65: PENGKHIANAT

Romance Series 889375

"KENAPA, ZD? Kenapa kau perlu buat macam ni? Bagitahu aku jika kau punya alasan tersendiri. Aku bersedia mendengar penjelasan kau."

"Kenapa? Kau tanya aku kenapa?"

Keadaan bertambah tegang. Soalan saling berbalas soalan. Ketiga lelaki itu berdiri tegak saling berhadapan.

"Kau tanya diri kau sendiri sebabnya, Maleeq. Kau dari dulu dengan keras kepala kau tak pernah berubah. Kau fikir kau boleh selesaikan sendiri masalah, tapi kau sendiri yang mengundang masalah. Kau jadi macam ni pun, sebab kedegilan kau. Kalau kau tak berkeras masa tu nak redah seorang diri, benda ni tak akan jadi, tahu tak."

Satu helaan nafas Maleeq biarkan terlepas. Dia tetap tak bergeming daripada menghadap Zahaedy. "My job is my responsibility, aku perlu meletakkan sepenuh jiwa raga aku untuk menyelesaikan. Kau pun tahu yang aku tak suka main-main bila membuat kerja."

Meligas serta-merta mata Aryan menoleh ke arah Maleeq yang sedang berinteraksi dengan Zahaedy. Soalan dalam hatinya mula mencari jawapan, adakah Maleeq sudah mula mengingat segalanya?

"Tapi bukan bermaksud kau boleh ingkar arahan aku. Aku ketua kau. Apa-apa pun kita perlu atur strategi. Kalau kau main redah sendiri, macam nilah ni jadi dia."

Maleeq mula hilang kesabaran. Perbincangan yang dia mahu tak juga ketemu kata pasti. "Tak, sekarang ni apa kena mengena kes aku dengan kau jadi pembelot ni? Tak payah banyak cakaplah, ZD. Aku cuma nak tahu, apa yang kau nak sebenarnya?"

"Hello!"

Sejenak perhatian tertumpu pada Aryan yang tiba-tiba mendapat panggilan. Turut disaksikan wajah pemuda itu berubah tegang sebaik dia mendengar suara si pemanggil.

"Yam. Yam... Kenapa ni? Yam... Hello..."

Talian terputus. Ketegangan di wajah Aryan semakin menebal. Apa sudah jadi?

"Hello." Turut menjawap panggilan telifon, iaitu Zahaedy. Tetapi raut muka lelaki itu tampak lebih tenang berbanding Aryan.

"Tunggu aku. Apa-apa kau tunggu aku. Kau jangan bertindak melulu boleh tak?" bentak lelaki itu pada lawan bicaranya. Selanjutnya panggilannya juga tamat.

"ZD..." Maleeq sudah menikam lelaki itu dengan cerlungan.

Aryan turut bertindak sama.

"Bagitahu aku, yang kau tak terlibat kali ni, ZD," ujar Aryan, setengah merayu.

Panggilan daripada Hanna tadi ialah panggilan kecemasan, di mana gadis itu sedang cuba dilarikan oleh seseorang sehingga telifonnya jatuh.

Bersamaan itu pula Zahaedy turut mendapat panggilan dari individu yang mereka tidak ketahui. Ianya cukup mencurigakan.

"Kalau iya sekalipun, apa masalah kau? Nak menentang aku?" ringkas Zahaedy.

Terbelalak Maleeq dan Aryan dibuatnya. Lelaki itu tak lagi berselindung bahawa dia sememangnya memainkan peranan di sebalik semua ini.

"Ya! Memang aku yang jumpa si Hanna tu untuk beri ubat kepada Maleeq. Aku juga yang sabotaj dokumen yang Tan Sri tanda tangani menjadi dokumen penyerahan hak mutlak syarikat kepada Tengku Mukhriz. Aku dah tak perlukan korang. Aku boleh buat apa sahaja sesuka hati aku."

"Tak guna kau, ZD."

Aryan mara bersama penumbuk digenggam. Satu hayunan dilayangkan deras meluah rasa geramnya.

Sayang sekali. Zahaedy hanya perlu berkelit sedikit sahaja untuk menghindarinya. Selanjutnya genggaman tinjunya pula ditalakan tepat ke wajah Aryan, sehingga pemuda itu tersungkur serta merta.

"Budak kecil, jangan cuba nak lawan orang tua. Itu akibatnya," bentak Zahaedy, melahar amarah.

Menyaksikan keadaan itu, Maleeq turut menggelegak darahnya. Sampai hati Zahaedy berlaku sedemikian. Sampai hati Zahaedy menikam dari belakang. Sampai hati dia menumbuk Aryan hingga berdarah. Maleeq tak boleh membiarkannya lagi

"Kau ni dah melampau, ZD."

Maleeq perlu membuat perhitungan dengan lelaki itu. Pecut larian ke hadapan sedia merempuhkan tumbukan.

"Kau pun nak mencuba? Heh, marilah!"

Dengan Maleeq, Zahaedy perlu sedikit berkelahi. Bukan mudah juga untuk menghentikan Maleeq dengan hanya satu layangan tumbukan. Hingga beberapa kali pukulan menembusi ruang udara hampa, tiada tanda-tanda di antara mereka bakal menjadi pemenangnya.

DUSH!

Akhirnya, sebuah tumbukan berjaya mengenai wajah Maleeq. Tetapi lelaki itu tak semudah itu mahu mengalah. Dia kembali mara untuk giliranya pula memecah muka Zahaedy.

"Kau pernah kata pada ayah mertua kau dulu, bahwa kau ni kurang sikit berbanding aku. Ya, Maleeq. Kau memang kurang berbanding aku. Aku ketua kau. Aku yang didik kau menjadi pandai. Jadi kau jangan mimpi dapat kalahkan aku."

"Hiyaaahhh."

Hampir-hampir genggaman buku lima kepunyaan Maleeq mendarat tepat di muka Zahaedy. Lelaki itu dengan pantas mengangkapnya dengan genggaman tangan.

Selanjutnya, kepala lututnya dibiarkan bersarang di perut Maleeq. Tidak cukup, tumbukan pula dilayangkan ke muka. Bukan sekali, tetapi berkali-kali sehingga Maleeq tersungkur ke lantai.

"Sampah! Budak-budak hingusan macam korang jangan cuba-cuba nak halang aku. Buat kerja sendiri-sendiri saja, tak payah sebok tepi kain orang," herdik Zahaedy. Maleeq dan Aryan terkapar di lantai dibiarkan saja.

"ZD. Kenapa kau nak kena culik Mariyam? Ke mana kau nak larikan dia?" rayu Aryan di antara kesakitan.

"Bukan urusan kau."

Zahaedy terus beredar dari hadapan mereka. Dia menaiki sebuah sport-car berwana hitam yang diparkir di basement tersebut.

Terlopong Maleeq dan Aryan melihatnya. Mereka sangkakan Zahaedy akan menaiki keretanya yang diparkir di depan cafe. Tapi ternyata, Zahaedy telah memiliki sebuah lagi kereta mewah jenis sport-car yang mungkin mencecah jutaan ringgit harganya.

Maleeq dan Aryan saling berpandangan sesama sendiri. Dalam kepala mereka sedang terlintas fikiran yang sama.

Demi wang, seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja. Bahkan mengkhianati kumpulan sendiri, mereka tak akan teragak-agak melakukannya.

Tak sangka, Zahaedy sanggup melakukan semua itu. Semurah itukan harga persaudaraan mereka selama ini?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience