbantalkan paha Puan Sri.

"Puteri bertahan ya, sayang. Kita pergi hospital sekejap lagi. Tahan ya."

Puteri tak mampu menjawap apabila kesedarannya berangsur mulai pudar. Tetapi dia cuba untuk kekal sedar. Namun akhirnya dia menyerah saat jiwanya yang rapuh tak mampu bertahan. Puteri sudah tidak sedarkan diri sementara air terus tumpah keluar daripada jalan kelahiran.

Share this novel

Rimatanti Rasyid
2023-10-09 11:59:47 

kesiannya puteri.. sentiasa dlm kesedihan mengenangkan dn merindui Maleeq yg jauh.. semoga cpt ingatan Maleeq pulih kembali..


NovelPlus Premium

The best ads free experience