44: BUKAN DIRIKU

Romance Series 889312

SATU meeting telah selesai hari ini melibatkan Aryan selaku wakil daripada Symphony Group Sdn. Bhd. Sejujurnya dia sangat gugup dan hampir tak dapat perform. Biasanya dia hanya akan berdiri di sebelah Maleeq sebagai PA. Tapi kini, dia perlu berada di posisi di mana Maleeq patut berada. Nasib baik dia dapat mengawal keadaan. Meeting pun berjalan lancar.

"Encik Aryan. Jika masih banyak masa, marilah kita bersembang lebih santai dahulu di cafe. Maybe for having lunch or something," pelawa pengarah syarikat Kinabalu Group. Dengan senang hati mengajak Aryan makan tengahari bersamanya.

"Aduh, I'm so sorry, Mr. Aaron. Tapi flight saya hari ini. Jika ada rezeki, mungkin lain kali saya join," tolak Aryan.

"Tapi setahu I, flight you pukul empat petang, bukan? Sempat lagi kalau sekadar take a lunch."

"Memang betul. Tapi, saya ada hal yang sangat-sangat urgent. Saya kena pergi sekarang. Mr. Aaron, sekali lagi saya minta maaf."

Akhirnya Mr. Aaron tak dapat menahan Aryan yang terus berpamitan. Nampak mustahak sekali sampai sanggup menolak ajakan makan tengahari. Tak menagapalah kalau begitu.

Sementara itu, Aryan sudah bergegas menuju 4x4 yang diparkir berhampiran bangunan. Tanpa membuang masa, dia terus memecut pemanduan. Tak tahu hendak ke mana.

Ya, dia pasti! Dia pasti untuk kembali semula ke kampung itu hari ini. Walaupun agak jauh dan bimbang akan terlepas flight petang nanti, tetapi untuk yang terakhir kali, dia mesti cuba untuk memujuk Maleeq agar sudi pulang bersamanya.

Pujuk! Pujuk dan sedikit paksa. Aryan sudah malas mahu berlembut lagi. Lagi-lagi selepas pertemuan dengan Hanna semalam, buatkan Aryan jadi hilang rasa hormat terhadap perempuan.

Tak boleh jadi! Perempuan itu sungguh lain macam. Seolah-olah dia menyimpan muslihat sendiri. Dalam misi memulihkan ingatan Maleeq ini, risau jikalau Hanna akan membuatnya gagal. Bagaimana jika Maleeq malah dicuci otaknya? Lagilah susah dia mahu mengingat keluarganya sendiri.

Tak boleh. Aryan perlu halang sebelum ia benar-benar terjadi. Dia mesti kembali ke kampung itu dan pujuk Maleeq agar mahu pulang ke Kuala Lumpur bersamanya.

Aryan memandu cukup laju. Dua jam sahaja masa diperlukan untuk tiba di kampung Hanna. Ianya berkat Maleeq juga yang kerap mengutuk dirinya dahulu. Drive ayu sangatlah, macam siput babilah. Apa saja kata-kata nista yang Maleeq tidak lontarkan kepadanya dulu? Semua main cakap lepas saja.

Namun kini keadaan sudah berbeza. Maleeq bukan lagi seperti dulu. Walaupun Aryan berasa lega kerna tak perlu mendengar maki hamun itu lagi, tetapi jujur hati kecil berkata bahwa dia amat merindui sumpah seranah itu keluar dari mulut Maleeq semula.

Aryan telah tiba di bengkel Adam. Kelibat Maleeq langsung dicari tapi tak jumpa. "Adam, mana Maleeq?"

"Owh, Maleeq hari ini tak datang. Dia kata nak repair kereta Hanna. Dia dah pandai repair sendiri kan sekarang," beritahu Adam.

Aryan merengus. Kesal bukan kepalang. Buang masa saja datang ke bengkel Adam. Tahu begitu terus ke rumah Hanna saja tadi.

Cuma Aryan masih menaruh bimbang. Maleeq, repair kereta Hanna? Biar betul? Begitu sekalikah dia peduli terhadap Hanna? Sehingga sanggup membetulkan kereta dengan tangannya sendiri?

"Tak apalah, Adam. Kalau macam tu aku terus ke sana," kata Aryan.

"Okey, okey. Hati-hati Yan."

"Orite!"

Walaupun rumah Puan Najwa tidak terlalu jauh dari bengkel Adam, tetapi untuk mempercepat masa, Aryan pilih untuk pandu kereta sahaja. Kurang dari lima minit dia pun tiba di halaman rumah kampung tersebut.

Benar sahaja, di situ dia dapati Maleeq sedang gigih membaiki kereta Kancil kepunyaan Hanna. Tekun betul buat kerja, tak toleh kiri kanan langsung.

Sungguhpun Aryan nak cepat sangat, tetapi dia redakan langkah nan deras menjadi santai. Hati tersentuh melihat ketekunan sepupu paling rapat dengannya sedang membuat kerja.

Dengan kondisi jiwa masih kacau begini Maleeq masih mampu menimba ilmu baru iaitu membaiki kereta. Alangkah besar kurniaan yang Tuhan beri ke dalam otak seorang Maleeq Al-Habsi sehingga segenius itu. Terharu Aryan melihatnya.

"Assalamualaikum, busy ke?" tegur Aryan.

Maleeq pun memberi respons. "Waalaikum salam! Eh, Aryan. Kau datang sini lagi? Kata nak balik KL dah?" Ditangguh kerjanya sebentar buat menyambut kedatangan Aryan.

"Awal lagi. Flight pukul empat nanti. Ada masa ni nak jumpa kaulah sekejap. Macam mana hari ni? Makin sihat?"

Aryan lalu dibawa duduk di sebuah pangkin yang terbuat dari kayu di tepi halaman itu. Bolehlah buat mereka bersembang sebentar.

"Macam ni jelah, Aryan. Sihat je." Maleeq mendesah sambil melabuhkan punggung. Penat!

"Masih sakit kepala lagi tak?"

"Alhamdulillah, dah kurang kerap. Kalau ada pun sikit je. Tapi kau jangan risau, Hanna ada tolong aku."

Risau di hari Aryan memang nampak beralasan. Semakin kuat apabila Maleeq ada menyebut tentang Hanna. Bagaimana jika kerisauannya menjadi kenyataan? Maleeq, dah semakin rapat dengan Hanna?

Kalau begitu, Aryan perlu sedikit bertegas, tak boleh lengah-lengahkan masa lagi. "Maleeq, kau tak nak ke balik KL?" Soalan Aryan memecah hening.

"Balik KL? Untuk apa?" Berkerut dahinya.

"Untuk apa, kau kata?" Sedikit ketegasan suara Aryan membuat keadaan terjeda. Dia merenung Maleeq serius.

"Kau ada family dekat KL, Maleeq. Kau ada tanggungjawap besar. Kau ada isteri yang sedang mengandung tengah tunggu kau balik. Kau tak fikir ke aku ulang-alik datang sini bawa kau berubat apa semua ni sebab apa? Sebab aku nak kau cepat pulih dan balik pada keluarga kau. Bukan ke lebih elok kalau kau ikut aku balik dan boleh sambung rawatan dekat sana. Dekat dengan family kau. Tak adalah mereka risau. At least kau ada depan mata mereka."

Maleeq terdiam menghela nafas panjang. Pandangannya menerawang, kosong dibuang ke hadapan. "Entahlah, Aryan. Aku tak ingat apa-apa. Pasal keluarga di KL, pasal sesiapa, bahkan pasal diri aku sendiri, aku tak ingat. Aku tahu nama aku Maleeq, itu pun sebab kau yang bagitahu. Jika tidak, aku tetap kosong. Jiwa aku hampa. Kau faham tak?"

"Tapi Puteri isteri kau. Dia sangat-sangat perlukan kau saat ini. Kau tak nak ke saksikan sendiri detik-detik kehamilan dia? Rugi kalau kau terlepas, Maleeq."

"Macam mana aku nak balik kalau aku tak kenal siapa-siapa? Aku tak ingat siapa-siapa. Keluarga yang aku kenal hanya Makcik Wawa, Hanna dan Adam. Itu je! Kalau aku paksa diri terima semua tu, aku akan rasa macam berada di tengah-tengah orang asing. Aku, aku tak boleh, Aryan! Aku tak boleh."

Maleeq merunduk. Tetapi Aryan pula semakin mendidih. Dia bangkit dari duduk lalu berdiri di hadapan Maleeq.

"Orang asing kau kata? Hei, Puteri tu isteri kau yang sah, gila! Takkanlah kau tak rasa rindu langsung pada dia? Habis yang kau duduk dengan Hanna macam ni nih, tak pula kau rasa asing? Dia tu bukan bini kau, tahu. Kau dengan dia tak ada ikatan apa-apa pun. Tak elok kau tinggal serumah dengan dia. Dia pun ada maruah untuk dijaga. Kau tak takut ke kalau orang pandang serong nanti?"

Maleeq mendongak. "Kau cakap, pasal maruah?"

"Iyalah! Kalau kau kesahkan Hanna sekalipun, kau kena kesah dengan maruah dia juga. Dia tu anak dara, kau pula lelaki yang tak ada kaitan dengan dia."

Maleeq lalu mengangguk. "Baiklah kalau macam tu. Tunggu sekejap ya." Dia bangkit dari kerusi kayu lalu bergegas masuk ke rumah.

Aryan tak tahu apa yang hendak Maleeq lakukan. Membuatnya bingung namun terpaksa akur untuk menanti. Tak lama kemudian Maleeq kembali keluar, tetapi tidak berseorangan. Aryan kaget.

"Bersaksikan kau Aryan, demi maruah dia, aku sedia mengahwininya."

Keadaan menjadi senyap dan tegang. Aryan kehilangan kata dan hampir tak percaya dengan apa yang didengarnya. Kalaulah Puteri yang mendengar semua ini, pasti wanita itu akan sangat terluka. Aryan saja hampir pitam mendengarnya. Buat seketika dia tergamam. Ditenung wajah Maleeq dalam-dalam. Aryan sedar bahwa sosok itu sungguh berlainan.

Sementara itu di pihak Hanna, pada mulanya dia turut bingung apabila Maleeq tiba-tiba datang dan terus menyeret tangannya keluar. Terbeliak bola matanya tidak terkata tatkala Maleeq mengutarakan niat tersebut. Dia bingung! Perlukah dia merasa gembira? Tapi jika dia boleh jujur... Ya! Memang itu yang ingin didengarnya.

Aryan pula sudah mula kehilangan kesabaran. Makin dibiar makin merepek pula si Maleeq ni. Ada yang tidur dekat halaman ni kejap lagi kang.

"Hei, Maleeq. Aku tahu kau ni tengah amnesia. Tapi aku tak sangka pula kau pun jadi gila macam ni." Aryan berang.

"Wei, bini kau tengah mengandung dekat sana, kau kat sini nak kahwin dengan perempuan lain pula? Kau dah hilang akal ke apa? Mana tanggungjawap kau sebagai suami?" Aryan mengherdik tak main-main lagi.

"Aku... Aku keliru, Aryan. Aku tak tahu. Aku tak ingat apa-apa. Kau faham tak?"

"Sebab kau tak ingatlah kau kena berusaha. Bukan malah kau menenggelamkan diri ke dalam dunia baru kau macam ni." Tengkingan Aryan semakin keras.

"Kau tak faham apa-apa pasal aku, Aryan. Aku bukan siapa-siapa. Aku tak ingat apa-apa. Kalau kau kata aku gila, ya aku gila."

Aryan bertambah angin. Direntap kolar baju Maleeq supaya berhadapan dengan dirinya lebih dekat. "Nama kau, Maleeq Al-Habsi. Kau suami kepada Puteri Zaharah Binti Tan Sri Baharidin. Kau ingat-ingat balik nama tu. Kau ingat balik ikrar keramat yang kau pernah lafaz semasa kau nikahi dia. Mustahil kau tak ingat langsung, Maleeq. Atau mungkin betul yang kau ni sebenarnya dah gila?"

Rahangnya berlaga, mukanya sudah memerah. Aryan hentak tangannya sehingga Maleeq terdorong selangkah. Dia hampir tak dapat mengawal kesabaran lagi.

"Mungkin itu bukan aku, Aryan. Aku langsung tak tahu apa-apa. Mungkin yang kau sebut itu adalah orang lain. Bukan aku!" Maleeq merunduk lemah.

"Kepala hotak kau, bukan kau?" Kesabaran sikit lagi tak dapat dikawal. Penumbuk sudah sedia dihayun ke muka Maleeq tetapi Aryan tahan.

Dilihat pula Hanna masuk campur cuba melarang perbuatannya, Aryan jadi naik rimas berada di tempat ini lama-lama.

"Dahlah, lantak kaulah, Maleeq. Kalau macam gini memang tak ada guna aku struggle selama ini untuk kesembuhan kau. Kau sendiri tak nak mengakui jati diri, apa lagi aku boleh buat?" Aryan terus membuka langkah dan beredar.

Hati sudah terlanjur mendongkol. Tak ada hati lagi nak pujuk-pujuk Maleeq. Pergi mampus sama dia! Aryan memilih untuk mengangkat kakinya.

Maleeq termenung menyaksikan kepergian Armin. Tetap tak dilepaskan pandangan sehinggalah kereta menghilang. Sayu pandangan, nafas dihela dalam-dalam.

Apa? Apa yang dia cakap tadi? Kenapa Aryan sampai begitu marah sekali? Sungguh dia tak mengerti dengan semua ini.

Hanna pula kembali mendapatkan Maleeq. Lengan digamit dan dirangkul untuk memujuk Maleeq yang kelihatan seperti sedang kebingungan. Berkenaan apa yang Maleeq katakan tadi, Hanna tentu saja ingin memastikannya sekali lagi.

"Maleeq, apa awak cakap tadi? Adakah, itu benar?"

Lengan ditarik dari rangkulan Hanna lalu mengambil jarak agak menjauh. Rambut diraup hingga ke belakang. Dia mendesah berat. "Entahlah, Hanna. Saya keliru. Apa yang saya cakap pun saya tak tahu. Nak masuk jap. Serabut kepala."

Maleeq beredar dari halaman meninggalkan Hanna terpinga-pinga menanti jawapan. Dia sendiri sedang serabut. Bahkan yang terlepas keluar dari mulut pun dia tak sedar.

Entahlah, sampai bila diri ini akan seperti ini?

Share this novel

Rohani Hussin
2023-09-20 15:41:31 

Jahat la hanna ni..pentingkan diri sndri..klu dia di tempat puteri baru dia rasa mcm mna...cepat2 la bawa maleeq tu balik KL..bemci aku ngan hanna tu

Hawani Hashim
2023-09-20 15:16:09 

Jahat juga hanna ni ambil kesempatan nampaknya ke hanna ni rakan sekonkol mukriz


NovelPlus Premium

The best ads free experience