35: SUNGGUH BERBEZA

Romance Series 889375

ARYAN segera meminta diri untuk keluar selesai mendapat rawatan. Tiba di luar, dia duduk sebentar sementara menunggu Hanna datang menemuinya. Tak lama kemudian yang dinanti pun tiba. Aryan jadi gugup melihat si dia sudah tersenyum sipu padanya.

"Boleh ke jumpa macam ni? Tak ganggu kau tengah kerja?" soal Aryan. Segan!

"Tak ada apalah. Okey je. Macam mana kau boleh sampai sini? Sampai cedera pulak tu. Ada-ada saja kau ni," kata Hanna. Turut melabuhkan punggung bersebelahan Aryan.

"Gerak hati mungkin yang membawa aku hingga kemari. Siapa sangka boleh jumpa kau balik?! Kau apa khabar, Yam?"

Merah pipi Hanna. Lama tak jumpa, makin syahdu pula si Yan ini berkata-kata. "Khabar baik. Macam yang kau nampak nilah."

Keduanya saling ketawa kecil bercampur canggung. Maklum saja, sekian lama tak berjumpa tahu-tahu sudah saling dewasa. Dulu sempatlah konon-konon bercinta, tapi tak ada keputusan apa-apa memandangkan keduanya masih sama-sama mentah masa itu. Siapa sangka akan berjumpa semula bila sudah cukup usia. Paling tak sangka apabila masing-masing masih belum berpunya. Macam cerah je masa depan.

"Yan! Kau dah okey ke ni?" Hanna bertanya. Risau!

"Okey dah, Alhamdulillah! Terima kasih Yam sebab tolong aku," kata Aryan.

"Alah, benda kecil je. Dah memang kerja aku, Yan! Cuma, aku nak kena balik rumah dulu. Kau pula nak terus ke mana?"

Aryan berfikir sejenak. "Balik rumah? Dekat ke rumah kau?"

"Aah, dekat je. Aku kena tengok patien aku dekat rumah. Nanti lepas habis waktu rehat baru aku datang sini balik," jelas Hanna.

"Patien dekat rumah?" Aryan jadi sedikit penasaran.

"Ya! Aku ada jumpa seorang ni, sedang cedera masa tu. Bila aku tanya, dia tak tahu nama. Sebulan lebih jugalah aku rawat dia. Sampai sekarang masih tak dapat bertutur dengan lancar. Aku rasa dia alami amnesialah. Nak bawa ke hospital, dokumen diri tak ada. Jadi aku putuskan untuk membawa dia pulang ke rumah saja," terang Hanna.

Berkerut dahi Aryan. Maklumat yang Hanna tuturkan seperti ada kaitan denga kehilangan Maleeq. "Yam, sekejap. Pesakit kau tu, lelaki ke perempuan?" soal Aryan.

"Lelaki! Lingkungan sebaya kau macam tulah."

"Allahuakbar!"

"Kenapa Yan? Kau okey ke?"

Aryan tak dapat selindungkan lagi. Maklumat itu sememangnya yang dia cari. "Err, Yam. Kalau aku ikut kau balik, kau tak keberatan ke?"

"Ikut nak aku balik?"

"Ya! Aku nak tengok patien kau tu. Boleh tak?"

Hanna tak langsung menjawap melainkan menatap wajah Aryan buat beberapa saat. Apa yang dia fikirkan pun tak ada siapa boleh meneka. "Boleh tu boleh. Tapi, untuk apa ya?" Walau bagaimana pun Hanna perlu menaruh barang sedikit rasa curiga.

"Macam ni, Yam. Untuk pengetahuan kau, aku datang kemari ni adalah untuk menjejak sepupu aku yang hilang lebih kurang sebulan yang lepas. Puas kami mencari maklumat, tapi tak ada. Aku curiga, mungkin saja orang yang kau jumpai itu adalah sepupu aku."

Memanglah Hanna perlu berhati-hati. Tapi dia tak mungkin mencurigai Aryan. Dia kenal Aryan macam mana walaupun sudah lama tidak berjumpa. Bila Aryan kata mahu berjumpa lelaki asing di rumahnya, Hanna tak dapat menolak permintaan itu. Akhirnya dia bersetuju untuk membawa Aryan sekali pulang bersamanya.

Aryan pandu perlahan keretanya mengikuti di belakang kereta Hanna. Tak sabar mahu tiba di rumah Hanna untuk melihat sendiri orang yang Hanna maksudkan itu. Mudah-mudahan ianya benar Maleeq.

10 minit lebih kurang, mereka pun tiba di rumah Hanna. Aryan dipersilakan masuk. Meski masih terdengkot-dengkot berjalan, namun bagi Aryan ia bukanlah masalah besar.

"Jemput masuk Yan. Macam ni jelah rumah aku," pelawa Hanna. Merendah diri.

"Eh, baguslah ni. Best apa! Aku suka suasana kampung macam ni." Aryan berbasa-basi.

"Kaki kau tu, dah okey tak?"

"Okey je. Tak ada apa dah ni."

"Kalau macam tu marilah masuk. Aku nak tengok pesakit aku sekejap."

"Terima kasih, Yam."

Aryan dipersilakan duduk sementara Hanna masuk ke dalam. Keluhan dilepaskan sambil memicit betis hingga ke buku lali. Ngilu pula! Masih sakit sebenarnya, tapi dia cuba coverline selagi boleh. Tak macholah nanti depan awek.

Suara Honda Ex5 terdengar berhenti di hadapan rumah. Aryan menjengah ke luar melihat siapa yang datang. Dilihat seorang penunggang motosikal baru tiba lantas menanggalkan topi keledarnya. Aryan terkesima.

Buru-buru dia menyusul keluar meskipun kaki masih terasa nyeri. Aryan terus meluru datang menemui lelaki penunggang motosikal tersebut.

"Wei, bengong! Bila masa kau sampai, hah? Cakap tak nak ikut." Menyembur secara melulu.

Lelaki penunggang motosikal yang tak lain adalah Adam itu sampai ternganga dibuatnya. Iyalah, sampai-sampai je terus kena bengong. Mahu tak tertejut. Entah siapa-siapa mamat ni keluar dari rumah Makcik Wawa? "Sorry, bro. Salah orang ni," kata Adam.

"Phui! Kau jangan nak main-main dengan akulah, Bad. Kau nak menyamar dengan aku? Kau ingat aku tak kenal kau walaupun kau naik motor cabuk macam ni?"

Eh, eh, amboi-amboi! Menjadi-jadi pula orang ini. Nampaknya Adam kena depani secara langsung. Misleading teruk ni. "Bro, aku tak tahu kau ni siapa. Tapi aku bukan Bad. Aku Adam."

Berubah terus air muka Aryan. Antara terkejut dan tidak percaya bahwa orang di depannya ini bukanlah Bad. Biar betul?

"Jadi, kaulah Adam? Tapi kenapa muka kau macam kawan aku?"

"Ya, aku Adam. Kau Aryan ke?"

Cepat-cepat Aryan menyedarkan mindanya dari terus khayal. Tetapi muka Adam masih tak lepas dipandang. Salam yang Adam hulurkan segera disambut laju. "Betul, aku Aryan. Jadi, yang chat dengan aku tu, kaulah, kan?"

"Betul, bro! Oh ya, aku nak tanya. Kau, kenal Bad ke?" Adam mula terasa ingin tahu.

"Aah, dia kawan aku? Kau adik dia ke?"

Adam mengangguk seraya mengemam bibirnya. "Erm! Lebih tepatnya, kembar dia." Adam tak ragu-ragu mengakui.

Ternganga Aryan dibuatnya. "Wow! Patutlah muka korang ni sama."

Selama ini dengar orang cakap tentang kembar seiras. Tapi yang ini, kembar sebijik. Langsung tak ada beza. Kalau duduk sebelah-sebelah, confirm susah nak cam.

"Tapi bro..." Adam menyambung kata. Ditunggu oleh Aryan dengan sabar. "Kau, tak payahlah bagitahu dia yang kau jumpa aku, eh."

"Eh, kenapa pula?"

"Tak ada apa! Aku ada masalah sikit dengan dia. Kau janji eh, jangan cakap apa-apa pasal aku."

"Ish, tak faham akulah. Adik beradik, kembar pula tu. Boleh pula tak ngam macam ni," komen Aryan.

Adam tersenyum tawar. "Biasalah, bro. Kat dunia ni mana ada orang yang tak ada masalah."

Emm, iyalah tu! Dan mana ada masalah yang tak boleh diselesaikan. Sampai nak kena berjauhan macam ni, ingat masalah boleh selesai ke?

Tapi walau bagaimana pun, Aryan terpaksa bersetuju dengan permintaan Adam. Dia pilih untuk menghormati privasi antara Adam dan Bad yang mungkin mereka tak sedia berkongsi.

Tak mengapa, itu urusan mereka. Yang penting sekarang ini, dia mesti berjumpa dengan pesakit yang Hanna maksudkan itu.

"Eh, Adam pun ada?" Najwa muncul dari dalam dengan membawa dulang minuman.

"Aah! Baru sampai ni, Makcik Wawa," kata Adam.

"Owh! Eloklah tu. Nasib baik Makcik Wawa buat air lebih. Jemputlah minum. Makcik tinggal sebentar ya."

"Terima kasih!"

"Terima kasih, Makcik Wawa."

Najwa kembali masuk usai menghidang minuman buat kedua pemuda itu. Eloklah mereka berbual berdua. Nampak macam serasi saja.

Aryan pula masih tak habis fikir bahawa yang selama ini bersembang dengannya di dalam chat adalah Adam, saudara kembar Bad. Rasa macam mimpi boleh nampak muka si Bad dekat sini, tapi versi budak kampung.

Bagi Aryan, Adam memang langsung tiada beza dengan Bad. Gaya dia berbicara, suaranya. Persis! Jadi Aryan langsung tak canggung untuk berbual panjang lebar. Adam ini pun jenis mesra budaknya. Sama macam Bad.

Pintu bilik belakang mula terbuka. Hanna sudah berjaya memujuk pesakitnya untuk dibawa keluar. Mujur lelaki itu tak lagi kuat memberontak macam awal-awal dulu. Hanna pun membawanya buat menemui tetamu yang ingin berjumpa.

Sementara Aryan masih asyik berbual dengan Adam. Adam lalu memberi isyarat padanya yang Hanna sudah membawa keluar lelaki asing tersebut. Terpegun Aryan di situ juga.

Allahu! Remuk hati Aryan melihat siapa yang muncul. Lelaki yang dipapah oleh Hanna itu kelihatan sungguh tidak bermaya. Badannya menyusut. Wajahnya kusam tidak terusurus. Namun apa jua keadaannya, Aryan tetap dapat mengecam dengan pasti. Sejak kecil mereka hidup bersama. Bergaduh dan bergurau senda. Mana mungkin dia tidak kenal lagi.

"Maleeq. Allahuakbar! Kau..." Aryan melangkah perlahan mendekati Maleeq. Hampir menitik air matanya melihat keadaan sepupunya yang dia cari-cari.

Maleeq sendiri masih dalam keadaan emosi yang kurang stabil, lagi-lagi dengan orang yang belum dikenali. Dia berundur bila Aryan datang mendekat.

Aryan terus mendekati serta mahu merangkulnya. Tetapi Maleeq buru-buru menepis tangan lelaki tak dikenalnya itu.

"Maleeq, kenapa ni? Aku Aryanlah, sepupu kau."

Maleeq menggeleng tidak menjawap soalan Aryan. Dia terus berundur tak mahu Aryan mendekatinya.

Aryan jadi bingung. Dia mencari jawapan di wajah Hanna yang mungkin dapat memberinya penjelasan.

"Aryan! Bertenang dulu ya. Dia masih tak stabil. Aku harap kau bersabar," kata Hanna.

"Tak! Aku tak fahamlah. Kenapa dengan dia?"

Jawapan belumpun diperolehi, Maleeq sudah melarikan diri ke bilik semula. Aryan terkaku semakin keliru. Wajah lelaki tadi memang benar Maleeq, tetapi sikapnya bukan. Apa dah jadi ni?

"Bro, sabar bro. Emosi dia tengah terganggu tu. Kau bawa tenang dulu ya." Adam tampil memujuk.

Sementara Hanna terus mengejar Maleeq yang masuk semula ke bilik. Dia perlu menenangkan lelaki itu kembali.

"Tak, Adam. Dia kenapa?" Aryan masih menagih jawapan yang lebih jelas. Dia tak mengerti kenapa Maleeq sampai jadi macam tu.

Adam lalu membawa Aryan untuk duduk semula. Dia faham, keadaan ini memang sukar untuk diterima oleh Aryan selaku ahli keluarga. Dia sendiri pun baru saja dapat mendekati Maleeq.

Tak lama kemudian Hanna muncul semula menemui Adam yang masih bersembang dengan Aryan. "Kau orang berdua, Hanna tinggal dulu ya. Hanna kena balik ke klinik. Dapat call tadi, pesakit ramai. Dia sudah okey dekat dalam bilik. Hanna tak dapat nak periksa keadaan dia buat sementara ini. Kau orang jangan ganggu dia dulu ya," pesan Hanna.

Hanya Adam yang menjawap dengan anggukan. Sementara Aryan masih tak habis shocked. Hanna lalu dibiarkan pergi.

Adam faham perasaan Aryan. Tentu keadaan ini sangat mengejutkannya.

"Kenapa dia jadi macam tu, Adam?" soal Aryan. Hilang semangat.

"Sabar, bro! Dia ditemui oleh Hanna dalam keadaan cedera parah. Mungkin akibat kemalangan kot. Kami takut mahu membuat laporan polis sebab tak ada dokumen dekat badan dia. Akhirnya dia dirawat di sini sepanjang dia tidak sedarkan diri selama tiga minggu. Sebaik sahaja dia membuka mata, dia tidak mengenali siapa-siapa, termasuk dirinya sendiri," terang Adam.

Aryan sebenarnya sudah mendengar penjelasan itu dari mulut Hanna semasa di klinik tadi, tetapi dia tak menyangka keadaan Maleeq akan separah itu. Dia mengeluh dalam-dalam. Kenapalah sampai jadi macam ni? Apa sebenarnya yang sudah terjadi pada Maleeq?

"Macam mana aku nak pujuk dia balik kalau macam ni keadaan dia, Adam?"

Adam tak dapat memberi jawapan buat masa ini. "Aku pun tak tahulah, bro. Kalau kau tanya aku, sebenarnya dia tu baru saja nak bila aku ajak bersembang. Sebelum ni bila tengok aku je dia terus mengamuk. Lepas tu lari masuk bilik. Macam tadi tulah."

Aryan merapatkan kelopak matanya yang terasa perit. Sumpah dia terkilan melihat keadaan sepupunya menjadi sedemikian rupa. Lebih-lebih lagi bila difikirkan pasal perasaan Puteri nanti. Tentu wanita itu akan sangat terpukul bila melihat keadaan suaminya seperti ini. Apa yang patut dia lakukan sekarang?

"Jadi, apa tindakan kau lepas ni, bro?" Adam bertanya.

Sejenak Aryan menghirup udara. "Aku ingat nak bawak dia baliklah, Adam. Tapi aku kena fikir cara yang sesuai supaya dia tak memberontak."

"Kalau menurut aku, kau kena bincang dulu dengan Hanna. Macam mana pun sekarang ni cuma Hanna je yang dapat tenangkan dia. Kalau kau dapat sembang dengan Hanna, bawa dia sekali ke macam mana, aku rasa okey kot," pendapat Adam.

"Jadi kena tunggu Hanna baliklah ni ya?"

"Haah! Kau tunggu dia balik dulu. Aku rasa Hanna tu boleh je dibawa bincang."

Nampaknya Aryan terpaksa setuju dengan cadangan Adam. Kena bincang dengan Hanna dulu apa-apapun. Harap saja Hanna setuju untuk membantu dia membawa Maleeq pulang ke KL. Semoga Puteri tidak salah faham sudahlah nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience