57: MIMPI PETUNJUK

Romance Series 889375

"ERRR... Adam!"

Dari tadi teragak-agak hendak menegur Adam. Padahal tak biasa-biasanya dia seperti itu. Kali ini tak tahu kenapa, lain sikit atmosferanya. Seperti ada sesuatu yang hendak ditanya tapi segan nak mengatakan.

"Haa, apa dia?"

Adam terus saja memberi respons. Maleeq pula menurunkan tunduk. Adam pun pelik. Dah kenapa dengan dia ni? Nak cakap nak pakai duitkah?

Tapi macam mustahil dia nak pinjam duit. Tak silap duit dia banyak je tu dia simpan tak pakai-pakai. Iyalah, selama ini Adam beri duit gaji mana ada Maleeq pakai sangat.

Maleeq geru kepala. "Tak ada. Ni, aku nak tanya pasal appointment jumpa doktor tu, hujung minggu ni kan?"

"Haah. Itu je ke kau nak tanya?"

"Itu jelah! Kalau, kita pergi awal, boleh ke?"

Adam berasa pelik lagi sekali. Buang tebiat ke si gila ni? "Pergi awal? Maksud kau?"

"Tak payahlah tunggu tarikh appointment tu tak? Kita terus je pergi. Boleh ke macam tu?"

"Iya, tapi kenapa"

Bingung Maleeq hendak memulakan kata bagaimana. Sebenarnya dia pun tak tahu nak cakap apa.

Punggung dilabuhkan dahulu di atas tayar kereta yang ditanggalkan daripada body. Namapun bengkel kan. Memang barang kereta saja yang bersepah di situ.

"Aku dapat satu mimpi ni, aneh sangat," tuturnya.

"Mimpi? Mimpi apa?" Adam jadi penasaran ingin tahu. Lekas disusul langkah Maleeq duduk berhampiran.

Maleeq mendesah pendek. "Dua malam berturut-turut, dia datang dalam mimpi aku. Menangis dan kebingungan, seakan tercari-cari jalan pulang. Dia sesat."

"Siapa yang kau maksudkan ni?"

"Aku tak tahu. Tapi... mulut aku tak semena-mena menyebut dia, Princess."

"Perempuan?"

Maleeq mengangguk.

Adam lalu terdiam sejenak cuba mencari jawapan atas mimpi yang Maleeq ceritakan itu.

"Princess? Princess tu bahasa Inggeris. Kalau bahasa Melayu dia, tuan puteri kan?"

Maleeq angguk lagi.

"Puteri pula nama isteri kau."

"Isteri aku?"

"Iyalah, perempuan mengandung yang datang hari tu. Nama dia Puteri, kan? Aryan cakap dia tu isteri kau."

Maleeq tertunduk lagi. Benarkah yang datang dalam mimpinya itu adalah Puteri? Wanita yang dikatakan sebagai isterinya?

Sukar untuk mengecam wajah di dalam mimpi. Ia hanya berupa bayangan samar-samar dan tak dapat dipastikan wajah secara zahir. Cuma dia yakin yang dia ada menyebut nama Princess pada gerangan tersebut.

"Sebab itu aku ingat nak pergi jumpa doktor cepat. Nak tanya jawapan, adakah mimpi aku ini ada kaitan dengan masa lalu aku."

"Ada kaitan apanya lagi? Kalau dah yang kau sebut itu Puteri, dah jelas-jelaslah dia tu isteri kau."

Maleeq tergamam sesaat. Dia lalu merunduk kembali, cuba renungi mimpinya itu adakah ada kaitan dengan apa yang Adam terangkan. Bahwasannya, Puteri adalah individu yang datang dalam mimpinya selama dua malam berturut-turut. Benarkah demikian?

Kalau benar itu adalah Puteri isterinya, kenapa dia ada di situ? Kenapa dia sesat di tempat itu? Apa yang sudah terjadi pada Puteri sebenarnya?

Maleeq menolak rambut ke belakang lalu mendesah dalam-dalam. Apapun petunjuk dari mimpinya itu, dia berharap bukanlah pertanda tidak baik menimpa orang-orang yang mengenali dirinya.

Cukuplah dia tersiksa menanggung kehilangan ingatan. Bagaimana kalau kenyataan ternyata lebih pahit? Dia sebenarnya, sudah kehilangan orang-orang yang dia sayang?

"Ya Allah. Kau bukakanlah jalan untuk aku. Beri aku petunjuk supaya aku dapat membuat keputusan terbaik."

***

"MALEEQ!"

"Ugh!"

Sekali lagi, dia berada di tempat itu semula. Tempat yang hadir dalam mimpinya sejak dua hari yang lalu.

Dia tak tahu tempat itu di mana. Yang jelas pandangannya kabur dan tak dapat mencerna imej di depan matanya dengan jelas.

Oh ya, maklum saja. Tempat itu dipenuhi kabus tebal yang memutih di sekelilingnya. Tiada warna melainkan hanya putih sahaja.

Dia berpaling ke samping tatkala ada suara memanggil namanya. Suara siapakah ia?

"Maleeq dengar tak?"

Suara itu muncul kembali dari arah belakang. Tetapi agak berlainan berbanding tadi. Macam, bukan hanya seorang. Tetapi dua tiga orang sedang memanggil namanya.

"Siapa? Siapa tu?"

"Maleeq, pandang sini."

Suara itu muncul dari arah depan pula. Seperti suara seorang wanita separuh baya. Maleeq seperti amat mengenali suara itu.

"Anak mama. Kemarilah anakku."

"Mama?" Maleeq masih bingung.

"Maleeq. Kau buat apa dekat sini? Kenapa kau tak balik pada isterimu?"

Suara yang muncul dari arah belakang mengundang rasa untuk menoleh. Seorang wanita lebih muda berbanding yang tadi, sedang menghampiri ke arahnya dengan raut wajah marah. "Kau... kau siapa?"

"Kau tak ingat aku?"

Sejenak Maleeq cuba mengecam pemilik wajah itu. "Dahlia?"

Wanita itu lantas tersenyum tak lagi memperlihatkan kemarahan di wajahnya. Langkahnya juga terhenti dan diam di tempat.

"Maleeq pulanglah, nak. Isterimu sedang menunggu. Pulanglah ke pangkuan keluarga."

Maleeq menoleh ke arah wanita yang tadi dia sebut mama. Wajah wanita itu sayu, bersih dan penuh pengharapan. Dia tersenyum padanya, redup sekali.

"Ma, mama?"

"Maleeq. Cukuplah pengembaraanmu. Pulanglah segera ke pangkuan keluarga. Tolong jangan kecewakan babah lagi."

Kali ini suara dari samping kanan, yang muncul di awal tadi. Barulah Maleeq perasan bahawa ianya adalah suara garau seorang lelaki berusia sekitar lebih 60an.

"Babah?"

Dia yakin, suara itu adalah milik sosok yang dilihatnya sekarang. Seorang lelaki yang amat dia rindui dan didambakan kemaafan darinya.

"Babah..."

Tanpa terasa air mata memancut deras saat dia berlari cuba mendapatkan idividu tersebut. Dia amat rindu. Dia ingin memeluk dan mencium tangan lelaki itu. Mengungkapkan kata maaf dan memohon keampunan. Sekian lama dirinya diburu rasa berdosa itu tanpa sempat memohon ampun daripadanya.

Kini, sosok itu sudah ada di depan mata. Maleeq berlari sekuat tenaga untuk mencapainya.

"Babah, Maleeq minta ampun. Ampunkan Maleeq, babah."

Sentuhan lelaki itu dapat dirasa menyentuh kulitnya. Maleeq biarkan dirinya didekap oleh lelaki tua yang amat dirinduinya itu.

"Maleeq pulang ya, nak. Kembali pada yang menanti. Kepulanganmu amat ditunggu oleh mereka."

Maleeq hanya menangis tersedu-sedan. Membiarkan tangan lelaki itu mengusap rambutnya.

Tak lama, pelukan pun terlerai. Maleeq melihat kedua wanita tadi turut menghampiri ke arahnya dengan wajah dihiasi senyuman.

"Baliklah segera pada keluarga. Mereka semua sedang menantimu," ujar salah satu wanita, yang Maleeq panggilnya dengan sebutan mama.

"Menanti? Siapa yang sedang menanti?"

"Putera Khaleed!"

"Putera Khaleed? Siapa itu, babah?" Maleeq mahukan jawapan yang lebih terang.

"Babah? Mama? kakak..."

Bayangan keluarganya tiba-tiba lenyap. Maleeq kembali kebingungan. Dia berpusing ke sana ke mari mencari mereka, namun bayangan itu sudah hilang tanpa kesan umpama ditelan gumpalan kabus yang memutih.

Maleeq berlari cuba menembusi kabus, tetapi bayangan keluarganya tetap tak lagi kelihatan. Namun, pencariannya terhenti tika derianya sedang mengesan bayangan seorang wanita pula muncul di tengah-tengah kabus tersebut.

Wanita muda itu seperti sedang menangis, kebingungan dan berusaha mencari jalan keluar. Tetapi anehnya, dia seolah tidak melihat keberadaan Maleeq di situ.

Dia berlari ke arah depan, tak lama kemudian berlari ke arah belakang. Lalu muncul semula dari arah berlainan dan berlari lagi ke ke kiri dan kanan.

Maleeq cuba mengejarnya buat menghulur bantuan. Tetapi wanita itu sama sekali tak mengendahkan panggilannya.

"Princess, tunggu. Nak ke mana tu? Princess, abang di sini. Princess..."

Maleeq terjaga. Kencang deruan nafasnya tatkala tubuh cuba ditegakkan. Peluh menitik di dahi dikesat dengan belakang lengan.

Sekali lagi, mimpi itu datang kembali. Tiga hari berturut-turut, bermakna ia bukan mainan tidur semata. Ia satu petunjuk yang perlu dia rungkai jawapannya.

Tapi pada siapa? Siapa yang bisa memberinya jawapan? Hendak bertanya pada doktor, adakah doktor seorang pentafsir mimpi? Tentunya bukan.

Maleeq merenung dalam-dalam usai mengucapkan kalimah istigfar. Tiba-tiba hatinya terdetik satu perasaan yang seakan sudah lama menghilang.

Atau, mungkinkah jawapan yang dia mahu itu sebenarnya sudah ada pada dirinya sendiri? Dia sudahpun ada jawapan itu lama, tetapi kecelaruan jiwa menghalang dirinya dari merungkai makna.

Jika benar demikian, apa langkah seterusnya yang perlu dia lakukan?

"Pulanglah pada keluarga. Pulanglah pada isterimu." Nasihat dari dalam mimpi diingat kembali.

Dia tahu ianya satu pesanan buat dirinya. Satu petunjuk atas kebuntuan yang selama ini membelenggu.

Isteri? Adakah yang dimaksudkan itu adalah, Puteri?

"Puteri isteriku? Princess?"

Entah kenapa rasa sayu tiba-tiba menyusup masuk hingga ke tangkai hati saat bibir bergumam menyebut nama itu. Rasa ingin menangis lantaran sebak dan rindu yang perlahan mula menjengah ke dalam jiwa.

Semakin dibairkan, rasa itu semakin kuat mengusik naluri, dan mendesak diri untuk segera kembali. Maleeq mendesah lalu meraup tangan ke wajah bersama lafaz istigfar turut dititipkan bersama.

***

"ADAM, aku dah sedia."

"Eh, betul ke ni nak pergi jumpa doktor sekarang? Tak nak tunggu tarikh temujanji?"

"Bukan jumpa doktor. Tapi..."

"Tapi apa, Maleeq?"

Share this novel

Rimatanti Rasyid
2023-10-23 08:51:12 

semoga Maleeq dpt pulang ke pangkuan puteri.. kesian puteri menderita sbb rindukan Maleeq

Hawani Hashim
2023-10-23 07:21:28 

Terima kasih update... Sedih la putri jd mcm tu pulak


NovelPlus Premium

The best ads free experience