30: PENANTIAN YANG TAK PASTI

Romance Series 889375

HINGGA keesokan hari Maleeq masih gagal dihubungi. Mereka di semenanjung tak boleh tunggu lagi, Zahaedy dan juga Aryan terus terbang ke Sabah untuk mencari jejaknya. Puspa yang sedang sarat hamil juga terpaksa ditinggalkan dahulu demi mencari Maleeq yang hilang.

Semua tempat telah dijejaki, hotel tempat Maleeq menginap juga tak lupa dimintai informasi. Tetapi pihak hotel telah memberitahu bahawa Maleeq sudah mendaftar keluar pada hari yang sepatutnya. Jadi pihak hotel tak dapat memberi apa-apa lagi informasi selepasnya.

Kemana Maleeq ni? Kenapa dia hilang bagai ditelan bumi? Akhirnya mereka kembali ke Semenanjung dengan tangan kosong tanpa Maleeq bersama. Dan sudah pasti ianya akan membuat Puteri kecewa.

***

HAMPIR 10 hari tubuh itu terbaring di katil pesakit tanpa sebarang reaksi. Kemudahan di klinik yang tidak cukup lengkap hanya dapat memonitor denyut nadi serta jantung sahaja. Mujur ianya masih berlaku normal. Berpuluh botol water drip sudah ditukar supaya mangsa kekal bertahan. Sehingga kini, masih tiada tanda-tanda bila ianya akan sedar.

Hanna terfikir mahu membuat laporan polis atas penemuan itu, tetapi rasa takut menghalang dirinya. Dia bimbang nanti akan dituduh melindungi orang jahat. Manalah tahu orang ini rupanya buronan polis. Semua boleh terjadi, kan?

Maka dari itu, Hanna memutuskan untuk mendiamkan diri. Biarlah dia rawat orang ini sehingga sedar. Bila dah sedar nanti, pandai-pandailah dia balik sendiri, atau sekurang-kurangnya bercerita tentang apa yang berlaku.

"Hanna! 10 hari sudah dia koma begini. Aku tak rasa dia boleh bangun," pendapat Suzan.

Hanna menghela nafas selesai menukarkan water drip. Dia menghadap Suzan. "Tak apalah, Suzan. Kita cuba saja apa yang termampu. Yang penting kita dah usaha tolong dia. Selebihnya, serah pada Allah," kata Hanna. Yakin!

"Tapi, Hanna. Kau pun tahu kan, klinik ni tak banyak kemudahan. Katil pun dua saja tu. Bila dia terbaring lama begini, pesakit lain mau guna apa? Kau faham, kan maksud aku?"

Hanna lalu tersenyum yang membawa maksud dia faham apa yang Suzan cuba sampaikan. "Kalau begitu tak apalah. Esok aku cuba bawa dia balik rumah saja."

Jatuh rahang Suzan. "Apa kau kata? Kau mo bawa balik dia ni? Kau gilakah, Hanna?"

"Nak buat macam mana. Kita tak ada pilhan. Jangan risau, biar aku rawat dia di rumah."

"Ish! Apa-apa sajalah kau, Hanna. Aku cuma mo cakap sama kau, jangan beriya-iya. Jangan memaksa diri. Kalau misalnya orang ini orang jahat macam mana? Nanti bila dia sedar, jangankan cakap terima kasih, dia culik pula kau nanti. Jangan kau!" Suzan bersungguh-sungguh menasihati.

Tetapi Hanna malah tersenyum. Dia langsung tak takut dengan momokan si Suzan. Setakat kena culik, apa dia nak hairan? Lagi-lagi handsome macam ni yang menculik. Culiklah, dia rela lagi ada. Hihi!

"Ada-ada sajalah kau ni, Suzan. Aku tak rasa dia orang jahatlah. Tengok saja penampilannya. Elok! Kalau orang jahat, pasti sudah bertattoo sana-sini."

"Haih! Apa-apa sajalah kau. Bagus aku pergi makan dari layan kau ni." Suzan pun beredar.

Keesokan hari, petang itu juga Hanna membawa pesakit itu pulang ke rumahnya. Mujur keretanya sudah dibaiki oleh Adam. Dengan bantuan staf yang lain, Hanna membawa lelaki itu masuk dalam kereta. Tidak lupa, peralatan untuk rawatan susulan di rumah dibawanya bersama. Hanna bertekad mahu merawat lelaki itu sehingga sembuh.

Tiba di rumah, Hanna meminta bantuan Adam untuk membawa lelaki itu masuk. Pada mulanya Adam dan juga Najwa ibu Hanna, berasa hairan melihat Hanna membawa orang asing tersebut balik ke rumah. Namun setelah dijelaskan mereka akhirnya faham.

Maka pesakit lalu ditempatkan di sebuah bilik kosong di rumah papan tersebut. Pakaian bekas arwah ayah Hanna telah dipakaikan sebagai pakaian ganti.

Dengan tekun Hanna menjaga. Siang malam dia periksa. Luka-luka di badan sudah mulai sembuh. Tetapi hingga sekarang lelaki itu masih belum bersedia membuka matanya.

"Awak berehatlah di sini. Ini rumah saya, awak selamat dekat sini. Saya janji, saya akan jaga awak sehingga awak sembuh. Dan saya nak awak tahu, yang saya ikhlas melakukannya."

Hanna tersenyum sambil menguis-nguis rambut di dahi lelaki itu. Ditenung wajah yang masih diam seperti tertidur lena. Hanna menarik nafas dan melepaskannya.

Macam manalah handsome-handsome macam ni boleh tercampak ke sini? Apa yang sebenarnya terjadi ya?

***

LEBIH seminggu usaha pencarian dilakukan, tetapi tiada tanda-tanda mahupun petunjuk yang mereka dapat rungai mengenai hilangnya Maleeq. Zahaedy lalu datang berjumpa Tan Sri di pejabatnya.

"Hello! Owh, sorry ganggu." Tengku Mukhriz turut tiba di ruangan itu sebelum Zahaedy membuka bicara. Pemuda itu lalu turut bergabung dalam perbincangan.

"Kamu dari mana, Mukhriz?" soal Tan Sri. Agak tegas.

"Maaf, ayahngah! Riz baru tiba dari Switzerland. Cadangnya balik ni mahu membawa mommy dan daddy pulang sekali. Tapi mereka busy uruskan bisnes baru di sana," beritahu Mukhriz.

"Ayahngah tak kesah. Cuma kalau boleh kamu jangan selalu tinggalkan Malaysia. Kamu tahukan, yang Maleeq masih belum dijumpai. Ayahngah harap kamu membantu sikit di syarikat ini selama Maleeq tak ada." Tan Sri sedikit bertegas.

"Maaf, ayahngah. Riz janji akan berada di sini selalu."

Tan Sri hanya mengangguk lantas kembali menumpukan perhatian pada Zahaedy. Melihat raut wajah lelaki itu Tan Sri bertambah resah. Adakah Zahaedy masih gagal mendapatkan informasi tentang Maleeq?

"Ayahngah! Kalau boleh, saya ingat nak bincangkan perkara ini di rumah ayahngah. Tapi ayahngah perlu memujuk Puteri untuk bertenang dahulu," kata Zahaedy.

"Apa? Apa yang mustahak sangat ni, ZD? Kenapa tak bincang di sini saja?"

"Tak apa! Saya rasa perkara ini lebih baik dibicangkan bersama keluarga. Petang ini saya ke rumah ayahngah, itupun jika ayahngah tidak keberatan."

"Tentu saja tidak. Marilah! Petang ini kita bincang di rumah."

Zahaedy tak rasa mahu membuka cerita di sini bila tiba-tiba Tengku Mukhriz turut tiba sekali. Tak tahu kenapa dia rasa sangat tak perlu buat Tengku Mukhriz turut mendengarnya. Walaupun lelaki itu juga datang dari kalangan keluarga.

Bersama Aryan, Bad dan juga isteri dan anaknya, Zahaedy membawa mereka datang berkumpul di kediaman Tan Sri Baharudin petang ini. Rasanya sudah tiba masanya untuk dia menamatkan persoalan dan juga teka-teki, bahkan juga penantian yang tiada pasti.

Dengan hati yang berat, Zahaedy perlu mengungkap kenyataan, bahwasannya usaha pencarian terhadap Maleeq tidak lagi dapat diteruskan.

"Saya, amat terkilan dan tak sanggup mengungkapkannya. Selaku saudara sepupu yang sudah seperti adik beradik kandung sendiri, saya semestinya amat terpukul dengan perkara ini."

Zahaedy ambil masa seketika untuk menuntaskan sebak yang tumpah menjadi air mata. Selanjutnya dia kembali meneruskan bicara.

"Saya dengan berat hati, ingin memberitahu bahwa, Maleeq berkemungkinan, telah gugur dalam menjalankan misi. Saya harap pihak keluarga dapat menerima kenyataan ini dengan hati yang reda." Zahaedy langsung merunduk usai bicaranya. Dia memicit dahi dan cuba sembunyikan air mata.

"Innalillahi wainna ilaihirojiun."

Pandangan mereka langsung terarah pada pintu utama bila seseorang telah tiba sambil melafazkan kalimat tersebut.

Tengku Mukhriz turut menyusul ke rumah Tan Sri, penasaran ingin tahu berita apa yang Zahaedy hendak sampaikan.

Suasana di ruang tamu menjadi lengan buat beberapa saat. Namun tak lama, terdengar suara teriakan yang keras.

"Tidak! Tak betul. Ini semua tak betul. Tutup mulut kau orang semua. Berhenti berbicara." Puteri telah bangkit dari tempat duduk lalu membangkang kenyataan yang disampaikan.

"Abang Mike masih ada. Dia ada! Puteri dapat rasa yang suami Puteri masih ada. Dia akan kembali. Dia pasti kembali."

"Puteri..."

Keadaan tiba-tiba menjadi panik apabila Puteri langsung terkulai usai teriakannya. Dia rebah tak dapat mengawal diri. Semua orang jadi kelam kabut menyambut badan Puteri yang lemah tidak bermaya.

Puteri lalu direhatkan di atas sofa sebelum dipanggilkan Doktor Fatimah datang memeriksanya.

Puteri pengsan tidak sedarkan diri. Jiwanya terguncang dan tak dapat menerima penerangan yang menyatakan bahwa suaminya telah tiada. 10 hari dia menunggu dengan doa dan air mata. Tetapi hari ini, penjelasan Zahaedy telah menamatkan penantiannya.

Share this novel

Rohani Hussin
2023-08-06 13:53:54 

Ala..x kan la semua dh putus asa..ataupun ZD saja cakap mcm tu sbb si mukhriz tu ada..jahat la mukhriz ni


NovelPlus Premium

The best ads free experience