31: MANA ISTERIKU?

Romance Series 889375

"ZD! Kau ni biar betul cakap macam tu? Takkan kau dah nak putus asa cari dia?" Aryan tak puas hati dengan kata putus Zahaedy semalam. Awal-awal pagi lagi dia terus menerjah masuk ke ruangan pejabat lelaki itu.

"Kau ni dah kenapa? Pagi-pagi nak cari gaduh ke? Dahlah masuk tak pandai bagi salam." Angin Zahaedy.

"Kau yang kenapa? Aku tak faham dengan kau ni. Hari tu kau yang bukan main bersemengat nak cari dia. Nak rungkai misteri kehilangan dia sampai tuntas. Alih-alih kau pula yang give-up."

"Kau boleh tak duduk bertenang dulu? Jangan nak memekak-mekak dekat pejabat aku."

"Suka hati kaulah! Aku tak kira. Kalau kau dah tak nak cari dia, biar aku yang cari dia. Sebab aku yakin dia masih ada."

"Aryan, duduk aku kata." Jarang-jarang Zahaedy akan berkata tegas jika ianya bukan perkara mustahak. Memandangkan Aryan tetap berkeras, dia terpaksa menjelaskan biar Aryan faham.

Zahaedy lalu mengajak Aryan untuk bersembang secara empat mata. Perlahan-lahan dia mulai menjelaskan pada Aryan duduk perkara yang sebenar.

"Kau faham tak maksud aku, Yan?"

Pada awalnya agak sukar untuk Aryan mengerti. Namun setelah Zahaedy menjelaskan barulah faham. "Jadi apa kita kena buat sekarang?"

"Kita jangan buat apa-apa. Lagi-lagi di pejabat ini. Kita buat-buat seolah kita percaya yang Maleeq benar-benar dah tak ada. Terutama, di depan dia."

"Hah?"

"Kau faham kan?"

Aryan akhirnya faham apa yang Zahaedy cuba sampaikan. Nampaknya dia perlu belajar mengawal diri dan tidak bertindak melulu sepertimana yang telah Maleeq lakukan.

Akibat dari keterburu-buruannya, kemungkinan kini Maleeq telahpun masuk ke dalam perangkap musuh yang memang sengaja mahu menghancurkannya.

Jadi, Zahaedy bersama Aryan perlu mengatur strategi lebih mulus agar pihak musuh tak dapat mengesan sebarang tindakan mereka.

***

"SELAMAT pagi, awak! Saya pergi kerja dulu ya."

Tak pernah jemu Hanna Mariyam datang menjenguk ke bilik itu setiap kali mahu berangkat kerja. Kalau tidak, pasti hatinya tak akan tenang. Untuk beberapa saat dia ambil masa duduk sebentar di sisi lelaki yang masih terbaring tidur lena itu. Biarlah kalau dia tak mendengar sekalipun. Hanna tetap seronok bersembang dengannya.

"Sebenarnya saya nak sangat tunggu dekat sini sampailah awak buka mata. Tapi tak boleh, sebab saya kena pergi kerja. Nanti bila saya dah balik, saya ajak borak lagi ya."

Seperti biasa, setiap pagi Hanna akan uruskan lelaki itu terlebih dahulu. Ditukarkan waterdrip yang baharu. Alas tidur dan pakaian juga tak lupa diganti. Dia senang melakukannya walaupun tiada siapa yang membayar gaji.

Hanna juga tak lupa mengajak lelaki itu bersembang walaupun dia tahu lelaki itu tak akan menjawap. Tetapi itulah caranya untuk merangsang pesakit yang koma supaya segera sedar.

Najwa ibu Hanna, lama kelamaan mulai menasihati anaknya untuk tidak terlalu berlebihan dalam menguruskan orang asing tersebut. Lebih elok jika dipulangkan saja orang itu kepada keluarganya.

Tapi sayangnya mereka tak punyai maklumat mengenai lelaki ini berasal dari mana. Makanya mahu tidak mahu, Najwa terpaksa biarkan anaknya mencurah bakti walau kemungkinan tiada keuntungan buat siapa-siapa.

"Ibu! Hanna pergi kerja dulu. Ibu jangan lupa call Hanna kalau dia bangun atau menunjukkan sesuatu perubahan." Hanna Mariyam mencium tangan ibunya sambil meninggalkan pesan tersebut.

"Ish, iyalah. Tak payahlah pesan hari-hari. Ibu tahulah," kata Najwa. Naik jemu dengan pesanan Hanna setiap kali nak berangkat kerja.

Peduli sangat pada orang koma tu sampai macam tu sekali. Dah macam obses pun ada. Itu pasal Najwa jadi tak berapa suka. Takut niat nak tolong tiba-tiba jadi lain.

***

"ABANG..." Puteri menjerit lagi.

Begitulah teriaknya setiap kali dia membuka mata. Kemudian sambung menangis sambil memeluk baju suaminya.

"Abang, pulanglah! Puteri rindu abang. Puteri tahu abang masih ada. Puteri yakin abang akan kembali. Pulanglah, abang. Jangan biarkan Puteri terus menunggu."

Sudah tiga minggu, itulah yang terucap dari bibirnya setiap kali matanya terbuka. Hidupnya sudah tak tentu arah. Tiada lagi wajah ceria dan senyuman manja. Ditemani baju kepunyaan Maleeq, dia menangis sehingga penat dan akhirnya tertidur kembali.

Tempoh hari Puan Sri sekeluarga ada membuat hajad mengadakan doa selamat untuk mendoakan kesejahteraan roh orang yang telah tiada. Puteri malah melarang dan menghalau semua hadirin yang datang.

"Buat apa berkumpul baca Yassin dekat sini? Suami Puteri masih adalah. Tak ada siapa yang mati. Balik! Kau orang semua balik."

Bagaimanapun Puteri berjaya ditenangkan sehingga acara doa selamat selesai.

Puan Sri sedih sekali melihat keadaan Puteri yang sudah hampir hilang jati dirinya. Tak putus-putus dia berdoa agar semangat di jiwa anaknya segera kembali. Apatah lagi kandungan Puteri kini semakin kelihatan. Puan Sri risau jikalau Puteri sampai tak dapat mengawal diri dan akan bertindak agresif, yang dibimbangi akan membahayakan kandungannya.

"Puteri, sayang. Tolonglah jangan macam ni, nak! Mommy tak sanggup tengok Puteri hancur macam ni. Istigfar, sayang. Mengucap banyak-banyak. Doa pada Allah jika Puteri yakin suami Puteri masih ada. Jangan macam ya, nak."

"Lalu kenapa mommy buat doa selamat untuk roh orang meninggal? Suami Puteri masih ada. Mommy pun percaya ke yang suami Puteri dah tak ada?"

"Bukan, sayang. Bukan! Mommy buat doa selamat untuk roh-roh Almarhum keluarga kita yang telah lebih dulu pergi. Arwah tokayah, arwah maklong Qasih dan suami dia. Arwah nenda juga. Itu saja."

"Tak payah buat. Nanti-nanti kalau abang dah pulang baru mommy buat sekali. Jangan buat, mommy. Jangan buat." Puteri meraung lagi untuk kesekian kali.

"Okey, okey. Mommy tak akan buat dah. Iyalah, mommy tunggu sampai suami Puteri balik ya. Nanti kita buat doa kesyukuran sekali bila dia dah ada. Ya? Dah, dah. Puteri jangan nangis lagi."

***

SETIAP kali tiba waktu rehat tengahari, Hanna Mariyam akan pulang ke rumah untuk melihat keadaan orang yang dirawatnya. Walaupun sudah tiga minggu masih dalam keadaan seperti itu, Hanna yakin bahwa lelaki itu akan bangun juga nanti. Dia akan sabar menunggu.

Turut tak jemu bertanya pada ibunya semasa dia di tempat kerja. Sanggup menelifon meminta ibunya memeriksa.

"Ibu! Dia ada bagi tindak balas tak? Pagi tadi Hanna sempat suntikkan vitamin."

"Tak adalah, Hanna. Masih macam tu je keadaan dia. Tapi ibu adalah tengok-tengokkan. Alhamdulillah, masih bernafas," beritahu Najwa.

Syukur Alhamdulillah. Risau sangat Hanna setiap kali nak keluar meninggalkan rumah. Lama-lama merawat lelaki itu, hatinya jadi bertambah seronok. Penat mahupun lelah langsung tak dirasa. Dia cuma mahu lelaki itu cepat membuka mata saja.

Setiap petang bila pulang dari kerja, terlebih dahulu dia akan melawat ke bilik itu. Hanna mahu pastikan lelaki itu sudah cukup selesa. Pada pakaian, alas tidur dan juga ubat-ubatan.

Hanna tersenyum sendiri duduk di sisi sambil menilik wajah tampannya. Terdapat sebutir jerawat mula tumbuh di muka itu. Jambang-jambang halus juga mula kelihatan.

Hanna bersyukur kerana itu adalah satu perkembangan yang baik. Bermakna syarafnya masih berfungsi dengan normal tiada gangguan.

"Haih! Bilalah awak ni nak bangun? Saya tak sabar nak dengar cerita awak. Apa yang sebenarnya berlaku? Apa nama awak? Awak berasal dari mana?" Dia bermonolog seperti selalu.

"Ermm! Tak apalah. Awak rehatlah dulu ya. Saya dah lap badan awak dan tukarkan baju awak. Saya harap awak selesa. Selamat malam."

SIANG ITU...

"Hanna! Balik cepat. Orang tu dah sedar." Najwa panik lalu lekas-lekas menelifon Hanna.

Hanna tak menunggu lama. Langsung bergegas pulang ke rumah walaupun belum tiba waktu rehat. Dia pandu keretanya agak laju. Hati berdebar tak sabar mahu cepat tiba di rumah.

Apakah agaknya respond lelaki itu bila sudah sedar? Adakah dia akan berbicara dengannya? Macam mana agaknya suara dia?

15 minit perjalanan ke rumah, Hanna pun tiba. Dia langsung masuk dan terus menuju ke bilik lelaki itu. Tetapi ibunya buru-buru melarang.

"Hanna! Jangan terus masuk. Hati-hati. Ibu dengar tadi dia macam mengerang. Takut ibu! Macam mana kalau dia tiba-tiba serang kita?"

"Ibu tak perlu risau. Hanna yakin dia akan okey. Kalau tak percaya, marilah teman Hanna masuk."

Najwa membuntuti di belakang sambil berpegang pada lengan Hanna. Dia takut bila tadi dia dengar suara orang mengerang kesakitan. Oleh itu dia cepat-cepat memanggil Hanna pulang.

"Aaghh!!!"

Hanna tiba di ambang pintu. Tertahan langkahnya melihat lelaki itu sudah duduk memegang kepala. Kelihatan seperti sangat tersiksa. Pasti dia sedang kesakitan.

"Ugh... Isteriku! Mana isteri aku?"

Itulah ayat pertama yang keluar dari mulutnya. Hanna dan ibunya terbata buat beberapa saat.

"Isteri aku mana? Aku nak isteri aku."

Hanya ayat itu yang diulang-ulang dia katakan. Hanna dapati kata-kata tersebut tidak ubah seperti sedang meracau. Hanna beranikan diri datang mendekat.

"Assalamualaikum, encik! Encik bawa bertenang ya. Encik baru saja sedar dari pengsan," kata Hanna.

Lelaki itu lalu menoleh garang. "Kau siapa? Mana isteri aku?"

"Err, isteri encik? Ada! Ada, ada. Jangan risau. Nanti kita cari dia ya. Sekarang ni encik kena berehat dulu. Badan encik masih lemah," pujuk Hanna lagi.

"Aku kata aku nak isteri aku. Mana dia?" Dia malah membentak Hanna.

Najwa ketakutan lalu menarik lengan Hanna. "Hanna, jomlah keluar. Takut ibulah."

"Ibu, tenang. Hanna tahu macam mana nak handle. Ibu tunggu sini ya."

Perlahan-lahan Hanna mula mendekati. Dia tahu bagaimana untuk menghadapi situasi ini. Jika tidak, masakan dia boleh bergelar jururawat?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience